saya nak baca ..

KHAS


ARKIB : 02/07/1999

Sukma miliki 3 kereta mewah

KUALA LUMPUR 1 Julai - Sukma Darmawan Sasmitaat Madja mengaku di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia mempunyai tiga buah kereta mewah - sebuah jenis BMW 523i dan dua Mercedes Benz model C280 dan 300S.

Sukma memberitahu, kereta BMW miliknya itu didaftarkan dengan nombor pendaftaran WGG 23 manakala dua buah Mercedes itu bernombor WDS 25 dan WDN 2.

Menurut Sukma, kereta BMW itu pernah digeledah oleh Asisten Supritendan Mohd. Rodwan Mohd. Yusof bersama-sama tiga anggota polis lain ketika dia ditahan pada 6 September tahun lalu.

Selain itu, Sukma menyatakan dia memiliki sebuah pangsapuri bernombor 10-7-2, di Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini yang dibelinya dengan harga lebih kurang RM400,000 pada penghujung tahun 1992.

Ketika disoal balas oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail, Sukma mengaku bahawa dia pernah mengubahsuai pangsapuri tersebut yang menelan belanja kira-kira RM100,000.

Sukma menyatakan demikian pada prosiding bicara dalam perbicaraan bagi menentukan sama ada pengakuan yang dibuatnya kepada seorang Hakim Mahkamah Sesyen adalah secara sukarela atau sebaliknya.

Pada satu peringkat, Hakim Datuk Ariffin Jaka mencelah untuk bertanya Abdul Gani apa tujuan beliau menimbulkan soalan kepada Sukma sama ada polis pernah mengambil lima pita video ketika menggeledah pangsapurinya.

Hakim Ariffin berpendapat bahawa isu yang diketengahkan adalah berkenaan sama ada pengakuan Sukma dibuat secara sukarela.

Gani menerangkan soalan berhubung pita video itu sebenarnya telah ditimbulkan oleh peguam bela. Bagaimana pun, Gani menarik balik soalan berkenaan.

Pada perbicaraan utama, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 51, sedang dibicarakan atas tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar. Dia dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma, 38, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengan Anwar dan meliwat Azizan, 38.

Pada sesi sebelah petang, Gani memulakan soalan balas dengan bertanya latar belakang Sukma sebelum dia mendapat pendidikan di sini.

Sukma berkata, dia dilahirkan pada 25 Jun 1961 di Jakarta, Indonesia, dan merupakan anak yang ke-11 daripada 12 orang adik-beradik.

Menurut Sukma, dia kemudian dihantar oleh bapanya berhijrah ke negara ini pada bulan Februari 1977 dan memulakan persekolahannya di Yayasan Anda di Kampung Baru di sini.

Menjawab kepada satu soalan Gani, Sukma menyatakan, dia memperoleh Sijil Tinggi Persekolahan (ketika itu dikenali sebagai Higher School of Certificate) pada 1990.

Sukma bagaimanapun mengaku bahawa di antara tahun 1980 hingga 1983, dia tidak bersekolah.

Sukma memberitahu, dia menetap di rumah bapa angkatnya, Datuk Ibrahim Abdul Rahman, iaitu bapa Anwar sejak berhijrah ke negara ini.

Menurut Sukma lagi, segala perbelanjaan persekolahannya ditanggung oleh bapa Anwar.

Menjawab satu soalan Gani, Sukma menyatakan bahawa selepas tamat persekolahan dia pernah berniaga secara sambilan dengan menjual ubat-ubatan tradisional dan kain.

Menurut Sukma lagi, dia mula menceburkan diri secara serius dalam urusan perniagaan dengan membuka sebuah syarikat pada pertengahan 1991.

Soalan pendakwa selanjutnya berkisar berhubung dakwaan Sukma bahawa seorang pegawai polis lain, Asisten Supritendan Zulkifli Mohamed, pernah melakukan perbuatan tidak senonoh terhadapnya sebelum dibawa berjumpa majistret untuk mendapatkan perintah reman.

Gani: ''Saya katakan, Zulkifli tidak pernah menyelak baju kamu, memulas serta mencubit dada sambil mempersenda-sendakan kamu?''

Sukma: ''Tidak setuju.''

Gani: ''Saya katakan, Zulkifli tidak pernah sama sekali meramas-ramas bahagian kemaluan kamu?''

Sukma: ''Tidak setuju.''

Gani: ''Jika benar ia berlaku, kamu sudah membuat aduan kepada majistret ketika polis memohon perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah?''

Sukma: ''Ia benar berlaku tetapi saya tidak melaporkan kepada majistret.''

Antara soalan terakhir Abdul Gani petang ini, Sukma menyatakan dia tidak bersetuju bahawa adalah tidak munasabah seorang pegawai kanan polis berbuat demikian di hadapan orang ramai termasuk kakitangan lain.

Sebelum itu, Sukma menafikan bahawa dia memberi kebenaran kepada pihak polis untuk memecahkan pintu bilik utama pangsapurinya pada hari dia ditangkap.

Sukma juga menafikan bahawa polis telah menunggu lebih satu jam untuk mendapatkan anak kunci daripada salah seorang kakaknya yang enggan datang ke rumah.

Perbicaraan bersambung esok.

Laporan: KAMARIAH AHMAD dan NORLIZAH ABAS

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.