saya nak baca ..

KHAS


ARKIB : 13/11/1998

Azizan Bersumpah Dengan Yasin Mengaku Diliwat

KUALA LUMPUR, 12 Nov. _ Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Azizan Abu Bakar bersumpah dengan memegang Surah Yasin di hadapan pegawai soal siasat mengenai kebenaran pengakuannya yang dia diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

ACP Mazlan Mohd Din dari Cawangan Khas Bukit Aman berkata Azizan, bekas pemandu Anwar, bersumpah di hadapannya mengenai pengakuannya itu selepas sejam disoal siasat.

''Dalam masa satu jam, apabila saya mempersoalkan kebenaran pengakuan bersumpahnya, dia dengan dua tangan memegang surah Yasin, bersumpah di hadapan saya dengan berkata: ''sekiranya saya berbohong, saya akan dilaknati Allah,'' katanya.

Mazlan berkata demikian pada perbicaraan terhadap Anwar, 51, bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan yang menghadapi empat tuduhan rasuah mengikut Ordinan No 22 (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1970, yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya.

Ketika menjawab pertanyaan Timbalan Kanan Pendakwa Raya Azahar Mohamed, Mazlan, saksi ketujuh pendakwaan, berkata Azizan bersumpah bahawa apa yang terkandung dalam pengakuan bersumpahnya adalah benar.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa pengakuan bersumpah Azizan disertakan bersama dengan surat yang ditulis oleh Ummi Hafilda Ali kepada Perdana Menteri yang bertajuk ''Perihal Salah Laku Timbalan Perdana Menteri'' bersama satu laporan.

Azahar kemudian menyoalnya mengenai kandungan pengakuan bersumpah itu yang ditandakan sebagai ID14 (c) oleh mahkamah.

Mazlan: Dalam pengakuan bersumpah itu, dia mengaku dia telah diliwat oleh Anwar.

Gurbachan Singh, seorang daripada peguambela Anwar membantah jawapan itu atas alasan kenyataan bersumpah itu mengandungi tuduhan-tuduhan dan ia mungkin boleh menimbulkan prejudis.

Azahar memberitahu mahkamah bahawa Azizan sudah pasti akan dipanggil dan Hakim Datuk S. Agustine Paul kemudian menolak bantahan itu.

Sebelum itu Mazlan memberitahu mahkamah bahawa soal siasat terhadap Azizan bermula selepas pukul 12 tengah malam 18 Ogos 1997, selepas dia ditangkap bersama Ummi Hafilda oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang turut bersamanya dan satu pasukan soal siasat di sebuah rumah di Bangsar, malam sebelum itu (10.30 malam, 17 Ogos 1997).

Beliau berkata Azizan diserahkan kepadanya oleh seorang pegawai JSJ, ASP Zulkifli Mohamed, sebelum beliau menyerahkannya kepada DSP Abdul Aziz Hussin, ketua pasukan soal siasat.

''Semasa menyerahkan Azizan pada DSP Abdul Aziz, saya perhatikan Azizan memegang sebuah buku kecil surah Yasin,'' kata Mazlan.

Beliau kemudian menghubungi Pengarah Cawangan Khas Datuk Mohd Said Awang memaklumkan mengenai perkembangan itu yang mengarahkannya membawa Azizan dan Ummi Hafilda ke ibu pejabat di Bukit Aman.

Mazlan berkata di Bukit Aman beliau memberi taklimat kepada Abdul Aziz mengenai latarbelakang Ummi Hafilda dan Azizan serta sebab mereka ditangkap termasuk menyerahkan salinan surat kepada Perdana Menteri untuk bacaan dan kajian.

Beliau berkata beliau terus memulakan soal siasat terhadap Azizan dengan dibantu ASP Arif Ariffin dan C/Insp Zamri Hashim bagi mendapat maklumat mengenai apa yang diakuinya (Azizan) dalam pengakuan bersumpahnya.

Mazlan berkata pada 1.30 pagi hari yang sama, beliau dan Abdul Aziz dipanggil oleh Mohd Said dan Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Datuk Amir Junus ke pejabat Mohd Said yang mengarahkan beliau dan Abdul Aziz supaya ''neutralise'' Azizan dan Ummi Hafilda melalui proses ''turning over'' atau mengubah pendirian bagi menarik balik dakwaan.

Mohd Said mengarahkan mereka supaya menjalankan proses itu dalam masa 24 jam kerana mahu membebaskan Azizan dan Ummi Hafilda sebelum habis tempoh itu.

Azahar: Pada pagi itu, semasa menerima arahan, kamu tahu arahan datang daripada siapa?

Mazlan: Saya tahu, Yang Arif. Mohd Said dan Amir memaklumkan kepada saya arahan-arahan untuk neutralise Ummi Hafilda dan Azizan datang daripada Anwar.

Gurbachan kemudian membantah jawapan itu atas alasan ia hanya dengar cakap dan bantahan itu diterima oleh Paul walaupun Azahar memaklumkan bahawa Amir akan dipanggil.

Mazlan berkata pada pukul 3 pagi hari yang sama beliau memberi taklimat kepada Mohd Said dan Amir mengenai hasil siasatannya dalam proses soal siasat itu.

Azahar: Pada peringkat itu apa hasil siasatan yang kamu dapat?

Mazlan: Hasil siasatan saya ketika itu ialah saya mempercayai apa yang dikatakan oleh Azizan.

Gurbachan: Yang Arif, kami membantah atas alasan ia hanya merupakan pendapatnya.

Paul: Tapi dia percaya apa yang Azizan beritahu kepadanya...ditolak.

Azahar: Apa sebab buat hasil siasatan itu.

Mazlan: Ada beberapa asas saya buat hasil siasatan itu. Sebab pertama ialah Azizan begitu konsisten dalam menyampaikan dakwaannya itu. Saya berpendapat Azizan adalah mangsa dan sukar baginya untuk tampil ke hadapan membuat pengakuan.

Gurbachan: Yang Arif, kami bantah atas alasan yang sama mengenai perkataan ''saya berpendapat''.

Bagaimanapun Paul membenarkan jawapan itu kerana, katanya, peguam bela terkeliru dengan Seksyen 45 Akta Keterangan yang menjelaskan mengenai pendapat pakar.

Semasa menyambung keterangannya, Mazlan berkata,''sebagai seorang yang beragama Islam, bersumpah dengan surah Yasin boleh memberi kepercayaan kepada saya''. Jawapannya disahut dengan bunyi keluhan anggota keluarga Anwar yang memenuhi mahkamah.

Katanya beliau diarahkan meneruskan proses ''turning over'' itu oleh Mohd Said setelah dimaklumkan mengenai perkembangan itu dan berkata: ''saya patuhi arahan itu walaupun saya tahu ia agak aneh sedikit.''

Mazlan berkata pada pukul 5 pagi, Abdul Aziz masuk ke bilik di mana Azizan menjalani ''turning over'' walaupun tidak terlibat kerana beliau mempunyai perwatakan yang garang dan selepas sejam menyoalnya Azizan telah dianggap neutral.

Beliau berkata Abdul Aziz membantu kerana setelah beliau (Mazlan) yang menggunakan teknik memujuk memberikan keputusan yang agak lambat.

''Azizan telah dianggap dineutralkan pada pukul 6 pagi dan sepanjang daripada pukul 12 malam hingga 6 pagi itu, dia tidak diberi masa untuk tidur sebab tugas yang saya lakukan mesti diselesaikan dalam masa 24 jam,'' katanya.

Beliau berkata beliau memaklumkan kepada Mohd Said dan Amir mengenai perkara itu dan empat jam kemudian Azizan diserahkan kepada ASP Mazlan Mansor dari JSJ.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.