saya nak baca ..

EKONOMI


ARKIB : 27/09/1999

Boon Siew raja motosikal Malaysia

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Siapa yang tidak mengenali mendiang Tan Sri Loh Boon Siew, raja motosikal yang kaya-raya di negara ini setelah berjaya menempuh pelbagai kepayahan untuk mencapainya.

Kejayaan beliau dapat dilihat melalui pakatan Boon Siew-Honda, yang menguasai sejumlah besar pasaran motosikal di Malaysia dan rantau ini.

Motosikal buatannya yang terlaris jualan di Malaysia, juga mendapat tarikan di luar negara seperti Filipina, Brunei dan Singapura.

Menurut perangkaan terbaru, sehingga bulan Mac, tahun ini, sejumlah dua juta kenderaan itu telah dipasang melalui 29 model yang berbeza. Ia adalah antara catatan tambahan kepada sejarah perkembangan Boon Siew Sdn. Bhd. yang pada awal operasinya dikenali melalui model Honda C50, C65 dan S90.

Bermula di Jepun, Honda mungkin satu jenama antarabangsa dan motosikal unggul di dunia tetapi di Malaysia, ia telah dipasang menggunakan 95 peratus komponen tempatan melalui kilang milik Loh untuk dipasarkan di luar negara.

Malah, enjinnya dihasilkan di Malaysia melalui usaha sama dengan Hicom, sebuah syarikat milik Bumiputera yang terbesar di negara ini.

Berdasarkan apa yang dicapai, ia membanggakan tetapi ia bukanlah datang bergolek dengan mudah.

Tambahan pula, beliau bukan anak tempatan yang mungkin mempunyai kelebihan tertentu tetapi pendatang dari wilayah Hui Ann di China yang tanpa mempunyai apa-apa kecuali dengan keyakinan dan semangat kuat.

Pada usia 12 tahun, beliau belayar dari China ke Pulau Pinang (sekitar tahun 1920-an sebelum terbentuknya Malaysia) untuk mencari bapanya dengan menaiki bot kecil yang perjalanannya memakan masa tiga hari dengan memakan biskut kering.

Di negara ini, beliau memulakan kariernya sebagai mekanik dan pada usia 18 tahun, beliau telah pun memiliki kemahiran untuk menjadi pakar kotak gear kereta. Sebagai remaja, beliau cuba mendapatkan pendapatan tambahan dengan membasuh bas pada setiap malam dengan bayaran 10 sen sebuah bas setelah bekerja sebagai mekanik pada siang hari.

Melalui kerja kuat dan berjimat cermat, beliau menabung duit yang dimilikinya dan memulakan perniagaan bas pada usia 21 tahun. Bagaimanapun usahanya itu terganggu apabila meletusnya perang dunia Kedua pada tahun 1942. Beliau kehilangan segalanya pada waktu itu.

Selepas perang beliau memulakan semula perniagaan basnya daripada peringkat awal dengan menubuhkan syarikat 'Penang Yellow Bus Company' pada tahun 1945 yang masih wujud hingga kini. Pada masa yang sama beliau juga melibatkan diri dalam perniagaan kereta terpakai, alat ganti dan juga tayar dan untuk beberapa waktu menjadi ejen tunggal bagi motosikal 'Aerial' di Utara Malaya.

Pada tahun yang sama, kemerdekaan negara diisytiharkan oleh Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman yang juga Perdana Menteri Pertama, Loh telah menubuhkan Boon Siew Ltd. (kini Boon Siew Sdn. Bhd.)

Pada tahun 1958, setelah Boon Siew Ltd. ditubuhkan, tuah Loh bertambah baik. Sewaktu melancong di Osaka Jepun, beliau ternampak motosikal Honda. Tertarik dengan kebolehan kenderaan dua roda itu, berusaha menjejaki Soichiro Honda, pengasas Honda Motor Co. Ltd. di Jepun untuk menjadi pengedarnya. Pada tahun itu, 15 buah motosikal pertama (Honda Dream dan Honda Benly) telah berjaya dibawa masuk ke Malaysia dan jual oleh Loh.

Sejak beliau menemui pengasas motosikal Honda itu, pertalian persahabatan antara kedua-duanya terjalin dan terus berkembang sepanjang hayat hidupnya. Soichiro dan Loh menjadikan Honda terkenal di Malaysia melalui nama 'Boon Siew - Honda', raja motosikal.

Biarpun, kedua-duanya mempunyai halangan bahasa kerana Loh hanya mampu bertutur dalam bahasa Hokkien manakala Soichiro pula boleh berbahasa Jepun. Kedua-duanya masih mampu untuk memahami keinginan masing-masing dan dapat berkongsi pendapat yang sama.

Keadaan itu dijelaskan oleh Loh sendiri, apabila menyatakan, 'kami tidak hanya berjabat tangan setiap kali berjumpa tetapi kami juga memeluk antara satu sama lain.''

Pertalian persahabatan itulah yang terus melalui dekad-dekad berikutnya yang kini kekal menjadi satu hubungan yang kuat antara dua buah syarikat yang besar - Boon Siew Sdn. Bhd. dan Honda Motor Co. Ltd. dari Jepun.

Selain usaha yang gigih, Boon Siew Sdn. Bhd. juga diasas pegangan kuat atau falsafah hidup Loh. Beliau percaya syarikat itu harus menjadi penggerak utama industri motosikal dan sekali gus membantu mengembangkan ekonomi Malaysia.

Ia telah dibuktikan melalui pembukaan kilang pemasangan motosikal Boon Siew-Honda yang pertama di Malaysia melalui Kah Motor Co. Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada tahun 1968 manakala pengeluarannya pula pada tahun 1969. Syarikat itu juga sepanjang tempoh 40 tahun merupakan pembayar cukai yang besar kepada kerajaan.

Malah, amat jarang sekali sesebuah syarikat menggunakan sejumlah besar komponen tempatan untuk motosikalnya dan tindakan itu yang sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui pengeksportan motosikal ke luar negara. Misalnya, sehingga ini, 20,300 unit Honda C70 dieksport hanya ke Filipina tidak termasuk negara-negara lain.

Loh juga berpegang kepada kejayaan datang daripada hasil berkumpulan selain keperluan membantu siapa yang memerlukan bantuan seperti mana dirinya dibantu pada memulakan perniagaan. Beliau semasa hidup turut membantu orang lain sehingga sanggup menderma wang dan tanah. Selepas kematiannya, ia masih diteruskan dan syarikat itu telah menyumbang RM100,000 untuk Tabung Kemanusiaan JE pada bulan April lalu.

Namun begitu, tanggungjawab terhadap masyarakat bukan setakat berakhir begitu sahaja, Malah Boon Siew-Honda juga mengeluarkan motosikal empat lejang yang 'mesra alam' selain memastikan sisa perkilangan dihantar ke pusat rawatan sisa kerajaan di Bukit Nenas.

Loh memberikan penegasan terhadap kepentingan memberikan perkhidmatan dan produk terbaik kepada pengguna di Malaysia.

Sebagai contoh, ia telah melancarkan motosikal Honda EX5 Kelas 1 yang mempunyai kepatuhan pengeluaran asap yang ketat berdasarkan Standard 2 Taiwan.

Ini memperlihatkan tanggungjawab sosial syarikat terhadap alam sekitar dan pengguna.

Boon Siew Sdn. Bhd. juga antara syarikat yang menjadi pergantungan rakyat Malaysia dalam penyediaan kerja terhadap rakyatnya tanpa mengira bangsa. Kesukaran yang dilaluinya dalam hidup menyebabkan ia dijadikan salah satu pegangan untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan. Malah sesetengah kakitangan syarikat yang telah melepasi tempoh persaraan masih diminta untuk membantu dalam operasi syarikat.

Bagi Loh, biarpun keuntungan penting tetapi ia bukan perkara pertama yang dikejarnya. Ia hanya tumpuan akhir kerana berniaga tetap perlu untung untuk memastikan kelangsungan hidup dan terus kukuh.

Biarpun pengasasnya tiada lagi, Boon Siew Sdn. Bhd. boleh diibaratkan sebagai permata yang sukar di cari di mana-mana kerana idea dan kepercayaan yang diterapkan oleh Loh. Syarikat itu kini telah menyumbang kepada ekonomi Malaysia selama 40 tahun dan bakal terus memberikan sumbangannya kepada negara ini menerusi operasinya dalam alaf akan datang.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:04
Asar 4:26
Maghrib 7:00
Isyak 8:14



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.