saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 16/12/1998

Anwar setuju uji HIV -- Contoh darah untuk DNA tidak dibenarkan - Musa


TILAM yang dirampas oleh polis dari Tivoli Villa dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas perbicaraan Anwar Ibrahim ditangguhkan semalam.


KUALA LUMPUR 15 Dis. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya membenarkan contoh darahnya diambil untuk ujian HIV (Human Immunodeficiency Virus) dan bukan bagi ujian DNA (deoxyribonucleic acid).

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga melalui para peguamnya enggan membenarkan pemeriksaan dilakukan terhadap bahagian sulitnya serta mengambil gambar-gambar.

Saksi pendakwa ke-13, Penolong Kanan Pesuruhjaya (SAC) I Musa Hassan berkata, contoh darah diambil daripada tertuduh hanya sekali pada 28 September lalu untuk ujian HIV.

Bagaimanapun, kata Musa, setelah dimaklumkan oleh pakar forensik bahawa contoh darah itu telah dicampur bahan pemangkin, pihaknya cuba mendapatkan contoh darah yang baru bagi ujian DNA tetapi tidak dipersetujui oleh Anwar.

''Tertuduh melalui para peguamnya tetap enggan memberi kebenaran walaupun permintaan untuk mendapatkan contoh darahnya sekali lagi dibuat secara bertulis berulang kali.

''Sehingga 23 Oktober lalu, peguam tertuduh, Raja Aziz Addruse masih membantah permintaan kami untuk mendapatkan contoh darah daripada Anwar,'' jawab Musa ketika disoal balas oleh seorang lagi peguam yang mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu, Christopher Fernando.

Perbicaraan kes Anwar, 51, masuk hari ke-27 hari ini dengan pihak pembela menyambung sesi soal balas terhadap Musa di hadapan Hakim Datuk S. Augustine Paul.

Anwar kini menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Isu mengenai keengganan Anwar membenarkan contoh darahnya diambil bagi ujian DNA timbul selepas Fernando mempersoalkan mengapa pihak polis menyimpan tilam dan bantal yang dijadikan bahan bukti, selama hampir empat bulan sebelum ia dihantar untuk dianalisis oleh ahli kimia.

Fernando: ''Tilam (P60) dan bantal ini diambil oleh pihak polis pada 10 Julai 1998?''

Musa: ''Ya, Yang Arif.''

Fernando: ''Kenapa ia disimpan hampir empat bulan sebelum dihantar kepada ahli kimia?''

Musa: ''Saya simpan lebih kurang empat bulan kerana ingin mendapatkan contoh darah daripada tertuduh,''

Fernando: ''Bila kamu mendapatkan contoh darah daripada tertuduh?''

Musa: ''Hanya diperoleh pada 28 September 1998.''

Fernando: ''Kenapa kamu masih menyimpan kedua-dua bahan bukti itu sehingga 5 November 1998?''

Musa: ''Selepas dapat contoh darah tertuduh, saya telah meminta pakar forensik memberikan contoh darah itu kepada saya untuk ujian DNA tetapi ia tidak diberikan atas alasan contoh darah itu telah dicampur dengan bahan pemangkin dan tidak boleh digunakan untuk ujian DNA.''

Fernando: ''Bagaimana kamu mengetahui bahawa contoh darah itu mengandungi bahan pemangkin?''

Musa: ''Pakar forensik yang memberitahu saya.''

Fernando: ''Jadi, contoh darah itu tidak dihantar untuk dianalisa?''

Musa: ''Contoh darah yang sama telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.''

Fernando: ''Untuk ujian DNA?''

Musa: ''Ya, Yang Arif.''

Fernando: ''Apa terjadi dengan contoh darah itu?''

Musa: ''Diuji oleh ahli kimia.''

Fernando: ''Kamu ada keputusannya?''

Musa: ''Saya diberitahu keputusan ujian tersebut.''

Fernando: ''Kamu ada laporan ujian itu?''

Musa: ''Saya belum terima.''

Fernando: ''Siapa yang menjalankan ujian itu?''

Musa: ''Encik Lim Kim Boon.''

Fernando: ''Berapa kali contoh darah diambil daripada tertuduh?''

Musa: ''Hanya pada 28 September 1998.''

Fernando: ''Sekali sahaja?''

Musa: ''Ya.''

Fernando: ''Di mana contoh darah tertuduh diambil?''

Musa: ''Di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.''

Fernando: ''Contoh darah itu diambil untuk ujian HIV?''

Musa: ''Benar, untuk ujian HIV sahaja.''

Fernando: ''Adakah ujian itu dilakukan di bawah peruntukan Akta Dadah Berbahaya 1952?''

Musa ''Tidak, Yang Arif.''

Fernando: ''Tetapi adakah ia digunakan untuk tujuan lain?''

Musa ''Ya, Yang Arif, contoh darah itu digunakan untuk tujuan lain selain daripada ujian HIV.''

Fernando: ''Yang mana tiada persetujuan diberi?''

Musa ''Anwar tidak setuju ujian DNA dilakukan ke atas contoh darahnya.''

Fernando kemudian menyoal Musa mengenai surat-suratnya bertarikh 22 dan 28 Oktober lalu serta satu lagi yang saksi itu tidak ingat tarikhnya (ditandakan sebagai D67, D69 dan D64) yang dihantar kepada Raja Aziz.

Menurut Musa, surat-surat itu dihantar untuk mendapatkan kebenaran peguam itu bagi mengambil contoh darah tertuduh sekali lagi bagi ujian DNA.

Bagaimanapun, kata saksi itu, Raja Aziz melalui surat-surat jawapannya bertarikh 17, 21 dan 23 Oktober lalu (ditandakan sebagai IDD65, IDD66 dan IDD68) tetap enggan memberi kebenaran contoh darah tertuduh diambil bagi tujuan itu.

Raja Aziz, juga katanya, tidak membenarkan pemeriksaan terperinci dilakukan terhadap bahagian sulit tertuduh dan mengambil gambar-gambar.

Saksi itu memberitahu beliau mempunyai salinan asal surat-surat yang diterimanya daripada Raja Aziz dan akan cuba mencarinya untuk dibawa ke mahkamah esok.

Fernando pula memohon penangguhan sehingga esok untuk menyambung soal balas berhubung surat-surat tersebut.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:20
Asar 4:35
Maghrib 7:26
Isyak 8:37



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.