saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 24/03/1998

Di mana masakan Melayu?

BOLEHKAH anda membayangkan keenakan ikan sembilang masak lomak lado api hidangan orang Negeri Sembilan?

Mungkin air liur lebih meleleh membayangkan masakan tempoyak orang Perak atau ikan parang masak asam pedas keistimewaan Melaka.

Dari Pantai Timur pula mungkin kita memilih ayam atau ikan kembung percik di selang dengan budu dan timun. Ada juga di antara kita yang kempunan mencari umbut kelapa dimasak lemak putih. Orang Kedah pula mungkin lebih memilih umbut pisang hutan dimasak dengan daging lembu.

Ikan sepat siam atau sepat ronggeng yang digoreng dan dihidang bersama sambal belacan yang ditumbuk bersama buah bacang mungkin dapat membuka selera orang yang sedang demam. Begitu juga dengan ulam pucuk raja atau pucuk mangga selain daripada jering muda dan rebus jantung pisang.

Semua hidangan ini pasti membuka selera kita. Persoalannya ialah, di manakah boleh kita memperoleh masakan sedemikian? Pada waktu makan tengah hari, mungkin ada beberapa kedai atau warung yang menyediakan hidangan berkenaan. Di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang, jika rajin mencari, dapatlah kita menikmati makanan berkenaan.

Bagaimana pula pada waktu malam.? Inilah persoalannya. Pada waktu malam, gerai-gerai yang berselerak hanya menyediakan masakan import seperti tomyam dan makanan laut. Tidak kira di mana letaknya gerai berkenaan, yang pasti peniaganya tidak menjual masakan Melayu tradisional.

Kenapa agaknya? Sudahkah rakyat Malaysia berubah cita rasa atau adakah kerana mereka sudah bosan dengan masakan tempatan dan hidangan ibunda mereka sendiri? Selain daripada tomyam dan makanan laut yang mendapat tempat di hati rakyat Malaysia, beberapa restoran tertentu juga menghidangkan masakan import yang lain.

Ada yang membuka restoran masakan Itali, Perancis, Iran, Pakistan, India dan sebagainya. Semuanya mendapat perhatian dan sokongan daripada rakyat Malaysia. Yang cuba-cuba memakan ikan, daging, siput dan udang mentah di restoran-restoran Jepun pun banyak juga.

Kenapa agaknya peniaga Melayu tidak mahu lagi menjual masakan Melayu masih menjadi tanda tanya. Di gerai atau restoran yang masih menjual masakan Melayu tradisional, nampaknya masih ada keganjilan. Gerai dan restoran itu dijalankan oleh pendatang asing.

Orang Melayu yang menjadi peniaga asal sudah menyewakan premis perniagaan mereka kepada orang seberang. Mereka sendiri membuat premis lain -- tentunya menjual tomyam dan masakan laut. Yang tidak meneruskan perniagaan, mencari peluang dalam arena lain termasuk politik tanah air. Maklumlah, ada orang melihat politik sebagai saluran untuk berkhidmat, tetapi banyak pula yang melihatnya sebagai potensi yang lebih besar daripada berniaga makanan.

Kalau mahu mencari masakan Melayu juga, terpaksa menunggu majlis-majlis tertentu. Umpamanya, untuk mendapatkan rendang yang terbaik, terpaksa menunggu musim Hari Raya atau kenduri perkahwinan. Majlis perkahwinan pun belum tentu menjanjikan masakan tradisional jika dilangsungkan di hotel atau dewan-dewan tertentu.

Untuk mendapatkan masak lemak umbut kelapa atau nangka dimasak lemak bersama ikan masin, terpaksa pergi ke majlis-majlis perkahwinan di kampung-kampung atau pedalaman.

Tatkala kita membayang-bayangkan keenakan masakan Melayu, elok juga kita memikir-mikirkan beberapa perkara yang semakin layu. Lagu-lagu Melayu dan penggunaan bahasa Melayu di radio dan TV semakin tersisih. Iklan-iklan berbahasa Melayu semakin tidak mendapat tempat sehingga akhbar-akhbar berbahasa Melayu kehilangan sumber pendapatan.

Perkampungan Melayu juga sudah bertukar Melayunya. Lihatlah di Kampung Datuk Keramat dan Kampung Pandan di Kuala Lumpur, sebagai contoh. Tukang jahit, tukang kasut di kaki-kaki lima, penjual air batu dan penjual nasi lemak, semuanya sudah bertukar Melayunya.

Kata pahlawan Melayu, Hang Tuah, ''Takkan hilang Melayu di dunia'' Benarkah itu? Apalah gunanya jika Melayu hanya tinggal pada nama sedangkan masakan sendiri sudah tidak Melayu lagi...!

* Badrul Hisham Aziz ialah Ahli Parlimen Hulu Langat.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.