saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 22/04/1998

16 wira kita takluki Kutub Utara

KUALA LUMPUR 21 April - Malaysia sekali lagi mencatat sejarah gemilang apabila menjadi negara pertama di Asia menakluki Kutub Utara, kawasan paling sejuk di dunia, pada pukul 1.48 pagi hari ini (waktu Malaysia).

Kesemua 16 peserta Ekspedisi Terjun Bebas Kutub Utara Malaysia (ETBKUM) termasuk seorang wanita berjaya menjejakkan kaki di Kutub Utara tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Mereka juga berjaya memacakkan bendera Malaysia, 'Jalur Gemilang' di kutub itu.

Wanita tersebut, Nordziah Mohd. Noor, 39, merupakan ibu kepada lima anak manakala Mohd. Shamsul Mohamed Amin, 21, menjadi peserta termuda.

Mereka juga berjaya mendarat bersama-sama kereta buatan Malaysia, Proton Wira 1.5.

Sementara itu Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, kejayaan mereka menakluki Kutub Utara membuktikan semangat bahawa rakyat Malaysia mampu melakukan segala-galanya.

''Kejayaan itu menghapuskan kritikan banyak pihak sebelum ini yang mendakwa projek itu tidak kena masanya keran aia dilaksanakan ketina negara menghadapi kegawatan,'' katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Majlis Perniagaan Malaysia- British di Carcosa Seri Negara di sini, petang ini.

Sambil mengucapkan tahniah atas kejayaan tersebut Perdana Menteri berharap, kereta Proton Wira yang terbabit dalam penerjunan itu akan berjalan dengan baik.

Sebelum ini, Amerika Syarikat, Jerman, Kanada, Rusia, Itali dan United Kingdom telah berjaya melakukan ekspedisi penerjunan di kutub itu.

Kumpulan ekspedisi seramai 23 orang termasuk 16 penerjun itu telah berlepas ke Kutub Utara pada 18 April lalu serta berusaha melakukan penerjunan pada pukul 8 malam semalam tetapi terpaksa ditangguhkan sehingga hari ini berikutan ribut salji dan cuaca buruk.

Kejayaan yang amat membanggakan ini merupakan kejayaan kedua negara selepas ekspedisi menawan puncak Everest setinggi 8,848 meter pada 23 Mei tahun lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan projek penerjunan itu awal tahun ini dan ia telah dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 30 Mac lalu.

Menurut jurucakap sekretariat Kutub Utara dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, kumpulan ekspedisi yang diketuai oleh Abdul Rahim Dahalan itu telah membuat penerjunan dari dua pesawat iaitu Helikopter M-18 dan pesawat Ilyushen 76 dari ketinggian hampir 3,000 meter dengan suhu 41 darjah Celsius di bawah paras beku ketika di udara dan 25 darjah Celsius di bawah paras beku di kawasan pendaratan di Kutub Utara.

Timbalan Ketua Penerjun, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd. Haniff ketika dihubungi di Khatangga pula berkata, peserta pertama yang berjaya menjejakkan kaki di kawasan kutub itu ialah Leftenan Ahmad Ramli Kardi dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), diikuti beliau sendiri (Rahmat) dan Mejar Kamaruddin Abdullah dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Beliau berkata, penerjunan yang dilakukan itu mengambil masa selama hampir setengah jam dan mereka berada di kawasan Kutub Utara selama dua jam.

''Sebagai rakyat Malaysia kami merasa bangga kerana akhirnya dapat menjejakkan kaki ke Kutub Utara malah penerjun dari luar negara turut merasa bangga kerana rakyat Malaysia berjaya melakukannya.

''Kami bersyukur berjaya menjejaki kebesaran Allah.

Perasaan kami antara cemas dan takut ketika menjejakkan kaki di kawasan yang diliputi salji tebal itu,'' katanya.

Rahmat menambah, untuk terjunan formasi (CRW), penerjun negara juga telah berjaya melakukan rekod baru di kalangan penerjun-penerjun dunia apabila berjaya melakukan formasi lima payung terjun.

Formasi demikian gagal dilakukan oleh kumpulan-kumpulan penerjun sejak tujuh tahun lalu.

Mengenai kereta Proton Wira yang berjaya didaratkan di kutub itu, beliau berkata, enjin kereta itu juga berjaya dihidupkan walaupun keadaan cuaca sejuk.

Katanya, kereta itu tidak dapat dipandu berikutan salji yang terlalu tebal dan ribut salji melanda sebaik sahaja peserta ekspedisi menjejakkan kaki di kawasan itu.

''Bagaimanapun, kereta itu berjaya dipandu di sekitar Lapangan Terbang Ais, berdekatan dengan Kutub Utara oleh Ketua Ekspedisi Abdul Rahim Dahalan,'' katanya.

Kumpulan yang dianggotai oleh bekas dan anggota tentera, ahli perniagaan dan orang perseorangan itu kemudian bertolak pulang ke Khatangga pada pukul 4 petang selepas melakukan sembahyang sunat dan sujud syukur.

Ekspedisi Malaysia yang dipecahkan kepada dua kumpulan itu mula bertolak ke Pulau Sydney berdekatan Kutub Utara pada Ahad lalu.

Selain Nordziah dan Shamsul, 14 lagi penerjun yang terlibat dalam ekspedisi itu terdiri daripada Leftenan (B) A. Aziz Ahmad, 40 selaku ketua penerjun; Mejar Amran Abd. Rashid, 37; Laskar Udara Kanan Sulaiman Alwee, 32; Leftenan Ahmed Ab. Rahman, 32; Sarjan Maznan Mat Isa, 33; Leftenan Mohd. Idros Mohd. Yusop, 31.

Sarjan Mohd. Hazamuzakar Mohd. Hatim, 39; Koperal Ramlee Alias, 40; Ramli @ Rizlan Mat Idin, 37, dan Kapten (B) Mohd. Noorizan Mohd. Yunus, 39.

Dua pegawai sokongan turut serta dalam ekspedisi itu terdiri daripada Halim Majid, 44, dan Md. Redzuan Tumin, 48, serta pakar perubatan Dr. M. Kamaruddin M. Isa, 38.

Kutub Utara merupakan kawasan yang diliputi salji lembut seluas 1,600 kilometer dengan ketebalan dua meter tanpa ada sebarang kehidupan serta mempunyai taburan rabung-rabung ais yang membentuk tembok-tembok setinggi dua hingga tiga meter.

Kedalaman air di bawah kepingan ais ini adalah 4,200 meter.

Ia merupakan kawasan cabaran yang boleh membunuh makhluk bernyawa termasuk manusia dan ekoran kesukaran itu menyebabkan kurang 2,000 orang berjaya menaklukinya sejak 1909.

Kawasan yang paling sejuk di dunia itu mula dijejaki manusia pada 6 April 1909 oleh Laksamana Robert Peary dengan dibantu rakannya Matthew Hanson serta empat orang dari kaum Inuit.

Oleh: AKMAR HISHAM MOKHLES

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.