saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 11/04/1998

Bertemu Innuendo

SATU panggilan telefon dan kiriman tiket percuma yang menjemput ke konsert sebuah kumpulan baru dari Malaysia telah memaksa penulis merujuk kepada anak terunanya yang lebih arif tentang dunia muzik tanah air terkini.

Innuendo? Kumpulan R&B (Rythm and Blues), kata anak teruna penulis menjawab pertanyaan bapanya yang lebih mengenali kumpulan-kumpulan pop yeh-yeh tahun 60-an.

Disebabkan minat terhadap muzik juga sudah luntur, maka penulis tidak pergi ke konsert di Hippodrome, London yang diadakan pada malam 5 April lalu atas jemputan para pelajar Malaysia.

Khabarnya, kira-kira 700 orang hadir, kebanyakannya pelajar. Bagaimanapun, disebabkan tidak mahu menghampakan hajat orang, maka keesokannya penulis pergi ke Hotel Putra kerana dijemput pula ke sidang akhbar Innuendo. Hanya dua orang wartawan yang berada di situ, wakil sebuah akhbar dan penulis.

Maka, apa yang menyusul bukanlah sidang akhbar. Sekadar sembang-sembang sambil menikmati minuman paling popular di Malaysia - teh tarik - di restoran hotel itu. Anggota-anggota Innuendo yang berusia dalam lingkungan 20-an itu memperkenalkan diri dengan nama timang-timangan atau barangkali nama komersial mereka. Reymee (nama sebenar Reymee Mohamed Hussein), Taj (Ahmad Tajuddin Mohamed Tahir), Sam (Shamsul Azhar Nazeer) dan Pot (Saifulamir Abdul Wahab). Pot ? Mereka ketawa.

Pot dalam bahasa Inggeris bermakna pasu bunga, juga istilah 60-an di Amerika Syarikat bagi ganja. Kumpulan Innuendo itu disertai oleh penerbit album mereka, Ahmad Izham Omar, pengarah syarikat rakaman Positive Tone yang juga masih muda. Kenapa pilih nama Innuendo? Kata Pot, nama itu sedap. Ia adalah perkataan Inggeris yang amat jarang dipakai. Maknanya ialah sindiran, tetapi lagu-lagu Innuendo tidak menyindir.

Seperti kebanyakan lagu di Malaysia dan dunia sejak berzaman, album pertama Innuendo dipenuhi dengan dayuan cinta. Jangan disoal mengapa manusia tidak jemu-jemu mencipta lagu cinta. Soalan ini telah dibincang sejak berzaman, tetapi lagu-lagu yang menyusul tetap mengalunkan suara cinta.

Barang kali jawapan yang paling tepat ialah ramai orang suka dengar lagu cinta. Kebanyakan yang membeli kaset atau cakera padat ialah anak-anak muda yang sedang dilamun cinta atau tengah miang hendak bercinta. Orang yang sudah beranak-pinak jarang beli kaset. Penulis sendiri hanya mendengar lagu-lagu Innuendo setelah mendapat kaset percuma daripada mereka. Kira-kira 40,000 album sulung Innuendo telah dijual sejak dilancarkan pada Jun tahun lalu. Jumlah jualan itu tidaklah hebat, tetapi amat memberansangkan mereka. Daripada 15 lagu yang dimuatkan dalam album itu, hanya terdapat dua lagu Melayu. Yang lain adalah lagu-lagu Inggeris ciptaan mereka bersama Ahmad Izham. Anehnya lagu yang popular di radio ialah lagu-lagu Melayu itu, Belaian Jiwa dan Selamanya. Lagu Belaian Jiwa itu pula asalnya dipopularkan oleh kumpulan Carefree. Mereka hanya memberikan nafas baru R&B kepada lagu itu.

Kenapa menyanyi lagu Inggeris sahaja? Untuk tujuan eksport, kata Izham. Mereka percaya bahawa lagu-lagu Melayu tidak boleh dieksport, tidak seperti lagu-lagu Inggeris. Tanpa bertujuan untuk memperkecilkan kebolehan mereka, hakikatnya ialah mereka memikul azam yang sangat berat, walaupun bukan tidak munasabah untuk dilaksanakan.

Hanya beberapa kerat sahaja penyanyi tanah air berjaya menjual album di luar negara setakat ini, tetapi bukan melalui eksport dari Malaysia. Antaranya ialah Aishah yang merakamkan lagu-lagu Inggeris ketika dia menuntut di New Zealand, dan Datuk Shake yang mencipta nama di Perancis dengan lagu-lagu dalam bahasa negara itu. Jika ada yang mengeksport, mungkin Sheila Majid dan Zainal yang menembusi sekadar secebis pasaran di Jepun dan Asia Tenggara.

Apakah lagu-lagu Innuendo lain daripada yang lain? Kata Izham, tidak juga. Apa yang penulis dengar daripada kaset yang diberikan, lagu-lagu mereka adalah sama seperti nyanyian R&B Amerika Syarikat yang sudah berkumandang lama sejak 80-an. Tiada yang baru. Kenapa tidak mencari kelainan? Beberapa penyanyi bukan dari Amerika dan Eropah telah berjaya menawan pasaran dunia kerana mereka mengemukakan kelainan.

Contohnya, Bob Marley dengan lagu-lagu raggaenya. Dia menyanyikan lagu Inggeris dengan pelat Carribeannya. Dr. Alban menyanyikan lagu-lagu rap diskonya juga dengan pelat Carribean-Afrika. Mereka ini juga berjaya menembusi pasaran antarabangsa dengan beroperasi di Eropah. Album mereka dirakamkan di Eropah.

Sebelum merakam album, mereka juga menyanyi di kelab-kelab di Eropah. Vanessa Mae, pemain biola yang paling popular kini juga mengemukakan kelainan. Jika kebanyakan pemain biola mengetengahkan lagu-lagu kelasik, dia menampilkan kelainan dengan menggesekkan lagu-lagu pop dengan persembahan konsert yang lincah.

Tidak kurang pentingnya, gadis yang berasal dari Singapura ini menggarap kebolehannya di London, salah satu pusat muzik pop dunia. Jika dia menggesek biolanya di Singapura, mungkin albumnya hanya berlegar di sekitar Asia Tenggara seperti album pemain biola terkenal Indonesia, Marzuki. Menurut Izham, dua buah syarikat di United Kingdom telah menunjukan minat untuk menjalankan usaha sama menerbit dan mengedarkan album Innuendo di Eropah. Dia juga sudah berusaha memperkenalkan album Innuendo di Pesta Muzik Cannes pada Januari lalu. Tetapi Innuendo tidak mengemukakan kelainan untuk menjamin nilai komersial yang diharapkan. Di Malaysia pun para pendengar memerlukan kelainan.

Misalnya, album Puji-Pujian kumpulan Raihan mencatatkan rekod jualan sebanyak 600,000 kerana mengemukakan kelainan dalam bentuk nasyid kontemporari. Walaupun album pertama Innuendo yang berjudul "Innuendo" tidak selaris album Raihan, mereka berpeluang untuk bersaing merebut hadiah dalam dua kategori penting pada upacara Anugerah Industri Muzik '98 yang akan berlangsung esok. Innuendo dan Raihan dicalonkan bersama tiga lagi kumplan - Indigo, Kool dan Saujana - dalam kategori Persembahan Kumpulan Vokal Terbaik Dalam Album. Lagu Innuendo, Selamanya juga akan bersaing dengan dua lagu Raihan - Iman dan Puji-Pujian - dalam kategori Lagu Terbaik bersama Ziana Zain dan Siti Nurhaliza.

Tentulah tidak sukar untuk meramalkan siapa yang akan menang jika mereka hanya bertanding dalam dua kategori itu. Bagaimanapun, mereka juga bertanding berasingan dalam kategori lain yang mungkin mempengaruhi keputusan juri dalam memilih pemenang dua kategori tersebut. Apa pun, Innuendo dan Izham patut dipuji kerana bercita-cita untuk mengeksport lagu-lagu buatan Malaysia.

Malaysia yang sudah menembusi pasaran antarabangsa dalam pelbagai bidang industri, patut memperluaskan keupayaannya mengeksport produk industri muziknya. Ini tidak boleh dilakukan selagi penyanyi-penyanyi Malaysia datang ke London hanya sekadar untuk menghiburkan para pelajar yang rindukan kampung-halaman.

Media hiburan di Malaysia juga tidak patut bising sangat tentang konsert penyanyi kita di London jika kedatangan mereka sekadar untuk menghiburkan para pelajar. Bagi meneroka pasaran luar negara, mereka bukan sahaja perlu meningkatkan kemahiran dari segi teknik penerbitan, vokal dan penguasaan alat-alat muzik, tetapi juga perlu menjalin hubungan niaga dengan rangkaian perniagaan muzik antarabangsa. Yang lebih penting, mereka perlu menampilkan sesuatu kelainan atau pembaharuan muzik.

Mereka juga perlu mencari pengalaman dan melanjutkan karier di kota-kota muzik antarabangsa di Eropah dan Amerika Syarikat. Persaingan dalam pasaran muzik kini sungguh hebat. Album-album baru turut dijual melalui Music Boulevard dalam Internet. Menurut angka terbaru, Music Boulevard menawarkan pilihan 400,000 album Amerika Syarikat dan 150,000 album Eropah. Dengan persaingan yang begitu sendat, di manakah peluang album Asia untuk mencelah? Malahan, pasaran di Asia sendiri sudah sekian lama dikuasai oleh lagu-lagu Barat.

Oleh itu, lebih baiklah kalangan industri muzik Asia memikirkan cara untuk menawan pasaran di Asia terlebih dulu sebelum mencuba nasib di Eropah dan Amerika. Malaysia yang mempunyai Anugerah Industri Muzik tahunan, boleh memulakan langkah dengan menjadi tuan rumah kepada simposium industri muzik Asia pula. Serentak dengan itu, diadakan Pesta Lagu dan Muzik Asia.

Sekurang-kurangnya album lagu-lagu pesta ini mempunyai nilai komersial untuk dipasarkan di Asia, di samping mempopularkan penyanyi-penyanyinya. - Utusan.

Oleh: HAMZAH SIDEK

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.