saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 29/03/1998

Rubiah Lubis mahu rakamkan lagu-lagu lama

Ketika itu tidak salah kalau dikatakan Rubiah bukan hanya mengecapi populariti sebagai penyanyi bersuara merdu malah kelantangannya menyanyikan lagu-lagu Inggeris berjaya memikat peminat yang bukan saja terdiri daripada kalangan orang Melayu tetapi juga dari lain-lain kaum.

''Hinggakan ramai yang menyangka saya bukan orang Melayu kerana kerap menyanyikan lagu-lagu bahasa Inggeris atas permintaan ramai,'' akui Rubiah yang tetap jelita dan anggun ketika ditemui baru-baru ini.

Jadi tidak hairanlah sekiranya penyanyi tersebut mendapat jolokan Connie Francis Penang pada masa itu.

Rubiah, 53, yang berasal dari negeri Pulau Mutiara itu begitu senang untuk mengimbas kembali nostalgia yang masih tersimpan kukuh di hatinya walaupun sudah lebih 20 tahun tidak aktif dalam bidang itu.

Kata Rubiah, pembabitan beliau dalam bidang nyanyian pada masa itu sama sekali tidak diduganya, segalanya datang secara tiba-tiba, terutama sekali memandangkan beliau bukan berasal dalam keluarga seni.

Bukan itu saja kata Rubiah, niatnya untuk membabitkan diri dengan lebih aktif dalam bidang nyanyian ketika itu juga tidak disukai oleh kaum keluarganya.

''Orang seni pada zaman itu memang dipandang serong sikit oleh masyarakat jadi saya tidak digalakkan oleh keluarga untuk bernyanyi. Boleh dikatakan banyak bantahan dan alasan diberikan untuk menghalang saya meneruskan minat saya itu.

''Tetapi kerana minat yang amat kuat, saya teruskan juga dengan meyakinkan keluarga bahawa saya akan menjaga diri dengan sebaiknya,'' kata Rubiah.

Beliau juga mengakui bahawa ketika bersekolah lagi beliau sudah mula memberanikan diri untuk menyertai pertandingan nyanyian yang diadakan di Pulau Pinang.

Ketika menetap di Pulau Pinang, Rubiah juga turut mengembangkan bakatnya di kelab-kelab malam sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk merantau ke Kuala Lumpur.

Di Kuala Lumpur, beliau berjaya mengembangkan satu lagi bakat beliau iaitu sebagai penyiar di radio.

''Saya mula bekerja dengan RTM pada tahun 1973 hinggalah tahun 1981 sebagai penyiar dan penterjemah. Setelah dua tahun berhenti akhirnya saya dipanggil semula oleh RTM dan sehingga sekarang saya masih setia dengan RTM,'' kata Rubiah.

Ketika aktif menyanyi dulu Rubiah sempat melahirkan empat EP dan antara lagu-lagu yang cukup popular daripada EP tersebut ialah Katakan dan Tunggulah.

Beliau bukan saja menyanyikan lagu-lagu pop tetapi turut memilih lagu-lagu asli yang turut diminatinya.

Populariti dan kepetahan Rubiah itu juga sering menjadikan diri beliau pilihan penerbit untuk mengacarakan rancangan-rancangan hiburan di TV ketika itu.

Selain Hiburan Minggu Ini (HMI), Rubiah juga pernah mengacarakan rancangan hiburan khas yang dinamakan Tiga Juita bersama dua orang penyanyi lagi iaitu Sarena Hashim dan Asiah Tuah pada tahun 70-an.

Malah pada tahun 1996 lalu, beliau menerima penghargaan untuk mengendalikan program hiburan Inggeris, Golden Evening selama 13 minggu sebagai pengacara.

Bukan itu saja, pembawaan, penampilan dan bakat beliau sebagai penyanyi serba boleh itu juga sering membawanya ke istana sebagai penyanyi jemputan untuk majlis tertentu khas yang dianjurkan di situ.

Beliau mula memperlahankan langkah dalam bidang nyanyian pada tahun 1983 kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian dalam bidang penyiaran dan keluarganya.

Hari ini walaupun tidak aktif lagi dalam bidang nyanyian namun Rubiah tetap sibuk dengan tugasnya sebagai penyampai berita di Radio 4.

Walaupun kini sudah lebih 25 tahun beliau berkhidmat dengan RTM, kata Rubiah, namun beliau tidak pernah merasa bosan dengan tugas itu.

''Saya cukup gembira dengan tugas di bidang penyiaran ini,'' kata beliau.

Malah kesetiaannya kepada RTM menyebabkan suara merdu beliau terus berkumandang di siaran tersebut walaupun pernah mendapat tawaran lumayan daripada stesen radio swasta.

''Pernah juga terniat untuk bertukar tempat tetapi dihalang oleh kesetiaan yang sudah sekian lama tertanam di hati sejak dulu lagi.

''Tidak mungkin saya mengkhianati tempat yang banyak berjasa kepada saya,'' katanya.

Selain itu kata Rubiah, kelembutan suara beliau juga sering menjadi tarikan untuk suara latar dalam iklan TV.

''Sekali-sekala saya juga mendapat undangan untuk menyanyi,'' kata Rubiah.

Kerja-kerja seperti itu juga yang menjadikan beliau sering kesibukan setiap hari.

Walaupun sibuk, ibu kepada lima orang anak itu juga tetap mengutamakan tanggungjawabnya untuk keluarga.

Menyentuh tentang ura-ura bahawa beliau berhasrat untuk merakamkan semula lagu-lagu daripada EPnya dulu, kata Rubiah, beliau masih menantikan masa yang sesuai.

''Mungkin sedikit masa lagi bila masa sesuai dan keadaan mengizinkan, saya juga berkeinginan untuk merakamkan lagu-lagu dulu semula,'' harap Rubiah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:13
Asar 4:36
Maghrib 7:09
Isyak 8:24



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.