saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 20/09/1998

Mengaku diliwat Anwar -- Sukma, Dr. Munawar dipenjara enam bulan


GAMBAR fail terbaru adik angkat Anwar Ibrahim, Sukma Darmawan (kiri) dan gambar penulis ucapan Anwar, Dr. Munawar Ahmad Aness (kanan) yang dirakamkan ketika dia dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Jalan Raja, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 19 Sept. - Adik angkat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dan penulis ucapannya, Dr. Munawar Ahmad Aness hari ini dihukum penjara enam bulan setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana membenarkan diri mereka diliwat oleh Anwar.

Sukma, 37, dan Dr. Munawar, 51, yang dihadapkan di dua buah mahkamah berasingan dan di hadapan dua hakim berlainan mengaku salah melakukan perbuatan seks itu dengan bekas Timbalan Perdana Menteri berkenaan.

Pertuduhan terhadap Sukma berbunyi: ''Bahawa kamu, pada bulan April 1998 pada sebelah malam di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri di No. 47, Jalan Damansara di sini telah melakukan perbuatan kelucahan melampau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim memasukkan zakarnya ke dalam dubur kamu.''

Begitu juga pada pertuduhan terhadap Dr. Munawar yang berbunyi: ''Bahawa kamu, dalam bulan Mac 1993, pada sebelah malam, di No. 8 Jalan Setia Murni 1, Bukit Damansara di sini telah melakukan perbuatan kelucahan melampau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim memasukkan zakarnya ke dalam dubur kamu.''

Sukma berasal dari Indonesia manakala Dr. Munawar adalah rakyat Pakistan. Kedua-dua lelaki itu melakukan kesalahan tersebut di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan.

Di bawah seksyen itu, mana-mana lelaki yang melakukan atau bersubahat melakukan atau mendapat atau mencuba mendapat supaya dilakukan oleh mana-mana lelaki, apa-apa perbuatan kelucahan melampau dengan seorang lelaki lain di tempat awam atau di tempat persendirian, hendaklah diseksa dengan penjara sehingga dua tahun.

Hukuman ke atas Sukma dan Dr. Munawar berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap. Sukma ditangkap pada 6 September 1998, manakala Dr. Munawar pada 18 September 1998.

Sukma dibawa ke mahkamah kira-kira pukul 10.25 pagi ini dengan sebuah kereta Proton Wira polis.

Ketika memasuki bangunan Mahkamah Sesyen di sini, wajah lelaki yang masih bujang itu ditutup sepenuhnya dengan sehelai baju berwarna hitam oleh anggota polis yang mengiringinya.

Sewaktu pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa, Sukma berkata, dia memahami dan mengaku bersalah atas tuduhan itu.

Bagaimanapun, Hakim Hasnah Datuk Mohd. Hashim bertanya sekali lagi kepada Sukma sama ada dia memahami sebab dan akibat pengakuan tersebut.

Sukma menjawab dengan perlahan bahawa dia faham segalanya.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Abdul Gani Patail kemudian membentangkan fakta kes terhadap Sukma.

Gani berkata, Sukma adalah seorang ahli perniagaan dan adik angkat kepada Anwar. Walaupun mempunyai rumah sendiri di No. 10-7-2 Tivoli Villa di Jalan Medan Tanduk, Bangsar, dia telah diberikan bilik khas di kediaman rasmi bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Beliau menerangkan bahawa pada suatu hari pada bulan April lalu, Sukma telah pergi ke kediaman rasmi Anwar untuk bermalam di biliknya.

Pada sebelah malam, kata pendakwa raya itu, sewaktu keluarga Anwar sedang tidur, Anwar telah masuk ke dalam bilik Sukma dan mengajaknya mengadakan hubungan seks di luar aturan tabii (meliwat).

Menurut Gani, Sukma telah membenarkan Anwar memasukkan zakar ke dalam duburnya.

Sebelum hukuman dijatuhkan, peguam bela Mohamed Noor Don yang mewakili Sukma memohon supaya pihak pembela diberikan satu salinan pengakuan oleh anak guamnya.

Mohamed Noor berkata, adalah menjadi undang-undang bahawa mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam dan juga kepentingan tertuduh (Sukma).

Pada asasnya, kata beliau, sesuatu hukuman hendaklah menjadi perangsang supaya Sukma mengubah sikapnya.

Mohamed Noor juga berkata, jelas bahawa daripada pengakuannya, Sukma hanya pasif dan memohon supaya mahkamah memberi peluang dengan hukuman yang paling minimum iaitu penjara sehari.

Bagaimanapun, pihak pendakwa menghujah balas bahawa penjara sehari tidak memadai dan meminta tertuduh dikenakan hukuman yang sewajarnya.

Hakim Hasnah kemudian memutuskan hukuman penjara enam bulan dikenakan ke atas Sukma setelah mengambil kira kepentingan awam, faktor kesalahan itu adalah kesalahan pertama bagi Sukma dan kerana ia menjimatkan masa mahkamah.

Dalam pada itu, Dr. Munawar pula yang tiba di mahkamah kira-kira lima minit lebih awal sebelum Sukma dengan sebuah kereta Proton Wira, dibawa ke hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Lim Yee Lan.

Pada mulanya, Dr. Munawar juga menutup keseluruhan mukanya sewaktu masuk ke dalam mahkamah untuk mengelakkan gambarnya diambil oleh para jurugambar.

Sebelum pertuduhan dibacakan, Dr. Munawar ditemui oleh peguamnya, Yacob Karim dan dilihat berbincang sesuatu selama kira-kira 10 minit.

Selepas itu, seorang jurubahasa membaca tuduhan dan kemudian menterjemahkan kepadanya dalam bahasa Inggeris.

Dr. Munawar berkata, dia memahami tuduhan tersebut dan mengaku bersalah serta tahu akibat pengakuannya itu.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad yang membentangkan fakta kes memberitahu, Munawar berkenalan dengan Anwar semasa dia bekerja secara kontrak sebagai pensyarah pelawat dalam jurusan sains falsafah Islam di Institut Teknologi Mara (ITM), Shah Alam. Ketika itu Anwar merupakan Menteri Pendidikan.

Beliau berkata, hubungan Dr. Munawar dan Anwar bukan setakat pensyarah dengan menteri tetapi sebagai sahabat dan rakan berbincang (intellectual companion).

Dari semasa ke semasa, kata pendakwa raya itu, Anwar akan menjemput Dr. Munawar ke rumahnya di No. 8 Jalan Setia Murni 1, Bukit Damansara untuk berbincang atau menunjukkan artikel serta buku terbaru yang dimilikinya.

''Pada suatu malam dalam bulan Mac 1993, Anwar telah menjemput Dr. Munawar ke rumahnya. Seperti biasa Dr. Munawar telah memenuhi jemputan ini dan datang ke rumah Anwar,'' kata Azahar.

Menurut Azahar, ketika berada di rumah itu, Anwar telah memuaskan nafsunya bersama Dr. Munawar.

Dalam perlakuan seks itu, Dr. Munawar telah membenarkan Anwar memasukkan zakar ke dalam duburnya.

''Perbuatan ini berlaku di dalam bilik kecil yang berdekatan dengan sebuah bilik perpustakaan di tingkat atas rumah tersebut,'' kata pendakwa raya itu.

Ketika memohon hukuman ringan ke atas rakyat Pakistan itu, peguam bela Yacob Karim memberitahu, Anwar sering menelefon Dr. Munawar atau membawanya bersiar-siar dengan kereta di kawasan Bukit Kiara di sini.

Peguam itu berkata, oleh sebab takut kehilangan kerja dan sebagai seorang warganegara asing, dia tidak mampu membantah kehendak Anwar dan juga dia mungkin kehilangan punca kewangan.

Menurut Mohd. Yacob, disebabkan menerima tekanan daripada Anwar, kegiatan yang menyalahi moral itu berlaku dalam kereta dan juga di rumah Anwar.

''Pada sepanjang masa Dr. Munawar merupakan mangsa yang pasif,'' kata peguam tersebut.

Pihak pendakwa raya bagaimanapun menyerahkan hukuman yang sewajarnya kepada kebijaksanaan mahkamah.

Selepas menangguhkan sidang selama kira-kira 10 minit, Lim memutuskan hukuman penjara enam bulan dikenakan terhadap Dr. Munawar.

Ketika membuat keputusannya, Lim berkata, beliau telah mengambil kira hujah rayuan dan mempertimbangkan bahawa lelaki Pakistan itu belum pernah mempunyai kesalahan yang lampau.

Ketika hakim itu menyampaikan keputusannya, peguam Sulaiman Abdullah tiba di mahkamah berkenaan dan memaklumkan bahawa beliau hadir sebagai peguam pemerhati mewakili Anwar.

Oleh: KAMARIAH AHMAD, NORLIZAH ABAS dan NORAZLITA MOHD. SIES

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.