saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 03/06/1998

MENJELANG 100 HARI SUKAN KOMANWEL -- Cabaran besar negara


MUHYIDDIN YASSIN.


HARI-HARI yang mendatang sehingga 11 September ini merupakan penantian istimewa bagi seluruh rakyat Malaysia - negara kecil yang akan menjadi perhatian dunia dengan berlangsungnya temasya Sukan Komanwel XVI.

Dengan tinggal 100 hari, perhatian ke atas Malaysia khususnya Kuala Lumpur kian memuncak pastinya antara lain mahu menilai sejauh mana keupayaan sebuah negara membangun menjayakan sukan kedua terbesar dunia selepas Olimpik.

Malaysia merupakan negara membangun kedua menjadi tuan rumah selepas Jamaica pada tahun 1966 selain menjadi negara Asia pertama mendapat hak tersebut.

Selama ini, hak tuan rumah sentiasa berlegar sekitar Britain, Kanada, Australia dan New Zealand.

Lebih istimewa lagi, temasya itu yang juga dikenali dengan Kuala Lumpur '98 akan menjadi Sukan Komanwel terakhir abad ini.

Bagi Malaysia, harapan yang dipikul untuk menjayakan temasya itu cukup besar lebih-lebih lagi dengan beberapa 'ujian terbaru' seperti kegawatan ekonomi, yang muncul ketika persiapan sedang rancak berjalan.

''Sememangnya ini merupakan ujian besar tetapi kita akan buktikan bahawa dengan apa sahaja cabaran, Malaysia akan menjadi tuan rumah yang berjaya,'' kata Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam temu ramah dengan Utusan semalam.

Beliau adalah antara orang yang akan menjadi 'sasaran' sekiranya banyak kelemahan dalam penganjuran temasya tersebut selain Jeneral (B) Tan Sri Mohd. Hashim Ali, Pengerusi Eksekutif Sukom Ninety Eight Berhad (Sukom '98).

Muhyiddin mengakui merasa tekanan itu tetapi menurutnya, itu semua masih boleh digagahi kerana yakin tempoh 100 hari itu akan digunakan sepenuhnya untuk mengesan, menilai dan memperbaiki apa sahaja masalah sama ada di dalam mahupun luar jangkaan.

''Bagi saya tempoh ini cukup kritikal dalam memastikan kejayaan penganjuran Sukan Komanwel. Tetapi inilah jangka waktu penting untuk melakukan apa sahaja,'' katanya.

Isu-isu tempatan lain seperti ancaman jerebu dan masalah bekalan air yang tidak menentu turut mengganggu biarpun langkah dan pelan kontingensi untuk mengatasinya sudah diambil.

Sambutan tiket terutama dari luar negara nampaknya 'perlahan' setakat ini dan ini diakui oleh Muhyiddin yang memberikan faktor wakil jualan tiket yang tidak berkesan.

Menurut laporan, sebanyak 70,000 daripada 1.2 juta tiket telah ditempah. Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia menjangkakan antara 60,000 hingga 100,000 pelancong akan mengunjungi Kuala Lumpur dan menyaksikan temasya Sukan Komanwel XVI.

Sambutan yang kurang mungkin juga disebabkan kempen-kempen tertentu terutama di negara-negara Barat yang cuba mengaitkan beberapa isu negatif seperti jerebu yang kononnya boleh menjejaskan kesihatan sepanjang temasya tersebut selain mahu memperkecilkan kemampuan Malaysia dalam aspek penganjuran.

Selain itu, demam Piala Dunia di Perancis (France '98) sedikit sebanyak membayangi promosi Sukan Komanwel.

Lagipun, sememangnya dalam sejarah penganjuran Sukan Komanwel, 80 peratus penonton yang datang menyaksikan acara-acara sukan itu ialah rakyat tempatan itu sendiri.

Sebanyak 16 acara dipertandingkan di 26 gelanggang sukan dengan kehadiran 6,000 atlet dan pegawai dari lima benua.

Buat pertama kalinya, Sukan Komanwel Kuala Lumpur akan menampilkan acara berpasukan seperti hoki.

Kebanyakan acara seperti olahraga, renang dan hoki akan berlangsung di Kompleks Sukan Bukit Jalil yang keseluruhan kompleks itu akan diuji tidak lama lagi manakala gelanggang terjauh ialah di Langkawi bagi acara menembak.

Berbanding dengan kebanyakan negara tuan rumah sebelum ini, tugas Malaysia lebih mencabar kerana perlu menyedia dan membangunkan serentak segala kemudahan dan gelanggang sukan bertaraf dunia di samping persediaan penganjuran temasya itu.

Misalnya di negara seperti Britain, Kanada dan Australia, tumpuan hanya diberikan kepada aspek penganjuran kerana hampir kesemua kemudahan sudah tersedia.

Muhyiddin menerima hakikat itu tetapi percaya bahawa itu semua tidak akan menggagalkan matlamat menjayakan sukan tersebut meskipun dengan 'cara Malaysia'.

Bagaimana dengan persiapan setakat ini?

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan Pengerusi Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), Michael Fennell minggu lalu, beliau dan para pegawainya berpuas hati dengan persiapan yang telah dijalankan dan menjangkakan 'tiada masalah besar' selepas ini. Bagaimanapun menurut Muhyiddin pihaknya tidak mahu merasa lega apatah lagi berpuas hati.

''Saya hanya boleh berpuas hati apabila temasya sukan ini berjaya pada 21 September nanti,'' kata Muhyiddin yang diberikan tanggungjawab penuh oleh kabinet bagi mengetuai misi menjayakan sukan itu sejak tahun lalu, yang sebelum itu diterajui oleh Sukom '98.

Menurut Muhyiddin, beliau perlu meletakkan piawaian yang tinggi terhadap segala aspek persiapan daripada soal gelanggang sukan sehinggalah kepada kemudahan dan keselamatan untuk atlet.

Ini kerana ukuran kejayaan Sukan Komanwel itu nanti ialah terhadap 'pengurusan Malaysia di arena antarabangsa' maka itu sudah tentu ia merupakan agenda maruah negara.

''Yang mustahak sekarang ialah memberi tumpuan yang penuh terhadap semua perkara tidak kira kecil atau besar, semuanya harus diambil kira. Tidak ada perkara yang harus dipandang remeh,'' ujarnya.

Apa yang perlu di saat-saat akhir hitungan hari menjelang Sukan Komanwel ialah penyelarasan yang lebih berkesan antara semua pihak dan agensi terlibat daripada terjebak dengan salah menyalahkan atau mencari 'mangsa' jika timbul masalah besar. Katanya; ''biar bergaduh dahulu daripada bergaduh kemudian.''

Pendekatan ini diambil sebagai mengambil iktibar beberapa temasya sukan lalu seperti Sukan Olimpik di Atlanta, Amerika Syarikat yang menyaksikan beberapa kelemahan dalam menyalurkan keputusan biarpun menggunakan sistem teknologi tercangih serta masalah pengangkutan.

Sebab itulah, kata Muhyiddin beliau mengambil pendekatan terbuka dengan turun sendiri meninjau projek menyediakan kemudahan sukan, mengadakan perbincangan terus dengan pelbagai pihak dan agensi serta membuat penilaian ketat dari semasa ke semasa.

''Saya tidak boleh bergantung kepada laporan dan penilaian rambang semata-mata,'' kata Menteri Belia dan Sukan itu yang rutin hidupnya kini bagai dihantui oleh Sukan Komanwel.

Manakan tidak, kadangkala, ada perkara dan keputusan yang dibuat oleh pihak lain 'di luar jangkauan' Muhyiddin akhirnya menimpa beliau. Seorang pegawai kementerian memberikan salah satu contoh iaitu isu iklan minuman keras Carlsberg pada sebahagian bas dan teksi di ibu negara yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini. Urusan iklan dikendalikan oleh Sukom '98.

Tetapi Muhyiddin nampaknya tidak kisah itu semua kerana tugas yang lebih besar bagi beliau sekarang ialah untuk mendapatkan sokongan rakyat sehingga memenuhi gelanggang-gelanggang sukan.

Beliau akan mengetuai promosi besar-besaran secara langsung di luar bandar bermula di Perlis pada 7 Jun ini untuk memasyarakatkan Sukan Komanwel. ''Ini projek nasional,'' katanya sambil berpuas hati dengan komitmen lebih 20,000 rakyat yang menjadi sukarelawan Sukan Komanwel.

Tetapi komitmen itu tidak cukup sekiranya rakyat lebih suka menonton televisyen daripada menyaksikan sendiri acara-acara yang dipertandingkan termasuk acara badminton dan boling yang dijangka menawarkan potensi pingat untuk kontinjen negara.

Katanya, pelbagai pihak meliputi kementerian, kerajaan negeri dan agensi sedang mengambil langkah ke arah itu menerusi cuti sekolah dan sebagainya.

''Ini peluang sekali seumur hidup untuk menyaksikan sendiri acara-acara Sukan Komanwel di tanah air sendiri. Belum tentu lagi kita akan mendapat kesempatan ini lagi,'' katanya yang berazam menjadikan Sukan Komanwel kali ini yang terbaik dalam sejarah sukan itu.

Apa pun bagi Muhyiddin, Hashim dan mereka yang terlibat secara langsung untuk menjayakan temasya sukan tersebut, mulai hari ini, mereka sebenarnya 'terlalu banyak kerja dari masa.'

Bagi rakyat Malaysia pula, harapan cuma mahu melihat tirai tahun 1998 ditutup dengan berita kejayaan penganjuran Sukan Komanwel biarpun mungkin kontinjen negara tidak menyerlah dalam pungutan pingat. Sebenarnya, tiada kompromi untuk maruah negara sekiranya berbangga dengan slogan 'Malaysia Boleh.'

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.