saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 07/07/1998

Bekas Gabenor Bank Negara meninggal dunia

KUALA LUMPUR 6 Julai - Tun Ismail Mohd. Ali, nama yang sinonim dengan Bank Negara, meninggal dunia kerana komplikasi selesema di Hospital Pakar Ampang Puteri di sini hari ini.

Allahyarham berusia 80 tahun.

Anak lelaki sulungnya, Iskander, berkata Tun Ismail, telah dimasukkan ke hospital berkenaan satu setengah minggu lepas.

''Beliau meninggal dunia sejurus sebelum pukul 11 pagi. Beliau dimasukkan (ke hospital itu) kerana selesema tetapi malangnya daya ketahanan dirinya rendah. Beliau mengalami aneurisme pecah,'' katanya ketika ditemui di kediaman Allahyarham di sini hari ini.

Allahyarham meninggalkan dua anak lelaki, Iskandar, seorang ahli bank dagang dan Ahmad Kamal, seorang arkitek.

Isteri Allahyarham, Toh Puan Maimunah Abdul Latiff meninggal dunia dua tahun lepas.

Tun Ismail ialah abang ipar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang berkahwin dengan adik perempuannya, Datin Seri Dr. Siti Hasmah.

Dr. Mahathir dan isterinya adalah antara waris terdekat yang paling awal tiba di rumah Allahyarham kira-kira pada pukul 11.30 pagi ini.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kediamannya di No. 23, Jalan Taman U Thant, di sini dan dikebumikan di Perkuburan Islam Ampang kira-kira pukul 5.30 petang ini.

Sementara itu Dr. Mahathir yang ditemui oleh Bernama selepas memberi penghormatan terakhir berkata, Allahyarham ialah seorang yang bekerja gigih hingga ke akhir hayat.

Katanya, beliau ialah seorang pekerja yang bekerja kuat dan tidak pernah berhenti daripada menyempurnakan tugas yang diamanahkan sehinggalah hari beliau meninggal dunia.

''Beliau seorang yang tegas,'' kata Dr. Mahathir.

Turut hadir di kediaman Allahyarham termasuklah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Menteri Luar, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdul Hamid Othman, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Salah seorang adik Allahyarham, Datuk Jaafar Mohd. Ali, ketika ditemui berkata, beliau menghormatinya sebagai seorang yang amat mematuhi peraturan dan apa jua disiplin sebagai seorang pegawai kerajaan.

''Allahyarham tidak pernah membicarakan mengenai urusan kerjanya dengan pihak keluarga, dia amat berhati-hati, apatah lagi dalam menunaikan tugasnya sebagai gabenor satu ketika dahulu,'' katanya.

Hadir memberikan penghormatan terakhir pada pengebumian ialah bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mustapa Mohamed, serta bekas-bekas pegawai kanan kerajaan.

Tengku Razaleigh yang ditemui selepas upacara itu memberitahu, sepanjang tugasnya sebagai Gabenor Bank Negara, Allahyarham telah memacu dunia perbankan sehingga negara ini muncul dengan konsep yang kukuh dan dihormati di mata dunia.

''Beliau meneruskan tugas sebagai seorang yang inginkan hasil kerja dan ketepatan yang tinggi. Inilah antara rahsia sehingga Allahyarham mampu menjalankan tugas dengan amat berkesan,'' kata beliau.

Allahyarham yang dianggap sebagai ahli bank Malaysia paling terkemuka, menjadi Gabenor Bank Negara dari tahun 1962 hingga 1980, mencatat rekod sebagai gabenor bank pusat yang paling lama berkhidmat di Asia.

Sebagai menghargai perkhidmatan cemerlangnya, Allahyarham telah dianugerahkan dengan gelaran ''Tun'' pada tahun 1980 apabila menerima pingat Seri Setia Mahkota, anugerah awam tertinggi negara.

Sebelum meninggal dunia, Allahyarham masih berkhidmat sebagai penasihat kepada Permodalan Nasional Berhad, badan pelaburan ekuiti kerajaan.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.