saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 29/10/1999

Anwar kawal akaun RM3b -- Pendedahan bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia


ANWAR...kawal 20 akaun.


KUALA LUMPUR 28 Okt. - Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid, mendedahkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim mengawal sebanyak 20 Akaun Induk (Master Accounts) yang diuruskan oleh kroni-kroninya membabitkan aset, saham dan wang bernilai lebih RM3 bilion.

Abdul Murad dalam Akuan Berkanun yang diikrarkan di depan Pesuruhjaya Sumpah di sini pada 26 Oktober lalu mendakwa Anwar menggunakan wang akaun induk itu untuk memajukan cita-cita politiknya termasuk membayar hutang-hutang para penyokong.

Sebahagian daripada mereka yang mendapat bantuan Anwar sekarang merupakan aktivis parti pembangkang.

Beliau juga mendakwa bekas Timbalan Perdana Menteri itu memperalatkan pengaruh BNM untuk keuntungan perniagaan kawan-kawan, kroni dan elemen-elemen asing.

Menurut beliau, Anwar memberikan sekurang-kurangnya AS$10 juta (RM38 juta) kepada sebuah agensi kumpulan pemikir Amerika Syarikat yang berpusat di Washington untuk menaikkan imejnya di negara-negara Barat, khususnya di Amerika Syarikat, United Kingdom dan lain-lain negara Eropah.

Katanya, beliau bertanggungjawab mengatur sumbangan AS$10 juta kepada agensi itu yang diketuai oleh seorang bekas pengarah kanan Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat, Douglas H. Paal.

Abdul Murad, 46, membacakan Akuan Berkanun beliau itu pada sidang akhbar yang diadakan di Hotel Grand Olimpic di sini hari ini. Dalam nada kesal beliau mengakui bahawa beliau juga ialah salah seorang kroni yang menguruskan akaun induk milik Anwar.

Bagaimanapun, beliau mendakwa terpaksa melaksanakan arahan-arahan Anwar seperti mengatur pinjaman-pinjaman bank dalam jumlah beratus-ratus juta ringgit untuk kroni-kroni lain walaupun ini bertentangan dengan undang-undang ''kerana sebagai Menteri Kewangan dia akan cincang saya jika arahan-arahan tersebut tidak dilaksanakan.''

''Saya percaya terdapat sekurang-kurangnya 20 akaun induk lain yang diwujudkan untuk Anwar oleh pelbagai kroninya. Saya percaya bahawa jumlah dana-dana dalam 20 akaun induk itu mencapai lebih daripada RM3 bilion.

''Modus Operandi Anwar ialah pecah dan perintah dan operator setiap akaun induk tidak menyedari kewujudan akaun induk lain. Saya yakin kerajaan tahu siapa kroni-kroni itu,'' katanya dalam kenyataan bersumpah tersebut.

''Setakat yang saya tahu dan melalui penglibatan saya sendiri, lebih RM120 juta telah dibayar kepada Anwar, kroni-kroninya dan organisasi yang digunakan untuk memajukan cita-cita politiknya.

''Sebagai contoh, adalah dalam pengetahuan saya bahawa atas arahan Anwar, dana-dana daripada Akaun Induk dibayar kepada dirinya (Anwar), individu-individu dan organisasi yang dikaitkan dan terlibat dengannya antara 1992 dan 1997,'' kata Abdul Murad.

Menurut beliau, secara peribadi beliau mengetahui bahawa bayaran-bayaran dibuat daripada Akuan Induk kepada pihak-pihak berikut:

(1) Anwar Ibrahim sendiri RM50 juta

(2) Tan Sri Abdullah Ahmad RM 5 juta

(3) Datuk Nasaruddin Jalil RM10 juta

(4) Asia Pacific Policy Centre RM38 juta dan Douglas H. Paal (US$10 juta)

(5) Institut Kajian Dasar (IKD) RM5 juta

(6) Aliran & Dr. Chandra Muzaffar RM5 juta

(7) ABIM RM5 juta

(8) International Institute of Islamic Thought (IIIT) RM2 juta

(9) Sebuah Yayasan Islam di UK RM1 juta

Abdul Murad pada 16 September lalu didakwa di mahkamah atas tuduhan gagal mendedahkan maklumat sebenar saham-saham Ben Harta Sdn. Bhd. (BHSB) dan 51 hartanya.

Beliau meletakkan jawatan sebagai Penolong Gabenor Bank Negara beberapa bulan selepas Anwar disingkirkan daripada kerajaan pada September 1998. Ketika didakwa pada 16 September lalu, beliau ialah Pengarah Eksekutif RHB Bank.

''Sebagai seorang eksekutif tertinggi di BNM, saya sering berhubungan dengan Anwar yang sukakan saya dan ekoran itu mengamanahkan saya untuk melaksanakan arahan-arahannya, yang baru kini saya percayai digunakan untuk memajukan cita-cita politiknya,'' kata Abdul Murad.

Menurutnya, bagi meneruskan rancangan politik, Anwar mengarahkannya melaksanakan eksesais korporat tertentu untuk keuntungan kawan-kawan dan kroninya.

''Hutang-hutang kawan-kawannya dilangsaikan/diselesaikan melalui keuntungan daripada urus niaga menggunakan pengaruh BNM.

''Antara eksesais korporat yang paling signifikan ialah pengambilalihan Sikap Power, pemegang konsesi Independent Power Project (IPP) di Lumut, Perak,'' kata beliau.

Konsesi itu dijual kepada MRCB atas arahan Anwar. MRCB kemudian menyuntik konsesi itu ke dalam Malakof Berhad yang merupakan anak syarikat MRCB.

Kata Abdul Murad: ''Saya percaya keuntungan kira-kira RM50 juta daripada urus niaga ini jatuh ke salah satu tabung politik Anwar.''

Beliau juga mengaku memperkenalkan seorang lelaki Cina bernama Tong Kooi Ong juga terlibat dalam memberi bantuan kewangan kepada Anwar.

Tong ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Phileo Allied Berhad, sebuah syarikat yang tersenarai di papan utama BSKL. Phileo Allied Bank berada di bawah kawalan Tong.

Anwar mengarahkan Tong supaya mengambil Shamsidar Taharin dan seorang lagi yang bernama Rahman bekerja dengan banknya.

Shamsidar ialah isteri kepada Azmin Ali, bekas Setiausaha Sulit kepada Anwar.

Kata Abdul Murad: ''Adalah diketahui dengan meluas bahawa Shamsidar dibayar gaji yang tinggi dan disediakan dengan sebuah kereta dan pemandu dan pada kebanyakan masa dia tidak perlu pergi bekerja.''

Abdul Murad juga mendedahkan beberapa urus niaga lain yang melibatkan arahan Anwar, antaranya mengatur pinjaman-pinjaman bank untuk kawan-kawan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Individu-individu yang terlibat ialah:

* Menyelesaikan hutang Tan Sri Abdullah Ahmad (Duta Khas Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) sebanyak RM10 juta dengan Bank Bumiputra. Beliau membantu merundingkan jumlah penyelesaian sebanyak RM7 juta.

Sejumlah RM5 juta diambil daripada Akuan Induk untuk membayar hutang itu. Bakinya RM2 juta diperoleh daripada Abdullah yang mendapat wang daripada penjualan tanahnya.

* Anwar mengarahkan beliau membantu menyelesaikan hutang Marina Yusof dengan bank-bank tempatan yang berjumlah lebih daripada RM20 juta.

Abdul Murad menyerahkan permohonan itu kepada Tabung Pemulihan Usahawan (TPU) untuk bantuan membangunkan sebidang tanah di Jalan Tun Razak, yang sekarang merupakan Kompleks Marinara yang telah siap.

Dalam kes itu beliau berkata, panel TPU meluluskan permohonannya. Marina Yusof benar-benar terhutang budi kepada Anwar.

* Sebuah syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang, Mercury Securities berhutang dengan MUI Bank lebih RM10 juta yang diperoleh melalui cagaran tanah pihak ketiga.

Pemegang saham majoriti ialah Chew Seng Guan dan seorang bernama Ahmad Kamal yang dididik oleh Anwar untuk menjadi bakal ahli perniagaan bumiputera dan ahli politik.

* Anwar mengarahkan Abdul Murad membantu kumpulan bekas Ketua Pengarang Berita Harian, Datuk Nazri Abdullah untuk mengambil alih Kumpulan New Straits Times daripada Renong.

''Saya mendapatkan Kumpulan Hong Leong untuk menstrukturkan urus niaga itu. Saya bercakap dengan Seow Lun Hoo dan Quek Leng Chan dari Hong Leong. Mereka mencadangkan supaya kumpulan Datuk Nazri menggunakan MRCB sebagai saluran untuk mengambil alih saham New Straits Times.

''Saya kemudian bercakap dengan Maybank untuk mengatur pinjaman kepada Nazri bagi membeli MRCB dan satu lagi pinjaman untuk membeli NST.''

* Beliau juga telah diarahkan oleh Anwar untuk membantu Faiz Abdullah, seorang penulis teks ucapan Anwar yang juga salah seorang peguam bekas Timbalan Perdana Menteri itu, untuk mendapatkan pinjaman bank berjumlah lebih RM400 juta untuk membeli Kewangan Usaha Bersatu Berhad (KUBB).

''Pada masa itu KUBB dimiliki oleh Idris Hydraulic Berhad. Skim itu melibatkan penggunaan Arus Murni Berhad yang sebelum itu dikenali sebagai Timuran Berhad, sebuah syarikat yang disenaraikan di papan utama BSKL sebagai syarikat pemegang.

''Saya menemui bank-bank berikut untuk membantu mendapatkan pinjaman untuk membeli saham KUBB bernilai lebih RM400 juta: 1. Hong Leong Bank, 2. Hong Leong Finance, 3. Sime Bank, 4. RHB Bank, 5. Southern Bank, 6. BSN Commercial Bank,'' katanya.

Kenyataan bersumpah Abdul Murad menyifatkan Faiz ''seorang penulis hantu yang bijak dan operator politik untuk Anwar. Beliau juga seorang peguam, bekas wartawan dan bekas pegawai Cawangan Khas polis.''

Oleh: BAHAROM MAHUSIN dan NAZERI NONG SAMAH

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:03
Asar 4:25
Maghrib 7:00
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.