saya nak baca ..

SUKAN TEMPATAN


ARKIB : 11/04/1998

LISRAM menunggu penembak

LAPANG sasar menembak antarabangsa Langkawi (LISRAM) di kaki Gunung Raya di Langkawi kini sudah bersiap sedia menunggu kedatangan jaguh-jaguh menembak Sukan Komanwel September ini.

Penganjur sukan itu, SUKOM Ninety Eight Berhad (Sukom '98) telahpun membuka pejabatnya bagi mengatur persiapan dengan melantik Pengurus Perkampungan Sukan dan penyelaras acara itu, Pengurus Gelanggang dan Pengurus Acara bagi memastikan ia berjalan lancar.

Pegawai-pegawai SUKOM turut ditempatkan di LISRAM untuk melicinkan persiapan itu dengan lebih 850 sukarelawan akan membantu semasa berlangsungnya acara itu.

LISRAM yang mula dibina awal 1996 dan siap Oktober tahun lepas merupakan salah satu lapang sasar terbaik di dunia, yang lengkap dengan sistem pemarkahan dan kemudahan canggih.

Ia terletak kira-kira 8 kilo meter dari Kuah dan mudah dihubungi dengan rangkaian jalan raya yang menghubungkan lapang sasar itu dengan kawasan lain.

Lapang sasar itu telahpun diuji buat pertama kali pada Kejohanan Menembak Negara-Negara Komanwel (LACOS 1997) November tahun lepas.

Menteri Belia dan Sukan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melawatnya Februari lepas berpuashati dengan persiapan yang diatur dengan kenyataan bahawa ''kita telah bersedia menganjurnya pada bila masapun.''

Beliau berkata persiapan acara itu berjalan lancar dengan kemudahan untuk para atlet dan pegawai sudah diambil kira.

Aspek-aspek sokongan lain seperti protokol, kawalan keselamatan, urusan kastam, imigresen dan alat senjata api juga telah diambil perhatian oleh pihak penganjur, katanya.

Dengan penyertaan yang dijangka melebihi 40 negara Komanwel, ia sudah pasti mencatat satu sejarah sebagai sebuah pulau peranginan yang mampu menganjurkan pelbagai acara bertaraf antarabangsa.

Pada keseluruhannya penganjur sukan telah bersiap sedia untuk menganjurkannya dan ini termasuk dari segi penginapan, makanan, sukarelawan dan lain-lain.

Penganjur sukan itu juga sudah mengenalpasti sebuah hotel di pekan Kuah yang akan dijadikan sebagai perkampungan sukan menempatkan pegawai dan atlet dengan layanan sama seperti perkampungan di Kuala Lumpur.

Begitu juga dengan kemudahan pengangkutan bas dan kenderaan lain untuk atlet dan pegawai turut diambil kira bagi mengelakkan sebarang masalah.

Mereka juga telah mempastikan kemudahan peralatan menembak di LISRAM selaras dengan kehendak badan menembak antarabangsa (UIT).

Siapa sangka dari satu kawasan belantara, tempat membiak lebah madu dan kawasan tumpuan pemburu pelanduk dan burung-burung liar, kini berubah wajah menjadi gelanggang bagi acara menembak yang bakal melahirkan jaguh-jaguh menembak negara Komanwel.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan Negeri, Abdul Rahman Ariffin berkata LISRAM juga dijangka menjadi satu lagi tempat tarikan pelancong dan beberapa program telah diatur bagi memperbanyakkan aktiviti sukan menembak di kalangan remaja, pegawai kerajaan dan orang kenamaan di situ.

Komander LISRAM Cif. Insp. Zulkarnain Ismail berkata kawasan itu mempunyai keindahan tersendiri berbanding tempat lain. Ia berhampiran kawasan seluas 136 hektar yang belum dibangunkan, masih hutan, dipenuhi kehijauan pokok-pokok yang boleh menjadi tempat berteduh dan kawasan perkhemahan.

Dengan keindahan semulajadi seperti sungai dan air terjun, LISRAM sudah pasti dapat memikat lebih ramai pelawat ke LISRAM, selain sebagai gelanggang bagi aktiviti menembak, di masa depan.

Bagi mereka yang gemarkan aktiviti perkhemahan, permohonan boleh dibuat dengan Ketua Daerah Polis Langkawi untuk tujuan itu.

Selepas mendapat kelulusan, mereka perlu mengisi borang yang disediakan dan pihak berkenaan memastikan kawasan persekitaran selamat untuk aktiviti perkhemahan.

Cif. Insp. Zulkarnain berkata LISRAM juga akan menyediakan seorang pemandu pelancong bagi pelawat berkumpulan yang ingin melihat persekitaran kompleks lapang sasar itu.

Beliau berkata, LISRAM sentiasa dikunjungi setiap hari oleh pelancong dalam dan luar negeri untuk menyaksikan latihan menembak dan keindahan semula jadi di kawasan itu.

Sebelum ini, Langkawi bukan sahaja terkenal sebagai pusat pameran, seperti pameran Maritim dan Udara antarabangsa Langkawi (LIMA) yang diadakan dua tahun sekali, tetapi juga acara sukan terkemuka seperti lumba basikal Le tour de Langkawi, kart prix ASEAN dan kejohanan memanah Asia.

Tidak syak lagi pulau bebas cukai yang sentiasa diberi perhatian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad akan mendapat publisiti meluas apabila berlangsungnya acara menembak Sukan Komanwel nanti.

Pengurus pasukan menembak negara Komander TLDM Musa Omar pula berkata LISRAM mempunyai kelengkapan mencukupi bagi menganjur kejohanan bertaraf antarabangsa.

Katanya ia antara yang tercanggih dibandingkan dengan negara-negara rantau ini sambil berharap kemudahan di LISRAM dapat dimanfaatkan dalam usaha mengembangkan sukan itu.

Beliau berkata seramai 33 penembak negara di bawah ''Projek Jaya 1998'' telah memulakan latihan sebagai persiapan menghadapi Sukan Komanwel.

Musa berkata latihan di LISRAM penting kerana selain untuk menyesuaikan diri, ia akan menjadi gelanggang acara menembak sukan itu.

Beliau yakin acara ini akan berlangsung dengan jayanya dan berharap penduduk tempatan dan pelancong mengambil peluang menyaksikannya walaupun sukan itu baru bagi mereka. Yang penting ialah memberi sokongan dan memeriahkannya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi SUKOM Ninety Eight Berhad Lt. Jen. (B) Datuk Seri Panglima Abdul Manap Ibrahim berkata persiapan acara menembak di LISRAM berjalan lancar dengan bantuan dan kerjasama pihak berkuasa tempatan.

Kerjasama ini amat penting kerana lebih 500 juta penduduk dunia akan menyaksikan liputan sukan itu menerusi televisyen negara masing-masing, kata beliau.

Beliau menambah, penganjuran yang baik akan menarik minat lebih ramai pelancong ke negara ini menyaksikan sukan kedua terbesar dunia yang diadakan buat kali pertama di Malaysia. - Bernama.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zohor 1:02
Asar 4:25
Maghrib 6:59
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.