saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 18/08/1998

Tafsir Ar-Rahman dalam bentuk baru

Nama buku: Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Quran (Edisi Rumi dan Jawi)

Pengarang: Syeikh Abdullah Bin Muhammad Basmeih.

Halaman: 1,512

Penerbit: Darulfikir Kuala Lumpur

Harga: RM50.

KITAB Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Quran 30 juz (selepas ini disebut Tafsir Pimpinan al-Rahman) ini merupakan cetakan terbaru yang menampilkan bentuk baru dan lebih berkualiti.

Pada asalnya kitab ini terbahagi kepada tiga jilid yang diterbitkan secara berasingan dan berturutan, dimulakan dengan jilid pertama (dicetak pada tahun 1968), jilid kedua (1970) dan jilid ketiga (1972).

Tafsir Pimpinan al-Rahman merupakan hasil terjemahan Syeikh Abdulllah Muhammad Basmeih. Ia telah disemak dan disahkan oleh Mufti Kerajaan Kelantan.

Cetakannya adalah dengan keizinan serta di bawah kawalan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Pusat Islam, Kuala Lumpur.

Sebagaimana diketahui bahawa al-Quran merupakan mukjizat teragung yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada utusan dan kekasih-Nya, junjungan besar Nabi Muhammad s.w.t., isi kandungannya mencakupi seluruh aspek hidup, berkaitan dengan tatacara bagaimana setiap insan melayari bahtera kehidupan di alam dunia yang serba sementara ini.

Sesungguhnya ia merupakan wahyu yang ditinggalkan oleh Yang Maha Esa yang telah menurunkannya melalui lisan Nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana difirmankan-Nya di dalam al-Quran Surah al-An'am (6:38) yang bermaksud:

...tiada Kami meninggalkan sesuatu pun di dalam Kitab (al-Quran) ini....

Penjelasan atau tafsir bagi ayat di atas ialah bahawa Allah s.w.t tidak meninggalkan daripada memberi penerangan di dalam al-Quran segala yang diperlukan mengenai dunia dan akhirat. Ada diterangkan asas-asasnya dan intisarinya di dalam al-Quran.

Untuk mengecapi kegemilangan hidup di dunia serta mendapat kenikmatan berkekalan di akhirat perlulah kita sebagai umat Islam kembali kepada al-Quran, dalam erti kata kembali memahami, mengkaji dan seterusnya mengamalkan isi-isi pengajarannya yang mulia. Jalan yang wajar untuk mempelajari dan meneroka maksud kandungan al-Quran ialah memahami makna-makna ayatnya, maka di sinilah terletaknya kepentingan terjemahan dan tafsiran al-Quran dengan gaya bahasa yang dapat difahami serta ditanggapi dengan mudah oleh masyarakat Islam.

Oleh kerana itu, sudah sewajarnya Tafsir Pimpinan al-Rahman ini dimiliki oleh setiap individu Muslim yang ingin meneroka dan menggali khazanah yang terkandung di dalam al-Quran.

Setelah mengamati keseluruhan kandungannya, gaya bahasa yang digunakan mudah difahami oleh khalayak pembaca. Bagi memperjelaskan maksud sesuatu ayat atau potongan ayat, pengarangnya tidak terlalu terkongkong kepada istilah-istilah asal berbahasa Arab, sebaliknya sedapat mungkin dipaparkan melalui ungkapan bahasa Malaysia yang paling tepat makna dan tafsirannya.

Di samping itu, bagi ayat atau rangkaian yang memerlukan penjelasan dan huraian lanjut, diadakan penghuraian berbentuk nota kaki.

Kitab Tafsir Pimpinan al-Rahman edisi terbaru ini tidak mengabaikan autoriti kitab-kitab tafsir ulama silam yang disepakati sebagai kitab yang muktabar.

Antara kitab yang menjadi sandaran pendapat dan tafsiran ialah seperti Jami al-Bayan (Karya Imam al-Tabari), Tafsir Ibn Kathir (Ibn Kathir al- Damsyiqi), Tafsir Ruh al-Ma'ani (Syed Mahmud Syukri al-Alusi), Tafsir Jalalain (Imam Jalaluddin al-Mahalli dan Imam al-Sayuti) dan Tafsir Fi Zilal al-Quran (Syed Qutb).

Kitab tafsir ini disusun dan disajikan sesudah meneliti pelbagai kitab tafsir muktabar tersebut dengan dipilih pendapat-pendapat yang difikirkan munasabah, paling berautoriti serta sesuai dengan suasana hidup masyarakat di Malaysia.

Di samping kitab-kitab tafsir muktabar, pengarang dan penyusun Kitab Tafsir Pimpinan al-Rahman ini turut menyandarkan tafsiran dan terjemahan mereka kepada sejumlah kitab hadis yang termasyhur.

Ini dirasakan amat penting kerana untuk memahami maksud setiap ayat al-Quran, adalah perlu mengetahui hal-hal yang berkaitan langsung dengannya, seperti Asbab al-Nuzul (sebab-sebab penurunannya), tempat diturunkan, penjelasan oleh Baginda s.a.w berkenaan sesuatu ayat dan seumpamanya. Ini semua dapat disingkap di dalam kitab-kitab hadis muktabar.

Antara kitab hadis yang dijadikan rujukan ialah Fath al-Bari (Syarah Sahih al-Bukhari karya Ibn Hajar al-Asqalami), Sahih Muslim (Imam Nawawi), al-Jami' al-Saghir, Syarh al'Azizi dan Syarh al-Khafni.

Pada setiap permulaan sesuatu surah dijelaskan perkara-perkara penting berkaitan dengannya iaitu:

* Tempat diturunkan (sama ada di Mekah atau Madinah).

* Bilangan ayat.

* Sebab-sebab penamaan surah.

* Intisari surah.

Dengan adanya penjelasan di atas kita akan mendapat gambaran yang lebih jelas dan terperinci terhadap sesuatu surah di dalam al-Quran, khususnya apabila meneliti berkenaan dengan inti sari atau perkara utama yang diceritakan oleh Allah s.w.t di dalam sesuatu surah.

Sebagai contohnya, di awal surah al-Anfal diterangkan sebab penamaan surah ini dengna nama al-Anfal (Harta rampasan), ialah kerana di dalam surah ini diterangkan cara membahagikan harta rampasan perang dan soal-soal yang berkaitan dengan peperangan serta peerdamaian.

Sementara intisari surah ini pula ialah pnceritaaan berkenaan perjuangan Rasulullah s.a.w menentang pencerobohan kaum kafir musyrik. Akhirnya baginda s.a.w dan orang-orang Islam yang dipimpin baginda berjaya mencapai kemenangan besar di medan Perang Badar.

Di bahagian akhir Kitab Tafsir Pimpinan al-Rahman ini disertakan juga Petunjuk Ayat untuk kemudahan pembaca merujuk isi kandungan al-Quran. Petunjuk ayat dibahagikan kepada bahagian-bahagian tertentu seperti bahagian keimanan, bahagian kerasulan, bahagian Allah, bahagian malaikat, bahagian akhirat, dan seterusnya. Setiap bahagian dipecahkan pula kepada tema-tema atau persoalan-persoalan utama dengan dinyatakan surah dan ayat yang menyebut serta menyentuh persoalan tersebut.

Dalam suasana hidup yang semakin kompleks, pada zaman yang semakin canggih ini, umat Islam sepatutnya semakin mendekatkan diri kepada al-Quran yang sentiasa menjadi panduan dan petunjuk hidup.

Dengan berpegang teguh kepada wahyu Ilahi ini umat Islam tidak akan hanyut dibawa arus unsur-unsur negatif kemodenan teknologi dan sebagainya.

Pendekatan diri kepada al-Quran pula tidak bermakna kita hanya sekadar membacanya tanpa mengambil inisiatif untuk memahami maksud, memenuhi tuntutan setiap ayat dan selanjutnya menterjemahkan ke dalam penghidupan seharian.

Bagi mencapai matlamat pemahaman isi kandungan al-Quran sebaik mungkin, Kitab Tafsir Pimpinan al-Rahman ini dapat membantu umat Islam negara ini dengan terjemahan dan tafsiran yang jelas dan mudah difahami. Inilah juga yang menjadi harapan besar Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, sebagaimana dinyatakan di dalam kata-kata alunan Kitab Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Quran.

''Dengan adanya tafsir al-Quran tulisan jawi yang lengkap 30 juz ini saya harapkan setiap umat Islam di negara ini akan dapat mendalami isi kandungannya dan memahami pengajaran di dalamnya supaya mereka dapat mencapai keselamatan dan kejayaan di dunia ini serta kebahagiaan yang kekal di akhirat nanti''.

Sukacita dimaklumkan bahawa Kitab Tafsir Pimpinan Kepada Pengertian al-Quran juga digunakan oleh para hafiz. Malah, kerajaan Johor telah mula membudayakan al-Quran dan setiap hari Jumaat semua jabatan di negeri tersebut membaca tafsir al-Quran sebelum memulakan tugas, dan keseluruhannya menggunakan Tafsir Pimpinan al-Rahman ini.

Cetakan terbaharu ini sekarang sudah berada di pasaran. Di samping cetakan biasa, terdapat juga versi hadiah yang dijilid khas dengan kulit baldu dan berkotak. Ia cukup menarik dan sesuai dijadikan hadiah mahupun cenderahati. Edaran bagi versi hadiah ini adalah terhad dengan harga yang berpatutan.

Kepada para pembaca yang ingin memilikinya bolehlah mendapatkan di kedai-kedai buku berhampiran atau menghubungi terus penerbit, Darulfikir di alamat 329-B, Jalan Abdul Rahman Idris, Off Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:12
Asar 4:35
Maghrib 7:09
Isyak 8:23



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.