saya nak baca ..

KHAS


ARKIB : 28/11/1998

Polis Patuhi Arahan Anwar Kerana Terpaksa

KUALA LUMPUR, 27 Nov. - Seorang bekas pegawai kanan polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau mematuhi arahan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana terpaksa dan tiada pilihan lain.

Bekas Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Datuk Amir Junus berkata beliau mematuhi arahan Anwar kerana sebagai pegawai kerajaan, arahan yang diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri perlu dipatuhi.

''Saya seorang kakitangan kerajaan, jika Timbalan Perdana Menteri memberikan arahan, saya terpaksa menerima dan mematuhi arahan-arahan yang diberikan kepada saya,'' katanya pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-15 hari ini.

Anwar, 51, bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk campurtangan dalam penyiasatan polis berhubung dakwaan salah laku seks terhadapnya.

Anwar didakwa mengikut Seksyen 2(1) Ordinan No 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya.

Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Datuk S. Augustine Paul.

Amir, 55, yang mula bersara hari ini berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Christopher Fernando, seorang daripada sembilan peguam bela Anwar.

Nama Amir dikaitkan dalam keempat-empat tuduhan rasuah Anwar itu bersama bekas Pengarah Cawangan Khas Datuk Mohd Said Awang.

Mereka didakwa diarah oleh Anwar untuk mendapatkan pengakuan bertulis daripada Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar bagi menafikan salah laku seks yang dilakukan Anwar bertujuan melindunginya daripada tindakan undang-undang.

Sebelum itu, Amir memberitahu mahkamah bahawa beliau hanya menerima dan mematuhi arahan daripada pegawai atasannya yang terdiri daripada Ketua Polis Negara, timbalannya, pengarah-pengarah dalam jabatan polis termasuk pengarah Cawangan Khas.

Beliau bersetuju dengan cadangan Fernando bahawa beliau tidak boleh mematuhi arahan-arahan atau perintah yang menyalahi undang-undang.

''Saya tidak pernah mematuhi arahan atau perintah yang salah di sisi undang-undang,'' katanya yang turut bersetuju dengan cadangan bahawa beliau tahu beliau hanya mematuhi pegawai atasannya sahaja.

Beliau sedar bahawa sekiranya beliau mematuhi arahan selain daripada pegawai atasannya, tindakan tatatertib termasuk pemecatan boleh diambil terhadapnya.

Semasa ditanya sama ada Timbalan Perdana Menteri merupakan salah seorang pegawai atasannya, Amir yang memberitahu mahkamah menteri kabinet bukan pegawai atasannya berkata; ''TPM bukan pegawai atasan saya seperti yang termaktub dalam peraturan-peraturan polis.''

Fernando: Oleh itu sekiranya TPM mengarahkan Datuk melakukan sesuatu, Datuk tidak sepatutnya mematuhi arahan itu.

Amir: Saya menerima arahan Timbalan Perdana Menteri...

Fernando: Itu bukan jawapannya. Jika TPM memberikan arahan atau perintah adakah Datuk perlu atau tidak mematuhinya.

Amir: Yang arif, daripada keterangan-keterangan saya sebelum ini....

Fernando: Sila jawab soalan.

Tindakan Fernando yang mengemukakan soalan itu berkali-kali setelah mendakwa saksi tidak menjawab soalan itu menyebabkan Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail membantah atas alasan peguam mengganggu saksi dengan meninggikan suara.

Paul kemudian membacakan kembali nota mahkamah dan memberitahu Fernando bahawa saksi telah memberikan jawapannya tetapi Fernando berkata saksi masih tidak menjawab soalannya dan soalan yang dikemukakan adalah ''terus-terang dan mudah.''

Amir kemudian menjelaskan bahawa beliau menerima arahan daripada Timbalan Perdana Menteri melalui pegawai atasannya ketika itu iaitu Mohd Said.

Fernando: Jawab soalan saya, kalau TPM mengarahkan Datuk, adakah Datuk perlu patuhinya.

Amir: Yang Arif, arahan TPM kepada saya bersama dengan pegawai atasan saya.

Fernando kemudian bertanya lagi dan memintanya mendengar dengan teliti. Pada peringkat ini Paul mencelah dengan meminta saksi melupakan mengenai pengarahnya tetapi jika TPM yang memberikan arahan.

Amir: Beliau adalah TPM. Oleh itu jika saya terima arahan itu daripada TPM, saya sebagai seorang kakitangan kerajaan, terpaksa menerima arahan-arahan itu.

Fernando: Sebentar tadi semasa memberi keterangan bersumpah kamu memberitahu mahkamah bahawa TPM bukan pegawai atasan dan tidak boleh patuhi arahan mereka yang bukan pegawai atasan.

Amir: Itu yang saya katakan, arahan yang saya terima bersama-sama pegawai atasan saya.

Kepada soalan lain, Amir berkata sekiranya arahan yang diterima bukan daripada pegawai atasannya beliau akan merujuk dahulu dengan pegawai atasannya sebelum melaksanakannya.

''Dalam kes ini, arahan yang saya lakukan adalah atas arahan pegawai atasan saya,'' katanya.

Fernando: Siapa pegawai atasan itu.

Amir: Dalam kes ini, pegawai yang saya maksudkan ialah Mohd Said.

Semasa ditanya sama ada Ketua Polis Negara memberikan arahan itu, beliau berkata pegawai itu hanya memberi arahan berkaitan penyebaran surat itu sahaja dan taklimat yang diberikan kepadanya hanya pada permulaan kes itu.

Fernando kemudian mengemukakan soalan sama ada Amir memaklumkan Anwar mengenai talian telefon rumah Anwar dipasang pengesan suara sejak 1996.

Amir: Soalan sama ada saya ada memaklumkan tertuduh bahawa talian rumahnya ditap sejak 1996, saya tidak boleh jawab.

Abdul Gani kemudan membantah soalan itu kerana ia tidak dibangkitkan sebelum ini dan tiba-tiba sahaja ia dikemukakan dan mahkamah tidak sepatutnya membenarkan soalan itu.

Fernando menjelaskan bahawa ia mempunyai kaitan dalam kes itu tetapi Paul yang menyoal sama ada ia mempunyai relevan kemudian memutuskan bahawa soalan itu tidak dibenarkan.

Peguam itu kemudian menyoal sama ada Amir pernah memaklumkan Anwar yang talian telefon rumahnya (Anwar) dipasang pengesan dan bekas pegawai kanan itu menjelaskan bahawa beliau tidak pernah berbuat demikian.

Pada peringkat ini, Paul mencelah memaklumkan bahawa masa untuk menunaikan sembahyang telah tiba apabila jam mahkamah menunjukkan tepat pukul 12 tengah hari.

Fernando kemudian memberitahu mahkamah beliau akan menyambung pemeriksaan balasnya pagi Isnin ini memandangkan tiada sesi petang hari ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zuhur 1:11
Asar 4:34
Maghrib 7:07
Isyak 8:22



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.