saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 17/05/2009

Kamal istimewa - Intan Ladyana




TIBA-TIBA nama Intan dikaitkan dengan seorang pelakon baru. Kamal Adli namanya. Dan pelakon yang mula dikenali sebagai pengacara itu juga adalah pasangan Intan dalam drama Bio-Nik yang akan bersiaran mulai esok di TV3.

Sudah ada mata yang melihat kemesraan Intan dan Kamal. Malah sudah ramai yang bertanya apakah status hubungan keduanya.

Sementelah sebelum ini Intan menjalinkan hubungan dengan Kevin Zahri, seorang selebriti yang pernah dilantik menjadi penasihat pemakanan dan kecergasan untuk para pelajar Akademi Fantasia 4 (AF4).

“Dia memang istimewa.” Demikian akui Intan terhadap hubungannya dengan Kamal. Namun tegas pelakon manis yang popular menerusi drama Puteri dan Jelapang ini, buat masa ini dia lebih senang menyimpulkan hubungannya dengan Kamal sebagai teman rapat.

“Ya! Saya berkawan dengannya. Dia istimewa tetapi belum sampai melibatkan hati dan perasaan,” tegas Intan.

Masih mencari keserasian bersama dan lebih penting, kata Intan, mereka masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing.

Mula mengenali Kamal sejak akhir tahun lepas apabila bertemu di lokasi Bio-Nik, sejak itu keduanya bertambah mesra dan Intan mengakui selalu keluar dengan jejaka itu.

“Saya senang bersamanya,” kata Intan.

Biar bersikap berterus terang terhadap kehidupan peribadinya namun kata Intan, dia sebenarnya lebih gemar bercerita tentang kerjaya.

Sama seperti sewaktu dia menjalinkan hubungan cinta dengan Kevin. Jarang sekali keluar cerita mahupun gambar mereka berdua bersama kecuali sesekali apabila keduanya muncul di majlis atau fotografi khususnya untuk keluaran Hari Raya.

“Saya dan Kamal memang rapat dan saya senang bersamanya kerana kami ini satu kepala. Selalu lepak bersama kalau ada masa terluang,” kata Intan mengenai hubungannya dengan Kamal.

* Putus kasih

Jadi apa status sebenar hubungan Intan dengan Kevin sekarang?

“Kami dah berpisah. Dalam tahun ini juga. Tapi sebenarnya hubungan kami sudah mulai renggang sejak awal tahun lepas,” ujar Intan tanpa berselindung.

Tiga tahun menjalin cinta namun kata orang, siapalah kita untuk mengetahui pengakhirannya kecuali yang di atas sana.

Bukan tidak sedih namun ia tidak pula menyebabkan pelakon berdarah kacukan Melayu-Thailand ini merasa terlalu kecewa.

Bukan tidak sayangkan hubungannya dengan Kevin namun akui Intan, adalah lebih baik mengundur diri memandangkan dia tidak mampu memberikan komitmen terhadap hubungan tersebut.

Ada sebab musabab lain yang menyebabkan terlerainya kasih antara keduanya yang tidak mampu diungkapkan untuk tatapan umum.

Namun akui Intan, soal masa menjadi antara faktor yang selalu menjadi topik pertengkaran berikutan kesibukannya di lokasi penggambaran.

“Benda-benda yang kecil akhirnya menjadi besar. Saya pula hari-hari sibuk dengan penggambaran, adakalanya lokasi hingga ke luar kota.

“Itu sebahagian isunya. Salah sendiri juga kerana selalu tidak ada masa dan dia tidak boleh menerimanya,” ujar Intan.

Dan selepas kembali solo, kata Intan, andai hati sudah terpaut dengan jejaka lain, dia seboleh-bolehnya tidak mahu melakukan kesilapan yang sama.

“Selepas ini kalau saya jatuh cinta lagi, saya mahu pastikan meluangkan lebih banyak masa bersama buah hati,” katanya sambil ketawa kecil.

l Penuhi kriteria

Biar pernah kecewa dalam percintaan namun tegas Intan, ia bukanlah alasan untuk dirinya menutup pintu hati kepada mana-mana lelaki.

Namun dalam masa yang sama, dia juga memberitahu, tidak tergesa-gesa untuk mencari pengganti.

Tidak menetapkan sebarang ciri khusus untuk memilih jejaka idaman malah bagi Intan, kriteria fizikal bukanlah segala-galanya untuk mencairkan hati perempuannya.

Ini kerana bagi Intan, dia mencari lelaki yang bukan sahaja mempunyai tahap kepercayaan kepada pasangan yang tinggi malah harus memahami diri dan kerjayanya.

Dan Intan mengakui Kamal yang rapat dengannya kini mempunyai kriteria pilihan hatinya.

Ini kerana jejaka yang pernah dianugerahkan gelaran Lelaki Maskulin 2008 ini amat memahami perjalanan kerjaya seni Intan.

“Mungkin kerana kami di bidang yang sama membuatkan dia lebih memahami kerja saya dan kesibukan yang perlu saya harungi.

“Selain itu saya tidak nafikan Kamal juga seorang lelaki yang baik.

“Tapi saya tidak berani cakap lebih-lebih tentang hubungan ini kerana kami berdua baru sahaja berkawan,” jelas Intan lagi.

Tambah Intan, dia juga malas hendak bercerita tentang hati dan perasaan buat masa ini kerana lebih senang menumpukan perhatian dalam soal kerjaya.

Apalagi ketika ini rezekinya dalam bidang lakonan mencurah-curah malah sejak tahun lepas, kata Intan, memang masanya lebih banyak di lokasi berbanding di rumah.

Selain sibuk di lokasi penggambaran drama 60 episod, Sutera Maya, Intan memberitahu, untuk menjayakan drama Bio-Nik sahaja mengambil masa selama empat bulan.

Ini kerana drama yang memulakan penggambaran pada November lalu terbitan KRU Studios itu turut menggunakan banyak teknik CGI (imej janaan komputer).

“Mungkin ia juga antara sebab yang merapatkan saya dengan Kamal. Memang kami selalu keluar bersama pelakon lain dalam Bio-Nik seperti Fizo Omar dan Amanda Misbun,” jelas Intan lagi.

Menarik tentang Intan Ladyana
l Lahir dengan nama Intan Nurladyana Mohamat Yahaya pada 2 Jun 1982

* Jika mempunyai masa terluang suka menonton wayang bersama teman baiknya, Nora Danish dan Tam.

* Hobi Intan bermain futsal dan selalunya dengan pelakon Rozita Che Wan dan adiknya, Ayu Raudhah.

* Telah berlakon selama tiga tahun dan antara drama popularnya adalah Sutera Maya, Puteri dan Jelapang.

* Memulakan aktiviti lakonan dalam filem Tipah Tertipu tanpa dirancang apabila agensi modelling yang disertainya memintanya menghadiri uji bakat.

* Intan mengikuti pengajian dalam bidang undang-undang di sebuah universiti tempatan tetapi tidak menamatkannya biarpun hanya tinggal setahun lagi.

* Sepatutnya menyambung pengajian di United Kingdom tetapi melupakan hasrat itu apabila ditawarkan ke Budapest, Hungary untuk menjadi hos program Hello Minda yang ditayangkan di TV1.

* Program Hello Minda dipancarkan secara langsung dari Budapest selama satu jam dan menurut Intan, bukan sahaja kerjanya mudah, bayaran pula dibayar menggunakan mata wang Amerika.

* Dia menetap di Budapest selama enam bulan sebelum dipanggil pulang untuk mempromosikan filem lakonan sulungnya, Tipah Tertipu.

* Minat berlakon sejak kecil dan berharap dapat menang anugerah satu hari nanti.

Drama/Filem yang sedang dan akan ditayangkan

* Drama Suria Kasandra sedang ditayangkan memenuhi slot Samarinda pada setiap Selasa, Rabu dan Khamis pukul 10.30 malam.

* Astro Ria juga sedang menayangkan telemovie lakonannya berjudul Puaka Topeng Putih.

* Bakal muncul dalam telemovie Hang Tuah di Astro Ria, lakonannya bersama Aaron Aziz.

* Sedang menanti tayangan filem Remp-It V3 dan penampilan istimewa dalam filem Jangan Pandang Belakang Congkak.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.