saya nak baca ..

KHAS


ARKIB : 24/11/1998

Ummi, Azizan merayu jangan diapa-apakan - Saksi

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, Ummi Hafilda Mohd. Ali dan Azizan Abu Bakar terkejut dan kelihatan pucat serta menggigil apabila mengetahui mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Hasutan.

Saksi pendakwa kesembilan, Penolong Penguasa Zulkifli Mohamed berkata, kedua-duanya bagaimanapun tidak menafikan apa-apa.

''Sebaliknya, mereka merayu kepada saya supaya jangan mengapa-apakan mereka,'' kata beliau ketika disoal balas oleh salah seorang peguam yang mewakili Anwar, Christopher Fernando.

Zulkifli memberi keterangan itu pada sesi sebelah petang perbicaraan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan yang menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Fernando kemudian menyoal saksi itu sama ada Ummi Hafilda dan Azizan meminta sebarang jaminan daripadanya.

Zulkifli: ''Tidak, mereka tidak meminta sebarang jaminan daripada saya.''

Fernando: ''Kamu sempat bercakap dengan mereka?''

Zulkifli: ''Ya, Yang Arif. Saya sempat bercakap dengan kedua-duanya.''

Fernando: ''Adakah kamu beritahu mereka agar tidak merasa takut?''

Zulkifli: ''Saya cuma ambil butir-butir peribadi mereka dan terangkan sebab mereka ditangkap.''

Fernando: ''Adakah sepanjang masa kamu bersama mereka, adakah mereka menafikan dakwaan yang disebutkan tadi?''

Zulkifli: ''Tidak, mereka tidak menafikan apa-apa.''

Sebelum itu, Fernando mempersoalkan kenapa polis sanggup menunggu lebih empat jam setelah bertindak memecah masuk ke rumah Dr. Ristina, tempat persembunyian Ummi Hafilda dan Azizan.

Menurut peguam itu, sekiranya tidak ada campur tangan daripada sesiapa, sudah tentu polis tidak akan menunggu begitu lama kerana keadaan itu agak luar biasa.

''Saya tidak setuju,'' kata Zulkifli.

Fernando: ''Selain pihak polis yang berunding dengan Dr. Ristina untuk mendapatkan kerjasama beliau bagi membolehkan polis masuk ke rumahnya, siapa lagi yang berada di luar rumah itu?''

Zulkifli: ''Apa yang saya ingat, yang berada di luar ketika itu hanyalah Penolong Kanan Pesuruhjaya (SAC) I Musa Hassan dan Datuk Jamil Johari. Kalaupun ada yang lain, saya tak kenal.''

Fernando: ''Saya cadangkan kepada kamu, tentu ada ramai lagi orang di luar rumah itu yang mengganggu, sebab itulah kami mengambil masa lebih 4 jam untuk membuat tangkapan.''

Zulkifli: ''Saya rasa tiada sesiapa campur tangan pada masa polis berunding dengan tuan rumah. Yang saya ingat cuma SAC Musa dan Datuk Jamil.''

Fernando: ''Pernah tidak kamu menunggu lebih 4 jam untuk membuat tangkapan sebelum ini?''

Zulkifli: ''Tidak pernah kerana inilah tangkapan pertama saya sejak memasuki Jabatan Siasatan Jenayah.''

Saksi itu kemudian disoal balas pula oleh seorang lagi peguam Anwar, Gurbachan Singh yang cuba menyentuh mengenai kehadiran Datuk Jamil.

Gurbachan: ''Pada hari tangkapan, Datuk Jamil tak dipanggil oleh kamu?''

Mendengar soalan itu, Hakim Datuk S. Augustine Paul berkata, peguam Christopher Fernando telahpun menyoal saksi itu berkenaan Datuk Jamil.

''Isu Datuk Jamil sudah ditanya oleh Fernando. Kamu mesti ingat peruntukan Seksyen 5 Akta Keterangan bahawa peguam tidak boleh menyoal saksi berhubung isu yang sama,'' tegur beliau.

Gurbachan: ''Saya tidak akan mengemukakan soalan yang sama. Namun selepas mendengar dan merekodkan soalan saya, sekiranya Yang Arif tidak berpuas hati, Yang Arif boleh membatalkannya.''

Hakim: ''Tindakan kamu itu seolah-olah menganiaya saksi.''

Gurbachan: ''Yang Arif, dengarkan dulu soalan saya kepada saksi.''

Lalu beliau menoleh kepada Zulkifli dan bertanya: ''Adakah kamu bersetuju dengan saya bahawa pada hari tangkapan dibuat, Datuk Jamil tidak dipanggil oleh kamu atau anggota pasukan polis yang membuat tangkapan?''

Zulkifli: ''Ya.''

Gurbachan: ''Adakah kamu bersetuju dengan saya bahawa pada masa itu Datuk Jamil tidak lagi bertugas dengan Jabatan Siasatan Jenayah?''

Belum sempat saksi menjawab, Hakim Augustine mencelah lagi sambil menegur Gurbachan kerana masih terus menyoal saksi itu berhubung isu yang sama (Datuk Jamil).

Gurbachan: ''Yang Arif, kami telah berulang lagi mengendalikan kes-kes di hadapan hakim-hakim lain. Mereka tidak pernah menyekat kami mengemukakan soalan-soalan sedemikian.''

Hakim: ''Apapun soalannya, ia tidak berkaitan dan saya tidak akan membenarkannya. Saya bukanya mesin taip, rekod setiap soalan dan batalkan saja jika tidak setuju. Peruntukan Seksyen 5 Akta Keterangan sudah cukup jelas. Soalan mengenai perkara itu sudahpun ditanya.''

Gurbachan: ''Soalan sebelum ini hanya menyentuh mengenai siapa yang berada di tempat kejadian. Kami ingin tahu apakah Datuk Jamil masih bertugas dengan Jabatan Siasatan Jenayah atau sebaliknya ketika itu.''

Hakim: ''Saya tidak benarkan.''

Mendengar keputusan Hakim Augustine, Gurbachan mengalih tumpuan kepada soalan lain.

Beliau menyoal saksi itu sama ada Ummi Hafilda dan Azizan menentang tangkapan terhadap mereka sehingga memaksa polis mengambil masa lebih 4 jam untuk melaksanakan tugas tersebut.

Zulkifli: ''Ya, saya setuju Ummi Hafilda dan Azizan menentang tangkapan terhadap mereka.''

Gurbachan: ''Adakah polis terpaksa memecah masuk ke rumah Dr. Ristina?''

Zulkifli: ''Ya, polis terpaksa berbuat demikian. Polis juga memberitahu tuan rumah itu tujuan mereka memasuki rumahnya.''

Gurbachan: ''Adakah rumah Dr. Ristina rosak teruk akibat tindakan polis memecah masuk ke rumahnya untuk membuat tangkapan?''

Zulkifli: ''Tidak rosak teruk.''

Gurbachan: ''Adakah kamu tahu Dr. Ristina membuat apa-apa tuntutan?''

Zulkifli: ''Saya tidak tahu.''

Gurbachan: ''Pada hari tangkapan dibuat, adakah mesin gun digunakan untuk membuat tangkapan?''

Zulkifli: ''Tidak.''

Perbicaraan bersambung esok.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zuhur 1:11
Asar 4:34
Maghrib 7:07
Isyak 8:22



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.