saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 15/04/2009

Upin & Ipin popularkan Nur Fathiah




NAMA Nur Fathiah Diaz menjadi popular secara mendadak selepas dia meminjamkan suaranya untuk watak Upin dan Ipin dalam filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula (Geng).

Dengan lengguk suaranya yang manja dan keanak-anakan, ramai penonton yang terhibur melalui watak Upin dan Ipin yang dilakonkannya dalam filem arahan Mohd. Nizam Abd. Razak itu.

Menurut Nur Fathiah,10, dia tidak menyangka filem Geng telah mengangkat nama dan suaranya sebagai ikon baru di kalangan kanak-kanak terutama dalam industri perfileman tempatan.

"Sekarang ini ramai orang yang sudah kenal dengan nama dan suara saya. Sampaikan di sekolah pun semua orang tahu yang suara Upin dan Ipin itu adalah suara saya.

"Saya rasa seronoklah," katanya ketika ditemui pada majlis kesyukuran kejayaan Geng mengaut kutipan tiket RM6.3 juta yang ditayangkan di 55 pawagam seluruh negara sejak 12 Februari lalu.

Turut diraikan pada majlis itu ialah penganugerahan sijil daripada Malaysia Book of Records apabila muncul sebagai filem animasi 3D yang pertama diterbitkan di negara ini.

Filem terbitan Les' Copaque Production Sdn. Bhd., (LCPSB) itu tamat tayangannya pada 8 April lalu selepas lebih sebulan ia ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Jelas Nur Fathiah, dia tidak menduga suara yang dipinjamkannya untuk watak Upin dan Ipin diminati ramai biarpun baru pertama kali meminjamkan suaranya menerusi filem.

Namun pelajar darjah empat Sekolah Kebangsaan Telok Menegon, Klang, Selangor, ini tidak menghadapi masalah untuk melakonkan dua watak itu dengan bantuan banyak pihak.

"Abang Nizam antara yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya bagaimana untuk melakonkan watak Upin dan Ipin. Tetapi saya kena tukar suara supaya suara dua watak itu tidak sama.

"Untuk melakonkan watak Ipin, saya kecilkan suara saya. Kalau untuk watak Upin pula, saya besarkan suara saya supaya nampak lain sikit," ujar anak sulung daripada dua beradik ini.

Pada majlis itu, Nur Fathiah ditemani oleh ibu bapanya iaitu Azlinda Mohd. Alias dan Diaz Muhammad yang banyak memberi sokongan moral kepadanya dalam bidang lakonan.

Selain Nur Fathiah, pelakon kanak-kanak, Kannan Rajan yang meminjamkan suaranya untuk watak Rajoo juga menjadi perhatian ramai kerana kepetahan suaranya yang sering mencuit hati.

Pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kertas, Batu Caves, Selangor, ini turut tidak menyangka akan dikenali kerana filem dengan kos RM4 juta itu.

Apatah lagi jelas Kannan, dia menyertai sesi uji bakat meminjamkan suaranya untuk watak Rajoo hanya untuk mencuba bakat selain mengisi masa lapang selepas penat belajar.

Bagaimanapun kata pelakon berusia 13 tahun ini, dia rasa berbaloi apabila kesukarannya melakonkan watak Rajoo menyebabkan namanya menyerlah dalam waktu yang singkat.

"Bukan sahaja di sekolah, tetapi kalau saya pergi ke mana-mana pun, ramai orang yang kenal saya. Mulanya orang kenal suara saya sahaja, tetapi sekarang ini muka saya pun orang kenal.

"Saya seronok kerana walaupun susah melakonkan watak Rajoo tetapi akhirnya orang suka dengan suara saya. Abang Anas (LCPSB) banyak ajar saya cara berlakon.

"Saya kena baca skrip banyak kali selepas itu barulah saya boleh menyebut setiap dialog dengan betul. Memang

susah sebab ini filem pertama lakonan saya," jelasnya.

Kannan yang mengambil masa hampir tiga tahun sejak terbabit dari awal sehingga Geng tamat penerbitannya secara tidak langsung membuka pengalaman baru buatnya.

Ini kerana selepas membuktikan bakatnya dalam bidang lakonan, dia telah menerima banyak undangan berlakon di mana yang terbaru menerusi drama Tamil berjudul Nasam.

"Kali ini bukan pinjamkan suara, tetapi

saya akan berlakon dalam drama itu. Penggambarannya dalam waktu yang terdekat ini," katanya yang bercita-cita mahu menjadi ahli perniagaan.

Upin & Ipin The Movie

SELEPAS kejayaan Geng mencatat sejarah filem animasi tempatan paling berjaya kutipan tiketnya setakat ini, LCPSB akan mengembangkan lagi watak Upin dan Ipin dalam filem tersebut.

Pengarah Urusan LCPSB, Burhanuddin Md. Radzi berkata, sebuah filem berjudul Upin & Ipin The Movie akan menyusul bagi meneruskan kesinambungan Geng pada masa depan.

"Kemungkinan besar, filem Upin & Ipin The Movie akan diterbitkan pada hujung tahun depan. Kos pembikinannya mungkin lebih murah atau lebih mahal bergantung kepada keperluan.

"Ia bergantung kepada teknologi yang akan kami gunakan nanti. Mungkin, kami akan gunakan teknologi 3D digital yang memerlukan para penonton memakai cermin mata," katanya.

Kata Burhanuddin, setakat ini pos produksi untuk Upin & Ipin The Movie sudahpun bermula di mana ia menampilkan jalan cerita yang lebih ceria serta berbeza daripada Geng.

"Jalan cerita filem animasi terbaru kami itu bukan sahaja berbeza, malah ia juga lebih fokus kepada watak Ipin, Upin dan kawan-kawannya. Ia berkisar tentang kehidupan kanak-kanak.

Futuristik

"Kalau cerita Geng berkisar di kampung, tetapi Upin & Ipin The Movie mungkin berada di luar Bumi. Ia lebih kepada unsur-unsur futuristik dan berada di luar jangkauan penonton," ujarnya.

Kejayaan Geng di Malaysia menyebabkan filem itu turut menjadi bahan bualan para peminat di Indonesia di mana ia juga akan ditayangkan di negara seberang itu tidak lama lagi.

Tambah Burhanuddin, Geng yang telah ditonton oleh 813,000 penonton di negara ini akan ditayangkan di beberapa buah bandar utama di Indonesia seperti Jakarta dan Bandung.

"Kami jangkakan Geng akan ditayangkan di Indonesia menjelang Hari Raya Aidil Fitri ini. Kami akan menggunakan dua rangkaian pawagam di sana iaitu Mega Blizz dan Studio 21.

"Pawagam Mega Blizz merupakan pawagam yang mengenakan harga tiket sekitar RM17 terletak di Jakarta dan Bandung, sementara harga tiket Studio 21 pula sekitar RM10.

"Tetapi Studio 21 merupakan rangkaian pawagam paling banyak di Indonesia. Selepas habis tayangan di Indonesia barulah kami akan keluarkan Geng dalam format DVD," jelasnya.

Pada masa sama, beliau turut melahirkan rasa gembira kerana sebelum Geng ditayangkan di Indonesia, ia akan ditayangkan terlebih dahulu di pawagam-pawagam di Brunei pada Jun ini.

Semasa majlis itu, Burhanuddin menerima sijil daripada buku Malaysia Book of Records (MBOR) apabila dicatatkan sebagai filem animasi 3D tempatan pertama dalam buku tersebut.

Sijil pengiktirafan itu disampaikan oleh Pegawai Penyelidik MBOR, Ricky Yap sambil disaksikan oleh para pelakon dan krew yang terbabit dalam penerbitan Geng di Restoran Geng Corner, Shah Alam, Selangor.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zuhur 1:22
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.