saya nak baca ..

DALAM NEGERI


ARKIB : 01/06/1998

Rokok: Usaha kurangkan tajaan dikaji


DR. SITI Zaharah Sulaiman (kanan) bersama salah seorang peserta muda pada majlis pelancaran Bulan Tanpa Tembakau di Pasar Budaya, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR 31 Mei - Kementerian Kesihatan akan menyediakan satu kertas kerja bagi mencari jalan bagaimana badan dan agensi kerajaan boleh mengurangkan pergantungan pada pendapatan hasil siaran iklan syarikat-syarikat pengeluar rokok.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman berkata, perkara tersebut merupakan sebahagian daripada kandungan kertas cadangan menyeluruh berhubung tembakau dan isu berkaitan rokok untuk dikemukakan kepada kabinet dalam sedikit masa lagi.

Kata beliau, cadangan tersebut akan dibincangkan dengan terperinci pada sesi dialog tahunan antara kementerian itu dengan badan-badan profesional dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada bulan depan.

''Isu tembakau dan rokok ialah antara isu utama yang akan dibangkitkan semasa dialog tahunan kali ini dan kita akan mencari jalan untuk meningkatkan usaha, tenaga dan kaedah serta dasar bagi menangani tabiat merokok,'' katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Tanpa Tembakau Kebangsaan 1998 di Pasar Budaya di sini, hari ini.

Menurut beliau, kajian seumpama itu penting kerana ia akan membantu kerajaan supaya tidak bergantung sangat pada hasil pendapatan daripada iklan-iklan yang ditaja oleh syarikat pengeluar rokok mengenai produknya yang secara tidak langsung dengan menggunakan jenama rokok.

Sejak 1989, 31 Mei diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai Hari Tanpa Tembakau Sedunia.

Malaysia, yang turut merayakan hari berkenaan telah mengubahnya kepada Minggu Tanpa Tembakau pada 1997 dan tahun ini pula ialah Bulan Tanpa Tembakau.

Tambah Dr. Siti Zaharah, jumlah perokok di seluruh negara meningkat walaupun pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan melalui penguatkuasaan beberapa undang-undang.

Beliau mengakui bahawa kempen antimerokok yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan dan NGO yang prihatin tentang masalah itu tidak berupaya menandingi kehebatan aktiviti promosi yang dijalankan oleh syarikat-syarikat pengeluar rokok.

Menurut beliau, syarikat-syarikat itu memperkenalkan pelbagai strategi dan taktik termasuk menaja aktiviti sukan dan hiburan yang memang menjadi ikutan golongan remaja.

Beliau berkata, berdasarkan pada Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Kedua yang dikendalikan kementeriannya pada 1996, kadar perokok di kalangan remaja berumur 18 tahun ke bawah ialah 16.7 peratus atau 500,000 orang.

Katanya, kajian tersebut yang dikendalikan setiap 10 tahun melibatkan semua sekolah menengah di negara mendapati, kadar remaja lelaki yang merokok adalah hampir 30.7 peratus berbanding dengan kadar 4.8 peratus di kalangan remaja wanita.

Kadar peningkatan perokok, katanya, di kalangan remaja pada tahun 1986 ialah hanya 10 peratus iaitu 20 peratus bagi remaja lelaki dan satu peratus membabitkan remaja wanita.

''Trend peningkatan yang amat ketara di kalangan remaja wanita iaitu sebanyak tiga kali ganda dalam tempoh 10 tahun ini amat membimbangkan,'' katanya.

Bagi orang dewasa pula iaitu yang berusia 19 tahun ke atas, kata beliau, kadar perokok pada tahun 1996 ialah 25 peratus berbanding dengan 21 peratus pada tahun 1986.

Kata beliau, sejak peraturan melarang golongan remaja bawah umur 18 tahun diperkenalkan pada tahun lalu, sejumlah 402 remaja telah dikompaun.

Bagi kesalahan merokok di kawasan larangan merokok pula, katanya, sebanyak 2,569 telah dikompaun bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding 1,752 kompaun bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Dr. Siti Zaharah juga memberitahu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pendidikan untuk menubuhkan Kelab Antimerokok di semua sekolah dalam usaha mengatasi masalah merokok di kalangan pelajar.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.