saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 02/02/1998

Dunia akan hadapi masalah air

SABAN tahun, Laporan Kualiti Alam Sekitar memberi gambaran menyedihkan mengenai keadaan sungai-sungai di negara ini. Laporan Alam Sekitar Suku Penggal 1997 menunjukkan keadaan pencemaran semakin serius. Daripada 45 batang sungai yang diawasi, pencemaran meningkat sebanyak 16 peratus. Hanya tujuh batang sungai diklasifikasikan bersih, manakala 25 batang sungai lagi sederhana cemar dan 13 batang sungai tercemar.

Pencemaran sungai yang dikesan meningkat tahun demi tahun - sekalipun kempen ''Sayangilah Sungai Kita'' sudah dilancarkan oleh kerajaan sejak 1993 lagi - sekali gus membayangkan tahap keprihatinan masyarakat masih amat rendah terhadap pemuliharaan sungai, yang merupakan 79 peratus sumber air bersih negara.

Sikap ini timbul mungkin kerana masyarakat beranggapan bahawa air adalah sumber kekal - air yang hilang akan diganti apabila datang hujan. Kesilapan ini menyebabkan sebahagiannya tidak berasa salah untuk terus menggunakan sungai sebagai ''pengangkut sampah''. Hakikatnya, air sebenarnya merupakan sumber terhad dan tidak ada penggantinya.

Menurut Penilaian Menyeluruh Sumber Bekalan Air Bersih Dunia yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada masa sekarang hanya 0.26 peratus daripada bekalan air dunia boleh digunakan sebagai air bersih.

Selebihnya, 97.5 peratus adalah lautan atau air yang terperangkap sebagai ketulan ais, glasiar, atau air dalam tanah. Sumber air bersih yang sedikit itu akan berkurangan lagi jika pencemaran sumber air terus-terusan berlaku.

Penilaian itu menjangkakan permintaan terhadap air akan meningkat dua kali ganda daripada kadar pertambahan penduduk. Dari tahun 1900 hingga 1995, permintaan terhadap air meningkat sebanyak enam hingga tujuh kali ganda, dan ia dijangka meningkat lebih tinggi dan cepat di masa depan.

Menjelang tahun 2025, PBB meramalkan dua pertiga penduduk dunia akan menghadapi masalah air, dan risiko berlakunya konflik air akan meningkat.

Menyedari kepentingan pemuliharaan sumber air bersih, Wetlands International-Asia Pacific (Wetlands) memilih ''Air'' sebagai tema Hari Tanah Lembab Sedunia yang disambut pada 2 Februari. Sehubungan itu, dan selari dengan sambutan Hari Air Sedunia pada 22 Mac nanti, suatu pameran dan seminar akan diadakan pada 20 hingga 27 Mac di Mines Wonderland.

Pengarah Operasi Wetlands, Kenny M.A berharap pameran dan seminar itu akan mendekatkan masyarakat dengan tanah lembab supaya mereka lebih memahami peranan dan fungsi tanah lembab sehingga timbul kesedaran ke arah pemuliharaan ekosistem tersebut.''

Beliau berkata, pemusnahan kawasan tanah lembab yang berlaku dua kali lebih pantas daripada pemusnahan hutan hujan tropika kurang diberi perhatian kerana adanya tanggapan bahawa kawasan itu tidak ada kepentingannya.

Satu kawasan tanah lembab yang penting ialah hutan paya bakau. Ia menyumbang kepada ekonomi dengan sumber lautnya yang kaya serta kayu yang bermutu tinggi, menyelamatkan harta benda dan nyawa dengan menghalang proses hakisan pantai dan menapis bahan cemar dari laut dan sebaliknya. Namun, desakan pembangunan membuatkan kawasan ini menjadi rebutan untuk ditimbus kembali atau dijadikan kawasan akuakultur. Akibatnya, banyak kawasan hutan bakau musnah.

Malaysia kini mempunyai kawasan paya bakau seluas 637,164 hektar di mana 70 peratus daripadanya (446,000 hektar) diwartakan sebagai Hutan Simpan Sementara dan 30 peratus adalah kawasan bakau negeri. Dalam tempoh 10 tahun dari 1980-1990, negara kehilangan 12 peratus hutan paya bakaunya, daripada kira-kira 505,000 hektar kepada 446,000 hektar. Dalam tempoh itu juga, kejadian hakisan pantai dikesan berlaku agak serius.

Bagaimanapun, negara kita bernasib baik kerana pihak berkuasa cepat menyedari keadaan itu. Sehubungan itu, kabinet pada tahun 1996 telah mengarahkan supaya kawasan paya bakau dalam jarak 400 ela dari pantai tidak diusik, dan ekoran arahan ini beberapa buah negeri telah memberhentikan kegiatan akuakultur atau pembangunan lain di kawasan bakau.

Di samping membekalkan air untuk kegunaan manusia, kawasan tanah lembab juga berperanan sebagai penebat banjir (menyimpan air dan mengalirkannya dalam jumlah yang lebih sedikit) dan menggantikan simpanan air bawah tanah yang telah digunakan.

Tahun ini adalah kali kedua Hari Tanah Lembab Sedunia disambut di peringkat antarabangsa. Pada tahun lalu, iaitu kali pertama hari ini diraikan, sejumlah 30 buah negara mengadakan pelbagai aktiviti bagi menyambut hari berkenaan.

Bagi rakyat Malaysia kata Kenny, hari tersebut seharusnya lebih istimewa sedikit berbanding hari-hari sedunia lain ialah kerana ia diilhamkan oleh rakyat Malaysia sendiri.

''Idea untuk mengadakan sambutan Hari Tanah Lembab Sedunia itu telah dicetuskan oleh Anwar Fazal, Pengerusi Wetlands International-Asia Pacific, yang mahu tarikh 2 Februari diisytiharkan sebagai hari tersebut.

''Tarikh 2 Februari itu dipilih bagi memperingati tarikh Konvensyen Ramsar di tandatangani pada 1971 di bandar Ramsar, Iran.'' Kini sejumlah 96 buah negara menandatangani konvensyen itu.

Konvensyen Ramsar adalah perjanjian antarabangsa mengenai tanah lembab yang menyediakan rangka untuk kerjasama antarabangsa dalam pemuliharaan habitat tanah lembab. Malaysia menandatangani konvensyen itu pada 10 Mac 1995.

''Kami mahu rakyat negara ini tahu akan kewujudan hari tersebut dan berbangga dengannya. Inilah satu-satunya hari antarabangsa yang tarikhnya dipilih oleh rakyat negara ini,'' ujarnya.

Beribu pejabat di Kuala Lumpur, Wetlands juga mempunyai pejabat-pejabat cawangan di Australia, Kemboja, China, India, Indonesia, Jepun dan Thailand.

Sejajar dengan misinya - untuk memapan dan memulihkan tanah lembab, sumber dan biodiversitinya untuk generasi akan datang melalui penyelidikan, pertukaran maklumat dan aktiviti pemuliharaan, di seluruh dunia - Wetlands menjalin hubungan rapat dengan agensi kerajaan dalam mewujudkan perancangan yang tidak memudaratkan alam sekitar.

''Kita bernasib baik kerana sekarang ini sudah banyak golongan pembuat keputusan yang tahu kepentingan pemuliharaan tanah lembab. Tugas kami sekarang ialah menyebarkan dan menyampaikan pengetahuan itu kepada masyarakat,'' kata Kenny.

Menurut beliau, tahap kesedaran orang ramai mengenai kepentingan tanah lembab masih agak rendah. Keadaan itu tegasnya harus diperbetulkan memandangkan tanah lembab adalah seumpama ''jantung'' ekosistem.

''Sekiranya jantung ini tidak berfungsi, ekosistem akan terjejas. Banyak spesis yang akan terjejas, atau juga pupus, termasuk juga manusia.

''Apa yang kami cuba lakukan ialah memaparkan suatu perkara positif yang boleh dilakukan masyarakat. Biasanya, orang tidak mengambil berat akan isu alam sekitar sehinggalah ada perkara buruk berlaku terhadap mereka,'' katanya.

Umpamanya kejadian jerebu teruk yang melanda negara September lalu. Orang mengadu mengenai jerebu tetapi tidak ramai yang sedar bahawa masalah itu berpunca daripada kelemahan pengurusan hutan paya gambut di Indonesia. Bagi mengelakkan berulangnya kejadian jerebu, pejabat cawangan Wetlands di Indonesia bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan serta agensi-agensi berkaitan di negara itu untuk memperkenalkan Sistem Pengurusan Bersepadu - pembangunan secara terkawal dan mapan - di kawasan paya gambut itu.

Sungguhpun mempunyai kerjasama erat dengan pelbagai agensi kerajaan, peranan Wetlands tidak begitu ketara kerana ia kebanyakannnya lebih banyak melakukan tugas ''di belakang tabir'' - iaitu memberi nasihat mengenai perancangan pelan dasar.

''Peranan kami yang paling menonjol ialah dalam pembangunan di Tasik Bera, satu-satunya kawasan Ramsar di negara ini yang melibatkan Wetlands secara langsung bersama DANCED (Kerjasama Denmark Untuk Pembangunan Alam Sekitar) dan kerajaan Pahang (Tasik Bera diisytiharkan sebagai kawasan Ramsar pada 10 November 1994).

''Satu lagi kawasan yang berpotensi dijadikan kawasan Ramsar ialah Pulau Kukup, sebuah pulau berpaya di tenggara Johor yang menjadi tempat persinggahan burung berhijrah.''

Pada masa ini Wetlands sedang mengkaji kepentingan pulau hutan paya di tenggara Johor itu kepada burung-burung penghijrah. Hasil kajian terperinci mengenai kesesuaian kawasan itu sebagai kawasan Ramsar diharap dapat diumumkan pada suku kedua tahun ini, tambahnya.

Kepentingan tanah lembab jelas apabila Global Environment Facility (GEF - Dana Alam Sekitar Sedunia) meminta Wetlands mengenal pasti kawasan-kawasan yang memerlukan pemuliharaan segera untuk dijadikan projek GEF. Setakat ini Wetlands dalam peringkat awalnya telah menemui beberapa kawasan di Sabah, Sarawak, Selangor dan Pahang yang sesuai dijadikan projek utama.

Dengan proses pemuliharaan itu, akan tiba satu masa di mana tanah lembab itu akan menjadi tarikan pelancong dan dimasukkan dalam agenda aktiviti eco-tourism.

''Pada pertengahan tahun ini, kami menjangkakan dapat mengeluarkan beberapa garis panduan penting sebagai inisiatif utama kepada aktiviti eko-tourism.

''Garis panduan itu juga akan menjelaskan segala kekaburan mengenai pembahagian kawasan yang menjadi tanggungjawab setiap agensi,'' ujarnya.

Sempena sambutan Hari Tanah Lembab Sedunia '98, setiap negara mempunyai cara yang tersendiri untuk meraikannya. Di Canada, Ducks Unlimited akan mengadakan majlis memungut derma untuk Pusat Pemuliharaan dan Interpretatif Paya Oak Hammond di Winniepeg. Di Indonesia, selain seminar, buku Pelan Strategi dan Tindakan Nasional Untuk Pengurusan Tanah Lembab Indonesia akan dilancarkan serta kempen kesedaran tanah lembab di kalangan kanak-kanak sekolah di sekitar Sungai Ciliwung.

Di Thailand, satu kelas daripada sebuah sekolah daerah di selatan Thai akan diberikan sesi istimewa pendidikan tanah lembab oleh Wetlands International-Thailand. Para pelajar itu akan dibawa ke pejabat Wetlands di Universiti Putera Songkla, Hat Yai untuk menonton dokumentari Wet Wonderland dan The Forgotten Forest serta dibawa melawat Pusat Pemuliharaan dan Pengeluaran Benih Hutan Bakau di Satun.

Oleh: NOOR HAZANI MUSA

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.