saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 11/11/1998

Ummi terpaksa digertak -- Saksi: Dia ubah pendirian selepas 11 jam disoal siasat


UMMI Hafilda Ali (kiri) hanya mengubah pendirian terhadap dakwaan salah laku seks Anwar Ibrahim setelah disoal siasat selama 11 jam, menurut saksi kedua, Timbalan Penguasa Abdul Aziz Hussin (kanan) di Mahkamah Tinggi, semalam.


KUALA LUMPUR 10 Nov. - Timbalan Penguasa Polis Abdul Aziz Hussin menceritakan kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagaimana sukarnya untuk mengubah pendirian Ummi Hafilda Mohd. Ali agar menafikan dakwaan salah laku seks dan homoseksual terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga terpaksa menakut-nakutkannya untuk ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Hasutan.

Abdul Aziz yang tugas khususnya ialah menyoal siasat Ummi Hafilda dan bekas pemandu, Azizan Abu Bakar yang mendakwa dirinya diliwat oleh Anwar berkata, Polis Cawangan Khas turut menghadapi kesukaran untuk mengubah pendirian Azizan.

Beliau yang menjadi saksi kedua perbicaraan Anwar mengakui Ummi Hafilda begitu yakin terhadap salah laku seks bekas Timbalan Perdana Menteri itu dan wanita itu hanya menandatangani surat memohon maaf selepas 11 jam disoal siasat.

Semalam mahkamah diberitahu, Ummi Hafilda dalam sepucuk suratnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mendakwa Anwar telah menjalin hubungan sulit dengan kakak iparnya, Shamsidar Taharin selain mempunyai hubungan homoseksual dengan Azizan.

Kata Abdul Aziz: ''Saya kemudian memaklumkan kepada Pengarah Cawangan Khas ketika itu, Datuk Mohd. Said Awang bahawa proses soal siasat masih berterusan. Ketika itu kami hadapi kesukaran menukar pendirian Ummi Hafilda apabila dia masih bertegas dengan pendirian asal.''

Soal siasat ke atas Ummi dilakukan di bilik rehat Timbalan Pengarah Cawangan Khas I di Bukit Aman dan Azizan di sebuah bilik lain di tempat yang sama.

Ketika Ummi Hafilda ditakutkan-takutkan, Abdul Aziz yang telah 20 tahun bekerja dalam pasukan polis berkata, beliau juga 'memainkan peranan menggemparkan Azizan dengan mempertikaikan segala dakwaannya yang dia diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu'.

Abdul Aziz berkata demikian di hadapan Hakim Datuk S. Augustine Paul semasa disoal pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya Azahar Mohamed.

Azahar bertanya: ''Apa lagi maklumat yang kamu berikan kepada Mohd. Said?''

Abdul Aziz: ''Maklumat lain yang turut ditaklimatkan kepada Mohd. Said ialah penilaian kami terhadap maklumat-maklumat yang didedahkan olah Ummi Hafilda begitu rasional, konsisten dan boleh diterima.''

Katanya, beliau tidak ditugaskan oleh Mohd. Said untuk menyoal siasat Azizan pada malam 18 Ogos 1997 kerana tugas itu diserahkan kepada ACP Mazlan Mohd Din.

Bagaimanapun, beliau memberitahu mahkamah bahawa beliau mengambil pendekatan 'menggempar' Azizan setelah mendapati lelaki itu masih belum berjaya diubah pendiriannya walaupun disoal siasat sepanjang malam.

Abdul Aziz menjelaskan bahawa pendekatan yang digunakannya ketika menyoal siasat Ummi Hafilda dan Azizan ialah berasaskan psikologi, soal siasat berterusan dengan soalan bertalu-talu, memujuk dan nasihat.

Azahar: ''TPP Aziz, sila beritahu Yang Arif hakim, secara ringkas bagaimana kamu menjalankan proses menukarkan pendirian (Ummi Hafilda dan Azizan) ini dengan jayanya.''

Abdul Aziz: ''Yang Arif, pendekatan yang kami gunakan berteras pendekatan psikologi. Dalam konteks ini, kami telah menimbulkan ketakutan dalam diri Ummi dengan cara menggemparkannya (gempaq) dari sudut undang-undang berkaitan tahanan di bawah ISA dan Akta Hasutan.

''Ummi Hafilda juga ditakutkan dengan kemungkinan tindak balas daripada orang yang ditohmahkannya yang merupakan Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri ketika itu.''

Pegawai polis itu menerangkan demikian sebagai saksi pendakwa dalam pemeriksaan utama pada perbicaraan terhadap Anwar yang masuk hari ketujuh hari ini.

Anwar, 51, dibicarakan atas empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Suasana mahkamah senyap pada sesi sebelah pagi hari ini apabila para hadirin termasuk wartawan-wartawan yang membuat liputan kes itu menumpukan perhatian kepada keterangan Abdul Aziz, 42, yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Cawangan Khas di sini.

Abdul Aziz menceritakan bagaimana beliau menyiasat hingga berjaya menukar pendirian Ummi Hafilda dan Azizan.

Azahar: ''Di peringkat itu, masa arahan soal siasat diberi, apakah matlamatnya?''

Abdul Aziz: ''Soal siasat itu ialah untuk mencungkil seberapa banyak maklumat berkaitan surat yang ditulis oleh Ummi dan akuan bersumpah Azizan.''

Azahar: ''TPP Aziz, pada 18 Ogos tahun lalu, sekitar jam 1.30 pagi, sila beritahu Yang Arif, apa berlaku.''

Abdul Aziz: ''Sekitar jam 1.30 pagi pada hari tersebut, Datuk Mohd. Said dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Datuk Amir Junus telah sampai ke pejabat.''

Azahar: ''Dengan izin mahkamah pendakwa raya ingin memanggil Datuk Amir Junus untuk dicamkan oleh saksi.''

Selepas Amir Junus dicamkan, Azahar: ''Kamu tahu tak dari manakah mereka datang?''

Abdul Aziz berkata, beliau difahamkan Mohd. Said dan Amir baru balik dari rumah Timbalan Perdana Menteri.

Azahar: ''TPP Aziz, setelah Datuk Mohd. Said dan Datuk Amir Junus ke pejabat kamu dan ACP Mazlan telah dipanggil ke pejabatnya dan seterusnya, Mohd. Said mengeluarkan arahan bahawa tugas soal siasat itu dikehendaki diselesaikan dalam tempoh secepat mungkin. Tidak melebihi 24 jam. Adakah arahan lain diberi?''

Abdul Aziz: ''Mohd. Said mengarahkan kedua-dua sasaran diubahkan pendirian mereka yang membawa erti pada ketika itu berkaitan surat-surat yang ditulis oleh Ummi.''

Azahar: ''Siapakah sasaran?''

Abdul Aziz: ''Sasaran-sasaran yang dimaksudkan ialah Ummi Hafilda Mohd. Ali dan Azizan Abu Bakar.''

Azahar: ''Sebagai pegawai Cawangan Khas, apabila kamu mendapat arahan daripada Mohd. Said untuk menukarkan pendirian mereka, apakah fahaman kamu?''

Abdul Aziz: ''Fahaman saya selaku pegawai Cawangan Khas, apabila mendapat arahan itu ialah untuk melakukan mengubah pendirian atau menukar pendirian.''

Azahar: ''Dalam konteks arahan yang diterima oleh Mohd. Said pada pagi tersebut, apakah yang kamu harus lakukan untuk menukarkan pendirian mereka?''

Abdul Aziz: ''Dalam menerima arahan ini, saya dikehendaki menukarkan pendirian Ummi Hafilda dan Azizan agar mereka menarik balik segala dakwaan-dakwaan salah laku seks dan homoseksual Timbalan Perdana Menteri seperti mana yang terkandung dalam ID14.''

Azahar: ''Ketika Mohd. Said memberi arahan sedemikian selain daripada kamu dan Datuk Amir, siapa lagi berada di bilik Pengarah Cawangan Khas?''

Abdul Aziz: ''Selain itu ACP Mazlan Mohd. Din turut berada di situ.''

Azahar: ''Ada atau tidak Mohd. Said memberi arahan kepada kamu dan ACP Mazlan supaya menyiasat sesiapa?''

Abdul Aziz: ''Mohd. Said mengarahkan kepada saya untuk menumpukan perhatian kepada kes Ummi Hafilda dan sementara ACP Mazlan menumpukan perhatian kepada Azizan.''

Azahar: ''Siapakah yang membantu menjalankan proses ini terhadap Ummi?''

Abdul Aziz: ''Dalam proses ini, saya dibantu oleh Penolong Penguasa Polis, Musa Jaafar, Ketua Inspektor Azman Abdul Razak dan Konstabel wanita, Noraini Abdullah.''

Azahar: ''Sebelum saya pergi lebih lanjut mengenai proses ini, saya nak tanya mengenai soalan umum. Kamu menggunakan cara pemulihan, sila beritahu hubungkaitnya?''

Abdul Aziz: ''Maksud pemulihan adalah hasil daripada proses menukarkan pendirian yang mana apabila Ummi dan Azizan telah menarik balik dakwaan-dakwaan mereka, maka mereka bukan lagi merupakan satu ancaman dengan erti kata lain mereka telah dipulihkan.''

Azahar: ''TPP Aziz, sila beritahu Yang Arif, apa berlaku sekitar jam 3 pagi pada 18 Ogos 1997?''

Abdul Aziz: ''Pada sekitar 3 pagi hari tersebut saya telah dipanggil oleh Datuk Mohd. Said ke pejabatnya. Pada ketika itu beliau ingin bertanya mengenai perkembangan proses soal siasat ke atas Ummi.''

Azahar: ''Sebentar tadi, kamu menyatakan kepada mahkamah bahawa kamu memaklumkan Mohd. Said mengenai proses soal siasat masih dijalankan terhadap Ummi kerana dia masih bertegas dengan pendirian asalnya. Apakah pendirian asalnya?''

Abdul Aziz: ''Pendirian asalnya ialah dia percaya dengan sesungguh hati bahawa segala yang terkandung dalam ID14 (surat dakwaan) sebagai benar.''

Azahar: TPP Aziz, setelah kamu memberi taklimat kepada Mohd. Said pada masa itu, apakah arahan selanjutnya yang diberikan oleh Mohd. Said kepada kamu?''

Abdul Aziz: ''Mohd. Said telah mengarahkan supaya saya meneruskan proses menukarkan pendirian Ummi.''

Azahar: ''Adakah kamu melaksanakan arahan tersebut?''

Abdul Aziz: ''Ya, Yang Arif, saya melaksanakan arahan tersebut dengan memaklumkan arahan itu kepada pegawai-pegawai saya.''

Beliau menceritakan pada pukul 11.45 malam hari yang sama, semasa beliau dan pasukannya bersedia untuk bersurai, beliau menerima arahan daripada Mohd. Said supaya menumpangkan Azizan ke rumah Anwar.

Abdul Aziz berkata, beliau melaksanakan arahan itu dan setibanya di sana beliau nampak Mohd Said dan Amir telah berada di kediaman Anwar dan beliau telah menyerahkan bekas pemandu Anwar itu kepada mereka.

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zuhur 1:11
Asar 4:34
Maghrib 7:07
Isyak 8:22



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.