saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 14/03/1999

BN menang di Sabah -- Memperoleh 31 daripada 48 kerusi yang dipertandingkan


-


KOTA KINABALU 13 Mac - Barisan Nasional (BN) Sabah berjaya membentuk kerajaan negeri pada pukul 10.35 malam ini selepas mencapai kemenangan dengan memperoleh 31 daripada 48 kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya negeri kesembilan ini.

Pembentukan itu berjaya dilakukan setelah BN memperolehi majoriti mudah 25 kerusi. UMNO mencatatkan rekod cemerlangnya dengan memenang kesemua 24 kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya ini.

PBS hanya mendapat 17 kerusi, manakala Bersekutu, Pasok, Setia dan Pas gagal memenangi sebarang kerusi. Begitu juga kesemua 27 calon Bebas turut tewas dengan rata-rata hilang wang pertaruhan.

Bagaimanapun, tiga pemimpin utama parti komponen BN termasuk Ketua Menteri tewas pada pilihan raya ini. Mereka ialah Presiden Parti Demokratik Sabah (PDS) yang juga Ketua Menteri, Tan Sri Bernard Dompok (Moyog); Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Joseph Kurup (Bingkor) dan Pengerusi MCA negeri, Datuk Chan Tet On (Api-Api).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Osu Sukam (Kawang), Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck (Likas) dan Presiden Parti Demokratik Liberal (LDP), Senator Datuk Chong Kah Kiat (Kudat), bagaimanapun menang di kawasan masing-masing.

Presiden Parti Barisan Rakyat Sabah Bersekutu (Bersekutu), Datuk Harris Salleh pula tewas di kawasan Likas, dalam percubaan kali ketiganya untuk kembali ke dalam politik Sabah. Yong memperoleh 9,110 undi menumbangkan Harris 3,576 undi.

Sementara Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joseph Pairin Kitingan pula mengekalkan kerusi Tambunan yang dimenanginya sejak 1976. Bagaimanapun majoritinya merosot kepada 4,675 berbanding 5,696 pada pilihan raya lepas.

Kekalahan Bernard dalam pertandingan lima penjuru itu agak besar kepada calon PBS apabila beliau hanya memperoleh 6,482 undi berbanding Datuk Clarence Bongkos Malakun (PBS) 10,870. Pada pilihan raya lalu Bernard menang dengan kelebihan 3,255 undi.

Bagaimanapun Osu yang menang tipis dengan majoriti 64 undi pada pilihan raya lepas, membuat kejutan kali ini apabila memperoleh kelebihan undi sebanyak 2,213. Osu memperoleh 7,017 undi menewaskan pencabar terdekatnya calon PBS, Datuk Ariah Tengku Ahmad (4,804 undi).

Keputusan pertama yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri pada pukul 7.37 malam memihak kepada calon BN, Surady Kayong, iaitu di N.32 Sugut.

Tiga kawasan terakhir diumumkan dalam wawancara secara langsung menerusi RTM oleh Osu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad kira-kira pukul 11.30 malam ini, dengan menyaksikan Lahad Datu, Lumadan turut disapu bersih oleh BN.

Mengulas kejayaan BN pada pilihan raya ini, Dr. Mahathir dalam siaran langsung itu mengucapkan tahniah kepada BN Sabah dan calon-calon BN yang memperoleh kemenangan.

''Saya percaya kemenangan ini hasil usaha gigih calon-calon dan mereka yang berkempen untuk BN, kepada mereka saya ucap terima kasih dan tahniah hasil usaha mereka.

''Salam saya kepada yang kalah, yang menang tahniah...harap kuatkan azam untuk berjuang dan menjalankan tugas dan (penuhi) janji yang dibuat semasa pilihan raya.''

Kata Perdana Menteri mengakhiri siaran itu: ''Apa yang kita janji akan kita tunaikan.''

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sebelum ini turut bekerja keras dalam kempen BN, menyifatkan kemenangan tersebut sebagai bukti bahawa BN semakin diterima oleh rakyat Sabah. ''Bagaimanapun saya sedih dengan kekalahan beberapa calon BN khususnya Bernard Dompok,'' katanya.

Sementara itu, mengikut pemerhati politik, berdasarkan kepada keputusan, jelas sekali, pengundi Cina menolak parti pembangkang dan menerima BN.

Kawasan-kawasan majoriti Kadazandusun ternyata masih kuat berpegang kepada sentimen kesukuan dengan mengundi PBS, kecuali di kawasan Ranau yang menyaksikan calon BN, Siringan Gubat menang di kawasan itu dengan undi sebanyak 6,074. Beliau menewaskan calon PBS 4,847 undi, Bersekutu 224 dan Setia 53 undi. Kelebihan undi ialah 1,227.

Pada pilihan raya negeri 1994, BN Sabah gagal dalam percubaan pertamanya selepas tewas tipis kepada PBS. BN yang bertanding buat pertama kalinya menggunakan satu lambang dan satu manifesto itu, mendapat 23 kerusi berbanding PBS, 25 kerusi.

Bagaimanapun, ekoran tindakan beramai-ramai anggota Dewan Undangan Negeri PBS sama ada menyertai BN atau menubuhkan parti baru menyebabkan kerajaan negeri PBS hanya mampu bertahan selama tiga minggu, sebelum tumbang.

Pada pilihan raya kali ini, BN menghadapi saingan sengit yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru di kesemua 48 kawasan. PBS dan Bersekutu meletakkan calon di kesemua kawasan manakala Setia (21), Pas (6) dan Pasok (1).

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.