saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 23/01/1999

Hubungan kukuh dan positif

Tetamu minggu ini: Robert L. Cotton
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia
Interviu oleh G. Manimaran

COTTON kembali berkhidmat di Malaysia selepas 13 tahun sebagai Pesuruhjaya Tinggi Australia. Sebelum itu, beliau merupakan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi di negara ini.

Beliau mendapati Malaysia, khususnya Kuala Lumpur, telah banyak berubah sejak mula mengetuai Suruhanjaya Tinggi berkenaan kira-kira dua tahun lalu.

Perubahan-perubahan yang dimaksudkannya meliputi banyak aspek, termasuk pembinaan Menara Kembar Petronas yang berhampiran dengan bangunan Suruhanjaya Tinggi Australia di Jalan Yap Kwan Seng.

Pada 1980-an, menurut beliau, bangunan suruhanjaya itu merupakan antara premis tertinggi di kawasan berkenaan. Begitu juga hubungan dua hala dan diplomatik kedua-dua negara yang terus terbina dan dipererat dari semasa ke semasa sungguhpun ia melalui kitaran turun naik.

Australia yang akan menyambut Hari Kebangsaan pada 26 Januari ini, kata Cotton, sentiasa bersikap terbuka, jujur dan menggunakan saluran betul untuk menyelesaikan segala masalah yang timbul.

Hubungan Malaysia-Australia menjadi hangat sejak tiga tahun lalu. Bagaimanapun kata beliau, segala isu yang timbul tidak menjejaskan kerjasama sedia ada, sebaliknya menjadi 'jambatan' ke arah masa depan yang lebih cerah.

S: Apakah penilaian Australia terhadap hubungan dua hala dengan Malaysia?

Cotton: Kami di Australia percaya bahawa kami mempunyai asas hubungan yang kukuh dan positif dengan Malaysia meliputi semua bidang, terutamanya kerjasama pertahanan. Bukan setakat melihat baik ataupun sebaliknya, tetapi meliputi hubungan yang agak lama.

Dalam perdagangan dan pelaburan, Malaysia adalah rakan dagang yang ke-11 penting bagi Australia. Malaysia adalah sumber pasaran penting untuk kami. Banyak pelaburan dilakukan sama ada di Malaysia ataupun Australia oleh rakyat kedua-dua negara.

Pelaburan menurun sedikit sejak kegawatan ekonomi pada pertengahan 1997. Bagaimanapun pelaburan ini akan kekal dan akan kembali pulih apabila masalah ekonomi ditangani. Kami yakin Malaysia mempunyai asas ekonomi yang baik. Begitu juga kami yakin pelaburan Malaysia ke Australia akan kembali ke tahap sedia kala selepas pemulihan ekonomi.

Selain perniagaan, hubungan rakyat ke rakyat juga baik. Lebih 150,000 rakyat Malaysia telah mengikuti pelajaran di Australia. Pada 1997 ada sedikit penurunan disebabkan masalah ekonomi dan dasar pendidikan Malaysia yang membolehkan program berkembar diadakan di negara ini. Tidak banyak negara yang membenarkan pihak asing mendirikan pusat pendidikan tinggi di negara mereka. Malaysia melakukannya. Banyak pelajar asing belajar di sini dan saya yakin pelajar Australia juga akan berbuat demikian.

Hubungan baik juga dapat dilihat dalam bidang pelancongan sungguhpun bilangan pelancong dari Malaysia ke Australia menurun sekarang kerana masalah ekonomi. Keanggotaan rakyat Malaysia dalam Persatuan Pengamal-Pengamal Akauntan Bertauliah Australia, yang merupakan kedua terbanyak selepas penduduk Australia, merupakan satu lagi bukti hubungan dua hala yang baik.

S: Bagaimana anda menilai peranan Malaysia dalam membina hubungan dua hala yang lebih baik.

Cotton: Malaysia dan Australia berkongsi pengalaman yang sama dalam pelbagai isu menyentuh kepentingan antarabangsa. Begitu juga pendekatan yang digunakan. Saya merujuk kepada dialog-dialog seperti ASEAN, forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Forum Serantau Asia yang diadakan di rantau ini bagi membincangkan pelbagai isu seperti Indonesia, Kemboja, Myanmar, kewangan dan senjata nuklear.

Kita gembira mengundi Malaysia sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kami menghormati pendirian Malaysia dalam semua isu sedunia. Adalah penting bagi sesebuah negara seperti Malaysia berada dalam majlis seumpama itu.

S: Hubungan Australia dan Malaysia keruh sejak 1996. Sejauh manakah ia telah diatasi?

Cotton: Sudah tentu kita ada pandangan berlainan dari semasa ke semasa kerana perselisihan faham dan sensitiviti. Bagaimanapun kita sentiasa boleh bekerjasama. Isu 1996 berjaya diatasi dengan kunjungan ikhlas Paul Keating (bekas Perdana Menteri) pada tahun itu.

Perdana Menteri sekarang, John Howard bekerja keras untuk mewujudkan hubungan lebih baik dengan Malaysia. Kunjungan singkat Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (ketika dalam perjalanan ke New Zealand) ke atas Howard pada Mac 1996 adalah signifikan dalam hubungan dua hala kerana beliau adalah pemimpin pertama menemui Perdana Menteri kami selepas (Howard) memegang jawatan itu.

Tahun lalu hubungan Australia-Malaysia renggang sedikit selepas kenyataan berhubung penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tetapi ia adalah pandangan jujur berdasarkan hubungan baik dua negara. Kami cuma menyampaikan kesan kepada reputasi Malaysia di Australia. Tindakan itu tidak menjejaskan hubungan kedua-dua negara tetapi memperbaiki lagi keadaan. Dr. Mahathir juga telah memberi penjelasan penuh mengenai isu itu (Anwar) kepada Howard ketika sidang kemuncak APEC di sini. Kami amat menghargainya.

S: Baru-baru ini Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Seri Sabbaruddin Chik ada menyentuh mengenai penyaluran maklumat kurang tepat oleh anda tentang keadaan di Malaysia kepada agensi-agensi pelancongan Australia dan tindakan itu dikatakan telah mengurangkan kedatangan pelancong ke Malaysia.

Cotton: Sebenarnya berlaku sedikit kekeliruan dan salah tafsir tentang apa yang sebenarnya berlaku.

Memang benar saya ada mengeluarkan peringatan meminta rakyat Australia berwaspada ketika melancong ke Malaysia. Ia merupakan satu tanggungjawab yang dilakukan oleh mana-mana negara pada bila-bila waktu yang dirasakan perlu.

Kami mengeluarkan dokumen yang berbunyi, "Rakyat Australia yang ingin melancong ke Malaysia diminta berjaga-jaga kerana ada demonstrasi di Malaysia khususnya di Kuala Lumpur. Bagaimanapun pihak berkuasa Malaysia sedang mengambil langkah untuk menanganinya''.

Tetapi adalah tidak benar mengatakan saya menyuruh mereka jangan datang. Saya sudah jelaskan kepada Sabbaruddin dan akan menemui beliau. Kami bertanggungjawab kepada rakyat Australia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.