saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 21/06/2010

Suka duka Shara Eqkhnor


KASIH seorang anak. Putri Qistina Balqish memujuk ibunya, Shara Eqkhnor yang sedih apabila bercerita mengenai ayahnya.


OLEH kerana namanya begitu unik menyebabkan Shara Eqkhnor dengan pantas dikenali ramai.

Popularitinya tambah berganda apabila dia dengan bijak menarik perhatian masyarakat menerusi imejnya yang tersendiri iaitu imej Tina Tuner.

Shara Eqkhnor pernah digelar sebagai Tina Tuner Malaysia hampir dua dekad lalu.

Sebetulnya, artis yang kini memanjat usia 47 tahun dilahirkan dengan nama Shara Nor Azar Othman.

Dek kerana tuntutan pentas komersial, namanya menjadi Shara Eqkhnor.

Biar apa nama sekalipun, suatu hal yang pasti, sejak dari awal perkenalan penulis dengan penyanyi ini, tidak banyak yang berubah padanya.

Walaupun sudah 18 tahun, penulis dan Shara tidak bersua, dia masih mesra seperti dulu. Kalau berubah sekalipun sosok tubuhnya yang sedikit berisi.

Bagi ibu tunggal beranak lima ini, iklim kehidupan yang dilaluinya selama ini penuh dengan pelbagai musim.

Ada masa dia melalui musim-musim yang indah, namun ada ketika pula dia diuji dengan pelbagai dugaan.

Paling meninggalkan bekas di hati Shara tentu sekali keruntuhan perkahwinan yang dibina selama 17 tahun dengan penyanyi Zamree yang pernah popular dengan lagu Tugu Cinta.

Sebagai manusia, baik Shara dan Zamree, masing-masing tidak mampu menolak ketentutan takdir apabila mahligai itu musnah.

Namun, apa yang membuatkan dia ralat dan sangat sedih ialah kemusnahan itu berlaku kerana kesusahan hidup mereka sekeluarga.

"Siapa yang tidak sayangkan rumah tangga yang dibina atas dasar cinta, sebagai isteri saya cuba sedaya upaya untuk menyelamatkannya tetapi saya tidak mampu.

"Pelbagai usaha yang saya lakukan untuk memelihara mahligai bahagia kami tetapi sudah ditakdirkan jodoh kami hanya setakat itu dan akhirnya kami bercerai pada tahun 2009," cerita Shara sambil memandang sayu anak bongsunya, Putri Qistina Bilqish, 10, yang menemaninya pada pertemuan di Ampang, Selangor baru-baru ini.

Menurut Shara, sebagai wanita, dia meletakkan kebahagiaan rumah tangga di senarai teratas dalam keutamaan hidupnya.

Kerana itu, dia tekad meninggalkan dunia seni setelah berkahwin kerana enggan pisang berbuah dua kali.

Sebelum berkahwin dengan Zamree, Shara pernah berkahwin namun rumah tangganya runtuh setelah dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia 24 tahun iaitu Wan Eqbal.

Perkahwinannya dengan Zamree yang berakhir dengan perceraian tahun lalu selain Putri Qistina Balqish, mereka juga dikurniakan Putri Balqish, 17, Al-Raqfel Adam, 16 dan Al-Rafiqi Adam, 15.

Menurut Shara, setelah dia dan Zamree berkahwin, mereka sepakat meninggalkan dunia seni dan mengusahakan gerai makan turun temurun milik keluarganya yang terletak di Pulapol, Jalan Gurney, Kuala Lumpur.

Selain menyediakan sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam, gerai yang terletak berhampiran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu juga menyediakan perkhidmatan fotostat untuk penuntut universiti itu.

Shara bukan setakat menjadi tauke di gerai itu, malah dia juga kadangkala bertindak sebagai tukang masak apabila chef yang digajikannya bercuti.

"Jika jadi penyanyi kita mesti mempunyai suara yang lunak didengar, untuk menjadi tauke kedai makan kita mesti pandai memasak.

"Alhamdulillah kerana sejak kecil saya sudah didedahkan oleh emak dengan pelbagai masakan, apabila mengendalikan gerai itu saya boleh memasak untuk pelanggan.

"Itulah sebab utama gerai yang diusahakan sejak 30 tahun itu sentiasa menjadi tumpuan para pelanggan menjamu selera dengan pendapatan RM1,500 sehari," cerita Shara mengimbau kejayaannya dan Zamree ketika mengendalikan gerai makan itu.

Bisnes musnah

Tahun demi tahun, pendapatan yang lumayan hasil usaha daripada meniaga bukan sahaja membuatkan mereka mampu menyara keluarga malah mampu membeli harta.

Hasil daripada perniagaan itu, pasangan suami isteri itu mampu membeli sebuah kondominium, kereta, motosikal berkuasa tinggi selain menikmati kehidupan mewah.

Meskipun, sebilangan besar daripada masa dihabiskan di gerai, baik Shara mahupun Zamree tidak pernah malu atau menyesal membuat keputusan meninggalkan dunia seni kerana pendapatannya memang lumayan.

Namun, panas yang disangka berpanjangan mengundang hujan di tengah hari.

Akibat hasad dengki segelintir pihak yang kurang senang dengan perniagaan mereka menyebabkan gerai yang diwarisi oleh keluarga sejak 34 tahun itu dirobohkan.

"Apabila gerai kami dirobohkan, terkuburlah semua punca pendapatan dan rezeki kami sekeluarga. Kami hilang punca untuk hidup seperti dulu," cerita Shara penuh sedih.

Sejak gerai itu dirobohkan, pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan tapak lain namun semuanya gagal.

Bayangkan selama 11 tahun Shara dan Zamree berniaga dan hidup mewah dengan cara begitu, tiba-tiba rezeki ditarik oleh orang yang tidak senang melihat orang lain hidup senang.

Kerana itu, Shara tiada pilihan selain daripada kembali menyanyi sementara Zamree memilih untuk menjaga anak-anak.

Namun, pendapatan hasil menyanyi kata Shara tidak semewah berniaga apalagi ketika itu mereka sudah mempunyai empat orang anak.

Kesempitan hidup menyebabkan duit simpanan mereka semakin susut sehinggakan kondominium dan kereta terpaksa dijual.

Kesukaran hidup selama enam tahun menyebabkan mereka merana dan Zamree orang yang paling kecewa kerana dia kehilangan punca rezeki.

"Sebagai isteri saya memberi semangat kepadanya untuk berdepan dengan dugaan Allah tetapi bukan sahaja kami kehilangan punca pendapatan malah yang sedih ia menjadi punca kebahagiaan rumah tangga kami goyah," kata Shara berkongsi kemelut rumah tangganya.

Zamree kini di Perak

Menurut Shara, keretakan rumah tangga mereka sukar diselamatkan kerana keperitan hidup.

"Saya tidak pernah salahkan Zamree dengan apa yang terjadi. Dia seorang suami yang baik. Namun takdir Tuhan menentukan segala-galanya.

"Walaupun cuba menyelamatkan rumah tangga kami, namun takdir sudah menentukan jodoh kami tidak kekal dan pada 2009 kami bercerai dan membawa haluan masing-masing.

"Setelah bercerai, Zamree tinggal bersama ibunya di Perak dan saya tinggal bersama anak-anak di Kuala Lumpur," jelasnya dengan linangan air mata.

Sebagai manusia yang waras akal fikirannya, Shara tidak pernah kesal apabila rumah tangga dia dan Zamree musnah.

Cuma apa yang paling menyedihkannya ialah sejak bercerai dia dan anak-anak kehilangan seorang imam.

"Sejak berkahwin dan mempunyai anak, Zamree tidak pernah abaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga. Dia bukan sahaja mengajar anak-anak mengaji malah setiap waktu kami solat berjemaah.

"Kini saya dan anak-anak jarang solat berjemaah sejak kami 'kehilangan' imam. Itulah yang saya paling sedih, sejak itu saya rasakan hidup saya anak beranak begitu kosong dan tidak bermakna," cerita Shara sambil mengesat air matanya apabila menyentuh mengenai perpisahan dengan suaminya itu.

Menurut Shara, walaupun selepas bercerai hatinya kosong, namun sebagai ibu tunggal dia harus bekerja mencari nafkah untuk anak-anak.

Walaupun pendapatannya sebagai penyanyi di lounge tidak lumayan namun dia tetap bersyukur kerana masih mampu memberi anak-anak makan dan pelajaran.

Apabila ditanya apakah kemungkinan dia akan berkahwin lagi atau kembali ke pangkuan bekas suaminya Zamree, sambil membelai rambut anak bongsunya, Shara berkata:

"Dalam keadaan sekarang saya tidak pernah memikirkan soal kahwin lagi. Apa yang saya fikirkan adalah mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak dan memberi mereka ilmu yang tinggi.

"Saya tidak mahu mereka menjadi anak terbiar tanpa kasih sayang dan pelajaran. Insya-Allah jika ada rezeki, saya mahu membuat single agar ia memudahkan saya mencari rezeki dipentas nyanyian," katanya lagi.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.