saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 21/09/1998

Anwar Ibrahim ditangkap -- Selepas penyokongnya mencetuskan kekacauan di ibu kota

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangkap oleh polis malam ini selepas beberapa kumpulan penyokongnya mula mencetuskan kekacauan di beberapa tempat di ibu kota.

Anwar, 51, ditahan di kediamannya di Bukit Damansara di sini pada pukul 10.00 malam.

Langkah penangkapan Anwar itu dibuat sehari selepas dua lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana membenarkan diri mereka diliwat oleh Anwar.

Polis yang lengkap bersenjata menyerbu rumah Anwar pada pukul 8.55 malam. Beberapa minit kemudian anggota-anggota polis keluar membawa Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Ruslan Kassim.

Sejam kemudian Anwar pula diiringi keluar dari kediaman itu tanpa digari.

Saksi-saksi berkata, Anwar dibawa keluar dalam sebuah van berwarna putih yang dikelilingi oleh beratus-ratus anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan beberapa buah kereta peronda polis.

Peguam Anwar, Christopher Fernando memberitahu para pemberita, Anwar dibawa ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan akan didakwa di mahkamah.

Sebelum itu, bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut yang dilucutkan jawatannya dalam kerajaan 18 hari lalu kerana salah laku moral mengadakan perhimpunan tanpa permit di Masjid Negara pada pukul 5 petang.

Beliau dan para penyokongnya kemudian berarak ke Dataran Merdeka sehingga senja.

Di Dataran Merdeka, Anwar menyampaikan ucapan berapi-api yang bersifat provokatif. Beliau menafikan terlibat dalam skandal seks meliwat lelaki, tetapi beliau mendakwa telah tidak ada keadilan di Malaysia.

Anwar menyamakan dirinya dengan perjuangan Presiden Nelson Mandela menentang rejim aparteid di Afrika Selatan.

''Mandela ambil masa 26 tahun untuk membebaskan Afrika Selatan daripada sistem aparteid,'' katanya.

Penyokong-penyokongnya yang gagal dikawal kemudian berarak pula ke Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dari situ mereka bergerak ke Sri Perdana untuk mencetuskan kekacauan dalam kumpulan yang diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Dr. Rahim Ghouse.

Dalam kejadian berhampiran Sri Perdana kira-kira pukul 8.30 malam itu, 10,000 penyokong Anwar cuba memasuki Jalan Damansara yang menempatkan kediaman Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Mereka menjerit meminta Dr. Mahathir meletakkan jawatan.

Ketika itu Perdana Menteri dan isterinya, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali tiada di situ. Mereka berada pada majlis makan malam meraikan Timbalan Presiden Afrika Selatan, Thabo Mbeki di Restoran Sri Angkasa, Menara Kuala Lumpur.

Percubaan para penyokong Anwar untuk memasuki kawasan Sri Perdana bagaimanapun digagalkan oleh anggota-anggota FRU yang menutup Jalan Damansara, melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan pancutan air untuk meleraikan para penyokong Anwar.

Perkembangan yang membawa kepada percubaan merusuh di Sri Perdana bermula petang ini apabila Anwar mengumpulkan penyokong-penyokongnya di Masjid Negara dan menyampaikan ucapan berapi-api memburukkan Dr. Mahathir dan sistem demokrasi negara.

Anwar dalam ucapannya di Masjid Negara mengancam akan berarak ke Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil, tempat berlangsungnya temasya Sukan Komanwel, untuk mencetuskan kacau-bilau. Bagaimanapun polis berjaya mengawal keadaan dan perarakan ke sana dibatalkan.

Anwar mendakwa beliau telah dijemput oleh beberapa pertubuhan ke Dataran Merdeka petang ini iaitu pada waktu yang sama Ratu Elizabeth II bersembahyang di sebuah gereja berdekatan.

Sejak beliau disingkirkan daripada kerajaan dan UMNO 2 September lalu, Anwar telah mengadakan jelajah reformasi dengan mencerca sistem demokrasi negara dan memaki hamun Dr. Mahathir.

Pada umumnya, keadaan di ibu negara terkawal.

Dr. Mahathir selepas melawat Pusat Akhbar Utama, Sukan Komanwel XVI (KL '98) di sini, hari ini berkata, tindak tanduk Anwar kini semakin terdesak sehingga sanggup melontarkan pelbagai dakwaan terhadap para pemimpin kerajaan termasuk menggesa beliau meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, beliau memahami perasaan Anwar kerana dalam keadaannya yang terdesak itu, dia harus melahirkan sesuatu untuk menarik simpati orang ramai.

''Saya boleh faham perasaannya. Antara kami, dia tidak boleh memecat saya, jadi dia minta saya meletak jawatan, saya rasa ia adalah suatu yang logik dilakukannya (Anwar),'' katanya.

Dr. Mahathir yang ditanya mengenai perbuatan Anwar untuk mengetuai perhimpunan di Dataran Merdeka itu, berkata, beliau tidak bimbang langsung.

''Anwar memberitahu dunia yang beliau dihalang daripada berbuat ini dan itu tetapi beliau mengadakan perhimpunan yang tidak sah. Beliau tidak pernah meminta kebenaran.''

Dr. Mahathir berkata, beliau tidak bimbang dengan sokongan yang mungkin diterima oleh Anwar dalam jelajah reformasi yang diadakannya di seluruh negara.

''Orang ramai yang menghadiri perhimpunan yang diadakan oleh Anwar kebanyakannya hanya disebabkan rasa ingin tahu semata-mata. Saya tidak bimbang langsung mengenainya.

''Ramai orang ingin tahu kerana Anwar adalah bekas menteri paling kanan dalam kerajaan. Ini termasuklah para wartawan tapi itu tidak bermakna mereka atau wartawan menyokong Anwar tetapi sekadar mahu mendengar ucapannya kerana ia agak menarik,'' kata beliau.

Ditanya oleh seorang wartawan asing adakah dalam hatinya beliau percaya dengan apa yang disiarkan oleh akhbar-akhbar tempatan hari ini mengenai pengakuan adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dan penulis ucapan Anwar, Dr. Munawar Ahmad Anees bahawa mereka diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu, Dr. Mahathir berkata: ''Saya percaya ia benar.''

Katanya: ''Elemen terkejut sudah hilang kerana sekarang saya sudah terima kenyataan bahawa beliau berkelakuan seperti itu (seorang homoseks).''

Dr. Mahathir berkata, ketika berita itu mula-mula dibawa ke pengetahuannya tidak lama dahulu beliau fikir ada orang yang mahu menyingkirkan Anwar.

Tetapi selepas beberapa lama, bukti terlalu kuat dan beliau terpaksa terima hakikat tersebut.

Tindakan terpaksa diambil, katanya. ''Sekarang saya sudah tidak terkejut lagi. Malah saya kesal kerana beliau terlibat dalam perkara seperti ini.''

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:20
Asar 4:36
Maghrib 7:26
Isyak 8:37



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.