saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 15/09/1998

Kisah luka politik

POLITIK ialah satu bidang yang penuh dengan cerita kekecewaan manusia, luka parah dan tragedi.

Mereka yang memasuki organisasi politik akan naik jika mereka bercita-cita tinggi, terangsang untuk mendapatkan kuasa, dipercayai oleh orang keliling dan bertenaga.

Orang yang berkecimpung dalam politik sering menganggap diri mereka boleh memimpin manusia lain untuk memperjuangkan sesuatu. Ada kala mereka berjaya, berada di atas, tetapi kejayaan jarang berpanjangan kepada sebahagian besar ahli politik.

Banyak yang mengakhiri karier dalam kesedihan, merasa ditolak, diketepikan, terbuang dan mati dalam kemurungan. Dalam banyak kes, sekali jatuh, mereka jarang dapat kembali ke puncak. Itulah semula jadi politik.

Dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia, ahli politik mempunyai tugas yang lebih rumit daripada mereka yang melibatkan diri dalam sahsiah di negara-negara berpenduduk homogeneous.

Di negara ini, seorang yang terlalu radikal, terlampau menjuarai sentimen yang tidak berpijak ke bumi nyata, lazimnya tidak dapat pergi jauh dalam politik.

Dia akan menjadi suara yang lantang, dikagumi sekiranya mengetuai kumpulan-kumpulan pendesak tetapi dalam persekitaran kepimpinan arus perdana di Malaysia, masyarakat memerlukan orang yang pragmatik dan positif.

Tuntutan kepimpinan adalah unik. Komposisi Majlis Tertinggi UMNO misalnya membayangkan latar belakang pemimpin yang pelbagai, dan lambang keunikan politik orang Melayu.

Di dalam MT parti itu, ada ahli politik yang bergiat sepenuh masa sejak muda, bekas pegawai kerajaan, ahli perniagaan, golongan profesional dan tokoh-tokoh agama. Di dalam UMNO, parti yang menjadi tunjang politik Malaysia, kualiti kepimpinan yang dikehendaki oleh parti itu bukan sekadar pemahaman pemimpin mengenai aspirasi orang Melayu, agama Islam tetapi juga masyarakat berbilang kaum.

Dalam sejarah 52 tahun parti itu sejak ditubuhkan pada tahun 1946, setakat ini ia hanya mempunyai lima orang Presiden.

Empat daripadanya menjadi Perdana Menteri Malaysia manakala seorang iaitu Presiden pertama, Datuk Onn Jaafar keluar UMNO, menubuhkan Parti Negara dan meninggal dunia pada tahun 1962 sebagai pemimpin pembangkang.

Allahyarham Onn, tokoh politik Johor yang terkemuka dan pengasas UMNO, menamatkan karier politik dalam kekecewaan sungguhpun kemudian anaknya, Tun Hussein, menjadi Perdana Menteri ketiga (1976-81).

Onn jatuh kerana beliau mempunyai pandangan yang liberal terhadap konsep berpolitik orang Melayu. Pada tahun 1951, beliau mencadangkan keahlian UMNO dibuka kepada orang bukan Melayu tetapi idea ini ditolak.

Di dalam UMNO, ada sepuluh orang tokoh politik yang pernah menjadi Timbalan Presiden iaitu Tunku Abdul Rahman, Mohd. Tahir Setia Raja, Datuk Hamzah Abdullah, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Hussein Onn, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Musa Hitam, Tun Ghafar Baba dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Cuma empat orang daripada Timbalan Presiden itu dapat menjadi Presiden parti dan Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman, Abdul Razak, Hussein dan Dr. Mahathir.

Nama Mohd. Tahir dan Hamzah hampir-hampir tidak pernah didengar oleh generasi sekarang.

Allahyarham Dr. Ismail meninggal dunia pada bulan Ogos 1973 ketika bertugas sebagai Timbalan Perdana Menteri, Musa meletakkan jawatan pada 1986 manakala Ghafar tersingkir selepas kalah dalam pertarungan politik dengan Anwar.

Anwar pula - yang naik dalam politik UMNO dengan imej Islam dan sebagai politikus yang penuh strategi - akhirnya dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September lalu sebelum dipecat daripada UMNO atas dakwaan bermoral rendah dan terlibat dalam perlakuan seks sumbang.

Daripada Onn yang bergiat dalam politik tradisional selepas Perang Dunia Kedua hinggalah kepada Anwar yang muncul pada era kemewahan dan kepesatan pembangunan, nama-nama yang disebutkan di atas adalah pemimpin UMNO yang beruntung kerana berpeluang mengecap makna kekuasaan di peringkat tertinggi.

Ini kerana di dalam parti itu terdapat beribu-ribu pemimpin UMNO lain - yang juga merasakan diri mereka berupaya, bijaksana, berkebolehan dan berjiwa nasionalis - gagal mencapai peringkat yang telah dicapai oleh Onn dan sepuluh pemimpin lain UMNO itu yang boleh kita anggap sebagai insan-insan istimewa dalam politik orang Melayu.

Sepanjang tempoh lima dekad lalu, banyak ahli akademik yang pintar dan cendekiawan mencuba nasib untuk menjadi pemimpin UMNO, tetapi tidak diterima.

Tokoh-tokoh korporat yang kaya juga mahu menjadi pemimpin, tetapi UMNO pada umumnya tidak mempercayai mereka. Analisis tentang kehidupan politik sebelas manusia Melayu yang berjaya menjadi Timbalan Presiden dan Presiden UMNO menunjukkan mereka bukan masuk politik dengan ideologi tertentu, jauh sekali aktif dalam parti dengan cita-cita untuk merevolusikan sistem politik, ekonomi, pentadbiran dan keadilan di negara ini.

Para pemimpin itu berada di barisan depan kerana ahli-ahli UMNO dan orang yang bertanggungjawab mengasuh mereka dari segi politik percaya mereka pada waktu itu adalah pejuang-pejuang yang mempunyai perasaan yang dekat dengan isu-isu orang Melayu dan merupakan calon yang sesuai.

Abdul Razak ialah seorang pegawai kerajaan yang berasal daripada keluarga aristokrat yang menggunakan kuasa politik dan sebahagian besar masa hayatnya untuk membangunkan nasib penduduk luar bandar.

Beliau menjadi Timbalan Presiden UMNO kepada Almarhum Tunku selama 20 tahun dari 1951 hingga 1971, sebelum menjadi Perdana Menteri dan meninggal dunia dalam sanjungan rakyat pada tahun 1976.

Dr. Mahathir pula bermula sebagai seorang yang pernah digelar ultra malay pada tahun 60-an dan selepas itu dewasa menjadi ahli politik UMNO yang berpandangan jauh.

Ketika Abdul Razak dan Dr. Mahathir berada di puncak kuasa, Musa yang meletakkan jawatan dan Ghafar yang tersungkur boleh kita kategorikan sebagai antara ahli politik UMNO yang kecewa dan mengakhiri karier politik dengan perasaan yang terluka.

Musa dikatakan merajuk kerana saingan politiknya pada waktu itu, Tengku Razaleigh Hamzah, terus diberikan kedudukan dalam kerajaan walaupun Tengku Razaleigh dua kali kalah pada pemilihan parti.

Ghafar, seorang bekas guru yang konservatif dari Melaka, tidak dapat menahan kesedihan setelah tewas kepada Anwar. Beliau merasakan Dr. Mahathir tidak membantunya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan 1993.

Almarhum Tunku Abdul Rahman sendiri terpaksa mengundurkan diri selepas Peristiwa 13 Mei 1969. Beliau dianugerahkan Allah umur yang panjang tetapi meninggal dunia ketika UMNO berpecah berikutan krisis politik tahun 80-an yang berlarutan.

Nama Anwar, 51 - yang menjadi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri selama lima tahun lapan bulan - kini turut berada dalam senarai kumpulan ahli politik yang luka dan terbuang.

Sejarah parti itu menunjukkan penyingkiran Anwar adalah yang paling dramatik dalam UMNO dan mengecat sebuah lukisan politik yang hitam.

Tuduhan-tuduhan ke atasnya, yang kini menjadi kes siasatan polis, begitu mendalam kesannya memandangkan imej Islam yang beliau tunjukkan selama ini.

Tidak seperti Musa dan Ghafar yang secara relatifnya bersara diam-diam, Anwar membuat keputusan untuk membersihkan tuduhan-tuduhan ke atasnya menerusi apa yang beliau sifatkan sebagai pertarungan politik.

UMNO mahu beliau berundur daripada parti itu supaya imej parti tidak tercemar tetapi Anwar memilih untuk dipecat supaya beliau menjadi hero dan memperoleh sanjungan psikologikal daripada para pengikut.

UMNO mahu keadilan ditawarkan kepada Anwar menerusi forum bukan politik, iaitu mahkamah. Anwar sebaliknya berkata, ''saya akan lawan untuk mendapatkan hak saya.''

Perkataan ''lawan'' yang Anwar gunakan pada pukul 12.40 tengah malam 4 September lalu selepas beliau keluar dari bangunan UMNO, jelas bukan merujuk kepada mahkamah, tetapi kekuatan politik.

Dengan kekecewaan dan kemarahannya, Anwar kembali kepada politik populisme di luar UMNO yang pernah dilalui sebelum beliau menyertai parti itu.

Beliau meniru suara reformasi dari negara jiran, menggunakan anak-anak muda yang masih belajar untuk berdemonstrasi, mengutuk sistem kerajaan yang didukungnya selama ini, dan membawa politik Malaysia dan orang Melayu berundur ke belakang dengan kaedah berpolitik yang penuh kutuk-mengutuk dan emosional.

Para penyokong Anwar berfikir apa yang dilakukan itu betul atas nama keadilan, tetapi mereka telah menyebabkan luka politiknya semakin parah.

Episod yang sedang kita saksikan sekarang - yang merupakan cerita bagaimana manusia mengejar kuasa dan pengaruh - menunjukkan bahawa sesiapa sahaja yang berada di dalam politik perlu bersedia dengan jalan pulang masing-masing apabila senja datang dan hari mulai gelap.

Hakikat ini bukan sahaja berlaku di Malaysia. Ia terjadi di mana-mana. Ini ialah kisah universal.

Pada hari ini politik memberi mata pencarian kepada keluarga dan pada masa yang sama mengukuhkan status dan kehormatan seseorang dalam masyarakat. Apabila jatuh, semuanya akan luput bersama.

Seorang ahli biografi berbangsa Inggeris pernah menulis bahawa cerita jawatan politik adalah tragedi yang tidak dapat dielakkan. Katanya, selepas kemenangan, kekalahan akan tiba. Yang bernasib akan mati semasa dalam tugas.

Oleh: BAHAROM MAHUSIN

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.