saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 05/07/1998

Lenjan filem saspens menghiburkan

Lenjan, atau dalam erti kata lainnya bermaksud 'lasak' sebagaimana tercatat dalam Kamus Dewan edisi ketiga, sesungguhnya adalah perkataan dialek koloqial di kalangan masyarakat sebelah utara.

Lenjan sering dituturkan oleh ibu-ibu kepada anak-anak yang 'lasak' tidur justeru perkataan ini dikaitkan dengan katil.

Namun jika diteliti yang tersirat di sebalik apa yang tersurat setelah dikupas halus-halus, 'lenjan' boleh membawa maksud yang lebih dahsyat andainya tabiat itu dijadikan mainan hidup sejak kecil.

Tabiat 'lenjan' inilah yang dikupas oleh pengarah Ismail Yaakob dalam filem arahan pertamanya atas tajuk yang sama - Lenjan yang sungguhpun pada istilah Ismail lebih bermaksud 'belasah habis-habisan'.

Bertolak daripada istilah itu, Lenjan memudahkan Ismail menggarap filem ini dengan berjayanya apatah lagi didukung oleh pelakon berkarakter yang berkemampuan seperti Eman Manan serta lakonan matang dan mantap Rosyam Nor.

Kedua-dua watak ini menghidupkan Lenjan sebagai sebuah filem aksyen thriller yang jika tidak setaraf pun boleh dikatakan setanding cerita-cerita Hollywood yang berbaur sama.

Pemilihan Eman Manan sebagai Amir seorang pemuda korporat yang bukan sahaja kaya dengan wang ringgit tetapi budi bahasa merupakan satu pilihan yang bijak.

Lakonannya cukup hebat dan mantap. Nescaya Ismail sebagai pengarah tidak perlu bekerja keras untuk membentuk Eman yang boleh dikatakan sudah sinonim dengan watak sedemikian sebagaimana filem-filem lakonannya sebelum ini seperti Matinya Seorang Patriot mahupun Puteri.

Dibantu pula dengan watak Zarin, seorang perogol bersiri lakonan Rosyam Nor yang 'lenjan' dalam segala tingkah lakunya sudah cukup menjadikan filem ini mendebarkan.

Lenjan menguji kemampuan Rosyam sebagai pelakon utama selepas Suami, Isteri dan..., dan ternyata Rosyam berjaya menjiwai watak Zarin yang ganas (cuma rambut palsunya agak tak natural - semestinyakah orang ganas itu digambarkan berambut panjang?).

Rosyam Nor telah berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang pelakon versatile jauh berbedza dari filem-filem lakonannya terdahulu seperti Gila Gila Remaja, Kanta Serigala, Suami, Isteri dan..., Jimi Asmara sekalipun sebagai pelakon pembantu dalam Maria Mariana II.

Perjalanan Lenjan mudah diikuti penonton kerana plot utamanya lurus. Sub plot filem ini cuma berkisar kepada kejadian merogol sebagai menggambarkan perwatakan Zarin yang ganas dan kaki perempuan.

Sebagai langkah pertama menggarap filem, Ismail berjaya memperlihatkan unsur saspens kepada filem thriller ini walaupun mengingatkan kita kepada filem-filem Inggeris seumpama tetapi sekurang-kurangnya Lenjan berjaya melarikan dirinya daripada filem klise Melayu yang bertemakan cinta, hasil skrip Akhbar Hashim.

Cinta dalam Lenjan bukanlah persoalan utama sungguhpun terdapat babak-babak romantis antara Amir dan isterinya Zeti lakonan Nina Jureen yang sederhana lakonannya tenggelam dek kehebatan lakonan Eman dan Rosyam.

Babak-babak saspens berjaya 'mengangkat' pinggul penonton namun dalam pada itu Ismail tidak lupa menyelitkan unsur humor melalui dialog dan tingkah laku yang bukan slapstick.

Fotografi di tangan jurukamera profesional, Badaruddin Azmi yang kreatif dengan shot-shot menarik serta penyuntingan yang pantas Elias Mydin mampu membantu Ismail melayarkan Lenjan sebaik mungkin mengikut rentak cerita walaupun ada beberapa kelemahan kecil antaranya seperti pemilihan stuntman yang jelas bukan mempunyai ketinggian yang sama dengan Eman.

Sebaiknya pada adegan ini, pengarah tidak terlalu memfokuskan kamera pada close up tetapi harus dirakamkan pada angle long shot dan pantas agar tidak ketara perbezaannya. Lagi pun adegan Eman memperlihatkan aksinya bermain motor tidak relevan dengan cerita dan tidak perlu dipanjangkan babak berkenaan.

Bagaimanapun, syabas buat Ismail kerana bukannya mudah menggarap sebuah filem yang cuma berkisar kepada tiga watak utama sahaja jika jalanan ceritanya membosankan tetapi Lenjan mampu menahan penonton hingga ke hujung cerita dengan adegan-adegan yang cemas dan saspens.

Tolak ke tepi perihal 'meniru' gaya filem-filem Hollywood. Filem Hindustan pun banyak 'meniru' Hollywood sebagai mana filem Daraar yang sebulat adaptasi dari filem Sleeping With The Enemy mahupun filem-filem Cina tetapi tetap menghiburkan.

Yang pentingnya, Ismail Yaacob berjaya mengalih genre filem Melayu yang klise dengan adegan cinta, muzik dan khayalan ke satu tahap yang mungkin sudah lapuk di Hollywood tetapi satu 'pembaharuan' bagi sinema Melayu yang ketandusan filem-filem saspens thriller seperti Lenjan.

Filem terbitan Berjaya Filem ini sedang ditayangkan kepada umum mulai 3 Julai lalu di pawagam-pawagam tempatan seluruh negara. - Oleh FARIZA SAIDIN

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.