saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 18/08/1998

Karya Agung ada kelas tersendiri


HASSAN Ahmad bersama beberapa buah karya agung di pejabatnya di Yayasan Karyawan.


SETIAP bangsa bertamadun ada Karya Agung tersendiri. Bangsa Rusia berbangga dengan War and Peace karya Leo Tolstoy, Perancis berbangga dengan karya Robespiere Equality.

Rakyat Amerika Syarikat pula tentunya cukup taksub dengan karya-karya besar dari Ernest Hemingway seperti Old Man and The Sea dan Farewell to Arms. Bangsa British pula menjulang karya-karya Shakespeare seperti Othello, Macbeth dan Hamlet.

Seperti bangsa-bangsa tadi, bangsa Melayu juga mempunyai karya-karya agungnya tersendiri.

Antara karya-karya agung itu ialah Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu, Tuhfat al-Nafis, Bustan al-Salatin al-Katibin, Syair Ken Tambuhan dan Hikayat Acheh. Sekadar menyebut beberapa judul.

Definisi Melayu yang dipakai dalam mengklasifikasikan Karya Agung bangsa Melayu ialah Melayu Nusantara. Oleh kerana karya-karya agung yang diterbitkan menjangkau berabad lamanya, usaha-usaha yang positif dan proaktif sedang dilakukan bagi menerbitkan semula karya-karya ini dalam bentuk eksklusif, di samping mempunyai ciri-ciri dan kelasnya yang tersendiri sejajar dengan nilai keagungan dan klasiknya.

Projek Karya Agung di negara kita diinisiatifkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu meniupkan kembali semangat dan perjuangan atas landasan dan obor Kebangkitan Asia.

Dalam satu wawancara dengan Ketua Eksekutif, Yayasan Karyawan, Datuk Hassan Ahmad, baru-baru ini, beliau berkata projek Karya Agung ini segala-galanya bermula dari saranan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kira-kira dua setengah tahun lalu.

Katanya, kesedaran Anwar ini bertitik tolak dari tersenarainya lebih 200 Karya Agung dunia.

Bertolak dari situ, satu anjakan paradigma telah dilakukan. Maka ditubuhkan Yayasan Karyawan - agensi yang menjadi tonggak pemikiran dalam melahirkan karya-karya agung Melayu.

Antara tugas dan tanggungjawab Yayasan Karyawan ialah untuk menjalankan penyelidikan, mencari karya-karya klasik Melayu yang mungkin berada di luar negara untuk dibawa pulang, dianalisis dan ditulis semula pengenalannya dan memberi nafas baru kepada karya-karya berkenaan.

Hari ini, Yayasan Karyawan boleh berbangga dalam tempoh yang begitu singkat, tiga buah Karya Agung Melayu yang boleh dianggap mewakli tamadun Nusantara telah berjaya dilahirkan. Ketiga-tiga Karya Agung itu ialah Sulalat al-Salatin yakni Perteturun Segala Raja-Raja.

Sulalat al-Salatin ialah sebuah karya yang tercipta daripada perintah Raja, Bendahara Paduka Raja, Tun Muhammad yang lebih terkenal dengan nama Tun Sri Lanang. Karya ini amat penting bagi bangsa Melayu kerana ia menceritakan tentang sejarah, adat-istiadat dan persoalan yang berkisar dalam kerangka sejarah sahsiah dan budaya Melayu. Dalam perbendaharaan bahasanya, terdapat sejumlah kata-kata kuno bahasa Melayu asli yang menandakan usianya.

Karya kedua ialah Hikayat Hang Tuah. Versi mutakhir ini telah diberikan pengenalan tambahan oleh Dr. Noriah Mohamed dari kajian dan pengenalan awal oleh Kassim Ahmad.

Menurut Hassan pengarang asal hikayat ini tidak diketahui. Ini bersesuaian dengan sifat pengarang kesusasteraan Melayu Lama yang tidak ingin menonjolkan diri.

Karya kreatif lama ini berunsur novel yang paling panjang dengan 146,000 perkataan. Ia adalah sebuah karya yang menonjolkan jati diri bangsa Melayu. Di dalamnya dilahirkan cita-cita dan kebesaran bangsa Melayu. Di dalam hikayat ini dicatatkan riwayat hidup bangsa Melayu dari sejak mulanya sehingga melewati zaman pembangunannya lalu mendepang ke zaman kebesarannya sehinggalah ke saat kejatuhannya pada 24 Ogos 1511.

Tokoh utamanya Hang Tuah mewakili bangsa Melayu mengenai cita-citanya, kebolehannya dan sikap hidupnya pada suatu zaman, jelas Hassan.

Secara tidak langsungnya hikayat ini merakamkan kisah tentang bangun dan jatuhnya Melaka.

Karya ketiga ialah Tuhfat al- Nafis. Versi asalnya dikaji dan diperkenalkan oleh Dr. Virginia Matheson, seorang sarjana Kesusasteraan Melayu di Australian National University, Canberra, Australia.

Versi ini dilahirkan berdasarkan kajian dan penelitian terhadap lima nashkah manuskrip Tuhfat al-Nafis yang tersimpan di perpustakaan di London, di Leiden dan di Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Menurut Hassan, Tuhfat-al-Nafis yang bermakna Hadiah yang Berharga merupakan karya sejarah Melayu yang meliputi peristiwa di kalangan semua kerajaan Melayu di Semenanjung Tanah Melayu dan di Kepulauan Riau-Lingga (termasuk Singapura, Sumatera Timur, Kalimantan Barat, Sulawesi Selatan dan di Betawi pada awal abad ke-17 hingga ke pertengahan abad ke-19. Hasil karya wawasan Raja Ali Haji ini memperlihatkan jaringan perhubungan antara orang Melayu-Bugis di Riau-Lingga dengan orang Melayu tempat lain di Nusantara.

Apa yang istimewanya versi terbaru ini ialah bentuk yang terkini dari segi penjilidan dan wajah kulitnya yang kelihatan begitu eksklusif setanding dengan karya-karya agung Barat dan juga di dunia.

Kertas yang digunakan untuk menjadi halaman-halamannya ada jenis kertas hayat panjang (life long) gsm, bebas asid dan tahan lama. Halaman-halamannya berwarna putih, dengan bingkai awan larat yang diilhamkan daripada kerawang ukiran Melayu. Gambar-gambar foto daripada manuskrip asalnya dicetak semula dengan dilindungi oleh kertas lut cahaya.

Kerja-kerja penjilidannya dilakukan dengan kulit asli bonded leather. Tulang belakangnya berbebat lengkung, dilengkapkan dengan pita petanda dan dihiasi dengan pinggir perada emas.

Hassan menegaskan secara asasnya Karya Agung ialah karya yang melambangkan tahap pencapaian daya cipta sesuatu bangsa/tamadun yang tinggi dalam bidang persuratan, seni dan falsafah dalam sejarahnya. Karya-karya ini telah meninggalkan kesan yang sangat berpengaruh sepanjang zaman dalam kesedaran kebangsaan bangsa itu di samping barangkali dapat merentasi sempadan tamadun (budaya) bangsa-bangsa sedunia.

Ringkasnya, kata Hassan karya agung ialah warisan persuratan dan kebijaksanaan sesuatu bangsa yang mempunyai nilai budaya, pemikiran, sejarah dan seni yang tinggi dan tahan zaman.

Karya Agung dunia Melayu tidak hanya terhad pada karya klasik yakni karya pascazaman penulisan tetapi boleh juga termasuk karya lisan, misalnya cerita penglipur lara, pantun dan pepatah.

Karya Agung dunia pula kata Hassan, kriteria berikut digunakan.

* Karya ilmu yang bercorak falsafah yakni yang bukan bercorak sains dan bukan bercorak agama atau teologi yang bernilai sejagat. Ini bererti bahawa karya pemikir fikah Islam seperti Imam Shafie atau pengumpul hadis Muslim, Daud Termizi dan lain-lain atau karya sains fizikal Barat seperti Francis Bacon, Isaac Newton tidak patut dipilih.

* Karya dalam semua tamadun manusia yang dianggap mempunyai nilai sejagat dari segi budaya ilmu, falsafah dan pemikirannya. Tentunya maksud nilai sejagat ini perlu ditakrifkan sejelas mungkin.

Pemilihan utama ialah Karya Agung yang dianggap merupakan pewakil utama zamannya atau yang menjadi pewakil utama aliran pemikiran atau falsafah zamannya.

Keistimewaan karya-karya agung ini ialah dari segi nilai-nilai moral, kemanusiaan dan falsafah yang terkandung di dalammnya yang bersifat nilai-nilai sejagat. Carilah tamadun dalam karya-karya itu.

Hassan berkata dalam senarai untuk diterbitkan ialah Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Raja Pasai, Undang-undang Melaka, Syair Ken Tambuhan, Syair Perang Makasar dan Hikayat Abdullah.

Projek ini dijangka siap kira-kira dua tahun iaitu sehingga 1999. Antara yang turut dipertimbangkan ialah karya-karya Ibn Rushd, Ibn Sina, AlFarabi, Iman Al-Ghazali, Al Kindi. Para pengkaji atau sarjana yang terlibat di dalam projek ini terdiri daripada 17 orang.

15 sarjana tempatan dibantu oleh dua sarjana luar negara Dr Virginia Matheson dan Dr Russell Jones.

Karya-karya agung terbitan Yayasan Karyawan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka ini diedarkan oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.(UP&D). Untuk urusan tempahan hubungi Bahagian Pemasaran, UP&D, telefon 03-9856577.

Karya-karya agung ini juga boleh diperoleh daripada kedai-kedai buku tempatan. Karya-karya ini juga kini boleh dibeli di gerai UP&D di Pesta Buku Antarbangsa Kuala Lumpur yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari sekarang hingga 23 Ogos ini.

Oleh: RASHID AHMAD

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:59
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.