saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 16/06/2009

Seri puisi belum hilang


TAMPIL kali kedua selepas sedekad tidak beraksi di Malam Puisi Utusan, Siti Nurhaliza mencuri perhatian ramai sewaktu menyampaikan sajak berjudul Lelaki Yang Patah Sayap Kirinya dan lagu Penantian yang didekasikan buat pencipta dan penyanyi asal lagu itu, Allahyarham Zubir Ali.


ARUS modenisasi hari ini kadang-kala membuatkan penghuninya alpa bahawa seni itu sebenarnya satu perkara yang subjektif dan ia tidak pernah terhad pada satu-satu medium sahaja.

Pada pandangan mata kasar kita, seni itu mungkin hanya merangkumi lagu, filem, drama atau apa sahaja yang dilihat yang sering dihidangkan kepada saban hari.

Tidak dinafikan, ada juga sesetengah anak muda yang hari ini barangkali tidak mengetahui bahawa puisi juga merupakan salah satu cabang seni.

Mungkin mereka menganggap puisi tidak setaraf dengan pemikiran mereka yang moden dan hanya layak untuk dinikmati oleh mereka yang berumur sahaja.

Kalau ada yang beranggapan begitu, ia ternyata silap dan pandangan skeptikal itu seharusnya diubah kerana puisi merupakan medium seni yang begitu indah dan puitis seandainya dihalusi serta diselami sebaiknya.

Puisi hakikatnya merupakan warisan bangsa turun-temurun dari nenek moyang kita yang sewajarnya diangkat dan terus dipelihara agar ia tidak akan lenyap di muka bumi ini.

Untuk terus memelihara pusaka bangsa ini, ia memerlukan sokongan dan bantuan semua pihak untuk mengkomersialkan puisi ini agar ia mampu menarik perhatian golongan muda untuk menikmatinya.

Kumpulan Utusan merupakan badan yang sememangnya begitu prihatin serta tidak pernah lelah untuk mengangkat dan meluaskan pengaruh puisi sejak menganjurkan Malam Puisi Utusan (MPU) 12 tahun lalu.

MPU sememangnya unik dan ia berdiri di dalam kelasnya yang tersendiri apabila berupaya untuk menghimpunkan penyair tersohor serta muka baru dalam bidang puisi selain penglibatan tokoh korporat dan artis popular tanah air.

Lantas, ia menjadi begitu signifikan sekali untuk organisasi media itu meneruskan kegemilangan dalam usaha mengangkat karya kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan.

Bertempat di Laman Beringin, Istana Budaya, Kuala Lumpur malam Jumaat lalu, membuka satu lagi lembaran baru dalam penganjuran MPU kali ke-12.

Masakan tidak, usaha murni Kumpulan Utusan untuk mengekalkan kegemilangan puisi di negara ini mendapat respons serta kerjasama yang cukup baik daripada badan korporat.

Penganjuran MPU tahun ini dengan himpunan nama-nama besar yang melibatkan diri untuk berpuisi dan menterjemahkan emosi mereka menerusi karya yang disampaikan, sememangnya MPU telah berjaya meneruskan kecemerlangan yang dikecapi selama 12 tahun dianjurkan.

Pelbagai emosi dan perasaan kedengaran menerusi persembahan yang berjaya membuat penonton terpaku dan terhibur dengan alunan lagu dan puisi indah oleh 10 penyair baru dan lama serta mereka yang lain.

Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said seperti lazimnya memukau khalayak seni dengan puisi nukilannya berjudul Pemimpin Catakserukin dan Abjad Bertaring.

Ternyata, lontaran vokal penggiat sastera veteran itu ketika mendeklamasikan sajak berkenaan membuat suasana sunyi sepi seketika.

Sebaik sahaja beliau membacakan bait terakhir, dia dihadiahkan dengan tepukan paling gemuruh oleh mereka yang terpesona dengan puisinya.

Begitu juga dengan pelakon hebat yang juga aktivis teater terkenal, Khalid Salleh yang mempamerkan persembahan yang penuh bertenaga dan lantang saat dia menyampaikan sajak berjudul Selesema dengan penuh perasaan sekali.

Isi kandungan puisi itu ternyata mempunyai maksud yang mendalam dan membawa penonton untuk berfikir tentang perkara yang berlaku dalam kehidupan kita hari ini.

Profesor Datuk Hashim Yaacob juga tidak kurang hebatnya apabila memilih untuk mendeklamasikan sajak berjudul Negara Kita Kita Jaga yang cukup jelas menceritakan tentang semangat penyair terhadap negara.

Selain itu, nama-nama yang sinonim dengan dunia puisi tempatan seperti Pyanhabib, Profesor Rahman Shaari, Shukri Abdullah, Marsli N.O, Marjam S., Halim Yazid dan Zaen Kasturi turut menyampaikan puisi masing-masing.

Apa yang membuatkan MPU begitu istimewa apabila isteri kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal iaitu Datin Seri Shuryani Shuaib turut menyampaikan puisi nukilannya sendiri iaitu Dirimu Diriku yang mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Pengalaman baru

Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali juga tidak ketinggalan mendeklamasikan dua buah puisi yang berjudul Jika Kita Menjadi Kayu dan Hikmah Bencana karya Abdul Rahim Idris.

Penglibatan artis ternama tanah air dalam MPU turut mendapat perhatian pengunjung dan setidak-tidaknya peminat yang selama ini menyaksikan mereka menyanyi di atas pentas dapat melihat sisi baru penyanyi kesayangan mereka mendeklamasikan puisi.

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza sememangnya menarik perhatian ramai saat tampil menyampaikan puisi berjudul Lelaki Yang Patah Sayap Kirinya karya Rozais Al-Anami dengan penuh perasaan sekali.

Diiringi oleh dua anggota kumpulan Coda, Akir dan Freddy yang juga artis naungan Siti Nurhaliza Productions, Siti turut menyumbangkan suara merdunya menerusi lagu puisi, Penantian yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Harmoni.

Penantian sememangnya sebuah lagu yang begitu signifikan sekali dalam perkembangan lagu-lagu puisi di negara ini.

Apatah lagi, pencipta dan penyanyi lagu berkenaan Allahyarham Zubir Ali merupakan antara seniman yang tidak pernah lelah memperjuangkan lagu-lagu puisi sehingga ke akhir hayatnya.

Lantaran itu, peluang beraksi di MPU diambil Siti untuk memberikan penghormatan kepada anak seni tiada tandingan itu menerusi lagu Penantian.

Selain itu, kemunculan kumpulan Kopratasa yang sememangnya cukup sinonim dengan dunia seni turut mencuri perhatian dengan lagu puisi popular mereka, Permata Untuk Isteriku.

Personaliti Astro Awani yang juga pengacara Gala TV, Syazwan Zakariah juga tidak kurang hebatnya sewaktu menyampaikan puisi Ke Makam Bonda karya Datuk Dr. Usman Awang biarpun kali pertama menyertai acara keramat seperti MPU.

Tampil segak dengan berbaju Melayu lengkap bersamping, Syazwan berjaya membangkitkan rasa dan emosi menerusi sajak penuh puitis itu.

Juara Akademi Fantasia musim kelima dan ketujuh, Mila dan Hafiz juga berjaya menterjemahkan maksud yang tersirat menerusi puisi Sesetia Malam Pada Siang serta Pak Utih.

Malah, mereka juga sempat menghiburkan penonton dengan lagu hits masing-masing iaitu Ilham Di Matamu dan Masih Jelas.

Angkasawan Negara, Mejar Dr. Faiz Khaleed yang tampil dengan pakaian serba putih turut sudi meluangkan masanya untuk melibatkan diri dengan MPU apabila mendeklamasikan puisi berjudul Teja, Ku Tulis Sejarahmu nukilan Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain.

Kumpulan terkenal, Hujan juga tidak ketinggalan menghibur peminat seni dan pengunjung menerusi puisi Surat Rindu Kepada Kekasih selain daripada mendendangkan lagu popular mereka, Bila Aku Sudah Tiada.

MPU yang berlangsung minggu lalu hakikatnya berjaya memberi satu pengalaman baru kepada semua yang terlibat terutama sekali bagi mereka yang pertama kali melibatkan diri dalam acara seumpama ini.

Bukan sekadar untuk berhibur tetapi matlamat MPU adalah lebih daripada itu iaitu untuk meletakkan karya puisi di kedudukan yang selayaknya.

Majlis yang berlangsung selama dua jam setengah itu turut dimeriahkan dengan telatah pelawak tanah air, Sabri Yunus dan Nik Sayyidah atau lebih dikenali Mek Salam Pantai Timur sebagai pengacara majlis.

Kecemerlangan MPU sejak 11 tahun lalu ternyata berjaya menyakinkan ExxonMobil sebagai penaja utama selain daripada Astro dan Istana Budaya selaku penyiar rasmi dan penaja lokasi.

MPU merupakan salah satu agenda dalam kalendar Minggu Sastera Kumpulan Utusan 2009 yang turut menganjurkan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) dan Wacana Sastera.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:18
Maghrib 7:00
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.