saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 23/08/1999

Dilema Orang Asli Sungai Berua

APABILA disebut sahaja perkataan 'Orang Asli', mungkin yang terbayang di fikiran seseorang ialah mereka (Orang Asli) masih ketinggalan dalam banyak perkara.

Ada yang menggambarkan bahawa Orang Asli itu berpakaian ala kadar iaitu tidak lengkap atau tidak menutup seluruh anggota badan mereka serta tinggal di pedalaman pula. Tidak kurang juga yang menggambarkan mereka ini tinggal di rumah-rumah kecil seperti pondok, memakan makanan yang tidak berkhasiat tidak seperti penduduk bandar serta bermacam-macam lagi gambaran yang boleh dibuat.

Dalam pada itu, ada juga yang menggambarkan Orang Asli sebagai pakar merentas hutan belantara, mengetahui setiap pergerakan di hutan, mengenali apa jua kehidupan belantara sama ada haiwan liar atau sebagainya. Kerana itu, kepakaran mereka digunakan oleh pasukan keselamatan bagi menentang musuh negara.

Mungkin gambaran yang diberikan ini adakalanya boleh diterima tetapi persoalannya sekarang sejauh manakah perkara itu masih betul. Apakah setelah sekian lama, kehidupan semua suku kaum Orang Asli yang terdapat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak masih pada takuk lama dan tidak pernah berubah?

Pada hakikatnya, ramai di kalangan kita sebenarnya kurang mengetahui mengenai kehidupan Orang Asli. Umpamanya masalah yang mereka hadapi, cabaran serta sifat-sifat yang masih terdapat pada diri mereka dan banyak lagi.

Begitu juga halnya dengan suku kaum Semoq Beri yang tinggal di Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu.

Pada masa ini terdapat kira-kira 204 Orang Asli dari suku kaum itu yang tinggal di perkampungan tersebut. Mereka ini yang pada asalnya tinggal di perhutanan Taman Negara, Tasik Kenyir, dipindahkan ke perkampungan itu 20 tahun lalu.

Orang Asli di sini disediakan kawasan perumahan serta kemudahan infrastruktur seperti bekalan elektrik, air, jalan tar, sekolah, surau dan sebagainya.

Kerajaan negeri juga memberi bantuan bulanan RM70 bagi satu keluarga bertujuan meringankan bebanan mereka.

Selain itu kerajaan juga menyediakan kawasan seluas 60 hektar yang diserahkan kepada Felcra untuk tanaman kelapa sawit. Tujuannya supaya Orang Asli ini terbabit dalam aktiviti perladangan yang boleh mendatangkan upah sampingan.

Namun hakikat sebenarnya suku kaum Semoq Beri ini masih ketinggalan berbanding Orang Asli yang tinggal di Jabor, Kemaman dan Keruak di Hulu Besut.

Antara faktor yang menyebabkan mereka ini masih ketinggalan dan berada dalam kemiskinan ialah bantuan yang diberi belum mencukupi.

Memang kita akui kerajaan negeri tidak mampu memberi bantuan seratus peratus kepada mereka kerana Orang Asli ini perlu berdikari demi masa depan mereka dan kedluarga.

Sehubungan itu, usaha perlu dipertingkatkan kerana apa yang dilakukan pada masa ini tidak mencukupi. Disebabkan terdapat kekurangan serta kelemahan di sana sini, kita dapati kebanyakan mereka ini terpaksa masuk semula ke hutan untuk mencari rotan dan kayu gaharu.

Tujuan dan harapan mereka ialah satu iaitu menambahkan pendapatan kerana itulah saja kemahiran yang ada, mencari rotan dan kayu gaharu.

Bila ditanya berapa yang boleh diperoleh terutama dengan menjual kayu gaharu, seorang penduduk Orang Asli, Razak Tebong, memberitahu, kadangkala boleh diperoleh antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap kilogram.

Terkejut juga kita bila mendengarnya, kerana tidak disangka harga kayu gaharu begitu mahal. Boleh dibayangkan jika seseorang itu memperoleh lebih daripada sekilogram.

Pastinya hasil yang bakal berada di dalam saku kaum Orang Asli ini beribu-ribu ringgit. Sudah pasti boleh pakai kereta nasional, rumah yang ada diperbesarkan, manakala anak-anak boleh memakai pakaian serta kasut yang mempunyai jenama terkenal.

Sekali lagi pada hakikatnya, semua ini bukan dapat direalitikan. Suku kaum Semoq Beri di Kampung Sungai Berua ini masih berada pada takuk lama.

Kayu gaharu yang mereka cari di kawasan hutan Taman Negara Tasik Kenyir sukar diperoleh walaupun terpaksa meredah hutan hingga jauh ke pedalaman. Untuk pergi ke Taman Negara sahaja memerlukan masa kira-kira dua jam dengan menggunakan bot sebelum berjalan kaki satu hingga dua jam ke kawasan pedalaman.

Anak kepada Tok Batin penduduk Kampung Sungai Berua, Tapi Pisang, 25, memberitahu, dia dan rakan-rakannya perlu tinggal di kawasan Taman Negara antara 10 hari hingga satu bulan untuk mencari kayu gaharu dan rotan.

Katanya, kesukaran mencari kayu gaharu juga menghadapi saingan kerana mereka sering terserempak dengan sekumpulan warganegara asing (Thailand) yang masuk ke hutan bukan sahaja untuk mencari kayu gaharu, malah memburu gajah liar bagi mendapatkan gading.

''Baru-baru ini saya terserempak dengan 18 hingga 20 warga asing di kawasan Gunung Bewah, Taman Negara. Mereka mencari kayu gaharu dan memburu gajah untuk mendapatkan gading,'' katanya yang ditemui Utusan di kawasan Sungai Perpek, Taman Negara Tasik Kenyir.

Pencerobohan oleh warga asing itu turut diakui oleh Razak Tebong, 35, yang perlu menanggung seorang isteri dan empat orang anaknya.

Kata Razak, apabila terserempak dengan warga asing itu, mereka perlu mencari kayu gaharu dan rotan di kawasan-kawasan yang lebih jauh di pedalaman.

Menurutnya, dalam sehari mencari kayu gaharu ia belum tentu menjanjikan sebarang hasil.

''Selain itu, kayu gaharu yang dijual perlu mengikut gred. Kayu yang kehitaman harganya mahal dan boleh dijual antara RM2,000 hingga RM1,000 sekilogram. Kayu gaharu yang kurang grednya dijual antara RM500 hingga RM800 sekilogram.

''Untuk mendapatkan satu kilogram kayu gaharu belum tentu lagi walaupun 10 hari tinggal di Taman Negara,'' katanya.

Bagi Saleh Wahab, 25, hasil yang diperoleh dari penjualan kayu gaharu itu sebahagian besarnya perlu dipulangkan semula untuk membayar hutang.

Suku kaum Semoq Beri ini berhutang kerana mengambil barangan keperluan dapur dari para peraih. Ada juga peraih yang menyediakan keperluan enjin bot dan bot.

Bagi penduduk Kampung Sungai Berua ini, keperluan bot dan enjinnya amatlah penting kerana untuk bergerak ke Taman Negara mereka memerlukan kemudahan tersebut.

Begitu juga apabila tinggal sekian lama di Taman Negara, keperluan barangan dapur untuk isteri dan anak-anak perlu dipastikan tidak keputusan.

''Bila dapat duit dari jualan kayu gaharu ini, saya pulangkan semula untuk membayar hutang,'' katanya.

Kesempitan hidup suku kaum ini dengan masalah hutang yang boleh dikatakan berlarutan sekian lama diakui oleh Pegawai Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHOA) Negeri Terengganu, Salim Sulong.

Selain masalah mencari kayu gaharu dan hutang ini, Salim juga tidak menafikan bahawa ada segelintir pihak yang mengambil kesempatan dengan menjual barangan pada harga terlalu mahal kepada penduduk Kampung Sungai Berua ini.

''Ada peraih yang membawa barangan mereka ke kampung ini sebaik sahaja mendapat tahu penduduk Kampung Sungai Berua akan menerima bantuan bulanan mereka.

''Kita sukar untuk menyekat kemasukan para peraih ini yang menjual barangan mereka. Apa yang kita harap, ia dijual mingkut harga berpatutan. Namun begitu, ada juga Orang Asli yang sudah mempunyai sikap suka menyimpan dalam amanah saham dan bank-bank,'' katanya.

Walaupun menerima bantuan bulanan RM70 sebulan bagi sebuah keluarga, dividen kelapa sawit RM110 setahun untuk setipa peserta dan upah memetik buah kelapa sawit yang tidak menentu iaitu antara RM100 hingga RM200, semua ini pada hakikatnya belum memadai.

Kerana itu, kebanyakan suku kaum Orang Asli ini sebenarnya tidak mempunyai sebarangan pekerjaan yang menjanjikan pendapatan tetap bulanan. Oleh itu, mereka perlu masuk ke dalam hutan untuk mencari rotan dan kayu gaharu.

Tujuannya ialah satu iaitu menyara keluarga dan membayar hutang lapuk.

Oleh itu, satu langkah yang dilihat mampu mengubah nasib Orang Asli ini ialah apabila kerajaan kini dalam proses meluluskan kawasan seluas 417 hektar berhampiran Kampung Sungai Berua untuk tujuan tanaman kelapa sawit.

Diharapkan, apabila tanah itu diserahkan kepada Felcra, semua penduduk Orang Asli di perkampungan tersebut sudah mempunyai pekerjaan yang menjanjikan pendapatan bulanan. Mereka tidak perlu lagi masuk ke hutan mencari rotan dan kayu gaharu.

Seperkara lagi usaha yang sedang dirancang oleh kerajaan negeri ialah memilih beberapa belia dari kalangan suku kaum tersebut untuk diberi latihan kemahiran di pusat-pusat belia.

Ini termasuk lawatan sambil belajar ke perkampungan Orang Asli lain yang sudah membuat perubahan dan boleh berdikari termasuk lawatan ke Kampung Jias, Gua Musang, Kelantan.

Melalui latihan kemahiran ini nanti, diharapkan gologan belia berkenaan akan menjadikan kebolehan diperoleh untuk menghasilkan kraf tangan yang dapat dijual kepada para pelancong. Dengan kata lain, Kampung Sungai Berua hendak dijadikan kawasan tarikan pelancong yang menyajikan pelbagai kraf tangan serta budaya suku kaum Semoq Beri.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.