saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 13/04/1998

Lebuh raya: Kempunankah rakyat pantai timur?


PEMBINAAN Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) harus dilaksanakan supaya kemakmuran ekonomi yang dinikmati hasil pembinaan Lebuh Raya Utara Selatan di sebelah pantai Barat semenanjung turut dirasai di pantai timur. - Gambar hiasan.


KEMPUNANKAH rakyat di negeri-negeri pantai timur akan sebuah lebuh raya yang bakal memendekkan lagi tempoh perjalanan antara Kuala Lumpur di pantai barat, dan Kuantan serta Kuala Terengganu di pantai timur?

Sedangkan, lebuh raya ini amat diperlukan, yang diharap dapat menjadi pemangkin terbaru ke arah menggiatkan lagi kemasukan pelabur serta migrasi penduduk ke negeri-negeri pantai timur ini sekali gus merancakkan pembangunannya yang selama ini agak ketinggalan berbanding negeri-negeri pantai barat.

Setakat ini, selepas empat tahun ia diumumkan dan mahu dikenali sebagai Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) sepanjang 343 kilometer, belum ada tanda-tanda projek yang dianggarkan bernilai antara RM3,300 juta _ RM4,000 juta itu akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.

Kalaupun ada, ialah rayuan oleh Menteri Besar Pahang, Tan Sri Khalil Yaakob pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Paya Besar, 15 Mac lepas tentang perlunya konsortium terbabit menyegerakan pelaksanaan projek itu serta menjelaskan peringkat mana cadangan mereka melaksanakannya ketika ini.

Hanya lima hari selepas itu, sebagai tindak balas daripada rayuan Khalil, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat ''sergahan'' dengan meminta konsortium berkenaan menyegerakan pelaksanaannya.

Selepas itu barulah seperti ada komitmen baru _ itupun belum diketahui setakat mana besarnya komitmen itu _ telah diambil oleh konsortium yang diketuai oleh MMC.

Sekurang-kurangnya, soal konsortium ini untuk diberikan persetujuan bagi menandatangani perjanjian konsesi dengan Kerajaan Pusat, akan cuba diangkatkan segera kepada kabinet untuk diluluskan.

Setakat ini, secara pentadbirannya, Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, khususnya bahagian penswastaan, dikatakan sudahpun menyediakan segala maklumat yang diperlukan, untuk dikemukakan kepada kabinet bagi kelulusan tersebut.

Hanya selepas kelulusan kabinet itulah, dan setelah perjanjian konsesi itu ditandatangani, maka hal-hal susulan terutamanya bagi permohonan untuk pengambilan balik tanah bagi maksud pembinaan LPT berkenaan, seperti mana yang dikehendaki oleh Seksyen 8, Akta Pengambilan Balik Tanah, akan dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk kelulusan.

Kalau begitu, bilakah agaknya orang ramai di pantai timur akan memperoleh lebuh raya mereka? Tentunya tidak umpama ''menunggu bulan jatuh ke riba'' agaknya. Apatah lagi sekarang dengan kegawatan ekonomi yang negara hadapi hingga mewujudkan credit squeeze yang ketara hingga menyukarkan sesiapa sahaja untuk mendapatkan pinjaman bank dengan mudah serta menuruti kehendaknya.

Namun, adalah satu ketidakadilan yang maha besar jika ada yang cuba menyalahkan kepada kegawatan ekonomi yang dihadapi hingga kononnya menyebabkan tertangguhnya projek prasarana yang penting kepada pembangunan yang lebih giat ke negeri-negeri pantai timur ini.

Kegawatan ini sebenarnya ialah tamparan terakhir kepada satu siri halangan dan ranjau hingga tergendalanya pelaksanaan projek ini.

Antara halangan-halangan itu ialah soal ekuiti yang dipersetujui atau masih tidak begitu dipersetujui oleh pihak terbabit. Soal aliran trafik juga menjadi penghalang yang dikatakan kurang untuk laluan LPT dan soal untuk mendapatkan pinjaman mudah (soft loan) daripada Kerajaan Pusat.

Daripada segi milikan ekuiti, ada pihak dikatakan mahukan bahagiannya yang lebih selesa sebagai mengetuai konsortium itu, manakala daripada segi aliran trafik, ia dikatakan kurang terutamanya bagi laluan selepas sempadan Kuantan. Daripada segi pinjaman mudah, konsortium ini dikatakan memohon sebanyak RM750 juta tetapi kerajaan hanya meluluskan RM200 juta.

Kalau hendak dikatakan projek ini belum dapat diteruskan kerana ia tergolong dalam projek mega yang ditangguh maka ia tidak betul. Anwar sendiri menyebut tentang keperluan meneruskan, malah menyegerakan projek ini sungguhpun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang.

LPT sebenarnya merangkumi dua bahagian iaitu bahagian pertama antara Karak ke sempadan negeri Pahang/Terengganu di Jabur, yang meliputi Karak-Lancang (25 km), Lancang-Temerloh (25 km), Temerloh-Jengka (13 km), Jengka-Maran (27 km), Maran-Gambang (50 km), Gambang-Kuantan (22 km) dan Kuantan-Jabur (13 km).

Bahagian kedua pula ialah antara Jabur ke Cenering, dekat Kuala Terengganu yang meliputi Jabur-Ceneh Baharu (23 km), Ceneh Baharu-Air Putih (18 km), Air Putih-Kubu (12 km), Kubu Al-Mukhatafi Billah Shah (25 km), Al-Mukhatafi Billah Shah-Bukit Besi (24 Km), Bukit Besi-Ajil (32 km), Ajil-Bukit Payung (12 km), dan Bukit Payung-Cenering (17 km).

Kontra kepada laporan-laporan akhbar sebelum ini, LPT sesungguhnya tidak meliputi laluan Kuala Lumpur-Karak yang hampir siap pembinaan atau peningkatan tarafnya yang dilakukan oleh MTD secara bersendirian. LPT bagaimanapun bermula daripada tamatnya laluan tersebut.

Komitmen kerajaan negeri seperti Pahang dan Terengganu sendiri, amat tinggi. Kerajaan Pahang misalnya, oleh kerana begitu mahukan LPT ini terlaksana, ia dikatakan sanggup memberi jaminan kepada konsortium itu untuk tidak mengambil usaha bagi meningkatkan taraf laluan Karak-Kuantan yang sedia ada, yang jika dilakukan, boleh menjadi saingan kepada LPT yang bertol kelak.

Ini sesungguhnya satu pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri.

Satu sebab kenapa kerajaan negeri tidak begitu ghairah untuk meminta Kerajaan Pusat menaikkan taraf Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan kepada status antarabangsa juga ialah dengan pemikiran negeri ini akan memperoleh LPT tersebut. Ini juga satu pengorbanan.

Sesungguhnya laluan asal dari Karak ke Kuantan yang ada tidaklah seteruk mana.

Kalau kerja-kerja meningkatkan taraf dapat dilakukan di beberapa laluan termasuk mengadakan laluan dua lorong sahaja (dual-carriageway), atau meluruskan di mana-mana laluan yang ketika ini bengkang-bengkok, atau dengan hanya mewujudkan lorong-lorong memotong seperti mana yang diwujudkan di beberapa laluan berhampiran Lanchang dan Karak sekarang, nescaya ia boleh melicinkan lagi perjalanan lalu memendekkan juga masa perjalanan antara destinasi-destinasi tersebut.

Selain dari itu, yang turut boleh dilakukan ialah mengkaji semula had laju di beberapa batang jalan yang sudahpun dilihat mampu menampung kenderaan dengan kelajuan yang lebih tinggi misalnya melebihi had 60 atau 80 Km sejam.

Namun ini adalah pilihan yang boleh dilaksanakan tetapi tidak hendak dilakukan kerana memikirkan agar LPT kelak, tidak tergugat akibat pengguna jalan lebih banyak menggunakan laluan yang sedia ada daripada LPT yang dikenakan bayaran entah berapalah pula agaknya.

Bagaimanapun, ini mungkin menjadi antara pilihan kepada kerajaan negeri jikalah LPT yang dirancangkan ini tidak cuba disegerakan akibat pelbagai sebab yang telah disebutkan tadi.

Oleh itu, kita patut dan sebolehnya bertanya kepada konsortium terbabit: ''Kalau padi katakan padi, tidak hamba tertampi-tampi, kalau jadi katakan jadi, tidak hamba ternanti-nanti''.

MMC dan rakan konsortiumnya, haruslah bersimpati dengan rakyat negeri ini dengan menjawab soal jadi-tak jadinya projek ini, seperti mana juga rakyat memahami soal punca kewangan yang harus juga rakyat memahami soal punca kewangan yang harus mereka cari untuk membiayai projek raksasa tetapi amat diperlukan ini.

Bagi kerajaan negeri, ia pula kini mula terpaksa menghentikan seketika akan jaminan perjalanan dua jam antara Kuala Lumpur-Kuantan apabila LPT dilaksanakan dan siap kelak, kepada bakal-bakal pelabur terutamanya dari luar negara.

Ini adalah kerana perkembangan yang belum dipastikan tentang projek ini. Tentunya kerajaan negeri tidak mahu dikatakan membuat jaminan palsu kepada pelabur asing yang boleh pula mencemarkan imejnya di mata dunia.

Bagaimanapun, apakah salah kerajaan negeri memberikan jaminan itu pada awalnya sementelahan tiga syarikat besar sudahpun dikenal pasti, yang ternyata rekod pencapaiannya yang lepas-lepas, untuk mengendalikan projek sebesar ini dengan jayanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.