saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 09/02/1998

U.K's tidak akan berpatah arang


KUMPULAN U.K.'s bersama bekas pemain dramnya, Joey (dua dari kiri), mendakwa ada pihak yang tidak senang dengan penubuhan kumpulan itu.


DALAM dunia seni, selain glamor dan nama yang diperolehi, mereka yang terlibat di dalamnya tidak dapat lari daripada pelbagai masalah termasuklah berdepan dengan unsur-unsur negatif yang cuba menjatuhkan antara satu sama lain.

Demikian juga yang berlaku ke atas kumpulan U.K's yang merasakan kekecewaan ketika ini lantaran sikap segelintir pihak yang mahu mengambil kesempatan ke atas keutuhan kumpulan itu.

Kumpulan U.K.'s yang ditubuhkan semula tahun lalu dengan hanya seorang anggota asalnya yang masih kekal iaitu vokalis utamanya Amir, mendakwa ada pihak yang gemar melemparkan tuduhan melulu kepada mereka hingga mencetuskan keadaan yang kurang stabil kepada kumpulan tersebut.

Ini termasuklah penyingkiran salah seorang anggota U.K.'s iaitu pemain dram, Joey, sebelum hari raya lalu kerana dikatakan tidak berdisiplin.

Menurut Amir, mereka kesal dengan keadaan itu kerana U.K's sendiri tidak diberi kesempatan menjelaskan keadaan, sebaliknya hanya menerima pelbagai tohmahan yang dilemparkan.

Katanya, dengan situasi sedemikian, menyebabkan U.K.'s kadang-kala berasa tidak selesa apabila kerap digambarkan sebagai sebuah kumpulan yang gemar menimbulkan kontroversi.

Bagaimanapun, menurut Amir, kontroversi dirinya bersama U.K.'s dulu disifatkan sebagai satu takdir dan tidak dapat dielakkan, tetapi kini dia tidak mahu kembali mengulangi sejarah yang sama.

Dalam soal ini, Amir bagaimanapun yakin yang kumpulan U.K.'s tidak akan goyah dan terjejas dengan keadaan tersebut, meskipun mereka telah kehilangan salah seorang anggota. Selain Amir, U.K.'s kini dianggotai oleh Daniel, Awie dan Niel.

Katanya, banyak pihak juga sering menyalahtafsirkan tindakannya sewaktu bersama dengan U.K.'s dulu mahupun sekarang.

Dalam soal demikian, dia sering tidak diberi kesempatan untuk membetulkan keadaan.

Menurut Amir lagi, mereka belum menemui pengganti kepada Joey dan juga tidak merancang untuk mengambil anggota baru. Buat masa ini, mereka akan menggunakan khidmat sesionis dalam mana-mana promosi.

Amir memberitahu juga, kali ini, U.K.'s nekad untuk tidak lagi mencari pengganti sekiranya mereka akan kehilangan anggota lain pula.

''Apa saja yang berlaku kali ini biarlah kami bertahan dengan anggota yang ada. Kami tidak akan berpatah arang, berkerat rotan dalam soal ini. Kami tidak akan mencari pengganti kerana tidak mahu adanya masalah atau campur tangan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab,'' jelas Amir.

Katanya, U.K.'s sendiri telah serik dengan keadaan sedemikian dan tidak mahu keadaan negatif itu mengundang kehancuran di kemudian hari.

Bagaimanapun, menurut Amir, apa sahaja masalah yang timbul kepada mereka, album terbaru mereka Cuma Aku Yang Hidup, tetap mendapat tempat di kalangan pendengar terutama peminat setianya.

Kini, album tersebut telah mencecah hampir 60,000 unit sejak dipasarkan kira-kira tiga bulan lalu.

Lagu-lagu daripada album tersebut yang mendapat tempat ialah Kerana Pepatah Lukaku Berdarah dan Pahit Ku Telan Jua.

Amir memberitahu, dengan jualan sedemikian menyakinkan mereka yang U.K.'s masih bertahan sebagai salah sebuah kumpulan popular di negara ini dan masih mendapat tempat di hati peminat walaupun kemunculan mereka sering diiringi dengan kontroversi.

''Ini petanda baik terhadap kumpulan kami. Dan tidak ada sebab untuk kami mengalah, kalaupun ada pihak yang tidak senang dengan kejayaan kami.

''U.K.'s tidak akan mudah mengalah dengan keadaan tersebut dan mahu terus bertahan selagi boleh,'' tegas Amir.

Sementara itu, Eksekutif Promosi BMG, Rouslan Mokhtar berkata, sambutan terhadap lagu-lagu U.K.'s amat menggalakkan walaupun keadaan ekonomi negara masih tidak menentu.

''Ini menyakinkan kami yang U.K.'s sebenarnya masih kukuh dalam hati peminat-peminat setianya. Dan kami yakin yang album ini mampu mengulangi sejarah U.K.'s atau setidak-tidaknya mampu mencecah lebih 100,000 unit,'' jelasnya.

Katanya, syarikat rakaman itu juga akan tetap meneruskan promosi album U.K.'s di seluruh negara walaupun kumpulan itu kini tinggal berempat.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.