saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 28/04/1998

Junainah dilarang menyanyi di kelab

Kiriman: Maizatul Sidek, Merlimau, Melaka.

JAWAPAN: Pada awal tahun 70-an tidak banyak penyanyi yang muncul seperti hari ini. Ini kerana pihak penerbit memilih penyanyi mempunyai identiti sendiri untuk diketengahkan.

Rata-rata penyanyi masa itu mempunyai kelainan tersendiri berbanding penyanyi lain yang sedia ada.

Junainah M. Amin misalnya terkenal kerana suaranya yang manja dan lantang.

Kemanjaan suara Junainah ditambah lagi dengan wajahnya yang diistilahkan sebagai baby face. Wajah sedemikian membuatkan Junainah tidak kelihatan tua walaupun kini berusia 44 tahun.

Pada awal kemunculan, Junainah sering disangka anak kepada pengarah M. Amin yang popular pada masa itu. Apatah lagi dia turut menyumbangkan suara latar untuk filem arahan M. Amin.

Ekoran itu Junainah membuat penjelasan bahawa dia bukannya anak pengarah itu.

Mengenai pembabitannya di dalam bidang seni, kata Junainah, dia nekad mengambil keputusan untuk tidak menyambung persekolahan pada usia muda kerana yakin pada masa depan dalam bidang seni.

Junainah sememangnya seorang yang aktif menyanyi sejak di sekolah, malah pada tahun 1969 dia pernah menjuarai pertandingan menyanyi yang diadakan di tempat asalnya Singapura.

Daripada pertandingan itu bakatnya disedari oleh komposer Kassim Masdor yang membawanya ke syarikat EMI.

Keluarganya tidak pernah membantah hasrat Junainah kerana dia sememangnya mewarisi bakat bapanya yang pernah mengetuai satu kombo muzik.

Namun keluarganya mengenakan syarat agar dia hanya menyanyi untuk rakaman album, persembahan di televisyen dan persembahan pentas yang tidak jauh daripada keluarga.

Dia dilarang menyanyi di kelab. Lantaran itu di kala banyak penyanyi seangkatannya menyanyi di kelab malam, Junainah pula banyak menolak tawaran.

Demikian juga persembahan pentas, Junainah tidak kerap muncul kerana sekatan keluarga dan dia sendiri tidak senang berjauhan daripada keluarganya.

Sebagai gadis yang tidak begitu lincah di pentas dia sedar kemampuannya hanya menyanyi bukannya sebagai penghibur.

''Untuk menjadi penghibur seseorang perlu kelebihan lain untuk pastikan penonton mendapat kepuasan seperti kebolehan berlawak dan gaya persembahan yang lincah,'' katanya.

Memandangkan dia tidak begitu pandai bergaya di pentas, Junainah banyak menolak tawaran mengadakan persembahan.

Mengenai dunia rakaman, Junainah pernah menghasilkan dua album LP dan lima EP bersama syarikat rakaman EMI.

Bersama EMI dia tidak berpeluang menyanyikan lagu ciptaan baru sebaliknya merakam lagu saduran daripada lagu Inggeris kemudian diberi lirik Melayu dan beberapa lagu baru.

Lantaran itulah Junainah tidak berminat untuk terus bersama EMI apabila kontraknya tamat pada 1977.

Pada masa itu Kassim Masdor juga telah berundur dari EMI apabila menubuhkan syarikat rakaman sendiri.

Selepas itu dia menyepi seketika. Dia juga terlibat dalam menyanyikan beberapa buah lagu dalam filem Pendekar. Dalam filem itu dia meminjamkan suaranya untuk dialog bagi watak yang dipegang oleh Teh Faridah.

Album pertamanya di bawah terbitan Ahmad Nawab memuatkan beberapa buah lagu daripada filem Pendekar dan lagu-lagu baru ciptaan Ahmad Nawab.

Album tersebut sangat menarik baginya kerana dia menyanyikan lagu-lagu ciptaan baru keseluruhannya dan juga memuatkan pelbagai konsep.

Antara lagu popular menerusi album tersebut ialah Kembali Padaku, Kalau Sayang Apa Tandanya, Bila Senja Menjelma, Selamat Tinggal Kekasihku dan banyak lagi. Malah dia juga diberi peluang menulis lirik lagu Bila Senja Menjelma.

Junainah turut menyumbangkan suara untuk filem lakonan Sharifah Aini dan Latif Ibrahim, Hapuslah Air Matamu dan Sumpah Semerah Padi.

Sepanjang penglibatannya Junainah juga pernah muncul dalam filem komedi Keluarga Si Comat arahan Aziz Sattar. Setelah beberapa lama menghilang tahun ini Junainah muncul kembali dalam album Kembali Gemilang 70-an terbitan syarikat MSO.

Kali ini dia bersama tiga rakan iaitu J. Mizan, Milah Hussin dan Roslan Yus diberi peluang merakam semula lagu popular mereka dan beberapa buah lagu ciptaan baru.

Bersama: ROSLI MANAH

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.