saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 11/04/1998

Menipu: Bekas SUK Melaka dipenjara setahun


ABDUL Rahman Jamal (tengah) yang didapati bersalah atas tuduhan menipu diiringi oleh anggota polis ketika dibawa keluar dari pekarangan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam. - Gambar SAHARUDDIN ABDULLAH.


KUALA LUMPUR 10 April - Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Rahman Jamal dijatuhi hukuman penjara setahun setelah Mahkamah Sesyen di sini hari ini mendapati dia bersalah menipu ketika mengemukakan cadangan melaksanakan Projek Kompleks Sukan Negeri.

Hakim Mohamad K. Abdul Rahman memutuskan demikian setelah mendapati pembelaan tertuduh bukan sahaja tidak boleh diterima malah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah kepada kes pendakwa.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan peguam K. Selladurai supaya pelaksanaan hukuman terhadap anak guamnya ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi manakala jaminan RM10,000 dikekalkan dengan seorang penjamin.

Mohamad juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nordin Hassan yang dibantu oleh Ahmad Bache supaya pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mohamad mendapati Abdul Rahman bersalah atas tuduhan menipu ketika mengemukakan cadangan melaksanakan projek Kompleks Sukan di Paya Rumput yang dianggarkan berharga RM260 juta.

Abdul Rahman, 51, kini adalah Timbalan Ketua Pengarah di Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Dia didakwa menipu antara 25 Februari dan 15 April tahun lalu di pejabat Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Kompleks Pejabat-pejabat Kerajaan, Jalan Duta di sini.

Abdul Rahman didapati bersalah atas tuduhan memperdayakan pegawai Bahagian Pengurusan Perolehan di kementerian itu bahawa kerajaan negeri telah mencadangkan pembinaan kompleks dilaksanakan oleh Geahin Engineering Berhad dan Johawaki Sdn. Bhd.

Tindakannya mendorong pegawai di kementerian berkenaan menyediakan memorandum untuk pertimbangan Menteri Kewangan mengenai cadangan pembinaannya secara rundingan terus.

Dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Perbicaraan yang bermula pada 23 Februari lalu berlangsung selama 10 hari setelah mahkamah mendengar keterangan 21 saksi.

Mohamad ketika membaca penghakimannya berkata, mahkamah tidak dapat menerima pembelaan bahawa Abdul Rahman diarahkan oleh Bekas Ketua Menteri Melaka, Allahyarham Datuk Seri Mohd. Zin Abdul Ghani supaya menulis surat cadangan untuk kelulusan Kementerian Kewangan.

Ini kerana menurut Mohamad, tiada keterangan sokongan bahawa Allahyarham mengarahnya menulis surat bertarikh 24 Februari tahun lalu yang mencadangkan pelaksanaan projek itu secara usaha sama oleh Johawaki Sdn. Bhd. dan Geahin Engineering Berhad.

Katanya, adalah tidak munasabah hanya mereka berdua (Ketua Menteri dan Abdul Rahman) bertanggungjawab memutuskan projek sebegitu besar yang sepatutnya memperolehi suara mesyuarat Exco.

Lagipun kata Mohamad, pembela gagal membuktikan bahawa Ketua Menteri pernah mengeluarkan ancaman kepada Abdul Rahman sehingga boleh menjejaskan kerjayanya jika enggan menurut perintah.

Tegasnya lagi, mahkamah juga tidak dapat menerima keterangan Abdul Rahman bahawa dia tidak dibenarkan bersuara ketika mesyuarat Exco bersidang kerana Fasal 7A(2) Perlembagaan Negeri Melaka, jelas memberinya kuasa mengambil bahagian.

Mohamad berpuas hati, pendakwa bukan sahaja berjaya membuktikan kesalahan menipu malah surat yang dihantar kepada kementerian juga mengandungi butir-butir palsu kerana Ketua Menteri tidak pernah mengarahkannya berbuat demikian.

Mahkamah juga mendapati, saksi-saksi pembela yang lain tidak dapat membantu kes pembelaan kerana mereka tidak dapat memastikan bahawa arahan sememangnya datang daripada Ketua Menteri.

Sebelum itu, Selladurai merayu anak guamnya dijatuhi hukuman ringan kerana kesalahan itu bukan sahaja yang pertama dilakukannya malah lelaki tersebut tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib sepanjang perkhidmatannya selama 27 tahun.

Lagipun kata pembela, tiada bukti bahawa Abdul Rahman memperoleh manfaat daripada perbuatannya.

Menurut Selladurai, sabitan akan menghapuskan segala faedah persaraan manakala malu yang ditanggung sepanjang perbicaraan sudah cukup menghukum tertuduh dan keluarganya.

Bagaimanapun, Nordin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tindakannya memperdayakan pegawai-pegawai kementerian tidak boleh dipandang ringan dan bakal melibatkan RM260 juta wang rakyat.

Menurut pendakwa, Abdul Rahman semasa melakukan kesalahan itu bukan sebarangan orang kerana dia memegang jawatan tertinggi di peringkat negeri dan sepatutnya menjadi contoh kepada pegawai lain.

Oleh: NORLIZAH ABAS

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.