saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 31/12/1998

Saksi: Kesan di tilam milik Anwar, Shamsidar

KUALA LUMPUR 30 Dis. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa terdapat kesan-kesan tompokan air mani Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Shamsidar Taharin pada tilam yang dirampas dari sebuah unit apartmen mewah Tivoli Villa dan kini menjadi bahan bukti pendakwa dalam perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Seorang ahli kimia forensik, Lim Kong Boon berkata, beliau menemui kesan air mani tersebut setelah menjalankan ujian DNA ke atas 13 tompokan yang terdapat pada tilam tersebut.

Lim menerangkan bahawa beliau membuat perbandingan profil yang diambil daripada contoh darah Anwar dan Shamsidar yang merupakan isteri bekas Setiausaha Sulitnya, Mohd. Azmin Ali.

Ketika memberitahu demikian, Lim merujuk Shamsidar sebagai Wanita 2 dan contoh darahnya ditanda B.

Beliau juga merujuk contoh darah Anwar dengan hanya menggunakan nama A5095 dan hasil ujian DNA itu disebutkan sebagai Lelaki 1.

''Rujukan saya berdasarkan hasil ujian DNA yang saya peroleh daripada contoh darah Datuk Seri Anwar Ibrahim,'' kata Lim.

Bagaimanapun peguam bela Anwar, Gurbachan Singh mengemukakan bantahan dengan alasan bahawa tertuduh tidak pernah membenarkan contoh darahnya diambil bagi ujian DNA.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail segera mencelah:

''Biarlah saya menjawab, kami telah membuktikan P97 (contoh darah Shamsidar), jika tidak, tentu beliau tidak tahu.''.

Hakim Datuk S. Augustine mencelah:'' Beliau diberikan contoh darah tanpa nama.

Gani: ''Pada sepanjang analisisnya, beliau tidak tahu bahawa darah tersebut dibuktikan daripada Anwar.''

Hakim Augustine kemudian mengarahkan supaya Lim hanya menyebut nombor sahaja apabila merujuk nama Anwar.

Selepas itu Lim merujuk Anwar sebagai A5095.

Gurbachan: ''Saya juga memohon padamkan nama Shamsidar.

Lim: ''Saya diberitahu oleh Penolong Penguasa Polis (ASP) Mohd. Rodwan Yusof.''

Kaum keluarga Anwar yang berada di galeri awam kedengaran bising dan ada setengahnya cuba bertepuk tangan. Turut berada bersama mereka ialah isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail dan anak sulungnya, Izzah.

Hakim Augustine segera menegur: ''Orang awam, jangan anggap mahkamah ini macam sebuah pawagam.''

Bagaimanapun selepas itu, Hakim Augustine menolak bantahan peguam bela dan mengarahkan Lim meneruskan keterangannya.

Lim, 44, saksi pendakwa ke-21 memberi keterangannya pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-36 hari ini.

Selepas itu, Lim sambil merujuk notanya menyatakan beliau menjalankan ujian yang dikenali Asid Phosphatase untuk menentukan sama ada kesan-kesan tompokan itu adalah air mani.

Menurut beliau terdapat 13 kesan tompokan dan ia ditandakan E1 hingga E13.

Lim: ''Saya potong setiap tempat tompokan pada tilam itu untuk mengesan spermatozoa dan membuat analisis DNA. Dan saya dapati 13 kesan tompokan itu mengandungi banyak spermatozoa.''

Gani: ''Apabila kamu mengesahkan semua 13 tompokan itu air mani, apa yang kamu buat'

Lim: ''Saya menjalankan analisis ke atas tompokan air mani E1-E13.''

Gani: ''Bolehkah kamu beritahu apakah teknik yang kamu gunakan untuk membuat analisis DNA atas 13 tompokan air mani itu?''

Lim: ''Bagi analisis DNA itu saya menggunakan teknik yang dikenali sebagai Polymerase Change Reaction atau teknik PCR.''

Gani: ''Apabila kamu menjalankan ujian DNA ke atas kesan tompokan itu, apakah hasilnya?''

Lim memohon untuk merujuk notanya lalu menerangkan bahawa beliau menggunakan kaedah profil DNA, Short Tandem Repeat atau STR dan Amelog Genetic Loci bagi mengembangkan 13 kesan tompokan pada tempat E1-E13 itu.

DNA atau asid deoksiribonukleik memainkan peranan penting dalam membantu mencari penyelesaian mengenal pasti identiti berhubung kes-kes jenayah seperti kemalangan, kebakaran, kecederaan, pembunuhan dan lain-lain.

Kebarangkalian untuk mengenal pasti identiti individu terbabit amat tinggi dan mencapai 99.99 peratus kerana setiap individu memiliki DNA yang tersendiri.

Beliau menamakan sumber DNA pada kesan tompokan itu seperti berikut:

E1 - Lelaki 1 dan Wanita 1.

E2 - Lelaki 1 dan Wanita 1.

E3 - Lelaki 1 dan Wanita 1.

E4 - Lelaki 1.

E5 - Lelaki 1 dan Wanita 1.

E6 - Lelaki 1.

E7 - Lelaki 1.

E8 - Lebih daripada dua sumber.

E9 - Lebih daripada dua sumber.

E10 - Lelaki 1.

E11 - Lelaki 1 dan Wanita 1.

E12 - Lelaki 1.

E13 - Lelaki 1 dan Wanita 1.

Gani: ''Hasil analisis DNA, daripada berapa sumberkah yang kamu temui kesan air mani?''

Lim: ''DNA mengenal pasti lima sumber, dua lelaki dan tiga wanita daripada kesan air mani E1-E13.''

Dalam penemuannya itu Lim menerangkan, profil DNA daripada punca wanita pada tompokan air mani E5 dan E13 adalah sepadan, menunjukkan bahawa DNA yang dikenal pasti itu adalah daripada punca yang sama. Beliau menamakan sumber ini sebagai Wanita 2.

Menurut Lim, profil-profil DNA ini sepadan dengan profil DNA yang diperoleh daripada contoh darah Shamsidar dan kemungkinan profil DNA seorang Melayu Malaysia yang dipilih secara rambang mempunyai profil DNA yang sepadan dengan DNA wanita yang diperoleh daripada tompokan air mani itu adalah satu dalam 31 juta.

Beliau berkata lagi, profil daripada punca wanita yang dikesan pada tompokan air mani E1 dan E11 adalah sepadan, menunjukkan bahawa DNA yang dikenal pasti adalah daripada sumber yang sama. Lim menamakan sumber ini Wanita 1.

Seterusnya, menurut Lim, profil DNA daripada wanita yang dikesan pada tompokan air mani E2, tidak sepadan dengan yang diperoleh daripada tompokan air mani E1, E11, E5 dan E13, menunjukkan bahawa DNA yang dikenal pasti adalah daripada sumber lain. Beliau menamakan sumber ini Wanita 3.

Lim menjelaskan bahawa tompokan air mani E10 tidak sepadan dengan yang lain dan ia adalah daripada punca lain yang beliau namakan Lelaki 2.

Gani kemudian menyoal: ''Apakah makna EDTA?''

Lim: ''Maknanya, Asid Ethylenedianimetracitic.''

Gani: ''Adakah EDTA itu pengawet?''

Lim: ''Lebih kurang begitulah, untuk mengelakkan sel darah daripada beku.''

Gani: ''Adakah Jabatan Kimia mengeluarkan garis panduan berhubung perkara ini.''

Lim: ''Garis panduan dikeluarkan kepada semua hospital yang terlibat dengan pengumpulan contoh darah untuk ujian DNA.''

Gani: ''Adakah ia meliputi penggunaan EDTA?''

Lim: ''Ya.''

Gani: ''Mengapakah kamu menggunakan EDTA untuk mengumpulkan darah?''

Lim: ''Penggunaan EDTA bertujuan mencegah darah daripada beku bagi penyediaan membuat analisis DNA.'' Beliau kemudian menjelaskan dengan panjang lebar maksud 'melancarkan penyediaan analisis DNA'.

Gani: ''Jika contoh darah itu telah beku adakah ia merosakkan sel darah?''

Lim: ''Pada pendapat saya ia tidak merosakkan sel darah sebaliknya sel darah akan bercampur.''

Gani: ''Jika analisis DNA dikendalikan pada contoh darah tanpa EDTA dan profil DNA yang diperoleh akan menghasilkan DNA yang dipersoalkan.''

Lim: ''Tidak, Yang Arif.''

Gani: ''Boleh kamu jelaskan mengapa?''

Lim: ''Ia kerana apabila profil DNA diperoleh daripada darah yang beku pastilah memberikan profil contoh darah DNA.''

Gani: ''Sehingga hari ini berapa banyak DNA yang sudah kamu buat selain 200 kes yang sebutkan semalam.''

Lim: ''Saya telah buat lebih 2,000 analisis DNA.''

Gani: ''Daripada 1,000 contoh yang dianalisis itu adakah kamu menggunakan teknik PCR?''

Lim: ''Lebih kurang 600, saya gunakan teknik PCR manakala 500 pula dengan teknik STR genetic loci.''

Sebelum itu Lim menerangkan bahawa teknik PCR bukan sahaja diiktiraf di Britain, Amerika Syarikat dan Australia, malah di seluruh dunia.

Lim yang menamatkan pengajian tinggi di Britain dalam bidangnya memberitahu, beliau juga mengikuti pelbagai kursus dan seminar berhubung ujian DNA.

Dalam keterangannya semalam, beliau berkata, sebanyak 200 ujian DNA telah dikendalikannya termasuk kes yang dirujuk oleh polis dan pihak swasta.

Selain itu, beliau juga terlibat secara langsung membuat ujian DNA berhubung kes rogol bersiri tahun lalu sehingga orang yang disyaki tertangkap.

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.