saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 12/12/1998

'Hentikan siasatan' -- Musa: Arahan Anwar kepada Jabatan Siasatan Jenayah

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (CID) menghentikan penyiasatan berhubung surat layang, Talkin Terbuka Untuk Anwar.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu meminta siasatan itu dihentikan kerana menurut Anwar ''ia bercanggah dengan keputusan Perdana Menteri yang menyatakan ia fitnah''.

Arahan Anwar itu dibuat dalam satu pertemuan antara beliau dengan Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) 1, Musa Hassan, Datuk Ismail Che Rus kini bekas Pengarah CID dan juga Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah di pejabat Anwar di Jabatan Perdana Menteri pada pukul 9 pagi, 30 Ogos tahun lalu.

Bagaimanapun, Anwar dinasihat oleh Peguam Negara supaya membenarkan pihak polis meneruskan siasatan dan sekiranya tohmahan terhadapnya dibuktikan tidak benar maka tindakan boleh diambil terhadap penulis yang membuat dakwaan tersebut.

Musa, 47, yang berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Pendakwaan Undang-Undang CID di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan pegawai siasatan dalam kes Anwar memberitahu demikian sebagai saksi pendakwa ke-13 dalam perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-25 hari ini.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menggunakan kedudukannya untuk campur tangan dalam penyiasatan dakwaan salah laku seks dan meliwat.

Bagaimanapun, selepas pertemuan itu, Peguam Negara menegur beliau dan Ismail Che Rus kerana tidak memaklumkan kepadanya mengenai penyiasatan kes yang dianggapnya menarik perhatian melibatkan Anwar.

Beliau berkata, Mohtar membuat teguran selepas mereka bertiga keluar dari pejabat Anwar.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamed menyambung soalannya dalam pemeriksaan utama terhadap Musa yang dipanggil sebagai saksi semalam selepas saksi penting kes itu, Azizan Abu Bakar selesai memberi keterangannya.

Azahar menanyakan Musa di manakah beliau berada pada kira-kira pukul 5 petang pada 19 Ogos tahun lalu.

Musa: ''Yang Arif, pada pukul 5 petang saya telah buat temu janji untuk bertemu dengan tertuduh (Anwar) di rumah kediaman rasminya.''

Azahar: ''Untuk tujuan apa?''

Musa: ''Tujuan saya bertemu tertuduh adalah untuk merakamkan percakapan (kenyataan) tertuduh dan bertanyakan berkenaan tohmahan-tohmahan yang telah dibuat ke atasnya.''

Azahar: ''Dan kamu ada merakamkan kenyataan tertuduh?''

Musa: ''Benar, saya ada merakamkan kenyataan daripada tertuduh.''

Azahar: '' Beritahu mahkamah apa yang berlaku pada 30 Ogos, jam 9.30 pagi?''

Musa: ''Pada 30 Ogos, pukul 9.30 pagi, saya telah dipanggil oleh Pengarah CID, Datuk Ismail Che Rus ketika itu, Yang Arif, beliau menyatakan bahawa beliau dipanggil oleh tertuduh untuk bertemu dengannya di pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan saya diminta hadir bersama.''

Azahar: ''Adakah tidak kamu pergi ke pejabat tertuduh?'

Musa: ''Yang Arif, saya dan Ismail Che Rus telah pergi ke pejabat tertuduh di JPM.''

Azahar: ''Adakah kamu bertemu dengan tertuduh pada hari itu.''

Musa: ''Ada, saya bersama Ismail Che Rus telah bertemu dengan tertuduh di pejabatnya hari itu.''

Azahar: ''Selain daripada kamu dan Ismail Che Rus, siapa lagi hadir di pejabat tertuduh.''

Musa: ''Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah juga ada bersama.''

Azahar: ''Sebelum kamu bertiga bertemu dengan tertuduh adakah tidak kamu bertemu dengan Tan Sri Mohtar.''

Musa: ''Semasa menunggu di bilik tetamu, saya dan Ismail Che Ros ternampak Peguam Negara ada di bilik tersebut tetapi tidak bercakap apa-apa.''

Azahar: ''Sebelum kami menemui Tan Sri Mohtar, adakah kamu tahu bahawa beliau juga hadir di dalam pertemuan itu?''

Musa: ''Saya tidak mengetahui yang Tan Sri Mohtar juga dipanggil ke pejabat Timbalan Perdana Menteri.''

Azahar: ''Jadi, kamu bertiga masuk bertemu dengan tertuduh?''

Musa: ''Yang Arif, kami bertiga dijemput masuk bertemu dengan tertuduh.'

Azahar: ''Sila beritahu apa yang berlaku dalam bilik itu?''

Musa: ''Semasa kami berada di dalam bilik itu, tertuduh telah bertanya kepada saya berkaitan siasatan yang kami jalankan iaitu mengenai surat Talkin Terbuka Untuk Anwar (dokumen P15), saya menyatakan bahawa pihak polis akan menjalankan siasatan dengan teliti untuk mendapatkan keterangan sama ada tohmahan itu benar atau pun tidak.''

Azahar: ''Adakah tidak kamu menyatakan tidak?''

Musa: ''Saya menyatakan siasatan masih belum selesai kerana baru di peringkat awal, Yang Arif.''

Azahar: ''Apabila kamu beritahu tetuduh bahawa siasatan pada ketika itu masih lagi di peringkat awal, apakah reaksi tertuduh?''

Musa: ''Apabila saya beritahu siasatan baru di peringkat awal tertuduh telah menyatakan bahawa perkara ini tidak perlu disiasat.''

Peguam bela Anwar, Christopher Fernando segera membantah mengenai butir keterangan itu.

Fernando berkata, keterangan yang ditimbulkan itu mengandungi perkara yang buruk sangka terhadap Anwar.

Bagaimanapun, Azahar berhujah bahawa keterangan saksi itu mungkin tidak relevan kepada pihak pembela tetapi relevan dalam kes pendakwa.

Menurut Azahar, keterangan tersebut untuk menunjukkan bahawa tertuduh ada memberi arahan kepada pegawai penyiasat (Musa) dalam pertemuan yang juga dihadiri oleh Peguam Negara dan Pengarah CID yang menentukan siasatan itu dijalankan.

Fernando: ''Tidak mengapa ianya relevan kepada mana-mana pihak, tetapi ia mengandungi nilai-nilai prejudis yang tinggi (kepada Anwar).''

Hakim Augustine Paul mencelah: ''Apakah unsur yang menyumbang ke atas tuduhan ini?''

Fernando: ''Setakat ini ia tiada apa-apa langsung.''

Hakim Augustine: ''Apa tuduhan itu sebutkan.''

Fernando lalu menerangkan bahawa tuduhan terhadap Anwar menyatakan beliau mengarahkan dua pegawai Cawangan Khas untuk bertindak menarik balik dakwaan salah laku berhubung dirinya.

Hakim Augustine menyatakan pendapatnya bahawa terdapat elemen dalam pertuduhan itu mengenai masa kejadian dan keterangan dikemukakan di bawah Seksyen 2(1) Akta Keterangan.

Fernando: ''Saya fikir keterangan yang ditimbulkan itu menyatakan beliau (Anwar) tidak mahu dua pegawai tersebut mendedahkannya kepada umum kerana sebagai Timbalan Perdana Menteri perkara tersebut tidak elok.

Hakim Augustine menjelaskan bahawa tuduhan itu juga menyatakan tertuduh didakwa memberi arahan itu ''dengan tujuan melindungi dirinya daripada tindakan sebarang prosiding jenayah.''

Namun begitu kata Fernando, pihaknya tetap menyatakan arahan itu diberikan kepada bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang dan bekas timbalannya, Datuk Amir Junus dan bukan kepada orang lain.

Hakim Augustine: ''Itu untuk penghujahan kamu kelak. Bantahan ditolak. Teruskan soalan.''

Azahar mengulangi soalannya kepada Musa.

Musa: ''Apabila saya menyatakan bahawa siasatan baru di peringkat awal, tertuduh kata ia tidak perlu disiasat kerana ia bercanggah dengan keputusan Perdana Menteri yang menyatakan perkara itu adalah fitnah.''

Azahar: ''Dalam pertemuan tersebut adakah tidak Peguam Negara kata apa-apa pandangan?''

Musa: ''Betul, Yang Arif, Peguam Negara ada menasihatkan tertuduh bahawa lebih baik untuk polis meneruskan siasatan dan sekiranya tohmahan ini dibuktikan benar, tindakan boleh diambil terhadap orang yang menulis tohmahan-tohmahan tersebut.''

Azahar: ''Di pertemuan itu adakah tidak tertuduh menyatakan apa-apa tentang Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar?''

Musa: ''Dalam pertemuan itu, tertuduh juga menyatakan bahawa beliau tidak mahu mengambil apa-apa tindakan ke atas Ummi dan Azizan.''

Selepas pertemuan itu kata Musa, beliau, Ismail Che Rus dan Peguam Negara keluar dari pejabat tertuduh.

Azahar: ''Di luar pejabat tertuduh, adakah tidak Peguam Negara berkata sesuatu kepada kamu dan Ismail Che Rus.

Musa: ''Peguam Negara telah menegur saya dan Ismail Che Rus mengapakah siasatan ini tidak dimaklumkan kepadanya terlebih dahulu kerana ini adalah satu kes menarik perhatian melibatkan Timbalan Perdana Menteri.''

Perbicaraan bersambung Isnin ini.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:18
Asar 4:31
Maghrib 7:24
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.