saya nak baca ..

GAYA HIDUP


ARKIB : 13/02/1998

Uniten, UPM sedia buktikan kemampuan

''Tidak perlulah mengambil tindakan undang-undang terhadap kolej (yang memburuk-burukkan Uniten) itu,'' kata beliau yang menerima secara positif segala tohmahan itu.

''Ini semua lumrah dunia. Kita faham masalah pancing memancing pelajar yang kian ketara sekarang,'' tambah pensyarah yang pernah berbakti di sebuah universiti terkemuka di luar negara sebelum berkhidmat di Lembaga Letrik Negara (LLN) dan seterusnya sebagai rektor Uniten.

Beliau mengulas laporan Utusan Pendidikan baru-baru ini mengenai tindakan kolej swasta memburuk-burukkan universiti awam dan swasta bagi memancing pelajar tajaan Mara dan JPA meneruskan pengajian ke kolej berkenaan.

Perkara itu didedahkan oleh Exco Pendidikan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Mubarak Alwi Mohamad.

Kata Mubarak, PKPIM menerima banyak laporan dan aduan daripada para pelajar mengenai tindakan sebuah kolej swasta menghantar surat dan memujuk mereka memilih kolej itu untuk meneruskan pengajian.

Mengulas perkara itu, Dr. Tajul berkata, walaupun Uniten masih baru tetapi telah teguh, jadi tidak perlu melatah. Beliau menggambarkan keteguhan dengan memberitahu, pengambilan pada tahun ini sebanyak 2,000 pelajar tajaan Mara dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Pengambilan sesi Mei adalah sebanyak 1,500 pelajar dan ditambah 500 lagi pada semester kedua sesi November.

Mengenai pelajar yang tidak ke luar negara kerana kegawatan ekonomi, Dr. Tajul berkata, lebih kurang 100 pelajar berkenaan ''ada bertanya dan sebahagiannya telah mengemukakan permohonan melanjutkan pelajaran di Uniten''.

Ditanya masalah pemindahan kredit pelajar-pelajar yang telah beberapa semester belajar di luar negara, beliau berkata, tidak menjadi masalah untuk melakukan pemindahan kredit bagi pelajar yang telah belajar di universiti-universiti diiktiraf kerajaan serta universiti-universiti terkemuka.

Berdasarkan fakta bahawa pertambahan permohonan dan pengambilan pelajar berlaku di Uniten tahun ini, beliau menegaskan, kekuatan universiti swasta itu telah menceritakan sendiri kewibawaannya, walaupun usianya masih setahun jagung.

Sedangkan, kata beliau, ''permohonan untuk melanjutkan pelajaran di kolej-kolej swasta negara hanya beberapa peratus sahaja, tidak cukup pelajar''.

Menurut Dr. Tajul, setakat ini Uniten belum menerima aduan daripada mana-mana pelajar mengenai tohmahan yang memburuk-burukkan universiti itu.

Tambah beliau, Uniten sebenarnya bukan kekurangan pelajar atau kemudahan - seperti yang didakwa segelintir kolej swasta itu - sebaliknya kekurangan pensyarah kerana pertambahan pelajar.

Beliau menegaskan, penubuhan universiti-universiti swasta seperti Uniten bukan bertujuan untuk 'menabur pasir ke dalam periuk nasi orang'.

''Sebaliknya, kita cuma mahu menolong pelajar dan keluarga pelajar yang tidak dapat ke luar negara kerana masalah kewangan,'' katanya.

Menurut Dr. Tajul, dengan belajar di Uniten, akan dapat menjimatkan sehingga RM50,000 setiap seorang berbanding belajar di luar negara.

Katanya, Uniten terus komited dengan usaha penjimatan itu dengan menambah pengambilan ekoran siapnya fasa pertama kampusnya pada Disember 1996.

''Jadi nasihat saya kepada para pelajar, datang sendiri ke kampus Uniten, tengok sendiri, nescaya mereka tertarik meneruskan pengajian di sini,'' ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Kamel Ariffin Mohd. Atan, kolej-kolej swasta jangan terlalu ghairah memancing pelajar tajaan Mara atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang tidak dapat ke luar negara berikutan krisis nilai ringgit sehingga menyebarkan tohmahan keburukan universiti awam dan swasta.

Sebaliknya kolej swasta perlu lebih berhati-hati mengendalikan program pendidikan tinggi terutama mempertingkatkan kualiti pengajaran kalangan kakitangan akademiknya.

Beliau berkata tidak mudah mengendalikan program pendidikan tinggi kerana ia satu bidang agak rumit.

''Kolej-kolej swasta mampu mengendalikan program pendidikan tinggi yang canggih, misalnya sains komputer, menggunakan peralatan perisian terkini. Tetapi mampukah kolej-kolej ini melahirkan insan cemerlang yang berfikiran luas dan berakhlak?'' katanya.

Dr. Kamel menjelaskan, matlamat program pendidikan tinggi bukan sekadar melahirkan insan cemerlang dalam bidang pengajian, sebaliknya bertanggungjawab membentuk graduan cemerlang yang syumul iaitu berakhlak, berfikiran luas dan memiliki tingkah laku baik.

Selain itu, kata Dr. Kamel, jika mahu dibuat perbandingan di antara kedua-dua institusi itu, pengalaman universiti awam mengendalikan program pendidikan tinggi di negara ini lebih banyak berbanding kolej-kolej swasta.

Menurut beliau, pengalaman itu membolehkan IPTA menawarkan program pengajian yang lebih baik, termasuk mempunyai lebih banyak tenaga pengajar berijazah doktor falsafah yang kepakaran mereka diiktiraf di peringkat dunia.

''Beberapa IPTA sudah pun berusia lebih 20 tahun dan tentunya pengalaman itu amat berharga dan bernilai dalam mengurus program pendidikan tinggi.

''Sepatutnya pihak pengurusan kolej meminta nasihat dan panduan daripada IPTA untuk mengurus institusi masing-masing, bukannya memburuk-burukkan IPTA,'' katanya.

Beliau meminta IPTA dan kolej-kolej swasta berkerjasama merealisasikan cita-cita kerajaan menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan ilmu di rantau ini.

Kata Dr. Kamel, kerjasama itu menguntungkan kedua-dua institusi apabila ia dapat meningkatkan keyakinan orang luar terhadap kelebihan melanjutkan pelajaran tinggi di negara ini.

Beliau meminta kolej swasta berhenti memburuk-burukkan IPTA untuk memancing pelajar kerana ia boleh menjejaskan keyakinan orang luar terhadap pendidikan tinggi di universiti tempatan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:15
Asar 4:38
Maghrib 7:11
Isyak 8:26



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.