saya nak baca ..

THE 2005 BUDGET SPEECH BY YAB DATO SERI ABDULLAH BIN HJ
UCAPAN BAJET TAHUN 2005

(Oleh YAB DATUK SERI ABDULLAH BIN HJ. AHMAD BADAWI
PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN 
KETIKA MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN (2005)
DI DEWAN RAKYAT PADA 10 SEPTEMBER, 2004)

"MENJAMIN KESINAMBUNGAN KEJAYAAN"

Tuan Yang DiPertua,

Saya mohon mencadangkan supaya suatu Rang Undang-undang bertajuk Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2005 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu dibaca bagi kali yang kedua.

PENDAHULUAN

Bismillahi Rahmanir Rahim. 

Syukur kehadrat Allah Subhanahu wa Taala kerana dengan izinNya, saya dapat membentangkan Bajet Negara bagi tahun 2005 di Dewan yang mulia ini. Bajet 2005 adalah yang pertama bagi saya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Saya merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir bin Mohamad di atas kejayaan beliau menerajui usaha pembangunan negara. Adalah menjadi matlamat saya untuk menjamin kesinambungan kejayaan yang telah dicapai.

Tahun 2005 merupakan tahun peralihan, menutup tirai Rancangan Malaysia Kelapan dan menyediakan asas untuk Rancangan Malaysia Kesembilan. Pertumbuhan ekonomi negara semakin kukuh. Sewajarnya kita bersedia untuk mencipta kejayaan lebih gemilang. Kerajaan akan memenuhi semua janji yang terkandung dalam Manifesto Barisan Nasional. 

Agenda pembangunan diteruskan dengan dasar pro-pertumbuhan. Kerajaan akan menyediakan persekitaran yang membolehkan seluruh rakyat meraih peluang dalam pelbagai aktiviti ekonomi. Saya bertekad supaya setiap rakyat dapat menikmati kehidupan yang sejahtera dalam suasana harmoni, tanpa mengira kaum, pegangan agama dan taraf sosial. Inilah hasrat, inilah matlamat, inilah cita-cita, inilah ikrar saya. 

EKONOMI NEGARA TERUS KUKUH KERAJAAN DAN SWASTA BERSATU TEGUH 

Tuan Yang DiPertua,

Ekonomi dunia bertambah pulih - bertambah kukuh. Pertumbuhan ekonomi dunia dianggarkan 4.6 peratus, dengan dagangan meningkat 6.8 peratus pada tahun 2004. Perkembangan memberangsangkan ini didorong oleh kecergasan ekonomi negara maju serta prestasi tinggi ekonomi China dan India. 

Persekitaran luar yang menggalakkan ini adalah antara faktor yang telah melonjakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 7.6 peratus pada suku pertama 2004 dan 8 peratus pada suku kedua. Pertumbuhan tersebut ini merupakan antara yang tertinggi di rantau ini. Momentum cergas ini dijangka berterusan bagi seluruh tahun 2004. Pertumbuhan dianggar pada 7 peratus tahun ini, lebih tinggi dari sasaran asal. 

Pelaburan swasta telah pertumbuhan ekonomi kembali tangkas dengan pertumbuhan sebanyak 14.8 peratus dalam tahun 2004 berbanding dengan pertumbuhan negatif sebanyak 19.9 peratus pada tahun 2001. Eksport juga berkembang pesat didorong terutamanya oleh permintaan global barangan elektrik dan elektronik, kimia dan produk kimia serta optik dan peralatan saintifik. Penggunaan swasta turut cergas berkembang pada kadar 9.3 peratus. Ini membuktikan sektor swasta mampu menjadi pemacu utama menjana pertumbuhan ekonomi. Sumber pembiayaan tidak menjadi masalah memandangkan tabungan negara terus tinggi, iaitu sebanyak 34.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). 

Pada keseluruhannya, pertumbuhan ekonomi domestik adalah berasas-luas, diterajui sektor pembuatan 10.5 peratus, perkhidmatan 6 peratus, perlombongan 5 peratus dan pertanian 2.8 peratus. Sistem perbankan juga menunjukkan prestasi tinggi dengan pengeluaran pinjaman meningkat sebanyak 12.4 peratus kepada 276 bilion ringgit pada tujuh bulan pertama 2004. Kadar pinjaman tidak berbayar telah berkurangan daripada 6.7 peratus pada Julai 2003 kepada 6.2 peratus pada Julai 2004, mencerminkan kejayaan penstrukturan semula sektor kewangan dan korporat. 

Kita amat bersyukur atas kejayaan negara yang terus mencatatkan lebihan jumlah dagangan luar sejak November 1997 selama 81 bulan berturut-turut. Selaras dengan perkembangan ini, paras rizab antarabangsa negara mencapai 207.2 bilion ringgit atau 54.5 bilion dolar Amerika pada 30 Ogos 2004, mampu membiayai 7.2 bulan import tertangguh. Ini merupakan paras tertinggi yang pernah dicapai. Akaun semasa imbangan pembayaran terus mantap dengan lebihan 14.1 peratus dari Keluaran Negara Kasar. Negara terus menikmati gunatenaga penuh dengan kadar inflasi yang rendah. Kadar pengangguran adalah pada tahap 3.5 peratus. Sementara, Indeks Harga Pengguna meningkat hanya pada kadar satu peratus pada separuh pertama tahun 2004. 

Tuan Yang DiPertua,

Kesinambungan kejayaan memerlukan transformasi pendekatan dan proses serta pelaksanaan dasar yang strategik. Sistem kerja dan perundangan lapuk akan diperbaharui, budaya positif meningkatkan daya saing mesti diamalkan agar Malaysia seiring dengan negara maju.

Kerajaan sedar akan cabaran yang bakal dihadapi. Perkembangan dan pergolakan persekitaran luar akan menguji keupayaan negara untuk terus mencipta kejayaan. Membangunkan sumber manusia, produktiviti, keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan sumber pertumbuhan baru sangat penting. Mengembalikan sektor swasta yang dinamik menjadi cabaran utama mengekal daya tahan. Langkah mengurangkan defisit fiskal, tanpa menjejaskan pertumbuhan, akan mengukuhkan lagi asas ekonomi supaya mampu berdepan dengan sebarang kejutan. 

STRATEGI BAJET 2005

Tuan Yang DiPertua,

Bajet 2005 menumpukan kepada empat strategi berikut: 

Pertama : Meningkatkan keberkesanan pengurusan kewangan Kerajaan, kecekapan sistem penyampaian dan daya saing.
Kedua : Mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi berasaskan nilai ditambah yang tinggi. 
Ketiga : Membangunkan sumber manusia atau human capital sebagai pemangkin pertumbuhan.
Keempat : Memastikan kesejahteraan rakyat melalui peningkatan kualiti kehidupan.

PERUNTUKAN BAJET 2005

Tuan Yang DiPertua,

Bagi melaksanakan strategi di atas, Kerajaan mencadangkan sejumlah 117.4 bilion ringgit diperuntukkan bagi Bajet 2005. Dengan mengambil kira anggaran hasil sebanyak 99 bilion ringgit, defisit akaun keseluruhan Kerajaan Persekutuan dijangka berkurangan kepada 3.8 peratus daripada KDNK. Sebanyak 89.1 bilion ringgit atau 75.9 peratus adalah untuk Perbelanjaan Mengurus dan 28.3 bilion ringgit untuk Perbelanjaan Pembangunan. 

Di bawah Perbelanjaan Mengurus, sebanyak 22.2 bilion ringgit adalah untuk Emolumen, 18.8 bilion ringgit untuk Bekalan dan Perkhidmatan, 46.3 bilion ringgit untuk Kenaan Bayaran Tetap dan Pemberian, 1.4 bilion ringgit untuk pembelian kelengkapan dan kemudahan pejabat serta 400 juta ringgit untuk perbelanjaan-perbelanjaan lain.

Peruntukan pembangunan terbesar sebanyak 49.1 peratus atau 13.9 bilion ringgit disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, pertanian dan perindustrian. Sebanyak 7.6 bilion ringgit atau 26.9 peratus diperuntukkan bagi sektor sosial termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan dan perumahan. Seterusnya sektor keselamatan mendapat 3 bilion ringgit atau 10.6 peratus dan sektor pentadbiran am 3.8 bilion ringgit atau 13.4 peratus. 

STRATEGI PERTAMA: MENINGKATKAN KEBERKESANAN PENGURUSAN KEWANGAN KERAJAAN, KECEKAPAN SISTEM PENYAMPAIAN DAN DAYA SAING

Tuan Yang DiPertua,

Pengurusan sumber kewangan yang berhemah, fleksibel, cekap dan amanah merupakan prasyarat bagi menjamin kedudukan kewangan Kerajaan kekal kukuh. Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan dianggarkan terus berkurangan daripada 5.3 peratus pada tahun 2003 kepada 4.5 peratus daripada KDNK pada tahun ini dan seterusnya kepada 3.8 peratus pada tahun 2005.

Kecekapan pengurusan kewangan Kerajaan akan dipertingkatkan bagi memastikan kedudukan kewangan sentiasa mantap. Bagi tujuan ini, beberapa langkah akan diambil, terutamanya menyusun semula sistem percukaian untuk menjadi lebih efisyen, di samping memastikan pengurusan perbelanjaan dibuat berasaskan keberkesanan kos. 

Menyusun Semula Sistem Percukaian

Kerajaan berhasrat menjadikan sistem percukaian lebih efisyen, saksama, mesra perniagaan serta berupaya menjana punca hasil yang stabil. Justeru, Kerajaan akan mewujudkan Panel Kajian Semula Sistem Percukaian dengan dianggotai oleh wakil dari sektor awam dan swasta. Panel ini akan mengkaji sistem cukai pendapatan serta peruntukan yang disediakan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. Fokus kajian ini adalah untuk memastikan peruntukan percukaian yang disediakan masih lagi relevan. Peruntukan yang sedia ada akan dipinda supaya lebih jelas dan telus bagi memudahkan pentadbiran cukai.

Satu lagi aspek percukaian yang akan dikaji ialah cukai penggunaan. Pada masa ini, cukai penggunaan yang sedang dilaksanakan adalah cukai jualan dan cukai perkhidmatan. Cukai jualan dikenakan ke atas barangan ketika diimport atau di peringkat perkilangan. Cukai perkhidmatan pula dikenakan ke atas perkhidmatan tertentu termasuk profesional serta pengusaha hotel dan restoran. Kerajaan bercadang untuk memansuhkan kedua-dua cukai ini dan diganti dengan cukai penggunaan berasaskan konsep nilai ditambah yang akan dikenali sebagai Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau Goods and Services Tax (GST). GST merupakan satu sistem percukaian yang lebih komprehensif, cekap, telus dan berkesan. Ia mampu meningkatkan kadar pematuhan cukai (tax compliance) memandangkan syarikat perlu menyimpan akaun yang teratur. Langkah ini juga akan meningkatkan kutipan hasil. 

Kerajaan mencadangkan cukai baru ini dilaksanakan pada 1 Januari 2007. Apabila GST diperkenalkan, Kerajaan mempunyai ruang untuk mengurangkan kadar cukai pendapatan individu dan syarikat. Kerajaan juga akan memastikan golongan rakyat yang berpendapatan rendah tidak terbeban dengan pelaksanaan GST. Barangan dan perkhidmatan yang merupakan keperluan asas tidak akan dikenakan GST atau diberi pengecualian. Di samping itu, perniagaan kecil juga akan dikecualikan daripada cukai ini.

Kerajaan akan memberi peluang kepada semua pihak di sektor awam dan sektor swasta untuk memberi pandangan ke arah melaksanakan GST. 
Bayaran Balik Cukai Pendapatan

Kerajaan telah memperkenalkan taksiran berasaskan pendapatan tahun semasa serta Sistem Taksir Sendiri (STS) yang memerlukan pembayar cukai menentukan jumlah cukai yang kena dibayar. Semenjak STS diperkenalkan bagi syarikat pada tahun 2001, di dapati ada syarikat yang telah terlebih bayar cukai pendapatan mereka. Untuk mempercepatkan proses bayaran balik cukai pendapatan, Kerajaan mencadangkan langkah berikut: 

Pertama: Tabung Bayaran Balik Cukai akan ditubuhkan bagi tujuan bayaran balik cukai pendapatan;
Kedua: bagi syarikat yang mempunyai tanggungan cukai pendapatan bagi tahun semasa, bayaran balik cukai akan di offset dengan tanggungan cukai tersebut; dan
Ketiga: bagi syarikat yang tidak mempunyai tanggungan cukai pendapatan, bayaran balik cukai akan dibiayai daripada Tabung tersebut.

Dengan langkah ini, sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan dapat dipertingkatkan. Bayaran balik cukai pendapatan kepada mereka yang telah terlebih bayar akan dapat dibuat dalam tempoh yang singkat.

Pentadbiran Cukai Pendapatan 

Tuan Yang DiPertua,

Dalam Bajet ini, Kerajaan juga mencadangkan beberapa langkah untuk memudahkan pembayar cukai menentukan tanggungan cukainya di bawah STS, di samping meningkatkan kecekapan sistem pentadbiran cukai, iaitu: 

Pertama: asas kiraan Elaun Bangunan Industri bagi pembelian bangunan yang telah digunakan dipinda dari residual value kepada harga belian semasa; dan
Kedua: tarikh terakhir memfailkan Borang Cukai Pendapatan oleh peniaga tunggal, perkongsian, kelab dan persatuan dilanjutkan daripada 30 April kepada 30 Jun setiap tahun bagi memberi masa kepada mereka untuk menyediakan akaun serta menentukan cukai kena bayar. 

Zakat Perniagaan

Pada masa ini, syarikat yang membayar zakat ke atas pendapatan perniagaan tidak mendapat potongan cukai. Bagi mengurangkan kos pengendalian perniagaan, Kerajaan mencadangkan supaya zakat ke atas pendapatan perniagaan yang dibayar oleh syarikat dibenarkan sebagai potongan bagi tujuan pengiraan cukai pendapatan sehingga 2.5 peratus daripada pendapatan agregat.

Memantapkan Pengurusan Kewangan dan Perbelanjaan

Langkah memantapkan lagi asas kewangan negara menuntut pembaharuan tegas dalam pengurusan kewangan dan perbelanjaan. Saya akan memastikan setiap agensi dan jabatan Kerajaan memberi perhatian lebih teliti dan serius kepada laporan audit oleh Ketua Audit Negara serta bertindak pantas mengambil langkah untuk mengatasi kelemahan sejajar dengan saranan yang dibuat. Bagi tujuan ini, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan yang dipengerusikan oleh saya sendiri akan memantau perkara ini.

Memperkemas Sistem Penyampaian Perkhidmatan

Kerajaan akan terus memperkemaskan jentera pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan. Sistem dan prosedur kerja akan disusun semula, termasuk undang-undang dan garis panduan lapuk. Sebanyak 20 set statut dan peraturan telah dikenal pasti untuk dipinda sementara 104 sistem dan proses kerja di 16 Kementerian akan dikemaskini. Pakar perunding akan dilantik untuk menjalankan kajian bagi membantu Kerajaan merangka strategi re-engineering tersebut.

Di antara pendekatan yang telah diambil untuk memperkemaskan penyampaian perkhidmatan adalah Disclosure Based Regulation (DBR), iaitu peraturan berdasarkan pengisytiharan. Di bawah DBR, garis panduan yang jelas diumumkan dan kelulusan adalah secara automatik sekiranya pemohon dapat mengisytiharkan bahawa semua syarat dipenuhi. Ini meningkatkan ketelusan dan mempercepatkan proses kelulusan. DBR kini dilaksanakan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Jawatankuasa Pelaburan Asing dan akan diperluaskan kepada agensi lain. Dengan DBR, Kerajaan dapat mengalih tumpuan daripada proses kelulusan kepada penguatkuasaan. Sementara itu, perlindungan kepentingan pelabur minoriti akan terus diberi keutamaan demi meningkatkan keyakinan dalam pasaran modal.

Kerajaan telah menyusun semula jentera pentadbiran Pejabat Daerah, Pejabat Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan. Strategi Baru Urusan Pentadbiran Tanah telah dilancarkan pada bulan Mac 2004, bagi memperkemaskan proses kerja urusan tanah. Antara langkah yang telah diambil ialah memendekkan aktiviti proses kerja, menggubal norma masa pemprosesan permohonan tanah, menyegerakan proses membuat ulasan dan keputusan serta meningkatkan ketelusan urusan pentadbiran. 

Kerajaan akan memperluaskan penggunaan ICT. Untuk mempercepatkan bayaran dan menjamin ketepatan maklumat kewangan, sistem eTreasury yang merangkumi eSPKB dan ePerolehan (eP) dilaksanakan di bawah Kementerian Kewangan. Pada masa yang sama, orang ramai digalakkan berurusan dengan Kerajaan secara elektronik melalui pelbagai aplikasi yang telah dibangunkan. 

Meningkat Kecekapan Pengangkutan Awam

Kerajaan akan mengambil langkah untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam bagi mengurangkan kos perniagaan. Keutamaan akan diberi untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya di pusat bandar utama bagi mengelakkan pembaziran tenaga dan masa. Penjimatan waktu perjalanan juga membolehkan rakyat meningkatkan produktiviti di samping menikmati lebih masa bersama keluarga tersayang. 

Kesesakan trafik di Lembah Klang kian meruncing disebabkan kadar penggunaan pengangkutan awam yang semakin berkurangan. Kadar ini menurun daripada 34 peratus pada tahun 1985 kepada 16 peratus pada masa ini, terutamanya bagi penggunaan bas. Sebaliknya, kadar penggunaan kereta persendirian telah meningkat ketara daripada 47 peratus kepada 71 peratus.

Jawatankuasa Pemandu Integrasi dan Penyusunan Semula Sistem Pengangkutan Awam di Lembah Klang (INSPAK) telah merancang beberapa langkah bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan rel ringan dan bas sedia ada. Integrasi fizikal akan dilaksanakan untuk memperbaiki connectivity di terminal pengangkutan awam, di samping menggunakan sistem integrasi tiket dan tambang. Ini akan menggalakkan rakyat untuk lebih cenderong menggunakan pengangkutan awam dan seterusnya mengurangkan kesesakan trafik, terutamanya di Bandar Raya Kuala Lumpur. Kerajaan sedar betapa pentingnya peranan sistem pengangkutan awam yang komprehensif dan efisyen dalam meningkatkan akses kepada peluang pekerjaan di bandar bagi golongan berpendapatan rendah di pinggir bandar.

Tanggungjawab membina dan membiayai infrastruktur akan diletakkan di bawah Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB). Manakala pengurusan operasi kemudahan pengangkutan akan dilaksanakan oleh syarikat Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RAPID KL) yang baru sahaja ditubuhkan. SPNB dan RAPID KL merupakan syarikat milik Kerajaan yang akan diuruskan oleh pasukan profesional yang berkemahiran tinggi dalam bidang pengangkutan awam.

Jawatankuasa pemandu INSPAK akan juga menerajui usaha untuk menubuhkan Lembaga Pengangkutan Awam Lembah Klang sebagai agensi pengawal selia pengangkutan awam di Lembah Klang. 

Penyelenggaraan Infrastruktur Awam

Kerajaan akan memberi perhatian kepada penyelenggaraan infrastruktur awam dalam membangunkan budaya penyelenggaraan. Bagi memastikan aset Kerajaan terpelihara, memanjangkan tempoh hayat, mengindahkan persekitaran dan menjaga kebersihan, satu skim penyelenggaraan yang sistematik akan disediakan. Program penyelenggaraan kemudahan awam seperti hospital, sekolah dan kuarters kakitangan Kerajaan akan dilaksanakan secara outsourcing. Kontrak-kontrak ini akan diagihkan kepada pengusaha kecil peringkat daerah, terutamanya kontraktor Kelas F. Pengusaha terlibat akan digalakkan untuk menggunakan peralatan moden dengan sistem penyelenggaraan yang teratur, kemas dan bersih. Sebanyak 500 juta ringgit disediakan untuk program ini dalam tahun 2005.

Menyemarak Budaya Berprestasi Tinggi

Tuan Yang DiPertua,

Peningkatan produktiviti dan daya saing negara memerlukan tenaga kerja yang berdaya kreatif, berinovasi dan berintegriti. Kerajaan komited untuk melaksanakan langkah menerap budaya berprestasi tinggi sebagai agenda nasional. Dalam hal ini, Syarikat Berkaitan Kerajaan atau Government Linked Companies (GLC) memainkan peranan penting bagi menerajui usaha menerap budaya berprestasi tinggi berdasarkan penglibatan GLC dalam hampir semua sektor strategik seperti tenaga, telekomunikasi, kewangan dan pengangkutan.

Kerajaan telah melancarkan program Indeks Prestasi Utama atau Key Performance Indicators (KPI) dan Ganjaran Berasas Prestasi atau Performance Linked Compensation (PLC) bagi GLC. Pendekatan ini menekankan aspek kebertanggungjawaban pihak pengurusan di samping memberi insentif berasaskan pencapaian dan prestasi syarikat. Dalam hal ini, pengurusan kanan GLC akan dilantik secara kontrak, dengan pembaharuan kontrak perkhidmatan bergantung kepada pencapaian sasaran yang ditetapkan. Program KPI dan PLC tidak hanya terhad kepada aspek ganjaran pihak pengurusan. Tumpuan utama kaedah KPI adalah kepada penetapan arah strategik serta sasaran pencapaian GLC, dan kepada proses pengurusan dan pemantauan bagi meningkatkan prestasi GLC. Mulai tahun 2005, semua GLC hendaklah mengguna pakai kaedah KPI dan PLC sepenuhnya. Khazanah Nasional diberi peranan penting untuk menyelaras pelaksanaan program ini khususnya bagi syarikat tersenarai. 

Penggunaan konsep KPI akan juga dilaksanakan untuk meningkatkan prestasi pengurusan agensi awam. Mulai bulan Ogos tahun ini, pelaksanaan secara perintis telah dijalankan di enam agensi dan pejabat termasuk Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara.
Keutamaan akan diberi kepada usaha memajukan nilai etika dan tadbir urus serta memerangi gejala rasuah. Sebagai panduan untuk mempertingkatkan tahap integriti nasional, Pelan Integriti Nasional (PIN) telah dilancarkan pada bulan April 2004. PIN bukan hanya untuk sektor awam, malah perlu juga dilaksanakan oleh sektor swasta. Bagi memantau pelaksanaan, Institut Integriti Malaysia telah ditubuhkan dan peruntukan sebanyak 6 juta ringgit telah disediakan.

STRATEGI KEDUA: MEMPERCEPATKAN PERALIHAN KE ARAH EKONOMI BERASASKAN NILAI DITAMBAH YANG TINGGI

Tuan Yang DiPertua,

Melangkah ke hadapan, Kerajaan berhasrat mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi berasaskan nilai ditambah yang tinggi. Selain dari memperkukuh sumber pertumbuhan yang ada, usaha membangun produk berpotensi baru akan diberi keutamaan. Pelaburan domestik akan digalakkan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi. Pelaburan asing akan terus diberi tumpuan untuk memajukan sektor ekonomi terpilih dan strategik.

Transformasi Sektor Pertanian Ke Arah Lebih Dinamik

Malaysia telah terbukti sebagai pengeluar utama dunia yang efisyen bagi beberapa komoditi pertanian seperti kelapa sawit, getah, koko dan lada hitam. Namun, negara masih belum meneroka sepenuhnya potensi pengeluaran produk makanan memandangkan import barangan makanan mencecah 13.9 bilion ringgit pada tahun 2003. Bajet 2005 akan memberi tumpuan untuk mencorak semula sektor pertanian sebagai jentera ketiga pertumbuhan selepas sektor pembuatan dan perkhidmatan. Dasar ini mempunyai dua objektif iaitu menambah pendapatan di samping mengurangkan pergantungan kepada import, terutamanya barangan makanan. 

Menggalakkan Pertanian Secara Komersial

Halatuju kita ialah menjadikan Malaysia pengeluar global yang kompetitif bagi produk pertanian berkualiti tinggi, selamat dan memenuhi piawaian antarabangsa. Tumpuan akan diberi kepada: 

Pertama: mengamalkan kaedah pertanian terkini melalui aplikasi teknologi moden dan penemuan R&D, termasuk bioteknologi;
Kedua: menjadikan negara sebagai pusat pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran hasil pertanian ke pasaran global;
Ketiga: membangunkan sumber tenaga mahir dengan menjadikan Universiti Putra Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan pertanian; dan
Keempat: menggalakkan syarikat swasta, terutamanya GLC, untuk menjadi pemangkin dalam usaha mengkomersialkan sektor pertanian. Bagi tujuan ini, Kerajaan akan mewujudkan satu dana bernilai 300 juta ringgit sebagai bantuan modal.

Pembangunan sektor pekebun kecil akan dipesatkan melalui pemodenan serta penggunaan teknologi dan pengurusan yang lebih cekap. Hasil ladang pekebun kecil akan dipertingkatkan melalui penggunaan benih tanaman dan baka ternakan berkualiti. Perkhidmatan pengembangan akan dijadikan lebih efektif untuk meningkatkan keupayaan petani, nelayan dan penternak. Sebanyak 1.5 bilion ringgit disediakan untuk projek pertanian khususnya yang memberi manfaat kepada pekebun kecil.

Pelbagai insentif cukai telah disediakan untuk memoden dan mengkomersial sektor pertanian. Antaranya adalah potongan 100 peratus ke atas perbelanjaan modal, Taraf Perintis atau Elaun Cukai Pelaburan selama 5 tahun dan Elaun Pelaburan Semula selama 15 tahun.
Dalam Bajet 2001, Kerajaan telah memperkenalkan insentif cukai bagi menggalakkan pengeluaran bahan makanan seperti sayur-sayuran, akuakultur dan ternakan lembu dan kambing. Di bawah insentif ini, syarikat yang melabur di dalam syarikat subsidiari diberi potongan cukai bersamaan dengan jumlah pelaburan sebenar atau diberi group relief, manakala syarikat subsidiari yang menjalankan projek diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus selama 10 tahun. 

Semenjak ia diperkenalkan, sebanyak 141 projek telah diluluskan yang melibatkan pelaburan sebanyak 941 juta ringgit dalam bidang tanaman makanan, akuakultur dan ternakan. Memandangkan insentif ini akan tamat pada tahun 2005, Kerajaan mencadangkan supaya tempoh galakan ini dilanjutkan selama lima tahun lagi sehingga 2010. Di samping itu, syarat ekuiti bagi syarikat yang melabur dalam subsidiarinya dilonggarkan daripada 100 peratus kepada sekurang-kurangnya 70 peratus.

Bagi mengurangkan pergantungan kepada tenaga buruh dan meningkatkan penggunaan mesin dan peralatan di sektor pertanian termasuk perladangan, Kerajaan mencadangkan supaya tempoh menghapus kira perbelanjaan modal ke atas jentera dan peralatan yang digunakan di sektor pertanian dipendekkan daripada di antara 4 dan 8 tahun kepada 2 tahun.

Membangunkan Produk Halal

Permintaan global makanan halal adalah dijangka akan meningkat kepada 2 trilion ringgit dalam tahun 2005. Potensi besar ini perlu digarap supaya Malaysia mampu menjadi pengeluar dan pengeksport terkemuka di dunia. 

Malaysia mempunyai berbagai kelebihan dalam pengeluaran barangan makanan halal. Kita mempunyai kepakaran dalam bidang pensijilan logo halal berdaftar, yang diiktiraf di seluruh dunia. Baru-baru ini, saya telah melancarkan Standard Halal Malaysia MS1500: 2004 yang merangkumi pematuhan piawaian antarabangsa Amalan Pengilangan Baik dan Amalan Kebersihan Baik. Kita harus memastikan bahawa semua produk halal Malaysia sentiasa berkualiti tinggi dan mencapai standard antarabangsa. Semua syarikat digesa memperolehi sijil halal yang menepati kualiti standard antarabangsa. 

Sehubungan dengan itu, Kerajaan mencadangkan galakan potongan dua kali diberi kepada pengeluar produk halal ke atas perbelanjaan yang dilakukan dalam mematuhi standard untuk memperolehi sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Untuk menggalakkan pelaburan baru dan meningkatkan penggunaan mesin dan peralatan moden serta canggih, Kerajaan mencadangkan supaya Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus diberi kepada syarikat pengeluar makanan halal bagi tempoh 5 tahun.

Dana Khas Pembangunan dan Promosi Produk Halal akan diwujudkan dengan peruntukan sebanyak 10 juta ringgit. Dana ini akan membantu membiayai kajian perancangan perniagaan, pembangunan teknologi dan pasaran serta peningkatan produktiviti dan kualiti untuk memperolehi pensijilan antarabangsa dan pembangunan pasaran eksport. 

Memperkaya Sektor Perkhidmatan

Tuan Yang DiPertua,

Sektor perkhidmatan adalah satu lagi penjana kekayaan negara, terutamanya dalam sub-sektor kewangan dan ICT. Dalam beberapa subsektor lain, termasuk pelancongan, kesihatan dan pendidikan, asas pembangunan yang dibina telah menampakkan kejayaan awal. Justeru, langkah akan diambil bagi memperkukuh aktiviti terpilih untuk menerajui pertumbuhan masa depan. 

Memantapkan Pasaran Modal

Pelaksanaan Pelan Induk Pasaran Modal telah mengukuhkan lagi pasaran modal negara. Langkah mengembang potensi pasaran modal akan meninggikan daya saing ke tahap global, kepesatan inovasi serta menambah liputan pasaran. Sehubungan ini, Kerajaan akan: 

Pertama: membenarkan sehingga lima syarikat broker saham asing utama untuk beroperasi di Malaysia. Kehadiran broker saham asing akan memperkukuh rangkaian pengagihan serta meningkatkan kecairan;
Kedua: menarik sehingga lima pengurus dana terkemuka di dunia untuk beroperasi di Malaysia. Ini akan memberi lebih pilihan kepakaran pengurusan dana dan perkhidmatan berkualiti. Dengan kehadiran mereka, instrumen pelaburan negara juga dapat dipromosikan kepada pelanggan global; 
Ketiga: membenarkan pemilikan asing 100 peratus syarikat broker niaga hadapan bagi meningkatkan kecairan dan tahap pengurusan risiko pasaran modal;
Keempat: membenarkan pemilikan asing 100 peratus syarikat modal teroka untuk menambah penawaran modal kewangan dan kepakaran bagi menggalakkan pelaburan sektor ICT;
Kelima: membenarkan syarikat broker saham tempatan yang telah bergabung dengan sekurang-kurangnya satu lagi broker saham untuk membuka empat cawangan tambahan atau Aktiviti Dibenarkan Melalui Kemudahan Akses Elektronik;
Keenam: menghapuskan had bilangan maksimum wakil peniaga rakyat asing yang dikenakan atas syarikat broker saham. Ini akan membolehkan syarikat berkenaan meningkatkan keupayaan rangkaian pemasaran luar negara mereka; dan
Ketujuh: membenarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menambah dana pelaburan dengan syarikat pengurusan dana tempatan termasuk syarikat pengurusan dana yang bukan dimiliki oleh bank. Pada masa ini dana pelaburan KWSP dengan syarikat pengurusan dana tempatan adalah sebanyak 6 bilion ringgit. Jumlah ini akan digandakan kepada 12 bilion ringgit dalam tempoh 3 tahun.

Tuan Yang DiPertua,

Kerajaan akan meneruskan usaha memperluaskan pasaran bon domestik dan mempelbagaikan sumber pembiayaan alternatif. Agensi supra-nasional seperti Bank Dunia, International Finance Corporation dan Asian Development Bank serta syarikat multinasional asing akan dibenar untuk menerbit bon berdenominasi ringgit. Penerbitan bon oleh agensi supra-nasional dan syarikat multinasional akan dapat membantu membangunkan Malaysia sebagai pusat pasaran kewangan serantau. 

Untuk menyokong inisiatif ini, Kerajaan mencadangkan supaya pengecualian cukai diberi ke atas pendapatan faedah yang diperolehi oleh syarikat bukan pemastautin daripada: 

Pertama: sekuriti Islam dan debentur dalam ringgit selain daripada stok pinjaman boleh tukar (convertible loan stock) yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti; dan
Kedua: sekuriti yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia. 

Untuk memberi manfaat kepada warga emas, Kerajaan bercadang menambah terbitan Bon Merdeka. Sebanyak 1.5 bilion ringgit telah diterbitkan sehingga Ogos 2004 dengan kadar pulangan 5 peratus setahun. Memandangkan sambutan yang hangat, sebanyak 1.75 bilion ringgit lagi akan diterbitkan sehingga penghujung tahun 2005. 

Memperluas Sistem Kewangan Islam

Kita berbangga kerana dunia telah mengiktiraf keupayaan sistem kewangan Islam Malaysia termasuk takaful. Kerajaan bertekad menjadikan Malaysia sebagai pusat perkhidmatan kewangan Islam. Justeru, sebuah institut latihan antarabangsa akan ditubuhkan bagi melahirkan pakar dalam sistem kewangan Islam. Untuk mengukuhkan lagi sistem kewangan Islam, Kerajaan akan menerbitkan Bil Perbendaharaan Islam. Pada masa ini, Bil Perbendaharaan hanya dikeluarkan dalam bentuk konvensional. Terbitan Pelaburan Kerajaan, iaitu bon Kerajaan yang dikeluarkan berasaskan prinsip syariah, akan ditambah dalam tahun 2005. 

Cawangan bank tempatan di luar negara akan membuka kaunter perbankan Islam. Di negara di mana Malaysia tidak mempunyai cawangan bank tempatan, usahasama dengan bank di negara tersebut digalakkan untuk menyediakan perkhidmatan perbankan Islam. 

Kerajaan sentiasa menyokong usaha berterusan bagi merangsang pembangunan produk kewangan dan pasaran modal Islam. Pengecualian duti dan cukai diberi bagi produk kewangan Islam yang dikenal pasti untuk menyamakan kedudukannya dengan produk konvensional. Pertimbangan pengecualian cukai secara kes demi kes telah menimbulkan ketidakpastian mengenai layanan cukai apabila produk kewangan Islam yang baru diperkenalkan. Justeru, untuk menggalakkan pembangunan produk kewangan dan pasaran modal Islam, Kerajaan mencadangkan layanan cukai yang sama diberikan kepada produk kewangan Islam dan konvensional melalui pengecualian sebarang cukai tambahan atau duti tambahan ke atas produk kewangan Islam sekiranya: 

Pertama: produk kewangan Islam diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia; atau
Kedua: produk pasaran modal Islam diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti.

Layanan Cukai Ke Atas Faedah Tergantung

Pada masa ini, faedah tergantung (interest in suspense) dikenakan cukai walaupun pendapatan tersebut belum diterima oleh institusi kewangan. Sebagai langkah untuk memantapkan lagi aliran tunai institusi kewangan bagi menjamin daya saing dan daya tahan jangka panjang, Kerajaan mencadangkan faedah tergantung dianggap sebagai peruntukan khas hutang lapuk dan dibenarkan sebagai potongan bagi tujuan pengiraan cukai pendapatan. Cukai pendapatan akan dikenakan apabila faedah tergantung diterima.

Menaikkan Pelepasan Cukai Bagi Caruman KWSP dan Takaful Serta Premium Insurans 

Bagi menggalakkan tabungan serta perkembangan industri insurans atau takaful, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai pendapatan individu untuk caruman KWSP dan takaful serta bayaran premium insurans hayat dinaikkan daripada 5,000 ringgit kepada 6,000 ringgit.

Amanah Pelaburan Hartanah

Tuan Yang DiPertua,

Dalam sektor hartanah elemen kecairan perlu dipertingkatkan supaya dapat meninggikan sumbangan kepada pembangunan ekonomi. Kita perlu menambah usaha untuk mengubah aset tidak cair kepada aset mudah cair supaya syarikat hartanah boleh menjual hartanah sedia ada dan dengan pendapatan yang diperolehi mereka dapat membangunkan projek hartanah baru. Amanah Pelaburan Hartanah atau Real Estate Investment Trust (REIT) adalah instrumen penting bagi mencapai objektif ini. Bagi menggalak pembangunan REIT, Kerajaan mencadangkan supaya layanan cukai yang lebih menarik diperkenalkan seperti berikut: 

Pertama: REIT diberi pengecualian cukai ke atas pendapatan yang diagihkan kepada pemegang unit, manakala pendapatan yang tidak diagihkan dikenakan cukai pada kadar 28 peratus;
Kedua: pendapatan yang diagihkan kepada pemegang unit dikenakan cukai pada kadar cukai masing-masing. Walau bagaimanapun, bagi pemegang unit bukan pemastautin, cukai pendapatan sebanyak 28 peratus akan terus dikenakan; dan
Ketiga: pendapatan terkumpul yang telah dikenakan cukai dan diagihkan pada masa hadapan layak mendapat kredit cukai di peringkat pemegang unit.

Merancakkan Sektor Pelancongan

Tuan Yang DiPertua,

Sektor pelancongan telah terbukti berjaya menjana pertumbuhan. Kita perlu memperhebatkan lagi usaha untuk memanfaatkan alam semula jadi yang indah, warisan sejarah yang unggul dan seni budaya unik pelbagai bangsa. Negara telah menerima seramai 875 ribu pelancong sebulan dalam tahun 2003. Angka ini dianggar meningkat kepada 1.2 juta orang sebulan dalam tahun ini. Promosi akan diperhebatkan bagi menarik lebih ramai pelancong khususnya dari Asia Barat, China dan Jepun. 

Untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat kesenian antarabangsa, Kerajaan mencadangkan persembahan kebudayaan dan kesenian oleh penggiat seni tempatan yang diadakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya diberi pengecualian sepenuhnya duti hiburan dengan syarat ia diluluskan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Saya ingin menyeru semua Kerajaan Negeri untuk mengambil langkah yang serupa.

Pelancongan pendidikan juga akan terus digalakkan. Malaysia berketrampilan sebagai pusat kecemerlangan pendidikan. Pada tahun 2004, seramai 51 ribu pelajar asing daripada 130 negara menuntut di negara kita. Langkah berikut akan diambil untuk mencergaskan sektor ini: 

Pertama: mempercepatkan kelulusan dan akreditasi kursus institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS);
Kedua: membantu IPTS mendapat pengiktirafan terutama daripada 14 negara yang dikenal pasti dan mewujudkan rangkaian kerjasama antara 30 IPTS terbaik dengan persatuan pendidikan swasta dan agensi promosi; dan
Ketiga: IPTA dan IPTS disenarai mengikut kedudukan prestasi standard antarabangsa. 

IPTS digalakkan membentuk perkongsian pintar dan bergabung untuk mewujudkan entiti pendidikan yang teguh dan terkemuka setanding dengan universiti ternama di negara maju. Bagi menyokong usaha ini, Kerajaan mencadangkan pengecualian duti setem dan cukai keuntungan hartanah diberi kepada IPTS yang bergabung. Bagi mempercepatkan penggabungan, pengecualian cukai tersebut akan diberi sehingga akhir tahun 2006.
Pelancongan kesihatan mempunyai potensi besar. Negara berjaya menarik 103 ribu warga asing di bawah pakej pelancongan kesihatan pada tahun 2003 dengan hasil 58.3 juta ringgit. Bagi meningkatkan sumbangan sektor ini, langkah berikut akan diambil: 

Pertama: menyusun pakej pelancongan kesihatan dengan menyelaras tawaran hospital dan hotel serta membentuk rangkaian rujukan antarabangsa;
Kedua: menggalakkan hospital mendapat akreditasi antarabangsa dan mengadakan hubungan strategik dengan pusat perubatan terkemuka di dunia; 
Ketiga: menggalakkan pembentukan syarikat kesihatan multinasional Malaysia oleh pihak swasta;
Keempat: melonggarkan syarat imigresen bagi pakar perubatan dan terapi asing serta pesakit; dan
Kelima: menyokong penyelidikan klinikal di institusi kesihatan untuk membina pusat kecemerlangan klinikal. 

Mencergaskan Sektor ICT

Pembangunan sektor ICT serta Koridor Raya Multimedia (MSC) terus mendapat perhatian Kerajaan. Panel Penasihat Antarabangsa MSC yang bermesyuarat pada 2 dan 3 September 2004 telah mengiktiraf prestasi MSC yang kini telah memasuki fasa pembangunan kedua 2004-2010.
ICT mampu menjana pertumbuhan negara dan akan terus dikembangkan. MSC akan diperkukuhkan melalui roll-out ke Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah. Sumber pertumbuhan baru akan dibangunkan terutamanya industri shared services dan outsourcing di mana Malaysia telah dinilai sebagai lokasi ketiga terbaik bagi industri ini. Sasaran ialah untuk menambah pekerjaan nilai tinggi dalam MSC sebanyak 100 ribu lagi, dari jumlah 20 ribu pada masa ini.

Pelbagai langkah akan diambil untuk membangunkan sumber pertumbuhan baru dalam sektor ICT. Ini termasuk melatih sumber manusia berkemahiran, membangunkan teknopreneur, meningkatkan promosi antarabangsa dan menawarkan insentif yang spesifik kepada para pelabur.
Mengeksport Perkhidmatan Profesional 

Kumpulan profesional dan kontraktor akan digalakkan untuk meneroka pasaran luar negara. Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Pembangunan Perkhidmatan Profesional (PSDC) akan membantu mereka dalam usaha ini. CIDB akan memegang ekuiti dalam PSDC bagi membantu kumpulan profesional.

Memperkasa Sektor Pembuatan 

Tuan Yang DiPertua,

Sektor pembuatan telah lama menjadi tunjang pembangunan negara. Perubahan struktur ke arah industri berintensif modal dan berteknologi tinggi telah dimulakan. Kerajaan akan terus menjadi pendorong dengan menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif. Latihan dan kemahiran teknikal akan dipertingkatkan. Kerajaan menyokong usaha sektor swasta membangunkan rantaian bekalan dari peringkat pengeluaran sehingga pemasaran. Tanda aras digalak untuk meningkatkan kualiti pengeluaran dan pemprosesan memenuhi piawaian antarabangsa. 

Pusat Mikroelektronik akan diwujudkan bagi meningkatkan daya saing industri separa konduktor. Pusat ini akan menggunakan kemudahan dan institusi sedia ada untuk menyelaras latihan dan rekacipta dalam sistem dan reka bentuk mikroelektronik. 

Pada masa ini terdapat syarikat tempatan, termasuk syarikat pemilik jenama Malaysia yang telah melaksanakan outsourcing kepada contract manufacturer di dalam atau di luar negara. Ini akan membolehkan mereka memberi tumpuan kepada aktiviti nilai ditambah tinggi seperti merekabentuk serta menjalankan R&D manakala bahan mentah atau komponen akan diimport untuk kegunaan contract manufacturer. Syarikat ini tidak layak mendapat pengecualian duti import seperti yang dinikmati oleh syarikat pembuatan. Sehubungan itu, Kerajaan mencadangkan syarikat ini diberi galakan yang serupa dengan syarikat pembuatan iaitu duti import dan cukai jualan dikecualikan ke atas bahan mentah yang tidak dikeluarkan dalam negara serta barang separuh siap yang diimport daripada contract manufacturer di luar negara.

Kerajaan ingin menggalakkan pembuatan produk Malaysia yang berkualiti tinggi terutamanya untuk menembusi pasaran luar negeri. Kerajaan mencadangkan galakan potongan dua kali diberi bagi perbelanjaan untuk memperolehi kualiti standard antarabangsa.
Penghapusan Atau Pengurangan Duti Import Ke Atas Barangan Terpilih

Bagi mengurangkan kos mengendalikan perniagaan dan perlindungan tarif secara berperingkat, Kerajaan bercadang: 

Pertama: menghapuskan duti import ke atas beberapa barangan terpilih seperti sarung tangan pembedahan, permaidani, barangan kaca dan komponen separuh siap untuk industri berasaskan kayu yang duti importnya di antara 5 dan 25 peratus; dan
Kedua: mengurangkan duti import ke atas beberapa bahan mentah untuk industri pakaian dan racun rumpai daripada di antara 10 dan 35 peratus kepada di antara 5 dan 30 peratus.

Penempatan Semula Aktiviti Pembuatan Ke Kawasan Yang Digalakkan

Kerajaan ingin menambah aliran pelaburan ke kawasan digalakkan terutamanya Koridor Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Komitmen Kerajaan jelas ternyata dengan keputusan untuk membangunkan Fasa 2 Lebuh Raya Pantai Timur dan menaiktaraf Lapangan Terbang Kuala Terengganu. Peruntukan pembangunan bagi 2005 bagi Koridor Pantai Timur adalah sebanyak 2.5 bilion ringgit, manakala bagi Sabah dan Sarawak sebanyak 3.8 bilion ringgit. Kerajaan mencadangkan supaya galakan Taraf Perintis atau Elaun Cukai Pelaburan kali kedua diberi kepada syarikat sedia ada yang menempatkan semula aktiviti pembuatan ke kawasan digalakkan yang meliputi Koridor Pantai Timur Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. 
Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana 

Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan telah ditubuhkan untuk menyelaras program pembangunan PKS secara menyeluruh. Di antara langkah yang akan diambil adalah membangunkan satu pangkalan data untuk membantu Kerajaan melaksanakan program lebih tersusun. Definisi PKS akan diseragamkan untuk mengatasi kerumitan urusan pembangunan. 

PKS digalakkan lebih fokus dan memodenkan operasi. Pinjaman mudah dan geran bersamaan bagi meningkatkan keupayaan teknologi, kemahiran dan menembusi pasaran, bantuan latihan kemahiran serta pengurusan akan terus disediakan. Bagi tujuan ini, jumlah dana dalam Tabung Industri Kecil dan Sederhana 2 akan ditambah sebanyak 1.5 bilion ringgit kepada 4.5 bilion ringgit. Jumlah dana dalam Tabung Usahawan Baru 2 ditambah sebanyak 550 juta ringgit kepada 2 bilion ringgit. Di samping itu, 66 PKS telah mendapat bimbingan di bawah Program Headstart 500 dan berjaya mengeksport produk bernilai 302.6 juta ringgit serta menembusi pasaran Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah.

Untuk meningkatkan pemasaran dan promosi, insentif tambahan berikut disediakan kepada PKS: 

Pertama: Geran Pembangunan Pasaran (MDG) akan diperluaskan skopnya meliputi pemasaran dan promosi di pasaran tempatan, perbelanjaan menghadiri mesyuarat mengenai perundingan Mutual Recognition Agreement, perbelanjaan mewujudkan pejabat perwakilan di luar negara dan perbelanjaan profesional tempatan yang menyertai misi perdagangan. Had maksimum geran ditingkatkan daripada 60 ribu ringgit kepada 100 ribu ringgit;
Kedua: Dana Peningkatan Kemahiran Pemasaran PKS diwujudkan dengan peruntukan 50 juta ringgit. Dana baru ini disediakan untuk membiayai kursus kemahiran dalam bidang perancangan dan operasi, penetapan harga dan pengedaran; dan
Ketiga: Dana Peningkatan Keupayaan Rekabentuk Pembungkusan dan Pelabelan Produk PKS diwujudkan dengan peruntukan sebanyak 100 juta ringgit. Dana baru ini akan membantu membiayai perbelanjaan melantik pakar dalam bidang rekabentuk dan pembungkusan produk serta kos menyediakan kemudahan rekabentuk.

Institusi kewangan pembangunan memainkan peranan yang penting dalam membangunkan syarikat swasta dari segi pembiayaan dan khidmat nasihat. Fungsi Bank Industri dan Teknologi serta Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia akan diselaraskan supaya mempunyai pengkhususan dan mengelakkan pertindihan. Sementara itu, Malaysia Export Credit Insurance dan Bank EXIM akan digabungkan bagi mencapai skala ekonomi. Entiti baru ini juga akan membantu kumpulan profesional dan kontraktor yang menjalankan perniagaan di luar negara. 

STRATEGI KETIGA: MEMBANGUNKAN SUMBER MANUSIA ATAU HUMAN CAPITAL SEBAGAI PEMANGKIN PERTUMBUHAN

Tuan Yang DiPertua,

Membina Keupayaan Membangun Masyarakat Berpengetahuan 

Matlamat Kerajaan adalah menjadikan sistem pendidikan negara bertaraf dunia. Peruntukan terbesar diberi kepada sektor pendidikan iaitu hampir satu perempat daripada peruntukan mengurus dalam tahun 2005. Perbelanjaan mengurus sebanyak 16.3 bilion ringgit disediakan bagi Kementerian Pelajaran dan 5.2 bilion ringgit bagi Kementerian Pengajian Tinggi. 

Beberapa program memantapkan sistem pelajaran akan diteruskan termasuk Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, perluasan program ICT melalui projek pengkomputeran dan Schoolnet. Institusi baru yang akan beroperasi mulai 2005 termasuk 85 buah sekolah menengah, 45 buah sekolah rendah, 7 buah sekolah berasrama penuh dan 32 buah asrama baru. 

Bagi memenuhi keperluan peralihan strategik dalam industri, enrolmen di peringkat diploma akan dipertingkatkan. Ini termasuk enrolmen pelajar vokasional dan teknik di Politeknik, Kolej Komuniti, Institusi Latihan Perindustrian, Institut Kemahiran Mara dan Institut Kemahiran Belia Negara. Sebanyak 670 juta ringgit disediakan bagi membina institusi baru. Di samping itu, 248 juta ringgit disediakan bagi menaiktaraf kemudahan sedia ada. 

Untuk meningkatkan jumlah pelajar lepasan sekolah menengah berpeluang mengikuti latihan kemahiran Kerajaan akan mengoptimumkan kemudahan sedia ada. Sebanyak 190 juta ringgit diperuntukkan bagi tahun 2005. Program dua syif akan dijalankan di Politeknik, Institut Latihan Perindustrian, Kolej Komuniti dan Institut Kemahiran Mara. Kerajaan telah mengenal pasti 30 ribu tempat tambahan bagi tempoh tiga tahun. Selain dari itu, Program Pembangunan Kemahiran Teknikal dan Peningkatan Kemahiran Perindustrian akan mula dilaksanakan oleh Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri. Pelaksanaan program ini akan membantu mengatasi masalah bekalan tenaga kerja mahir.

Secara purata seramai 4,000 pelajar telah ditaja untuk melanjutkan pelajaran di luar negeri setiap tahun oleh agensi utama seperti Jabatan Perkhidmatan Awam, MARA, Petronas dan Bank Negara Malaysia. Kerajaan akan menambah bilangan tempat bagi pelajar tajaan MARA luar negeri di bawah Skim Pelajar Cemerlang daripada 700 kepada 1,000 pelajar setiap tahun.

Di samping itu, Khazanah Nasional akan menaja 100 pelajar cemerlang untuk melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka luar negara dalam subjek teknikal dan profesional. Program ini bermatlamat untuk memilih dan membimbing kerjaya mereka yang akan memimpin syarikat GLC kelak. Ini akan meninggikan lagi keupayaan dan kualiti pengurusan syarikat GLC.

Program memperkasa belia juga akan dilaksanakan dengan fokus diberi kepada meningkatkan pengetahuan, kemahiran vokasional dan keusahawanan serta menggalakkan interaksi sosial dan gaya hidup sihat. Selain dari itu, tumpuan adalah ke atas program menanam nilai murni dan membentuk kepimpinan berkualiti. Semangat jati diri, tabah dan patriotik merupakan ciri penting yang harus dimiliki oleh setiap belia. 
Program Khidmat Negara akan diperkemaskan. Seramai 69 ribu belia telah mengikuti latihan pada tahun 2004 dan seramai 85 ribu lagi akan dilatih dalam tahun 2005. Program lain, termasuk Rakan Muda dan bantuan kepada 1,272 persatuan belia akan diteruskan.

Meningkatkan Insentif Profesion Keguruan

Tuan Yang DiPertua,

Kerajaan sedar betapa pentingnya peranan guru dalam melahirkan pelajar yang berkualiti. Pelbagai insentif dan kemudahan telah diadakan untuk golongan guru. Kerajaan ingin mengumumkan satu lagi usaha ke arah penambahbaikan skim perguruan. Dahulu, Guru Cemerlang dan Pengetua Cemerlang perlu meninggalkan tugas mengajar dan ditukarkan ke Jabatan Pelajaran Negeri atau Pejabat Pelajaran Daerah bagi menikmati kenaikan pangkat. Kini, Guru Cemerlang yang mempunyai minat mengajar boleh terus berkhidmat di sekolah dan pada masa yang sama berpeluang mendapat kenaikan pangkat ke jawatan Gred Khas C. Manakala bagi Pengetua Cemerlang pula, mereka boleh terus kekal di sekolah tanpa kehilangan peluang kenaikan pangkat ke jawatan JUSA C. 

Buat permulaan, Kerajaan bersetuju mewujudkan sebanyak 12 jawatan khas untuk penyandang Gred Khas C bagi Guru Cemerlang dan 5 jawatan khas untuk penyandang JUSA C bagi Pengetua Cemerlang. Kementerian Pelajaran akan melaksanakan proses pemilihan calon yang layak berdasarkan kepada ketokohan, kepakaran dan komitmen mereka, merangkumi kesanggupan mereka berkhidmat di kawasan pendalaman. 

Melahirkan Usahawan Berdaya Saing

Tuan Yang DiPertua,

Pembentukan usahawan berdaya saing dan bertaraf dunia merupakan satu cabaran dalam pembangunan sumber manusia. Kerajaan telah menyediakan pelbagai program dan insentif untuk melahirkan usahawan berwibawa, dinamik dan mempunyai amalan niaga yang baik. 
Projek Usahawan Bumiputera dalam Bidang Peruncitan (PROSPER) telah diwujudkan untuk membangunkan budaya keusahawanan berdaya maju di kalangan masyarakat Bumiputera melalui usaha meningkatkan penyertaan berkualiti dalam sektor peruncitan yang strategik. Alhamdulillah, semenjak ia diwujudkan pada akhir tahun 2000, program ini telah melahirkan lebih dari 550 usahawan runcit Bumiputera. Untuk meluaskan lagi liputan bidang perniagaan, program PROSPER telah diperluaskan kepada perkhidmatan profesional, seperti doktor dan arkitek, semenjak awal tahun ini. Matlamat PROSPER ialah untuk menambah bilangan usahawan seramai 250 lagi dalam tahun 2005.

Sebagai langkah memantapkan lagi masyarakat usahawan Bumiputera, mereka yang telah berdaya maju di bawah PROSPER akan dibantu menambah nilai melalui branding perniagaan. Untuk meningkatkan lagi rangkaian nilai ditambah, skop perniagaan akan juga diperluaskan kepada perniagaan pemborongan bagi mengukuhkan lagi sinergi di antara kedua-dua bidang perniagaan.

Sebagai tanda menghargai mereka yang telah banyak menyumbang dan berkorban untuk mempertahankan keselamatan negara, PROSPER melalui PERHEBAT telah memberi latihan penyediaan pelan perniagaan kepada lebih 1,400 bekas tentera. Kini, seramai 39 dari mereka merupakan usahawan di bawah program PROSPER. Selain dari bekas tentera, program ini akan diperluaskan kepada anggota polis yang telah bersara.
Program Siswazah Francais di bawah Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia Berhad yang mula diperkenalkan pada tahun 2004 akan diteruskan dengan matlamat 150 pelatih setiap tahun. Peruntukan akan ditambah bagi beberapa dana, termasuk Dana Modal Teroka PUNB, Skim Pembiayaan Perniagaan MARA, Skim Jaminan Usahawan Kecil dan Tabung Khas Pendidikan di bawah Bank Industri dan Teknologi.

Dasar perolehan Kerajaan juga akan digunakan untuk meningkatkan keupayaan usahawan Bumiputera dan menggalakkan pemindahan teknologi. Sistem Panel Pembekal telah diperkenalkan untuk mewujudkan pembekal Bumiputera yang berdaya saing dan sentiasa memajukan kualiti produk dan menawarkan harga kompetitif. Sebagai tambahan, kaedah kontrak jangka panjang akan dilaksanakan bagi membolehkan usahawan Bumiputera melaksanakan R&D. Kerajaan pada masa ini memberi kontrak jangka panjang bagi tempoh 5 tahun kepada usahawan Bumiputera dalam industri pertahanan. Ini akan diperluaskan kepada industri lain yang melibatkan pemindahan teknologi termasuk dalam industri peralatan mekanikal dan kejuruteraan serta perkhidmatan kesihatan. Kontrak boleh dilanjutkan sehingga 5 tahun lagi jika syarikat menunjukkan prestasi cemerlang dan mempunyai potensi untuk menembusi pasaran eksport.

mengkomersialkan R&D

Aktiviti R&D akan distruktur semula ke arah memenuhi permintaan pasaran. Keupayaan merekacipta perlu ditingkatkan daripada tahap adopt and adapt kepada kebolehan design and innovate. Untuk memperkukuhkan inovasi dalam semua bidang teknologi, Majlis Inovasi Nasional telah ditubuhkan. Majlis ini dipengerusikan oleh saya dan akan menjadi pusat perkongsian amalan terbaik dan pengalaman dalam bidang sains dan teknologi. 

Pada hakikatnya, R&D perlu lebih fokus dan dikomersialkan. Bagi mencapai tujuan ini, Kerajaan akan memastikan: 

Pertama: aktiviti R&D dilaksanakan dengan lebih fokus kepada empat bidang utama iaitu bioteknologi, ICT, advanced materials dan advanced manufacturing; dan
Kedua: galakan diberi kepada penyelidik dan perekacipta sektor awam melalui: 
pemberian royalti yang setimpal; 
pegangan ekuiti dalam syarikat yang mengkomersialkan hasil R&D; 
kelonggaran untuk menjalankan penyelidikan dengan pihak industri; dan
melanjutkan perkhidmatan selepas persaraan wajib mengikut keperluan. 

Penyelidikan tempatan mengenai industri berasaskan sumber banyak dihasilkan oleh institusi penyelidikan sektor awam seperti Lembaga Kelapa Sawit Malaysia, MARDI dan IPTA. Namun, inisiatif untuk mengkomersialkan hasil penyelidikan tersebut masih kurang disebabkan kos dan risiko yang tinggi. Kerajaan yakin syarikat milik tempatan akan tampil ke hadapan menerajui pengkomersialan hasil R&D tempatan. Bagi tujuan ini, Kerajaan mencadangkan supaya: 

Pertama: syarikat milik tempatan yang melabur sekurang-kurangnya 70 peratus di dalam syarikat yang menjalankan projek pengkomersialan diberi potongan cukai berdasarkan kepada pelaburan sebenar yang dilakukan; dan
Kedua: syarikat yang menjalankan projek pengkomersialan diberi Taraf Perintis 100 peratus selama 10 tahun.

STRATEGI KEEMPAT: MEMASTIKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT MELALUI PENINGKATAN KUALITI KEHIDUPAN

Tuan Yang DiPertua,

Semua strategi Kerajaan yang telah dihuraikan tadi, secara langsung atau tidak langsung, akan meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kualiti kehidupan, sebagai asas wawasan Kerajaan. Kerajaan akan mengambil beberapa langkah khusus untuk mencapai objektif ini seperti langkah menghapuskan kemiskinan tegar, mempercepatkan pembangunan luar bandar dan membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU). 

Membasmi Kemiskinan Menjamin Kemakmuran

Kerajaan berazam untuk memastikan setiap rakyat dapat bersama mengecapi hasil pembangunan dan menikmati hasil kemakmuran negara. Satu langkah penting ke arah mencapai tujuan ini adalah untuk menghapuskan kemiskinan tegar, yang pada masa ini, hanyalah satu peratus, melibatkan 52,900 isi rumah. 

Semua program membasmi kemiskinan di bawah pelbagai agensi akan diselaras untuk meningkatkan keberkesanan dan mengurangkan pertindihan. Pengesahan senarai keluarga miskin tegar di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan dilaksanakan untuk mengkaji profil keluarga dan merangka program khusus. Daftar keluarga miskin tegar di bandar akan disediakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Sebanyak 94.2 juta ringgit disediakan untuk Program Bantuan Rumah, Program Peningkatan Pendapatan, Program Tambahan Makanan Seimbang, Program Pembangunan Minda Insan dan Program Latihan dan Pendidikan. Sejumlah 205 juta ringgit disediakan bagi Skim Baucer Tuisyen untuk anak golongan berpendapatan rendah.

Bagi meningkatkan taraf hidup Orang Asli yang melibatkan 147,500 orang di seluruh negara, peruntukan 77.3 juta ringgit disediakan. Pelan komprehensif pembangunan masyarakat Orang Asli di dalam pendidikan, kesihatan, pemilikan harta dan pembangunan prasarana serta pembangunan minda akan dilaksanakan. Tiga program utama yang akan diteruskan ialah Program Penempatan Tersusun, Program Pembangunan Ekonomi dan Program Pembangunan Sosial. 

Kerajaan prihatin terhadap golongan OKU serta sentiasa memastikan mereka dapat bersama berperanan dalam usaha pembangunan negara. Lebih banyak kemudahan mesra OKU akan disediakan seperti kawasan barrier-free, kemudahan ICT dan assistive technologies. Juru bahasa isyarat akan ditambah untuk membantu golongan kurang upaya pendengaran dan percakapan. Bagi memastikan kesemua OKU menerima kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan, kempen mendaftar OKU akan diperhebatkan. 

Kerajaan juga mencadangkan pelepasan cukai tambahan bagi OKU dinaikkan daripada 5,000 ringgit kepada 6,000 ringgit. Bagi pasangan yang kurang upaya pula, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai tambahan yang kini diberi sebanyak 2,500 ringgit dinaikkan kepada 3,500 ringgit.
Program Pemulihan Dalam Komuniti bertujuan membantu OKU menjalani program pemulihan kecacatan dan pembangunan dalam keluarga dan komuniti agar dapat berdikari dan diintegrasikan dalam masyarakat. Kerajaan sedar tidak semua ibu bapa mampu menghantar anak kurang upaya untuk mendapatkan pendidikan khas ini. Bagi meringankan beban dan membolehkan kanak-kanak kurang upaya mendapat pendidikan yang sewajarnya, Kerajaan mencadangkan supaya elaun bulanan sebanyak 25 ringgit seorang diberi kepada pelajar kanak-kanak kurang upaya yang mengikuti program Pemulihan Dalam Komuniti dan Sekolah Khas kelolaan pertubuhan sukarela kebajikan.

Kerajaan ingin memastikan bahawa institusi pemulihan dan perlindungan menyediakan makanan dan minuman seimbang kepada penghuninya yang terdiri daripada golongan kanak-kanak, warga tua dan OKU. Kerajaan amat prihatin ke atas kebajikan penghuni institusi ini dan mencadangkan supaya perbelanjaan makanan dan minuman harian mereka dinaikkan daripada 3 ringgit 90 sen seorang kepada 8 ringgit seorang.

Meningkatkan Kualiti Hidup Rakyat Luar Bandar 

Teras pembangunan juga akan memberi tumpuan ke arah mencapai keseimbangan pembangunan luar bandar dengan bandar. Kerajaan berazam untuk menyediakan liputan sepenuhnya kemudahan bekalan air, elektrik, telefon serta hubungan jalan. Usaha ini akan dimulakan dalam tahun 2005. Sebanyak 130 juta ringgit disediakan untuk program bekalan elektrik dan 95 juta ringgit untuk bekalan air. Sejumlah 174 juta ringgit lagi disediakan untuk membina jalan kampung dan 50 juta ringgit untuk menyiap dan membina jalan luar bandar. Sejumlah 18.7 juta ringgit disediakan bagi meningkatkan taraf kesihatan luar bandar.

Untuk menentukan rakyat luar bandar dapat menyertai ekonomi berasaskan pengetahuan, peruntukan yang besar disediakan bagi pendidikan luar bandar. Sebanyak 13.5 bilion ringgit dibelanjakan untuk pembangunan sekolah di luar bandar dalam tempoh 2001 hingga Julai 2004. 
Kerajaan juga akan terus menangani jurang digital. Usaha telah dimulakan dengan menyediakan kemudahan makmal komputer di sekolah luar bandar. Program InfoDesa dan Internet Desa akan diperluaskan. Pembangunan aplikasi kandungan, penyediaan maklumat dan kemahiran pengguna luar bandar akan dititikberatkan dalam usaha melahirkan petani, penternak dan nelayan moden bermaklumat.

Kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk memperluaskan akses rakyat kepada ICT. Dalam era perkembangan pesat ICT, usaha perlu dipertingkatkan lagi bagi memastikan setiap isi rumah mendapat manfaat ICT. Bagi tujuan ini, Kerajaan mencadangkan rebat cukai yang diberi kepada pembayar cukai pendapatan individu untuk pembelian komputer peribadi dinaikkan daripada 400 ringgit kepada 500 ringgit.

Bagi menggalakkan budaya membaca serta menangani jurang pengetahuan di kalangan penduduk di luar bandar, Kerajaan akan menyediakan lebih banyak perpustakaan terutamanya di bangunan awam sedia ada. Sebanyak 30 juta ringgit diperuntukkan di bawah Jabatan Perpustakaan Negara untuk tujuan ini, terutamanya untuk membiayai bahan bacaan. Adalah diharapkan program ini akan dapat menambah peluang untuk pelajar di luar bandar bersaing dengan pelajar di bandar dalam memperolehi ilmu pengetahuan dan mengejar kejayaan. 

Di samping itu, untuk menyemai dan memupuk tabiat membaca, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai yang diberi kepada pembayar cukai pendapatan individu ke atas perbelanjaan membeli buku dinaikkan daripada 500 ringgit kepada 700 ringgit.

Akses Kepada Rumah Mampu Milik 

Tuan Yang DiPertua,

Kerajaan bertekad untuk memastikan setiap rakyat mempunyai peluang menduduki rumah mampu milik (affordable homes). Bagi tempoh 1971-2003 Kerajaan telah membina 490 ribu unit rumah kos rendah. Sementara itu, sektor swasta membina 509 ribu unit untuk keluarga berpendapatan rendah. Kerajaan berhasrat menyediakan 100 ribu unit lagi rumah mampu milik dan akan dilaksanakan dengan kaedah Industrialised Building System (IBS). Kaedah ini akan memastikan pembinaan yang berkualiti, menjimatkan kos, mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat dan bersih serta mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing. Sebagai langkah untuk menggalakkan lagi penggunaan IBS, peratus projek pembinaan bangunan oleh Kerajaan yang menggunakan kaedah IBS akan dipertingkatkan daripada 30 peratus pada masa ini kepada 50 peratus mulai tahun 2005. Selain itu, syarikat pemaju perumahan yang menggunakan komponen IBS melebihi 50 peratus akan diberi pengecualian sepenuhnya daripada levi yang dikenakan oleh CIDB. 

Kerajaan menyediakan 778 juta ringgit bagi membina 21 ribu unit rumah kos rendah di bawah Program Perumahan Rakyat untuk penduduk setinggan di Kuala Lumpur dan bandar utama. Sebanyak 177 juta ringgit lagi diperuntukkan secara pinjaman kepada Kerajaan negeri bagi meneruskan pembinaan 3 ribu unit rumah di bawah projek Perumahan Awam Kos Rendah. Selain dari itu, peruntukan untuk Projek Perumahan Mesra Rakyat akan ditambah sebanyak 100 juta ringgit. Ini akan membolehkan 2,500 petani dan nelayan serta golongan miskin mendapat pembiayaan untuk membina rumah di atas tanah mereka sendiri. 

Kerajaan amat prihatin terhadap penduduk yang berpendapatan rendah yang masih lagi tinggal di rumah panjang sementara. Selain daripada menyediakan peruntukan untuk projek perumahan, satu kaedah untuk memesatkan pembinaan rumah mampu milik ialah penswastaan tanah Kerajaan secara tender di mana pemaju swasta akan membina rumah berkenaan sebagai balasan bagi hak memajukan tanah tersebut. Sebagai projek perintis, Kerajaan akan mengadakan tawaran tender untuk melaksanakan pembangunan bersepadu di Mukim Pantai Dalam Kuala Lumpur, di mana seramai 1,000 isi rumah kini tinggal di rumah panjang sementara. 

Adalah penting kawasan bandar dan pinggir bandar mempunyai penempatan yang mencerminkan komposisi pelbagai kaum yang hidup dalam suasana harmoni. Pada masa ini pemilikan hartanah Bumiputera di kawasan ini masih rendah. Justeru, Kerajaan akan mengambil langkah untuk meningkatkan dan seterusnya mengekalkan tahap kehadiran serta pemilikan kediaman dan hartanah komersil oleh Bumiputera di pusat Bandar. Sebagai permulaan, Kerajaan akan membangunkan tanah bekas Penjara Pudu sebagai pusat komersil dan perumahan. 

Rakyat Sihat Produktiviti Meningkat

Kerajaan akan terus memberikan perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang berkualiti. Untuk memantapkan perkhidmatan kesihatan, hampir 7.9 bilion ringgit diperuntukkan bagi tahun 2005. Sebanyak 5 hospital, 13 klinik kesihatan dan satu makmal kesihatan baru akan dibuka dan beroperasi, sementara 2 hospital akan dinaik taraf. Sejumlah 48.3 juta ringgit diperuntukkan bagi meningkatkan kemudahan rawatan di Unit Rawatan Rapi, pembukaan unit hemodalisis serta program rawatan kanser. Sebanyak 19.2 juta ringgit lagi disediakan bagi melaksanakan Program Kesihatan Awam. 

Kerajaan sedar akan kekurangan kakitangan kesihatan, khususnya doktor, telah mengakibatkan ada pesakit yang terpaksa menunggu lama untuk mendapat rawatan. Untuk menjadikan profesion kedoktoran awam lebih remuneratif, Kerajaan akan melaksanakan kaedah rawatan swasta di hospital awam terpilih bermula dengan Hospital Putrajaya dan Selayang. Langkah ini juga akan dapat menyumbang kepada usaha membangunkan pusat kecemerlangan dan mengoptimumkan kemudahan perubatan.

Pengambilan pelajar paramedik di Institut Latihan Kesihatan akan ditambah seramai 1,000 orang. Beberapa insentif baru akan dilaksanakan sepenuhnya mulai tahun 2005. Bayaran insentif luar waktu pejabat sebanyak 60 ringgit sebulan diberi kepada Pembantu Perubatan yang bertugas di klinik kesihatan secara berseorangan di Semenanjung, sebagaimana yang diperolehi di Sabah dan Sarawak. Di samping itu, Kerajaan juga bersetuju menaikkan kadar bayaran insentif Atendan Kesihatan di bilik mayat hospital daripada 30 ringgit kepada 100 ringgit sebulan. 

Cukai Ke atas Rokok dan Minuman Keras

Bagi menggalakkan gaya hidup sihat, Kerajaan mencadangkan struktur duti import dan duti eksais ke atas rokok dan minuman keras dikaji semula, iaitu: 

Pertama: duti eksais ke atas rokok dinaikkan daripada 58 ringgit kepada 81 ringgit bagi setiap 1,000 batang; dan
Kedua: duti eksais ke atas minuman keras dinaikkan daripada di antara 5 sen dan 23 ringgit 40 sen kepada di antara 10 sen dan 28 ringgit se liter.

Wanita dan Keluarga 

Dalam usaha mewujudkan masyarakat penyayang, Kerajaan sedar bahawa langkah perlu diambil bagi memelihara kepentingan wanita. Sejumlah 37.8 juta ringgit disediakan bagi melaksanakan program pembangunan wanita termasuk Nur Bestari, Literasi Undang-undang, kempen menangani keganasan ke atas wanita dan rumah perlindungan sementara bagi wanita serta kanak-kanak yang teraniaya. Untuk menyokong aktiviti ini, Kerajaan akan memberi geran bersamaan tahunan kepada NGO dan pertubuhan kebajikan terpilih yang mengendalikan rumah perlindungan wanita dan kanak-kanak. 

Perhatian terus diberi kepada program meningkatkan kebajikan mereka yang kurang bernasib baik. Sejumlah 129.5 juta ringgit disediakan di bawah program pembangunan keluarga termasuk pemulihan akhlak dan pusat harian warga emas. 

Bayaran Imbuhan Untuk Imam

Peranan imam dalam masyarakat adalah penting. Bagi menghargai sumbangan imam, Kerajaan akan memberi bayaran imbuhan bulanan imam sebanyak 450 ringgit bagi setiap masjid mukim/kariah di seluruh negara, berkuatkuasa Januari 2005. 

Manfaat Persaraan

Kerajaan prihatin terhadap kebajikan mereka yang diwajibkan bersara sebelum mencapai umur 55 tahun. Pada masa ini, pengecualian cukai ke atas manfaat persaraan dalam sektor swasta hanya diberi kepada mereka yang bersara wajib pada 55 tahun sahaja. Untuk meringankan beban cukai pekerja yang perlu bersara wajib di antara 50 hingga 55 tahun, Kerajaan mencadangkan supaya pengecualian cukai pendapatan diberi ke atas manfaat persaraan yang diterima sehingga 6,000 ringgit bagi setiap tahun genap perkhidmatan.

Meningkatkan Peranan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan 

Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) telah banyak menyumbang, terutamanya dalam membantu Kerajaan untuk menangani masalah sosial. Di samping itu, sektor swasta pula mempunyai tanggungjawab sosial yang boleh dilaksanakan, antaranya dengan membiayai aktiviti NGO. Sektor korporat, terutamanya syarikat multinasional dan NGO boleh berganding tenaga dengan sektor awam bagi melaksanakan projek yang boleh memberikan faedah kepada masyarakat. Bagi tahun 2005, sebanyak 141.6 juta ringgit disediakan di bawah 9 kementerian dan jabatan untuk membiayai pelbagai aktiviti NGO.

Badan amal memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan khas golongan tertentu. Pada masa ini, badan amal yang diluluskan diberi pengecualian cukai pendapatan dengan syarat sekurang-kurangnya 70 peratus daripada pendapatannya dibelanjakan bagi tujuan amal setiap tahun. Bagi membolehkan badan amal membuat perancangan kewangan jangka panjang, Kerajaan mencadangkan supaya syarat minimum perbelanjaan ini dikurangkan kepada 50 peratus.

Pemeliharaan Alam Sekitar 

Alam sekitar yang bersih merupakan antara faktor penentu kesejahteraan kehidupan. Tanggungjawab memelihara alam sekitar, tidak hanya terletak di bahu Kerajaan. Rakyat juga perlu berperanan memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara. Justeru, program pendidikan dan kesedaran akan diperluaskan bagi meningkatkan penglibatan rakyat. Pembangunan tanah tinggi perlu mengikut dasar dan garis panduan yang telah ditetapkan di bawah Strategi Pengurusan dan Pemuliharaan Tanah Tinggi. Sejumlah 194 juta ringgit disediakan untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi program alam sekitar.

Kerajaan akan terus menggalakkan pengeluaran tenaga yang dijana daripada sumber yang boleh diperbaharui serta mesra alam seperti biomass, kuasa hidro dan kuasa suria. Sehubungan ini, Kerajaan mencadangkan supaya tempoh tuntutan elaun modal ke atas perbelanjaan yang dibuat oleh syarikat bagi mengeluarkan tenaga untuk kegunaan sendiri yang dijana daripada sumber yang boleh diperbaharui dan mesra alam dipendekkan daripada di antara 4 dan 8 tahun kepada satu tahun.

Memastikan Malaysia Negara Aman dan Selamat

Kerajaan berazam untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan selamat dengan kadar jenayah yang rendah lagi terkawal. Kerajaan sememangnya menyanjung tinggi jasa angkatan tentera, polis serta pasukan beruniform lain yang sanggup berkorban demi menjamin keamanan yang kita kecapi bersama. Kecekapan mereka telah membolehkan kita memelihara kedaulatan undang-undang negara. 

Adalah penting untuk meningkatkan kehadiran polis di kawasan perumahan dan pusat perniagaan. Untuk meninggikan keupayaan dan keberkesanan pihak polis, Kerajaan akan menyediakan kelengkapan yang canggih, alat komunikasi dan kereta berkelajuan tinggi, di samping kemudahan dan pembaikan bangunan. Sebagai menghargai khidmat polis, sejumlah 107 juta ringgit disediakan bagi pelarasan gaji skim Perkhidmatan Polis. Di samping itu, skim gaji dan kemudahan Pasukan Gerak Khas (PGK) Polis Di Raja Malaysia dan Pasukan Komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah dikaji semula. Bagi menarik dan mengekalkan anggota PGK dan Komando ATM, Kerajaan telah bersetuju menambah bayaran insentif mulai 1 Januari 2005 daripada 375 ringgit kepada 600 ringgit sebulan bagi mereka yang berkhidmat selama 1 sehingga 10 tahun, 750 ringgit sebulan bagi 11 sehingga 15 tahun dan 900 ringgit sebulan bagi yang melebihi 16 tahun. Ini merupakan kenaikan bayaran antara 60 hingga 140 peratus. Kerajaan juga akan menambah kadar bayaran makanan harian untuk pelatih polis bagi memastikan mereka mendapat makanan seimbang dan berkhasiat. 

Masalah dadah yang masih menjadi musuh nombor satu negara akan ditangani dan sebanyak 150 juta ringgit diperuntukkan bagi meneruskan program pencegahan, rawatan dan pemulihan serta pengurusan 28 Pusat Serenti di seluruh negara. NGO seperti PEMADAM dan PENGASIH akan diberi peruntukan untuk membantu program menangani masalah dadah.

Menghargai Sumbangan Perkhidmatan Awam 

Kerajaan amat prihatin mengenai kos kehidupan golongan berpendapatan rendah, terutamanya mereka yang tinggal di bandar utama. Satu daripada kos ini ialah perbelanjaan ke atas sewa rumah. Untuk membantu kakitangan Kerajaan menampung kos sewa rumah mereka, kadar imbuhan tetap perumahan bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional gred 41 hingga 44 akan dinaikkan daripada 165 ringgit kepada 210 ringgit sebulan, manakala bagi Kumpulan Sokongan gred 1 hingga 40 dinaikkan daripada 135 ringgit kepada 180 ringgit sebulan. 

Kerajaan menghargai sokongan dan komitmen kakitangan sektor awam di atas sumbangan mereka dalam mencapai matlamat pembangunan negara. Kerajaan juga yakin kakitangan awam akan terus mempertingkatkan kualiti perkhidmatan, bertanggungjawab serta berdisiplin. Kelicinan jentera pentadbiran akan memastikan agenda nasional menjadi kenyataan. Sebagai menghargai jasa mereka dan memandangkan ekonomi negara kukuh dan terus mengembang, Kerajaan bersetuju untuk memberi bonus kepada kakitangan Kerajaan bagi tahun 2004. Untuk kakitangan yang berpendapatan sehingga seribu ringgit sebulan, mereka akan diberi bonus bersamaan satu setengah bulan gaji. Kakitangan yang berpendapatan melebihi seribu ringgit sebulan, bonus bersamaan satu bulan gaji akan dibayar tertakluk kepada bonus minimum seribu lima ratus ringgit. Bonus akan dibayar dalam dua ansuran, iaitu pada bulan Oktober dan Disember. 

PROSPEK EKONOMI 2005

Tuan Yang DiPertua, 

Saya telah menghuraikan kedudukan ekonomi dan hasrat Kerajaan untuk mengambil beberapa langkah bagi mengukuhkan lagi ekonomi negara. Dengan strategi yang telah saya gariskan, KDNK Malaysia dijangka berkembang pada kadar 6 peratus bagi tahun 2005. Pertumbuhan ini boleh dianggap sebagai satu kadar yang baik memandangkan persekitaran ekonomi dunia yang lebih mencabar. Pertumbuhan ekonomi dunia dijangka lebih perlahan pada kadar 4.4 peratus. Amerika Syarikat dijangka menaikkan kadar faedahnya secara berperingkat untuk mengekang masalah inflasi yang semakin meningkat. Harga minyak yang tinggi dan tidak stabil mewujudkan suasana tidak menentu yang mungkin akan memberi kesan kepada pertumbuhan global. 

Pertumbuhan ekonomi negara akan didorong oleh kegiatan ekonomi domestik berikutan peningkatan ketara pelaburan dan penggunaan swasta. Sektor pembuatan akan terus menerajui pertumbuhan ekonomi, dengan sektor perkhidmatan dan pertanian dijangka terus cergas. Selaras dengan pertumbuhan KDNK, pendapatan per kapita dijangka meningkat kepada 16,098 ringgit dan kuasa beli pariti bertambah kepada 10,163 dolar Amerika. Kedudukan perdagangan luar negara dijangka terus kukuh dengan perkembangan eksport mengatasi import. Inflasi juga akan kekal rendah, sementara negara akan terus mencatat gunatenaga penuh.

PENUTUP

Tuan Yang DiPertua,

Negara kita terus maju ke hadapan, menggarap dan mencapai kejayaan cemerlang mengikut corak pengurusan kita sendiri. Di samping bersyukur kepada Allah, tidak salah kita berbangga atas pencapaian ini, kerana inilah hasil kegigihan dan kesungguhan kita melipat gandakan usaha dan ikhtiar membangun negara ke tahap yang lebih unggul.

Kita perlu mengambil kesempatan daripada ekonomi yang mengukuh untuk melaksanakan perubahan struktur yang berani. Kita sama sekali tidak boleh leka dalam persekitaran dunia yang semakin mencabar, ditambah dengan arus globalisasi yang semakin deras. Adalah menjadi tangunggjawab setiap rakyat untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, meningkatkan jati diri dan meninggikan daya saing bagi membolehkan kita semua berdepan dengan sebarang cabaran.

Kemajuan dan kekuatan ekonomi bukanlah segala-galanya. Ia perlu dilihat sebagai landasan untuk mencapai kesejahteraan hidup dan keutuhan sosial. Lantas, perseimbangan kebendaan dan kerohanian sangatlah penting supaya akan terlahir tamadun yang agung. Kita perlu bersama-sama mengambil langkah memperkaya jiwa bangsa. Tradisi, budaya dan agama tidak seharusnya menjadi halangan kepada kejayaan, sebaliknya perlu digarap sebagai tunjang mendaki ke mercu kecemerlangan yang akan mengangkat martabat bangsa dan kewibawaan negara di mata dunia. 

Semoga rezeki yang dilimpahkan kepada kita mendapat keberkatan. Semoga kemakmuran yang dikurniakan kepada kita tidak pula menjadikan kita riak hingga melakukan amalan pembaziran. 

Semoga keamanan, keselamatan dan kestabilan politik akan terus kita nikmati dengan penuh kesyukuran dan akan kita pertahankan dengan segala kekuatan, keupayaan dan kesedaran bahawa keamanan, keselamatan dan kestabilan politik sangat-sangat diperlukan untuk menjayakan usaha-usaha kita ke arah kemajuan kejayaan bagi negara dan bangsa. 

Allah S.W.T berfirman dalam kitab suci Al-Quran yang bermaksud: 
Janganlah kamu melakukan kerosakan atau memporak-peranda bumi yang telah diislahkan (dimajukan) berdoa kepada Allah bersungguh-sungguh, sesungguhnya rahmat Allah itu berada di sisi orang-orang yang berbuat baik.

Semoga Allah S.W.T. memberi limpah kurnia rahmatNya dan mempermudahkan segala urusan kita dalam menjamin kesinambungan kejayaan. Insya-Allah.

Tuan Yang DiPertua,
Saya mohon mencadangkan.

Kongsi Konten di :
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:04
Asar 4:26
Maghrib 7:01
Isyak 8:14



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.