saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 08/03/1998

Permasalahan kahwin campur -- Permasalahan kahwin campur


Dr. Nik Rahim Nik Wajis.


MUKADIMAH -- KONFLIK dalam perkahwinan campur khususnya membabitkan lelaki Islam dengan wanita bukan Islam khususnya wanita Barat nampaknya semakin ketara sejak akhir-akhir ini.

Antara implikasi paling menyayat hati ialah perebutan anak hasil perkongsian hidup pasangan terbabit selepas bercerai.

Kisah bapa yang terpaksa membawa 'lari' anaknya ke Malaysia daripada jagaan ibu mereka di negara Barat yang jauhnya beribu-ribu kilometer bukan kisah baru dalam media massa tempatan.

Boleh dikatakan, pendapat umum di Malaysia dalam kes seumpama ini memihak kepada si bapa yang lazimnya berkata mereka berbuat demikian untuk menyelamatkan akidah anak-anak.

Persoalannya, siapakah yang harus dipersalahkan dan apakah iktibar yang boleh diambil oleh individu Muslim yang berkahwin khususnya dengan wanita Barat dalam kes serupa ini ?

Mendasari masalah ini, wartawan Mingguan Malaysia, Ruhaidini Abd. Kadir meninjau pandangan Penolong Profesor, Kulliyah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr. Nik Rahim Nik Wajis mengenai konflik rumah tangga yang mungkin boleh menular menjadi isu diplomatik antara dua negara.

PERKAHWINAN dari berlainan bangsa atau dikenali juga dengan 'kahwin campur' bukanlah perkara yang asing dan pelik.

Ia telah berlaku saban waktu dalam masyarakat seluruh dunia dan tidak ketinggalan rakyat negara kita yang merantau ke luar negara dan berkahwin dengan rakyat asing di negara mereka atau rakyat Malaysia yang berkahwin dengan rakyat negara luar yang datang ke negara kita.

Perkara seperti ini sebenarnya diterima dan ia selari serta tidak bercanggah dengan ajaran Islam yang tidak membezakan di antara bangsa dan warna kulit.

Ini kerana perkahwinan ini telah memenuhi syarat utama di dalam Islam iaitu pasangan tersebut mestilah beragama Islam.

Larangan hanya terdapat di dalam perkahwinan dengan mereka yang bukan Islam. Di dalam al-Quran, Allah berfirman: Janganlah kamu mengahwini wanita-wanita musyrik sehinggalah mereka beriman, sesungguhnya seorang hamba yang mukmin itu lebih baik daripada wanita yang musyrik meskipun kamu menyukainya.

Berdasarkan ayat itu, larangan berkahwin secara automatik terangkat apabila wanita tersebut memeluk Islam.

Pada pandangan saya, berkahwin campur tentunya ada kebaikannya namun tidak kurang juga ada keburukannya apalagi jika perkahwinan itu di antara rakyat tempatan dengan rakyat dari luar negara.

Fokus perbincangan kita kali ini ialah tentang suami dari rakyat tempatan yang mengahwini wanita dari bangsa asing. Pada dasarnya Islam tidak melarang perkahwinan seumpama ini jika sekiranya pasangan tersebut sudah memeluk Islam.

Di antara kebaikan perkahwinan campur pertamanya ialah pasangan itu berpeluang untuk berkenalan di antara satu sama lain. Bukan sahaja dengan pasangannya bahkan seluruh keluarga yang terlibat dan ini bertepatan dengan hikmah atau tujuan Allah mencipta manusia dari berbilang bangsa, puak dan kaum.

Namun di sini kadangkala akan timbul masalah khususnya bagi kita umat Islam.

Jika pasangan tersebut dari negara Barat contohnya, tentulah sukar bagi kita untuk menerima sesetengah adat serta amalan yang mereka lakukan.

Meminum arak, pergaulan bebas, berzina, berjudi adalah di antara amalan yang sukar dihapuskan dan ini seolah-olah sudah sebati di dalam kehidupan mereka bahkan ia boleh dikira sebagai sebahagian dari hidup mereka.

Bagaimana boleh kita pastikan bahawa isteri yang dikahwini adalah suci kerana amalan seks bebas yang berleluasa di dalam masyarakat mereka.

Sebagai suami tentunya tidak manis jika terus membelakangkan keluarga wanita yang dikahwini. Ini kerana, meskipun wanita itu telah dikahwini, namun ibu bapa mereka tetap perlu dihormati walaupun mereka tidak memeluk Islam.

Satu lagi masalah yang mungkin timbul berkaitan dengan adat istiadat dan saya melihat ini pasangan akan mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan adat istiadat pasangan mereka.

Jika pasangan yang dilahirkan di negara Barat dan hidup pula di dalam kemewahan, maka mungkin mereka agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan rakyat tempatan dan kadangkala ini juga boleh mendorong kepada ketidaksefahaman dan akhirnya membawa kepada perceraian.

Kedua, selain peluang untuk memahami dan mengamalkan adat resam serta budaya berbeza, faktor bahasa juga dikira advantage kerana dengan berkahwin seseorang itu memiliki 'kamus hidup', yang pasti akan membantu dalam menguasai sesuatu bahasa.

Namun, di sini juga masalah akan timbul. Masalah ini bukan di antara pasangan tersebut yang pastinya boleh berkomunikasi dengan sesuatu bahasa, tetapi dengan keluarga pasangan.

Bernasib baiklah jika ibu bapa boleh memahami bahasa pasangan tersebut, jika tidak ia boleh menimbulkan masalah dalam keluarga tersebut.

Ketiga, di samping boleh berkenalan, memahami budaya asing serta penguasaan bahasa yang berbeza, pasangan terbabit juga jika bernasib baik berpeluang untuk memperolehi anak-anak yang mempunyai rupa yang berbeza.

Bagi kebanyakan orang, mempunyai anak serta cucu dari pelbagai rupa tentunya menceriakan.

Bayangkan jika di dalam satu keluarga, ada anak yang rupanya orang Inggeris, ada wajahnya seperti Arab dan sebagainya. Tentunya ia menjadi kebanggaan.

Keempat, perkahwinan campur antara rakyat tempatan dengan orang luar dikira sebagai satu perjuangan dan dakwah yang besar. Mereka boleh dikira sebagai penyelamat khususnya jika pasangan tersebut sebelum berkahwin bukan seorang Muslim.

Ini kerana mereka telah berjaya meyakinkan pasangannya dengan agama yang sebenar iaitu Islam yang telah mengubah hidup mereka dari kegelapan kepada cahaya Islam.

Namun, perkara yang perlu diberi perhatian serius di sini ialah tentang komitmen suami terhadap isteri yang baru memeluk Islam.

Isteri seharusnya diberi kefahaman sebenar tentang Islam. Niat mereka perlu diperbetulkan. Memeluk Islam bukan kerana ingin berkahwin tetapi kerana keyakinan dan kebenaran Islam yang telah mula dilihat.

Keyakinan, keikhlasan di dalam memeluk Islam adalah amat penting bagi menjamin seseorang yang memeluk Islam kekal berada di dalam agama yang suci meskipun jodoh mereka kadangkala tidak kekal.

Ramai yang memeluk Islam hanya kerana cinta dan ingin berkahwin tetapi apabila berpisah lantas kembali kepada agama asal.

Suami di dalam hal ini perlu memainkan peranan mereka di dalam mendidik isteri agar benar-benar faham akan agama Islam yang suci ini.

Sememangnya di dalam perkahwinan, perceraian adalah antara perkara yang lumrah berlaku. Namun, perkara seperti ini perlulah dijauhi. Amalan talak atau cerai adalah satu amalan yang dibenci oleh Allah meskipun ia adalah harus pada hukum syarak.

Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud "sebenci-benci perkara yang halal di sisi Allah ialah talak' menggambarkan kepada kita bahawa talak meskipun harus, ianya bukan suatu yang boleh dijadikan mainan.

Perceraian menimbulkan banyak masalah bukan sahaja kepada suami tetapi memberi kesan yang sangat dahsyat kepada anak-anak. Keadaan akan menjadi lebih rumit jika isteri berasal dari luar negara.

Menurut Seksyen 82, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, ibu adalah orang yang paling berhak menjaga anak kecilnya semasa masih di dalam perkahwinan dan selepas perceraian.

Namun persoalannya, adakah si suami rela meninggalkan anaknya bersama ibu mereka di luar negara sedangkan si suami tidak begitu yakin dengan akidah bekas isterinya ?

Si isteri mungkin akan kembali kepada agama asal dan anak-anak juga mungkin terikut-ikut dengan fahaman ibu mereka dan di atas kebimbangan ini si bapa sanggup 'melarikan' atau 'menculik' anak sendiri untuk dibawa pulang ke tanah air.

Jika si isteri telah murtad, sememangnya jelas bahawa tindakan suami adalah tepat tetapi itu pun selepas mahkamah memastikan bahawa segala bukti tentang dakwaan murtad adalah benar.

Ini berdasarkan kepada Seksyen 83 yang menyebut bahawa hak penjagaan (hadanah) seorang wanita akan hilang apabila wanita itu murtad dan kembali kepada agama asal mereka.

Berdasarkan beberapa peristiwa yang pernah menjadi berita utama di media massa tempatan, saya melihat bahawa perkahwinan campur khususnya antara lelaki Islam Malaysia dengan wanita Barat banyak menimbulkan masalah apabila berlaku perceraian.

Lantaran itu, saya berpendapat bahawa perkahwinan seperti ini jika boleh, hendaklah dielakkan demi menjaga keharmonian hidup kita, anak-anak, keluarga, masyarakat bahkan negara.

Ini kerana masih ramai wanita tempatan yang mampu memberikan kebahagiaan kepada kita. Kenapa harus memilih 'barangan import' sedangkan 'barangan tempatan' lebih bermutu atau setidak-tidaknya setaraf dengan 'barangan import'.

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat perkahwinan yang seumpama itu boleh bertahan selama-lamanya tanpa sebarang masalah yang besar.

Pokok pangkal adalah terletak kepada keyakinan serta kesanggupan kita untuk menangani masalah yang berlaku dan tidak mudah menggelabah di dalam menghadapi situasi yang mencabar.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:13
Asar 4:36
Maghrib 7:10
Isyak 8:24



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.