saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 06/07/1998

Kaji kekalahan Arau -- Anwar arah UMNO Perlis sediakan laporan terperinci

KUALA LUMPUR 5 Julai - Para pemimpin UMNO dan komponen Barisan Nasional (BN) yang dikejutkan oleh kekalahan calon mereka dalam pilihan raya kecil di Arau mengekori sentimen Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang perlunya bedah siasat dibuat segera bagi mengenal pasti punca kekalahan tersebut.

Anwar sewaktu ditemui di Langkawi berkata, walaupun kekalahan BN semalam agak mendukacitakan namun pilihan para pengundi tetap diterima dan dihormati atas prinsip demokrasi.

Timbalan Presiden UMNO itu juga berkata, Badan Perhubungan UMNO Perlis telah diminta menyediakan laporan terperinci mengenai keputusan pilihan raya kecil itu untuk dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang akan datang.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan Malaysian Jet Endurance '98 di sini hari ini, beliau menjelaskan, apabila laporan itu siap, kajian terperinci akan dibuat untuk mengenal pasti punca kekalahan tersebut.

Anwar bagaimanapun tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung kekalahan BN ketika ditanya sama ada ia mungkin berpunca akibat faktor seperti kegawatan ekonomi, calon BN yang tidak sesuai atau masalah pada jentera BN sendiri.

''Biarlah kita tunggu hasil laporan terperinci, sekarang kita cuma pakai jangkaan dan tafsiran sahaja,'' ujarnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada jentera pilihan raya BN yang telah bekerja keras berkempen biarpun segala usaha itu memberi keputusan yang tidak menyebelahi mereka.

Sementara itu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Sabbaruddin Chik berkata, UMNO akan melakukan bedah siasat dan meneliti mengapa calon tersebut tewas.

''Kita tengok dululah apa sebabnya, saya pun tak tahu cerita sebenar jika hendak bagi alasan begitu,'' katanya ketika ditanya kemungkinan punca kekalahan BN disebabkan pengundi membantah unsur pilih kasih pada pilihan raya itu semalam.

Beliau yang juga Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan berkata demikian kepada pemberita selepas acara Pesta Flora di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang berkaitan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayub berkata, kekalahan BN berkait rapat dengan sikap jentera parti yang tiada kesungguhan dan kurang bersemangat.

Beliau yang melihat sendiri kelemahan tersebut sewaktu berkempen di Arau baru-baru ini memberitahu, antara kelemahan yang ketara ialah di setiap tempat peti undi tidak diletakkan petugas parti untuk melayan para pengundi.

Jelas Megat Junid, selain faktor pendidikan dan kedudukan, soal pemilihan calon juga harus mengambil kira faktor latar belakang setiap calon supaya mereka dapat memenuhi kehendak pengundi.

Calon BN, Ismail Kassim yang memperoleh undi 11,541 tewas dengan majoriti undi 1,323 undi kepada calon Pas, Hashim Jasin yang meraih 12,864 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat BN, Kamaruddin Ahmad pada 25 Mei lalu akibat diserang angin ahmar.

Pada pilihan raya umum lalu, Kamaruddin menewaskan calon Parti Melayu Semangat 46 (kini dibubarkan), Mohamad Zain Hamzah dengan majoriti 6,889 undi.

Kamaruddin memperoleh undi 16,226 undi manakala Mohd. Zain sebanyak 9,337 undi.

Sementara itu, di Jasin, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar Isnin tidak menolak satu daripada faktor menyebabkan kekalahan tersebut ialah disebabkan perkembangan isu politik semasa yang berkaitan dengan nepotisme dan kronisme.

''Tetapi kalau jentera pilihan raya BN kuat, kita boleh menepis isu-isu ini dan sekali gus memadamkan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh parti lawan dalam hal ini,'' katanya.

Di Rembau, Pengerusi BN Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, kekalahan BN kepada Pas pada pilihan raya kecil Parlimen Arau semalam, tidak boleh dikaitkan dengan sokongan oleh rakyat secara keseluruhannya kepada BN.

Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, sokongan kepada BN pada peringkat nasional masih kukuh dan kekalahan semalam adalah kes terpencil yang tidak sepatutnya dikaitkan dengan sokongan secara menyeluruh.

Di Kangar, anggota Exco kerajaan negeri, Khor Liang Tee berkata, MCA Perlis telah berusaha sedaya upaya memberi sokongan sepenuhnya kepada BN dalam pilihan raya kecil Parlimen Arau semalam.

Beliau yang juga Pengerusi MCA Negeri menjelaskan, para pengundi Cina yang kebanyakannya tinggal di Pauh telah menyokong BN dan hasilnya tidak ada mana-mana pusat mengundi orang Cina di kawasan itu yang dimenangi oleh Pas.

Di Kuala Lumpur, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, kekalahan BN itu adalah amaran kepada penyokong-penyokong BN dan parti itu sendiri.

Katanya, tidak memadai dengan hanya meletakkan lambang parti untuk mencapai kemenangan tetapi ia mesti diiringi dengan kerja keras oleh semua pihak.

Di Sepang, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik berkata, BN perlu membuat bedah siasat untuk mengetahui punca kekalahannya dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen Arau, semalam.

''Saya sedih dengan kekalahan BN dalam pilihan raya kecil ini kerana kita akan berhadapan dengan pilihan raya akan datang,'' katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selama dua jam di sini, hari ini.

Di Batu Kurau, Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Kerk Choo Ting berkata parti itu bersedia untuk mengadakan post-mortem mengenai kekalahan berkenaan walaupun calon BN tersebut bukan merupakan calon dari parti berkenaan.

Kerk berkata, sebab-sebab kekalahan BN di Arau mungkin mempunyai persamaan dengan apa yang berlaku dalam pilihan raya Parlimen Teluk Intan tahun lalu yang dimenangi oleh calon DAP.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.