saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 01/12/1999

Abdul Hadi dilantik MB baru Terengganu

KUALA TERENGGANU 30 Nov. - Pesuruhjaya Pas Negeri, Abdul Hadi Awang hari ini dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru menggantikan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, selepas partinya menang besar dalam pilihan raya umum ke-10, semalam.

Beliau menerima watikah pelantikan daripada Sultan Terengganu dalam satu istiadat di Istana Badariah di sini.

Abdul Hadi yang berbaju Melayu berwarna kelabu dan berserban putih, tiba di istana pada pukul 3 petang, dengan diiringi oleh beberapa pemimpin Pas lain termasuk kedua-dua Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Harun Taib dan Wan Abdul Mutalib Embong.

Istiadat mengangkat sumpah Menteri Besar dan anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) akan diadakan Khamis ini di Istana Maziah di sini.

Sebelum menerima watikah pelantikan Menteri Besar itu, Abdul Hadi, yang juga Timbalan Presiden Pas Pusat memaklumkan kepada baginda sultan mengenai keputusan pilihan raya yang memihak kepada Pas.

Sultan menyerahkan watikah pelantikan itu kepada Abdul Hadi sebaik selepas kandungannya dibacakan.

Abdul Hadi kemudian menerangkan kepada baginda mengenai pengisytiharan cuti umum hari ini oleh kerajaan negeri baru Pas sebagai tanda kesyukuran atas kemenangan parti itu dalam pilihan raya umum berkenaan.

Baginda dan Menteri Besar baru itu menghabiskan masa kira-kira 20 minit lagi untuk beramah mesra.

Pada pilihan raya semalam, Pas memperoleh 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri. Parti itu juga memenangi tujuh daripada lapan kerusi Parlimen sementara satu lagi kerusi Parlimen dimenangi oleh Parti Keadilan.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, kerajaan negeri akan menunaikan janji-janjinya kepada rakyat negeri ini, tetapi memerlukan masa untuk mengkaji pelaksanaannya.

Beliau berkata, janji-janji itu termasuklah penghapusan bayaran tol di Jambatan Sultan Mahmud, cuti umum hari Jumaat dan Sabtu serta penghapusan cukai pintu rumah kediaman di negeri ini.

''Bagaimanapun kita memerlukan masa untuk mengkaji perkara tersebut mengikut akta yang diperuntukkan dan Pas berjanji akan melaksanakannya secepat mungkin,'' katanya.

Abdul Hadi berkata demikian kepada pemberita semasa melawat pejabat baru Menteri Besar di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Beliau berkata, polisi-polisi lain bagi kerajaan baru yang ditubuhkan Pas bagaimanapun akan diberitahu dari semasa ke semasa.

''Polisi yang akan kita laksanakan nanti adalah setaraf manifesto yang kita bentangkan ketika menghadapi pilihan raya baru-baru ini dan selaras dengan peraturan,'' tegasnya.

Ketika ditanya pelaksanaan undang-undang Islam termasuk hukum hudud di negeri ini beliau berkata, ia akan digubal mengikut prosedurnya.

''Namun begitu ia perlu dibawa ke Dewan Negeri untuk dibahaskan dan sudah semestinya ia perlu kelulusan dewan,'' katanya.

Mengenai pelantikan barisan ahli mesyuarat kerajaan negeri (Exco) bagi kerajaan Pas di negeri ini beliau berkata, ia akan diumumkan Khamis ini.

''Beberapa perubahan terhadap portfolio lama akan dilakukan manakala jumlah ahli Exco tidak lebih daripada 10 orang,'' katanya.

Abdul Hadi berkata, ahli Parti Keadilan yang memenangi kerusi pada pilihan raya kali ini akan turut dilantik sebagai ahli Exco.

Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan negeri juga akan melantik ahli pakatan pembangkang yang bukan Melayu untuk menganggotai mengikut keperluan yang ada dalam kerajaan itu.

Mengenai, jawatan Timbalan Menteri Besar beliau berkata, ia kemungkinan akan diwujudkan.

Abdul Hadi berkata, pembentukan kerajaan negeri yang baru ini tidak akan mensia-siakan kakitangan yang sedia ada.

''Seperti biasa kita akan kekalkan kakitangan yang ada yang berkhidmat dengan kerajaan negeri sebelum ini,'' katanya.

Abdul Hadi berkata, walaupun beliau telah pun dilantik sebagai Menteri Besar namun beliau hanya akan memulakan tugasnya selepas beberapa urusan selesai.

Oleh: MARZITAH ABDULLAH

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.