saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 15/04/1999

Melaka bandar raya elit


ABU ZAHAR ISNIN


NEGERI Melaka pada 581 tahun yang lalu merupakan sebuah kawasan kampung yang kecil dan tidak mempunyai apa-apa.

Hasil daripada kebijaksanaan seorang putera daripada Sumatera yang bernama Parameswara, kawasan yang kecil dan tidak mempunyai apa-apa itu berkembang pesat menjadi sebuah pelabuhan terkenal.

Buku Sejarah Melayu serta beberapa buku lain menyebut ia menjadi pusat persinggahan kapal-kapal berlabuh serta pusat perniagaan kepada pedagang-pedagang serta saudagar dari negeri China, India, Arab dan Amerika Selatan.

Sejarah negeri Melaka tidak terhenti di situ sahaja kerana pada tahun 1511, negeri itu telah jatuh ke tangan Portugis diikuti dengan Belanda pada 1641 dan penjajahan Inggeris selepas itu.

Pemimpin yang memerintah dan berkuasa selepas itu datang silih berganti seiring dengan sejarah yang disimpan.

Hari ini, meskipun telah 10 tahun meraikan ulangtahun bandar raya bersejarah, Melaka masih menyimpan kekayaan sejarah-sejarahnya yang lampau itu.

Ini menjadikan negeri itu meskipun kecil tetapi negeri yang paling kaya dengan khazanah sejarah dan layak digelar sebuah bandar raya bersejarah.

Mengimbau sejarah diisytiharkan sebagai bandar raya bersejarah, ia bermula dari Konvensyen Antarabangsa Pengisytiharan Melaka Sebagai bandar raya Bersejarah pada 13, 14 dan 15 April 1987 di bandar Melaka.

Konvensyen yang turut dihadiri oleh pakar-pakar sejarah antarabangsa itu telah membuat satu resolusi bahawa Melaka layak diisytiharkan sebagai sebuah bandar raya bersejarah.

Sejak itu, Melaka mula berkempen untuk menjayakan revolusi itu dan pada 14 Disember 1988, cita-cita dan hasrat Melaka itu telah diperkenankan apabila menerima surat persetujuan daripada Kerajaan Persekutuan.

14 April 1989 kemudiannya dipilih sebagai tarikh rasmi dan menjadi cuti umum kepada seluruh rakyat Melaka.

Pengisytiharan Melaka sebagai sebuah bandar raya bersejarah merupakan satu keputusan yang tepat dan tiada siapa dapat menyangkal bahawa negeri kecil itu layak mendapat gelaran tersebut.

Pada setiap tahun, rakyat negeri Melaka akan menyambutnya secara sederhana dengan menghadiri pelbagai aktiviti yang disediakan untuk mengenangi detik-detik yang bersejarah itu.

Bagi mereka, pengiktirafan itu amat besar ertinya kerana ia bukan sahaja menjadi fokus nasional tetapi juga antarabangsa.

Melaka mula diperintah oleh Ketua Menteri pada tahun 1957 dengan Datuk Kurnia Jasa Othman Talib menjadi Ketua Menteri pertama diikuti dengan Tun Abdul Ghaffar Baba pada 1 Jun 1959 hingga 5 Oktober 1967.

Datuk Talib Karim menggantikan Tun Abdul Ghaffar pada Ogos 1972 hingga 10 Julai 1978 diikuti dengan Datuk Setia Abdul Ghani Ali selepas itu.

Selama tiga tahun, sembilan bulan dan 13 hari , Melaka diperintah oleh Datuk Seri Mohd Adib Mohd Adam dan digantikan oleh Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik pada 26 April 1982 hingga 13 Oktober 1994.

Abdul Rahim telah melepaskan jawatannya sebagai Ketua Menteri berikutan terbabit dengan skandal gadis di bawah umur dan beliau digantikan dengan Datuk Seri Mohd Zin Abdul Ghani selepas itu.

Ketua Menteri sekarang, Datuk Seri Abu Zahar Isnin mula dilantik menjadi Ketua Menteri yang baru pada 23 Mei 1997 selepas Ketua Menteri sebelum itu, Allahyarham Mohd Zin meninggal dunia pada 14 Mei 1997.

Abu Zahar dalam pertemuan dengan Utusan baru-baru ini, memberitahu, adalah menjadi hasratnya melihat negeri Melaka terus membangun dan mencapai misi pembangunan negeri untuk menjadi sebuah negeri perindustrian yang maju menjelang tahun 2010.

Beliau berkata, keyakinannya terhadap kemampuan jentera perancangan dan pembangunan yang dimiliki oleh kerajaan negeri menjadikan hasrat tersebut satu realiti.

''Walaupun sejak pertengahan tahun 1997, negara termasuk negeri Melaka sendiri terkena tempias kegawatan ekonomi, ini tidak menghalang beberapa perancangan dan pelaksanaan beberapa projek yang telah dirancang.

''Ia tetap dijalankan secara sistematik berdasarkan sumber yang sedia,'' katanya.

Abu Zahar menambah, misi untuk menjadikan negeri Melaka sebagai sebuah negeri maju menjelang alaf akan datang juga seharusnya terus dikekalkan.

Dalam hal ini ujar beliau, strategi, program perancangan dan perlaksanaan jangka pendek serta panjang yang lebih teratur perlu dipertingkatkan lagi.

Malahan beliau berkata, kerajaan negeri juga telah memutuskan supaya satu pelan pembangunan perindustrian negeri Melaka akan digubal.

''Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dan Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) akan bekerjasama dalam menyediakan pelan tersebut. ''Ia sekali gus boleh membawa kerajaan negeri mengendalikan pelan tersebut secara lebih efektif dan teliti,'' katanya lagi.

Sementara itu beliau juga melahirkan hasrat untuk melihat dan memberi kemudahan kepada penduduk berpendapatan rendah dengan menyediakan lebih 10,000 unit rumah kos rendah dan sederhana menjelang tahun 2000.

Abu Zahar memberitahu, pada tahun 1998, kerajaan negeri masih berupaya membina 1,588 unit rumah kos rendah walaupun negara dibebani oleh masalah ekonomi.

Beliau juga berkeyakinan penuh dengan adanya sokongan dan kerjasama di antara pihak kerajaan dan swasta, pembinaan rumah jenis ini sebanyak 10,000 unit akan dapat dicapai menjelang alaf baru.

Kerajaan negeri juga katanya, tetap mementingkan masyarakat berilmu sama ada dalam bidang sains, teknologi dan agama.

Kata Abu Zahar, rancangan untuk menambah kemudahan dalam bidang pendidikan tetap menjadi salah satu agenda terpenting kerajaan negeri.

Melaka menurut Ketua Menteri, telahpun mempunyai satu koridor ilmu dan juga banyak intitusi pendidikan seperti Kolej Yayasan Melaka (KYM), Kolej Islam Melaka (KIM), Institut Teknologi Seni, Institut Kajian Sejarah dan Patriotisma Malaysia (IKSEP) dan banyak lagi.

''Berasaskan kepada kemudahan infrastruktur pendidikan yang dimiliki oleh negeri Melaka ini, saya percaya rakyat Melaka berupaya mendapat pendidikan yang sebaiknya,'' kata Abu Zahar.

Dari segi pendidikan agama pula, beliau berkata, tidak lama lagi beberapa sekolah jenis itu akan dibina dalam usaha melahirkan lebih ramai rakyat Melaka mempunyai pendidikan agama.

Beliau menegaskan, pembinaan Sekolah Menengah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Merlimau, Tanjung Bidara dan Paya Rumput berupaya mengisi permintaan ibu bapa yang cenderung menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis itu.

Mengakhiri perbualan, Abu Zahar menegaskan hasratnya untuk menyaksikan Melaka terus maju dan makmur tidak akan menjadi omongan kosong sekiranya pelbagai pihak berganding bahu merealisasikan impian murni tersebut.

Sementara itu Yang Dipertua Majlis Perbandaran Melaka bandar raya Bersejarah (MPMBB), Haris Hassan, pula memberitahu, memenuhi setiap keperluan dan kehendak warga Melaka serta menjadikan bandar Melaka sebagai sebuah bandar raya yang terbersih, kemas dan indah merupakan cabaran utama yang dihadapi oleh organisasi itu menjelang alaf baru tidak lama lagi.

Menurutnya, setiap projek yang dijalankan perlu mencapai tahap kualiti yang tertinggi bagi memenuhi keperluan penghuninya tidak kira melibatkan pembangunan infrastruktur atau sosial.

Katanya, bandar Melaka perlu dijadikan sebuah bandar elit yang sentiasa bersedia untuk para tetamu dari negara luar dan dalam.

Haris berkata, pelbagai kemudahan yang disediakan serta keindahan yang dimiliki berupaya menjadikan sesebuah bandar itu satu tempat yang seronok didiami selain selesa.

Katanya lagi, tidak dapat dinafikan MPMBB memainkan peranan yang penting dalam arus perubahan Melaka daripada dahulu sehingga sekarang.

Negeri Melaka katanya, sejak zaman Portugis dan Belanda telah mengecapi era kegemilangan dan jatuh bangun, suka duka negeri Melaka sememangnya sinonim dengan masyarakatnya.

''Kini, di zaman yang semakin maju dan mencabar, Melaka terus menerima lonjakan perubahan yang pesat seperti bandar-bandar lain di dunia,'' katanya kepada Utusan baru-baru ini.

Beliau berkata, MPMBB merupakan salah sebuah organisasi yang bertanggungjawab menyaksikan jatuh bangun serta suka duka perubahan negeri Melaka itu.

Tambahnya, MPMBB menjadi tunggak kesinambungan ke arah usaha mewujudkan Melaka sebuah bandar raya bersejarah yang gemilang berteraskan kemajuan perindustrian dan pelancongan menjelang tahun 2010.

Haris berkata, sejak MPMBB mengambil alih pentadbiran bandar Melaka dari kerajaan Inggeris dengan panggilan Majlis Perbandaran Melaka Tengah (MPMT) pada 1 Januari 1977, berdasarkan akta 171(76), MPMBB terus menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan dan kemajuan negeri Melaka.

Katanya, pengisytiharan Melaka sebagai sebuah bandar raya bersejarah pada 15 April 1989 pula, merupakan satu titik tolak bagi MPMBB meningkatkan kecekapan tugas di alaf yang serba moden.

''Pelbagai anjakan kemajuan telah berjaya dikecapi, sebagai contoh, kemenangan MPMBB di tempat kedua dalam Pertandingan Bersih dan Indah pada 1994 telah membuktikan bahawa MPMBB sememangnya prihatin dalam hal-hal yang melibatkan persekitaran.

''Projek-projek mega yang membabitkan belanja berjuta-juta ringgit seperti pembinaan Dataran Sejarah Ayer Keroh dan pembinaan Taman Perbandaran Bukit Serindit merupakan salah satu usaha ke arah menarik pelancong supaya berkunjung ke Melaka,'' katanya.

Haris menambah, MPMBB juga bertanggungjawab dalam pembangunan infrastruktur seperti menyediakan premis perniagaan serta kemudahan asas bagi memberi peluang lebih ramai pelabur berkunjung.

Ia secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, katanya.

Sementara itu dalam menjaga kebajikan penduduk pula kata beliau , MPMBB telah mengambil inisiatif dengan mewujudkan Pusat Tindakan Segera yang berperanan menyelesaikan masalah penduduk melalui aduan-aduan yang diterima.

Hari Pengisytiharan Melaka Bandar Raya Bersejarah bagi rakyat Melaka merupakan satu detik yang berharga dan perlu diraikan dengan penuh patriotik.

Hari tersebut, seluruh penduduk negeri Melaka yang kini berjumlah 582,500 orang perlu merasa bertuah kerana bumi Hang Tuah telah mencatat dua sejarah dalam satu hari.

Salah satunya kerana negeri itu merupakan negeri yang pertama diisytiharkan sebagai bandar raya bersejarah. Di samping itu, warga Melaka juga harus merasa beruntung kerana negara Malaysia yang tercinta ini lahir seiring dengan arus sejarah kewujudan Melaka.

Oleh: AZLINARIAH ABDULLAH

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.