saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 22/09/1998

Malaysia catat sejarah -- 10 emas letakkan negara di tempat keempat


SUASANA gilang gemilang di Stadium Nasional di Bukit Jalil semasa upacara penutup Sukan Komanwel XVI (KL'98) malam tadi.


KUALA LUMPUR 21 Sept. - Temasya Sukan Komanwel XVI (KL'98) ditutup penuh gilang-gemilang di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini dengan menyaksikan Malaysia mencatat kejayaan berganda sebagai penganjur terbaik selain memungut pingat emas terbanyak dalam sejarah negara.

Malaysia meraih 10 pingat emas, 14 perak dan 12 gangsa telah meletakkan negara buat pertama kali sejak 1930 di Hamilton, Kanada berada di tempat keempat senarai kedudukan pingat daripada 70 negara peserta.

Kali terakhir Malaysia mengumpul emas terbanyak pada temasya 1994 di Victoria, Kanada dengan dua emas, tiga perak dan dua gangsa.

KL'98 turut mencatatkan sejarah baru dalam penganjuran Sukan Komanwel yang menyaksikan penyertaan 100 peratus negara dalam Persekutuan Komanwel.

Kejayaan ini juga disusuli dengan penganjuran paling gemilang pada abad ini dengan penyertaan terbesar atlet dan pegawai luar negara berjumlah melebihi 6,000 orang.

Temasya yang ditutup secara rasmi oleh Ratu Elizabeth II turut menyaksikan sejarah keupayaan 17,000 para sukarelawan Nadi '98 mengendalikan tugas mereka penuh cemerlang sepanjang temasya itu.

Kejayaan inilah yang telah meyakinkan banyak pihak betapa negara bakal mencapai kejayaan yang lebih besar jika diberi peluang menganjurkan Sukan Olimpik 2008.

Dari segi pencapaian atlet negara, beberapa sukan seperti tinju, menembak, olahraga, lumba basikal, angkat berat, boling padang, hoki lelaki, gimnastik (gimrama), badminton dan tenpin boling memberikan peningkatan yang membanggakan.

Sementara penganjuran pula menyaksikan kecekapan pelbagai aspek dengan kelancaran yang membanggakan, walaupun di peringkat awal banyak pihak tidak meyakini kemampuan Malaysia.

Majlis penutup KL'98 malam ini turut disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Ja'afar dan Raja Permaisuri Agong, Tunaku Najihah, suami Ratu Elizabeth, Putera Philip serta Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan isteri.

Hadir sama Pengerusi Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), Michael Fennel; Setiausaha Agung Komanwel, Chief Emieka Anyouku; Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Eksekutif Sukom Ninety Eight Berhad, Tan Sri Hashim Mohd. Ali.

Menurut Fennel: ''Malaysia menjanjikan kepada kami Sukan Komanwel yang terbaik pernah diadakan dan ia telah mengotakan janjinya.''

Katanya, KL'98 ialah ''sukan persahabatan yang sebenar'' dan akan sentiasa diingati kerana tahap pertandingan, semangat dan keakrabannya yang tinggi yang terbukti di kalangan atlet dan pegawai.

Upacara penutup selama lebih enam jam itu yang dibahagikan kepada dua komponen, upacara rasmi dan konsert antarabangsa, disiarkan secara langsung ke seluruh dunia dan disaksikan oleh 100,000 penonton di stadium itu.

Apa yang membanggakan rakyat negara ini ialah kemampuan negara 'kerdil' seperti Malaysia menunjukan kehebatan dari aspek penganjuran terbaik sebagai wakil dari negara Asia ini.

Ia sekali gus membuktikan walaupun kali pertama tanggungjawab penganjuran temasya kedua terbesar di dunia itu diberi kepada negara Asia, ia telah dianjur dengan begitu cemerlang.

Di samping itu, temasya KL'98 menyaksikan satu rekod baru dunia berjaya dicipta dalam acara renang manakala beberapa lagi rekod Sukan Komanwel dalam kebanyakan acara juga telah diperbaharui.

Sementara itu, upacara penutupan pada malam ini berjalan lancar, penuh meriah dan tiada kejadian buruk berlaku walaupun ada usaha pihak tertentu untuk mengadakan perhimpunan haram di sekitar stadium berkenaan.

Upacara bermula dengan ketibaan Ratu Elizabeth dan Tuanku Ja'afar yang kemudiannya memeriksa barisan kawalan kehormat.

Selepas kawalan kehormat berbaris keluar, persembahan acara kebudayaan yang dibahagikan kepada tiga bahagian yang didahului oleh persembahan pancaragam gabungan 400 pelajar sekolah.

Ini diikuti oleh pertunjukan unik secara lintasan langsung dari bandar raya Manchester yang akan menjadi tuan rumah Sukan Komanwel XVII pada 2002.

Mengakhiri persembahan kebudayaan itu ialah tarian kontemporari dari Malaysia yang memperlihatkan tanda terima kasih dan selamat jalan kepada semua peserta KL '98.

Sebaik persembahan kebudayaan berakhir, semua kontinjen negara peserta dan sukarelawan berkawad masuk ke stadium diikuti acara mengisytiharkan pemulangan bendera kebangsaan masing-masing oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Hamzah Abu Samah.

Seterusnya, bendera Persekutuan Sukan Komanwel diturunkan dan diarak mengelilingi stadium sebelum diserahkan kepada Pengerusi CGF, Michael Fennel.

Fennel menyerahkan bendera itu kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Kamarulzaman Sharif yang kemudiannya menyerahkan kepada Ketua Rakyat (Chief Citizen) bandar raya Manchester.

Saat perpisahan mula terasa apabila Ratu Elizabeth membuat pengisytiharan KL '98 ditutup dengan rasminya sebaik sahaja upacara penyerahan bendera CGF selesai.

Kedua-dua tamu kehormat kemudiannya berangkat meninggalkan majlis diiringi lagu Negaraku dan God Save The Queen. Kemudiannya semua peserta menyanyikan lagu perpisahan Auld Lang Syne.

Acara malam ini berakhir dengan persembahan konsert antarabangsa yang mengemukakan artis-artis tempatan dan negara-negara Komanwel bermula setelah keberangkatan pulang tetamu diraja.

Konsert selama dua jam itu untuk memberi peluang kepada para atlet, pegawai dan sukarelawan beramah mesra dan melepaskan penat lelah selepas 11 hari bekerja keras menjayakan temasya bersejarah ini.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.