saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 20/05/1999

Mencipta klon mempelam popular


HAMPIR 24 sentimeter panjang... Norziana Ismail mengukur saiz mangga klon Abdullah yang ditanam di Pusat Teknologi mempelam, Sala Kanan, Kota Sarang Semut Kedah.


MANGIFERA Indiga atau mempelam merupakan antara buah yang digemari oleh rakyat negara ini kerana rasanya yang manis, masam-masam manis, berbau harum, isi yang halus dan tebal.

Keenakannya itu sudah cukup membuatkan penggemarnya mengeluarkan wang yang banyak untuk menikmati buah tersebut termasuk mengimport dari negara jiran.

Hampir RM3 juta telah dibelanjakan oleh rakyat negara ini setiap tahun semata-mata untuk menikmati mempelam negara jiran sekali gus menyebabkan pengaliran keluar mata wang.

Nilai import sebenar mungkin lebih tinggi kerana jumlah RM3 juta itu hanya dicatatkan di pintu masuk Bukit Kayu Hitam, tidak termasuk di Padang Besar, Perlis, Kelantan dan pelabuhan Pulau Pinang.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui, mempelam negara jiran seperti Nam Dok Mai, Sala, Tong Dam, Khio Soray sebenarnya juga boleh diperoleh ataupun ditanam di negara ini.

Hakikat itu dibuktikan oleh Pusat Teknologi Mempelam Jabatan Pertanian di Sala Kanan dekat Kota Sarang Semut, Alor Setar yang berjaya mengeluarkan klon-klon mempelam popular itu.

Jumlah klon mempelam dikatakan beratus-ratus jenis dan 108 daripadanya telah ditanam terdapat di pusat teknologi itu yang beroperasi sejak 22 tahun lalu.

Pusat tersebut asalnya merupakan kawasan pemerhatian mata padi sebelum ditukar kepada kawasan penanaman mempelam pada tahun 1977 kerana tanahnya kurang sesuai untuk penanaman padi.

Dengan keluasan 4.85 hektar, sebanyak 83 pokok mempelam telah ditanam di kawasan tersebut yang terdiri daripada 14 jenis klon tempatan dan luar negeri.

Pada tahun 1983, kawasan tersebut telah dijadikan Pusat Teknologi Mempelam dengan tujuan untuk mengumpul pelbagai jenis klon mempelam.

Berpegang kepada matlamat untuk membentuk satu muzium koleksi klon-klon mempelam terpilih sebagai sumber genetik dan mengeluarkan maklumat teknologi tanaman mempelam, kawasan seluas 3.64 hektar dijadikan kawasan tanaman mempelam.

Sehingga kini, sebanyak 505 pokok mempelam yang terdiri daripada 108 jenis klon telah ditanam di kawasan tersebut untuk tujuan pemerhatian yang biasanya mengambil masa sehingga tiga atau empat tahun.

Pusat itu turut menjadi tempat rujukan maklumat kepada mereka yang berminat terutamanya petani bagi mengetahui dan mendalami teknologi pengklonan mempelam.

Sebagai tempat rujukan maklumat mengenai mempelam, kakitangan pusat itu telah berusaha untuk mengenal pasti dan mengumpul sebanyak mungkin klon mempelam yang terpilih dan membuat pemerhatian daripada segi kesuburan pokok, kesesuaian tempatan, ketahanan serangan musuh dan potensi hasil bagi setiap klon.

Selain itu, saiz pokok juga diambil kira bagi memastikan tumbesaran pokok-pokok tersebut tidak terbantut.

Setelah klon-klon tersebut dipastikan kualitinya, mempelam tersebut akan diperkenalkan kepada orang ramai untuk digalakkan penanamannya.

Kerjasama turut dijalinkan dengan pihak tertentu seperti Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) serta pemilik ladang mempelam untuk mengeluarkan maklumat mengenai teknologi tanaman mempelam.

Selain berfungsi sebagai tempat rujukan maklumat dan penerokaan teknologi baru dalam penanaman mempelam, pusat tersebut juga berpotensi dijadikan pusat pelancongan kerana ia merupakan pusat teknologi mempelam terbesar di rantau ini.

Untuk itu, pihak pengurusan pusat tersebut telah mengatur dan merancang beberapa program antaranya mengindahkan kawasan sekitar, mengadakan pameran, uji rasa mempelam, pertandingan memasak dengan menggunakan mempelam dan publisiti besar-besaran.

Para pengunjung juga berpeluang untuk melihat sendiri pokok mempelam yang ditanam dan merasa keenakan klon-klon mempelam yang rasanya lebih manis atau sama seperti mempelam dari negara jiran.

Daripada 108 klon yang ditanam, 58 daripadanya adalah klon tempatan iaitu sebanyak 38 klon dari Kedah dan selebihnya negeri-negeri lain.

Sesetengah klon mempelam diperoleh daripada individu yang mempunyai mempelam digemari ramai dan berpotensi untuk dimajukan. Tidak hairanlah jika terdapat banyak klon mempelam yang diberi nama orang-orang tertentu seperti Lebai Mohamad, Haji Abdullah dan Intan Shafinaz.

Terdapat juga klon-klon mempelam yang diperoleh dari negeri-negeri dan tempat tertentu dan diberi nama sempena negeri atau tempat tersebut. Antaranya adalah Perak, Kuala Selangor, Bangkok, Sungai Siput, Epal Tanjong Karang dan Simpang Empat.

Daripada 50 klon mempelam luar negara, sebanyak 17 klon diperoleh dari Thailand, 10 Amerika Syarikat, 8 India dan selebihnya dari Indonesia, Filipina, Mali, Taiwan dan Australia.

Jabatan Pertanian setakat ini telah mendaftarkan 53 jenis klon berdasarkan kualitinya yang telah diperakui manakala 55 klon mempelam yang lain masih belum didaftarkan kerana masih dalam peringkat percubaan dan pemerhatian.

Antara klon mempelam yang telah didaftarkan ialah Malgoa, Cariboa, Zeblia Egypt, Alfonso, Tetenene, Lindungan Bulan, Kartolumbu dan Khio Soray.

Sementara klon mempelam yang belum didaftarkan ialah Hijau Telor Gagak, Davis Hayden, Manalagi, Maulagi, Songkla, Si Phoon, Okrong dan YTM Bulat.

Bagaimanapun buat masa ini hanya lima jenis klon yang disyorkan untuk ditanam iaitu Harumanis, Laris, Mas Muda, Sala dan Simpang Empat kerana didapati sesuai dengan iklim dan jenis tanah khususnya di negeri sebelah utara.

Klon-klon mempelam yang boleh mengeluarkan buah sepanjang tahun seperti Nam Dok Mai juga ditanam di pusat tersebut untuk tujuan pemerhatian.

Pusat itu turut menghasilkan beberapa klon mempelam yang bersaiz luar biasa seperti klon Haji Abdullah dan Tandop yang panjangnya mencecah sehingga 25 sentimeter dengan berat sehingga dua atau tiga kilogram sebiji.

Klon tersebut diambil daripada pemilik asal mempelam yang dikenali sebagai Haji Abdullah yang telah mengahwinkan beberapa pokok mempelam tertentu untuk mendapat klon baru itu.

Jabatan Pertanian turut menyusun program pengindahan dalam usaha menjadikan pusat itu sebagai tempat pelancongan, membuat pemerhatian, memungut maklumat, merekod dan mengeluarkan maklumat mengikut kehendak pengguna dari masa ke semasa serta pengeluaran anak benih untuk sambungan pembiakan dan jualan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Makanan dan Gejala Sosial Negeri, Ahmad Lebai Sudin, pusat teknologi itu juga diharap dapat menggalakkan petani mempelbagaikan tanaman selain daripada padi bagi menambahkan sumber pendapatan.

Selain itu, petani juga diharapkan dapat memanfaatkan tanah-tanah yang terbiar dengan tanaman mempelam yang mampu memberikan pulangan yang lumayan.

Sehubungan itu katanya, pusat tersebut bersedia menawarkan bantuan seperti khidmat nasihat dan anak benih kepada petani yang berminat untuk mengusahakan tanaman tersebut.

Oleh: NORZIANA ISMAIL

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.