saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 03/07/1998

Lenjan filem suspens yang menarik


NINA JUREN


Arahan: Ismail Yaacob

Skrip/lakon layar: Akhbar Hashim

Pelakon: Eman Manan, Nina Juren Haniff, Rosyam Nor, dan lain-lain.

LENJAN biarpun bukan tiruan daripada filem Hong Kong atau Hollywood sepertimana yang dikatakan oleh pengarahnya Ismail Yaacob, tetapi filem ini pastinya mendapat inspirasi dari Hollywood. Idea dan inspirasi yang baik boleh sahaja dimanfaatkan oleh Lenjan sebagai sebuah filem suspens-thriller.

Filem Lenjan dibuka dengan adegan rogol dan pembunuhan yang mengerikan. Adegan awal yang provokatif, menarik dan menyentak persoalan buat penonton.

Dalam adegan seterusnya, kita diperkenalkan dengan pasangan suami isteri Amir (Eman Manan) dan Zita (Nina Juren) yang baru setahun berkahwin.

Amir adalah seorang usahawan yang berjaya biarpun dia asalnya adalah anak yatim yang terbiar.

Mereka telah merancang percutian di sebuah tempat di mana Amir selalu berkunjung semasa dia masih lagi kecil.

Mereka bertolak ke tempat percutian tersebut tanpa disedari yang mereka diekori oleh Zahrin (Rosyam Nor) seorang pembunuh dan perogol bersiri.

Cerita seterusnya bertumpu kepada usaha Zahrin memerangkap pasangan tersebut dan berusaha untuk membunuh Amir.

Sebagai sebuah filem suspens-thriller, hasilnya cukup menarik. Kesan ketegangan dapat dirasai dengan adegan-adegan yang bergerak pantas hasil daripada perancangan skrip yang pantas.

Ini kerana keupayaan penyunting mengawal masa filem dan seterusnya berupaya membentuk tempo dan rentak yang pantas.

Akhbar sebagai penulis skrip membina struktur dramatik yang cukup baik. Dia berupaya menangkap perhatian dan tumpuan penonton seawal babak pertama dan seterusnya cuba mempertahankan tumpuan itu selama mungkin.

Ini sebenarnya elemen yang penting dalam menghasilkan sebuah skrip suspens-thriller. Konstruktif dramatik selalunya terletak pada keupayaan skrip mencipta elemen minat dan suspens pada plotnya.

Jangkaan penonton perlu ditingkatkan sehingga penamat, lakonan perlu selaras dengan objektif cerita dan yang paling penting adalah mengekalkan tempo dan rentak cerita.

Dalam konteks ini, Lenjan berjaya mencipta dan mengekalkan minat penonton tanpa terlalu banyak dikacaukan oleh sub-plot yang tidak perlu.

Dalam Lenjan, suspens datang dalam bentuk pertanyaan iaitu apa yang berlaku seterusnya dan bagaimana ia akan berlaku.

Dengan cerita yang mementingkan kekuatan lakonan dan dilakonkan dengan jumlah pelakon yang kecil, maka Lenjan sebenarnya bergantung pada kemantapan lakonan pelakon utamanya.

Lenjan beruntung, Eman Manan, Rosyam Nor dan Nina Juren berupaya memberikan bentuk dan kekuatan lakonan yang diperlukan.

Sebahagian besarnya pasti juga kerana pengalaman Ismail yang lama di bidang teater. Walaupun dalam beberapa dialog, Eman yang terasa lemah dan juga kata bual di antara Amir dan Zita yang agak janggal kedengaran.

Selain lakonan, Lenjan dimantapkan oleh fotografi dan suntingan yang cukup dinamik. Satu hal yang wajar diberi perhatian dalam filem ini adalah aspek make-up.

Make-upnya bersesuaian dengan perubahan adegan dalam cerita. Kesan luka, darah dan bengkak pada wajah Amir kelihatan realistik sekali dan cukup meyakinkan.

Bagaimanapun, Lenjan di sebalik keghairahan menonjolkan kesan suspens dan thriller sebenarnya melupakan beberapa persoalan yang menarik.

Usaha pengarah menyembunyikan motif Zahrin mengikuti pasangan Amir dan Zita di peringkat awal adalah baik.

Di babak akhir, barulah kita mengetahui yang Zahrin dan Zita adalah bekas pasangan kekasih, dan kini mereka merancang untuk membunuh Amir untuk merampas harta Amir.

Tetapi usaha yang terlalu hendak menyembunyikan niat, kerana hendak mengekalkan suspens menyebabkan filem ini terdedah kepada beberapa persoalan yang lain.

Hubungan dan rancangan awal Zahrin dan Zita menjadi keliru dan tidak jelas akibat tindak-tanduk Zita yang tidak senang dengan kedatangan Zahrin, marah bila Zahrin memegangnya semasa ketiadaan Amir.

Malah, Zita mempersoalkan usaha Amir menolong Zahrin dan mengapa dia bersetuju melarikan diri bersama Amir.

Bukankah ini masanya mereka merancangkan sesuatu? Malah, timbul juga persoalan bagaimana dan apa yang mendorong Zahrin perlu menjadi pembunuh dan perogol bersiri, jika dia dan Zita telah setahun merancang untuk mendapatkan harta Amir.

Apakah rogol dan pembunuhan itu sebahagian daripada rancangan itu? Ini kerana sebuah filem boleh sahaja memaparkan keganasan dan kekerasan, asal sahaja mereka memahami dasar yang menyebabkan kekerasan itu berlaku.

Inilah bahayanya apabila penulis terlalu ghairah mencipta suspens dan mahu terus membiarkan penonton tenggelam dalam keadaan suspens hingga melupakan hukum sebab dan akibat dalam pembinaan plot.

Bagaimanapun, Lenjan di sebalik kelemahan ini adalah sebuah usaha yang baik dan menarik.

Filem ini membuktikan Ismail adalah pengarah filem yang berbakat yang perlu diberikan perhatian.

Penilaian: B-

Bersama: A. WAHAB HAMZAH

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.