saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 30/11/2009

Pak Jamal yang dirindui...


PASANGAN bahagia... Jamal Muhamad di samping isteri tersayang, Sallamiah Serat.


BERUNTUNG kanak-kanak yang pernah menjadi 'Anggota Parlimen' ketika era Mini Parlimen diperkenalkan oleh kerajaan kira-kira dua dekad lalu. Beruntungnya mereka kerana berpeluang 'membahaskan' banyak perkara dan membuat keputusan 'meluluskan' pelbagai dasar di usia muda.

Sidang Mini Parlimen yang dikendalikan oleh Speaker yang tidak asing lagi, Jamal Muhamad atau Pak Jamal mendedahkan golongan itu terhadap erti demokrasi.

Sayang sekali Mini Parlimen yang sering menjadi tumpuan seluruh negara setiap kali sambutan Hari Kemerdekaan negara itu kini sekadar menjadi kenangan.

Entah di mana silapnya, idea penerbitan program kanak-kanak itu yang tercetus ilhamnya oleh isteri mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali kini tiada kesinambungannya.

Apabila Mini Parlimen 'dibubarkan', ia sekali gus membuatkan sebilangan besar daripada kita hampir terlupa dengan 'kehilangan' Speakernya, Pak Jamal.

Apa khabar agaknya Pak Jamal? Ke mana beliau membawa diri selepas bersara dari RTM pada tahun 1995? Atau benarkah Pak Jamal merajuk dan membawa diri?

Menjadi kelaziman di kalangan kita mudah benar melupakan mereka yang suatu ketika pernah hadir dalam hidup mereka.

Demikian suratan takdir Pak Jamal. Antara sedar atau tidak, nama beliau semakin hari semakin pupus dari kotak fikiran kita.

Justeru, kami jejaki tokoh televisyen yang suatu ketika dahulu pernah menjadi ikon di kalangan rakyat Malaysia, terutama kanak-kanak.

Syukur beliau dapat dijejaki. Sayang sekali, saya harus mengambil masa hampir empat bulan untuk memujuk penerbit rancangan kanak-kanak paling popular itu untuk di temubual.

Akhirnya 13 November, panggilan daripada Pak Jamal mencetuskan rasa gembira di hati saya.

Pertemuan diatur. Pak Jamal mengundang saya ke rumahnya di Dengkil, Selangor pada 22 November lalu.

Kehadiran saya bersama jurugambar dan pemandu di sebuah banglo comel yang dibina di atas sebidang tanah seluas dua ekar di kelilingi pokok buah-buahan seperti rambutan, durian dan langsat, disambut Pak Jamal dengan hati penuh berbunga.

Pak Jamal yang ada di depan mata saya hari ini bukan lagi Pak Jamal yang pernah mencuit hati saya ketika remaja dulu.

Perubahan fizikal beliau begitu ketara dan pada usia 70 tahun, Pak Jamal saya percaya akur bahawa keadaan kesihatan tidak begitu mengizinkan.

Kecintaan pada seni

Jika dahulu, beliau aktif bergerak ke sana-sini, tetapi kini Pak Jamal lebih banyak menghabiskan masa berbaring dan duduk di atas katil.

Biarpun begitu, Pak Jamal bukan lelaki yang lemah semangat. Kecintaan pada seni begitu tebal.

Bahkan, apa yang mengagumkan ialah beliau masih menjaga penampilan diri.

Pada pertemuan itu, Pak Jamal begitu 'comel' dengan persalinan baju Melayu berwarna ungu yang membaluti tubuhnya yang sudah dimamah usia itu. Suatu yang pasti, keramahan dan kemesraan Pak Jamal tidak berubah.

Disahkan mengidap penyakit ankylosing spondylitis yang menyebabkan tulangnya semakin membengkok sejak berusia 61 tahun, sedikitpun tidak menjejaskan pertemuan dan perbualan mesra selama dua jam di petang itu.

Perbualan tempoh hari juga banyak menyentuh mengenai rancangan popular terbitannya, Taman Kanak-Kanak serta Mini Parlimen.

Namun begitu, sebelum kami ralit dalam perbualan panjang itu, Pak Jamal mengungkapkan sesuatu yang membuatkan hati saya benar-benar tersentuh.

Kata Pak Jamal kepada saya: "Sebenarnya bila Muzlina telefon pakcik, pakcik benci. Bukannya apa, pakcik benci untuk ditemuramah sebab tak ada apa yang menarik untuk diceritakan.

"Tapi, bila pakcik tengok sudah empat bulan Muzlina tak jemu-jemu menelefon pakcik, hati pakcik jadi lembut," luah Pak Jamal ikhlas.

Selepas 15 minit berbual dan bertanya khabar, Pak Jamal yang mulanya bagaikan berat bercerita akhirnya membuka segala rahsia.

"Sebenarnya banyak rancangan yang pakcik terbitkan selain Taman Kanak-Kanak, pakcik juga terbitkan Pesta Pop, Pentas Aneka tetapi Taman Kanak-Kanak meninggalkan nostalgia.

"Disebabkan rancangan itulah pakcik yang ketika itu menghadiri Mesyuarat Seluruh Komanwel Orang-Orang Kerdil di Sydney, Australia berpeluang mengikuti kursus di Channel 10, Australia Broadcasting Corporation (ABC) selama sebulan pada tahun 1977.

"Salah seorang penerbit di sana kagum dengan rancangan yang pakcik terbitkan," cerita Pak Jamal penuh mesra. Rancangan Taman Kanak-Kanak yang dikendalikan Pak Jamal cukup popular sejak tahun 1961 hingga 1995.

Kerana rancangan itu begitu mesra dengan kanak-kanak menyebabkan Pak Jamal pantang ditemui oleh golongan itu.

Andai Pak Jamal bersua dengan kanak-kanak, dia tidak akan 'dilepaskan' begitu sahaja.

Sebaliknya, Pak Jamal perlu melayani pelbagai pertanyaan dan telatah kanak-kanak.

Demikian sekali pengaruh Pak Jamal gara-gara rancangan setengah jam Taman Kanak-Kanak yang disiarkan di Rangkaian Nasional setiap Sabtu pukul 11.30 pagi.

Setelah bersiaran selama 44 tahun, rancangan itu terus dihentikan khususnya selepas Pak Jamal bersara dari RTM pada tahun 1995.

Perjalanan karier seni Pak Jamal penuh warna-warni dan kemuncak kejayaan profesion beliau di lapangan televisyen tentunya terhadap program Mini Parlimen.

Permulaan kepada penerbitan Mini Parlimen berlaku pada tahun 1983 apabila Tan Sri Sanusi Junid yang ketika itu Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hari Merdeka menghubungi beliau dan menyatakan idea penubuhan Mini Parlimen sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-26.

Sebetulnya kata Pak Jamal, idea Mini Parlimen tercetus daripada Dr. Siti Hasmah yang baru pulang dari luar negara. Sebaik menerima tugasan itu, tiada apa lagi yang mampu difikirkan selain daripada terkejut kerana harus mengemudi projek Kerajaan Pusat bernilai RM100,000 itu.

"Bermula bulan Februari pakcik merancang dan mengatur strategi selama tiga bulan dan mengambil masa hanya 14 hari untuk melatih kanak-kanak dengan bilangannya mesti sama banyak dengan Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri iaitu 180 orang.

"Bukan senang nak melatih budak-budak, namun pakcik bersyukur kerana semuanya berjalan lancar dan kami berbangga dapat menyertai perbarisan Hari Merdeka di Dataran Merdeka selama 10 tahun bermula 1983," kata Pak Jamal bercerita kenangan manis yang abadi di kotak fikirannya.

Bagaimanapun, dalam keseronokan itu, ada pula permintaan daripada penonton khususnya warga emas yang mahu menempatkan cucu mereka di barisan hadapan ketika perarakan di Dataran Merdeka.

"Sebagai penerbit dan Speaker Mini Parlimen Pakcik ada pendirian. Kalau semua datuk yang menghubungi saya mahu cucu mereka berada di barisan hadapan, siapa pula yang akan berada di barisan belakang," katanya sambil tersenyum penuh makna.

mencetuskan idea

Mini Parlimen era Pak Jamal bagaimanapun, hanya bersidang setiap kali negara menyambut Hari Kebangsaan dan lazimnya ia diadakan di Dewan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Angkasapuri.

Sidang pertama Mini Parlimen dirasmikan oleh Dr. Siti Hasmah iaitu individu yang mencetuskan idea penubuhan sidang kanak-kanak itu.

"Setiap kali bersidang, Pakcik ambil masa seminggu untuk siapkan skrip. Selalunya anak-anak pakcik yang jadi mangsa untuk mendebatkan sesuatu isu," cerita Pak Jamal sambil memandang isteri tersayang, Sallamiah Serat, 64.

Sementara program Taman Kanak-Kanak bukan setakat disiarkan di Rangkaian Nasional malah disiarkan serentak di Rangkaian Biru (bahasa Inggeris), Rangkaian Merah (Tamil) dan Rangkaian Hijau (Mandarin).

Bagaimanapun pada tahun 1985, Taman Kanak-Kanak mula menemui penonton di televisyen.

Selain kerjaya di RTM yang penuh pelbagai cerita manis, kehidupan Pak Jamal juga banyak keistimewaannya yang mungkin tidak diketahui ramai.

Sebelum bertugas dengan RTM pada tahun 1960, Pak Jamal pernah menjalani uji bakat di Singapura pada tahun 1957 dengan bantuan Allahyarham Nordin Ahmad untuk mendapatkan peluang berlakon filem terbitan Cathay Keris arahan K.M. Basker, Mercedez.

Beliau juga pernah berlakon filem Sabaruddin Tukang Kasut dan Jambatan Maut.

Selain berlakon, Pak Jamal juga berbakat dalam bidang nyanyian dan bersama Datuk Ahmad Jais dan Idrus Daud pernah menyertai pertandingan menyanyi dan mendapat tempat ketiga dengan menyanyikan lagu Gunung Banang.

Kini Pak Jamal, orang jati Kampung Baru dan dilahirkan di Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur lebih banyak menghabiskan masanya di katil kerana tidak boleh bergerak secara bebas.

"Sebelum ini Pakcik boleh bergerak dengan menggunakan kerusi roda tetapi sekarang tidak. Sebulan sekali makcik memandu bawa pakcik ke hospital di Johor Baharu berjumpa doktor pakar buah pinggang, Dr. Roslan Arshad," kata Pak Jamal.

Di samping itu, Pak Jamal yang pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara pada tahun 1997 juga akan menjalani rawatan lanjutan di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Putrajaya untuk penyakit tulang belakangnya.

"Walaupun sekarang pakcik tak boleh bergerak bebas, tapi pakcik bersyukur sangat-sangat kerana ketika menjalani rawatan pakcik pernah berjumpa dengan kanak-kanak yang menyertai Taman Kanak-Kanak.

"Pakcik bangga ada yang jadi doktor, peguam dan macam-macam. Pakcik cukup bangga apabila terserempak mereka memperkenalkan diri. Cuma yang buat pakcik terkejut pada Hari Raya baru-baru ini ketika ke masjid ramai sangat yang bersalam dengan Pakcik.

"Pakcik pun hairan ada yang minta maaf dan macam-macam soalan. Rupa-rupanya baru-baru ini mereka terdengar khabar pakcik dah meninggal. Alhamdulillah pakcik masih di sini dan pakcik yakin segala yang berlaku ditentukan oleh Allah," cerita Pak Jamal lagi.

Kebahagiaan hidup beliau turut ditambah dengan kehadiran tiga orang anak, Shahila, 42, Mohd. Shahan, 40, dan Muhamad Eskandar, 25, serta lapan orang cucu hasil daripada perkahwinan dengan Sallamiah isteri yang sangat dikasihinya itu.

Oh ya, sebelum perbualan berakhir, Pak Jamal ada menyentuh mengenai rancangan Taman Kanak-Kanak serta Mini Parlimen.

Katanya, harapannya hanya satu iaitu beliau mahu rancangan-rancangan berkenaan diterbitkan semula.

"Dalam keadaan pakcik sekarang, pakcik serahkan segala-galanya kepada Allah. Jika ada yang mahu Pakcik terbitkan terutama pihak Utusan atau Astro, insya-Allah Pakcik akan lakukan dan bantu mana yang patut," katanya menoktahkan perbualan tempoh hari.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.