saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 13/08/1999

Bank Islam dan pembebasan sistem riba

Kita juga perlu berhati-hati kerana tidak mahu sistem harapan dijadikan kuda trojan sistem riba.

Untuk kebaikan bersama, sistem bank Islam mungkin perlu memerhatikan isu-isu berikut:

* Jaminan kuantiti dan kualiti mata wang

* Piawaian atau 'ISO' mata wang

* Perbahasan mengenai faedah yang tidak berfaedah

Salah satu tujuan utama sesebuah bank ditubuhkan ialah untuk menyimpan harta dan wang ringgit supaya selamat. Keselamatan ini mestilah dari segi jaminan kuantiti dan kualiti barangan yang disimpan.

Di samping itu fungsi bank adalah untuk memberi kemudahan kredit kepada para pelanggan dalam melicinkan urusan. Sama ada untuk perniagaan dan perdagangan ataupun sumber pinjaman am.

Zaman dahulu orang ramai menyimpan barangan kemas, wang emas dan perak pada tukang-tukang emas kerana mereka mempunyai peti besi untuk tujuan menyimpan dengan selamat.

Tukang emas akan mengeluarkan resit untuk mudah memulangkan simpanan tersebut. Amnya itulah cara tukang emas menjadi pelopor sistem bank moden. Ada yang mengatakan resit-resit itu akhirnya menjadi sistem buku cek dan juga menjadi asas sistem wang kertas yang mewakili simpanan. Paling penting diingat ialah tukang emas itu mestilah menjamin kuantiti dan kualiti harta atau wang yang disimpan.

Tukang emas dapat menjamin nilai simpanan kerana berat emas dan perak tidak akan berubah kecualilah dikikis oleh tukang emas tersebut. Tukang emas boleh menipu dengan mengadakan resit berlebihan daripada deposit emas. Bank moden juga boleh mencetak kertas berlebihan daripada simpanan emas kemudian meminjamkan kepada orang lain sambil mengenakan faedah.

Ini dikatakan penciptaan kredit (wang). Inilah juga asas sistem riba bank moden yakni keupayaan mencipta wang tanpa sandaran - Something from nothing.

Penciptaan wang tanpa sandaran boleh dikaitkan dengan Presiden Nixon yang memutuskan ikatan emas dengan dolar pada tahun 1971 kerana dolar Amerika dicetak berlebihan daripada simpanan emas.

Tindakan tersebut membebaskan pihak bank Amerika mencetak wang sebanyak mungkin tanpa memerlukan deposit emas lagi. Kini dolar sah menjadi paksi 'sistem wang palsu yang dihalalkan'.

Perhatikan kenyataan oleh Government Securities, U.S. Bureau of Engraving yang dipetik dari buku Economic Solutions oleh Peter Kershaw (1994).

''Biro (mata wang Amerika) mencetak anggaran 16 juta wang kertas setiap hari. Biro ini berkuasa mencipta wang sebanyak mana sekalipun. Yang membataskannya ialah kelajuan alat cetak dan kesediaan orang ramai untuk menerimanya.''

Dalam sistem perbankan sekarang, resit atau wang kertas sudah diberi realiti dan bukan lagi dianggap sebagai lambang wang. Akhirnya lambang wang (wang kertas dan wang elektronik) dan emas terperangkap dalam persoalan 'apa dahulu antara ayam dengan telur'.

Adakah wang kertas yang mentakrifkan emas atau emas yang mentakrifkan wang kertas? Sistem perbankan berjaya mengelirukan kita tentang takrifan wang untuk membolehkan sistem tersebut mencetak lambang wang dengan berlebihan sebagaimana tukang emas yang menulis resit lebih banyak daripada simpanan dalam peti besinya.

Keadaan ini menjadikan 'wang tidak ada ISO'. Wang tanpa piawaian hakiki. Kualiti wang menjadi tidak terjamin sebagaimana yang kita lihat dalam fenomena kejatuhan nilai wang sesetengah negara sehingga beratus-ratus peratus pada tahun 1997.

Perkara asas yang perlu diketengahkan ialah bank lazim mahupun bank Islam tidak lagi dapat menjamin kualiti wang. Pihak bank mungkin boleh menjaga kuantiti wang kerana institusi tersebut dapat mencetak wang tanpa sandaran. Tetapi pihak bank tidak dapat menjamin kualiti wang. Ini bermakna sistem bank atas nama apa pun sebenarnya sudah gagal berfungsi seolah-olah peti besi tukang emas (bank) sudah dicerobohi.

Penceroboh itu mungkin orang luar seperti spekulator mata wang tetapi pihak bank juga boleh 'mengikis' nilai wang kerana pihak tersebut boleh mencetak lambang wang dengan berlebihan. Akhirnya nilai wang tidak dapat dikawal oleh kerajaan tetapi dikawal selia oleh hegemoni perbankan, pencetak wang dan yuppies.

Tanpa 'ISO mata wang', perbahasan mengenai faedah pun menjadi tidak berfaedah. Persoalan utama bukannya tentang bunga ataupun faedah. 'Persoalan pokok ialah tentang pokok itu sendiri'.

Ini bermaksud persoalan utama ialah tentang simpanan asal. Wang simpanan kita dikatakan beruntung, 'berbunga' atau diberi faedah, lazimnya sekitar 10% tetapi apa gunanya jika nilai wang boleh disusut nilai sehingga 600% seperti yang berlaku di Indonesia (tukaran 2500 rupiah sedolar menjadi 16,000 rupiah sedolar selepas campur tangan IMF).

Ini bermakna setiap simpanan asal sebanyak 2500 rupiah yang sebelum era IMF bersamaan 1 dolar tetapi kini bernilai 15 sen Amerika dalam sekelip mata sahaja.

Bukannya bunga yang didapati malahan 'pokok asal yang ditebang'.

Untuk sistem bank yang bebas daripada riba, Bank Islam perlukan piawaian mata wang menurut Islam.

Kita tidak mahukan sistem yang boleh dijadikan kuda trojan sistem Barat kerana mereka masih boleh merompak nilai wang simpanan kita. Piawaian dolar akan memerangkapkan kita dengan perbahasan tentang faedah yang sia-sia. Tanpa piawaian mata wang menurut Islam, bank Islam tidak mungkin dapat menjamin kualiti mata wang atau tidak berupaya melakukan safekeeping. Inilah cabaran untuk sistem bank Islam yang perlu ditangani jika kita benar-benar mahu mengawal nilai ringgit daripada terus menjadi mangsa penyangak kewangan antarabangsa dan para spekulator.

DR. HAKIMI IBRAHIM, Pensyarah Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:08
Asar 4:15
Maghrib 7:10
Isyak 8:19



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.