saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 01/12/1999

Dimensi baru politik

Oleh: AZIZ ISHAK
PILIHAN raya umum 1999 meninggalkan kesan yang bukan sedikit kepada politik tanah air dengan membawa segala debaran, kejutan, pengharapan, mesej, pengajaran dan tidak kurang kebimbangan yang berbaur dalam satu dimensi baru politik.

Sama ada disukai atau tidak - rakyat telah menurunkan kuasanya memberi mandat melebihi dua pertiga kepada Barisan Nasional (BN). Sama ada bijak atau tidak - rakyat juga memberikan kepercayaan kepada Pas menerajui Terengganu selain di Kelantan. Dan sama wajar atau tidak - rakyat turut menghukum DAP serta menolak Keadilan.

Begitulah politik dengan sifat dan hukum-hakamnya yang tersendiri. BN akhirnya masih menjadi sandaran untuk membawa cabaran ke alaf baru sebagaimana menepati jangkaan walaupun buat pertama kali menghadapi asakan politik sebegitu hebat daripada pakatan pembangkang yang mengadakan kerjasama elektoral yang lebih berdaya saing.

Dengan pencapaian 148 kerusi daripada jumlah keseluruhan 193 kerusi Parlimen, BN sebenarnya mengatasi jumlah kerusi 132 pada pilihan raya umum 1995. (Jumlah itu bertambah kepada 162 selepas pilihan raya berikutan perpindahan parti antaranya wakil Parti Melayu Semangat 46).

Kejayaan mendapat mandat yang masih besar membolehkan kerajaan BN yang tidak pernah kecundang dalam pilihan raya umum sejak pilihan raya 1959, meneruskan segala janji dan 'perjuangan yang belum selesai' untuk rakyat dalam mencapai kebebasan sebenar kehidupan negara bermaruah.

''Kita akan tunaikan janji-janji untuk menjadikan Malaysia bebas sepadu maju selepas ini,'' begitulah semangat yang ada pada beliau untuk tetap mencernakan politik nasionalis dan pembangunan kepada rakyat walaupun sedar kebangkitan politik Islam fahaman Pas kali ini. Sememangnya Pas mencapai kejayaan dengan menawan Terengganu selain mempertahankan Kelantan sambil menampakkan kemajuan di negeri-negeri seperti Kedah, Pahang dan Perak.

Sebelum ini Pas tidak mempunyai seorangpun wakil di Dewan Undangan Negeri Perlis, Pahang, Perak dan Selangor dan hanya dua wakil di Kedah, tujuh di Terengganu dan 26 di Kelantan. Bagi Parlimen pula, PAS sebelum ini hanya diwakili oleh seorang anggota dari Terengganu dan enam anggota dari Kelantan.

Hampir semua pemimpin tertingginya seperti Presidennya Datuk Fadzil Noor dan timbalannya, Abdul Hadi Awang menang sama ada di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Antara faktor kejayaan parti berlabel Islam itu ialah kemampuannya memanipulasi isu Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak tahun lalu lagi dengan mengadakan ribuan ceramah di merata pelusuk. Pas melonjakkan kekuatannya kali ini dengan bantuan isu yang semenarik isu Anwar.

Pas juga sebenarnya telah mengadakan perancangan yang sekian lama untuk menawan Terengganu dan memastikan kelangsungan kuasa di Kelantan - seawal hari pertama selepas keputusan pilihan raya umum 1995.

Jentera Pas yang berurusan dengan akar umbi rakyat secara berceramah dan bersemuka telah berjalan secara konsisten. Lebih menarik lagi ialah pakatan pembangkang menerusi barisan alternatif ternyata hanya menguntungkan Pas sementara rakan lain seperti DAP, Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) menerima padahnya.

Yang lebih membimbangkan ialah kemampuan Pas membangkitkan tarikan orang Melayu terhadap mazhab politik ala parti itu yang pasti menjadi ancaman kepada BN dalam menghalakan perspektif Islam yang pragmatik, sederhana dan berorientasikan kecemerlangan. Dengan jangkaan bahawa Pas akan terus mempermainkan agama sebagai komoditi politik maka tugas untuk memberikan kefahaman Islam yang sebenar kepada rakyat selepas ini akan jauh lebih payah.

Bayangkan bagaimana kejahilan politik berlaku lantaran taksub kepada janji syurga Pas untuk yang mengundi parti itu sehingga orang seperti penulis buku SHIT, Datuk Shahnon Ahmad yang menghina ketamadunan Islam dengan budaya carutan dan makian boleh dipilih sebagai wakil rakyat. Itulah keindahan demokrasi di Malaysia, walaupun pembangkang selalu menafikannya dan sengaja tidak menilai secara jujur.

Demi Pas dan Shahnon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdul Hamid Othman yang diakui sumbangannya dalam dunia Islam sama ada di dalam dan luar negara menjadi korban politik penduduk Sik.

Nilai dan budaya politik sebeginilah yang akan bercambah di kalangan masyarakat Melayu jika aliran ini berterusan tanpa disanggah. Tabiat mengundi di Pantai Timur mula melanda utara dan wilayah tengah.

Hamid Othman bukan satu-satunya hulubalang UMNO yang kecundang mengejut. Yang lain ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayub (Parit); Menteri Kewangan Kedua, Datuk Mustapa Mohamed (Jeli); Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Annuar Musa (Peringat) dan Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad (Cukai). Beberapa timbalan menteri juga tidak menentu nasib mereka selepas tewas iaitu Timbalan Menteri iaitu Datuk Dr. Ibrahim Saad, Datuk Ibrahim Ali; Datuk Idris Jusoh; Datuk Abu Bakar Daud; dan Datuk Tengku Mansor Mahmud. Kesemua ini membayangkan lebih ramai muka baru dalam kabinet Dr. Mahathir selepas ini.

Bagaimanapun Wan Mokhtar tentunya orang yang paling kecewa kerana terpaksa mengakhiri karier politiknya dengan sejarah hitam setelah berada tampuk kepimpinan selama 25 tahun. Ramai percaya beliau terlepas peluang untuk dikenang dengan rekod kejayaannya selama ini - jika lebih awal menawarkan diri berundur tanpa merumitkan pucuk pimpinan untuk membuat percaturan dengan penampilannya juga. Kekalahan teruk di Terengganu, menurut sesetengah pemerhati adalah mesej kepada beliau, Datuk Dr. Yusof Noor dan barisan pemimpin BN di Terengganu. Ada teori pula menyatakan betapa BN lebih banyak menumpukan perhatian di Kelantan sehingga meminggirkan serta mengambil mudah Terengganu yang hari ini beralih teraju kepada Menteri Besar baru, Hadi Awang.

Kekalahan Wan Mokhtar, Hamid Othman dan Yusof Noor juga tanpa disedari menunjukkan ketiga-tiga pemimpin bertaraf ulama UMNO ini hilang daripada persada kuasa pilihan rakyat.

Wan Moktar sama juga seperti Tengku Razaleigh nampaknya menerima baik keputusan rakyat dalam reaksi mereka semalam. Tengku Razaleigh sudah bekerja keras sejak diberi kepercayaan untuk memimpin misi UMNO Kelantan tetapi cuma beliau sahaja menang itupun majoriti kecil manakala yang lain tewas di sebalik harapan menang sebelum ini. Kemungkinan untuk kalah adalah sama besarnya dengan kemungkinan untuk menang. Buat pertama kalinya, pemimpin utama DAP Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Chen Man Hin turut menjadi korban di kerusi yang mereka tandingi sama ada Parlimen atau DUN di Pulau Pinang, sekaligus menyaksikan prestasi terburuk DAP.

Ia membawa kepada rumusan bahawa DAP semakin jauh daripada projek Tanjung untuk merampas Pulau Pinang walaupun kali ini tidak digembar-gemburkan selain membuktikan bahawa pakatan dengan Pas dan Keadilan adalah perkongsian tidak bijak yang merugikan sama sekali parti itu yang memperjuangkan gagasan Malaysian Malaysia.

Majoriti masyarakat Cina menolak DAP kerana gagal membendung cita-cita Pas untuk mewujudkan negara Islam di samping begitu menghargai kecemerlangan kerajaan BN mengatasi masalah kegawatan ekonomi. Rata-rata masyarakat Cina tidak dilanda sentimen 'politik-agama', politik kebencian dan tidak memilih berdasarkan simpati. Faktor undi bukan Melayu turut menyumbangkan kepada prestasi buruk Keadilan yang muncul buat pertama kalinya dalam sejarah pilihan raya hasil daripada gerakan reformasi tajaan Anwar.

Dua pemimpin Keadilan yang ada nama iaitu Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah dan bekas Setiausaha Sulit Anwar, Azmin Ali, menang dalam pilihan raya. Yang lain tewas. Dr. Wan Azizah menang di Permatang Pauh kerana faktor simpati dan sentimental terhadap Anwar di kawasan itu. Azmin menang di Hulu Klang. Orang-orang seperti Chandra Muzaffar, Marina Yusof, Tian Chua, Ezam Mohd. Noor, Irene Fernandez, Zainur Zakaria, Ruslan Kassim yang rakus membuat pelbagai tuduhan ke atas kerajaan ditolak oleh rakyat menandakan masa depan yang malap parti serpihan itu. Kebanyakan undi yang mereka perolehi sebenarnya adalah undi penyokong Pas hasil kempen agresif bersama pembangkang sehingga saat-saat akhir.

Nasib PRM terus malang apabila semua pemimpin utamanya, termasuk Presiden Dr. Syed Husin Ali kecundang, sama ada di Wilayah Persekutuan atau Johor.

Sebagai parti pemerintah, prestasi BN lebih mendapat perhatian. Disebabkan pembawakan dan kecenderungan baru pengundi Melayu yang memilih pembangkang terutama Pas, calon-calon BN terutama UMNO banyak dibantu oleh undi bukan Melayu di samping sumbangan parti komponen lain seperti MCA, Gerakan, MIC, PBB, PBDS dan SUPP - itulah manifestasi permuafakatan politik BN sejak empat dekad lalu.

Kerusi UMNO sama ada di Parlimen mahupun negeri merosot. Di Parlimen sahaja, pencapaian UMNO merosot 16 kerusi. Ramai pemimpin BN mengalami kemerosotan majoriti termasuk tokoh seperti Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak (241).

Secara keseluruhan BN yang diterajui oleh UMNO memperoleh 76 peratus undi di Parlimen (berbanding 84 peratus pada 1995) dan 71 peratus (88 peratus) di dewan negeri - menyaksikan penurunan undi popular. Faktornya juga selari dengan faktor kejayaan Pas iaitu isu Anwar, politik membenci oleh pembangkang, kempen antikerajaan BN yang begitu lama dan impak kepada sinergi pakatan pembangkang termasuk kempen yang secara bersepadu.

UMNO juga selama lebih setahun terpaksa defensif terhadap serangan-serangan pembangkang termasuk dalam Internet yang berleluasa, keterlaluan dan berterusan daripada isu kronisme sehinggalah tuduhan kezaliman, rasuah dan ketidakadilan.

Selain itu, jumlah yang keluar mengundi masih sekitar 71 peratus, sepatutnya melebihi daripada itu. Dipercayai mereka yang tidak mengundi lebih ramai memihak kepada BN. Tetapi UMNO juga perlu melihat faktor dalaman antaranya masih ada sesetengah kawasan yang menyaksikan calon sesama calon UMNO tidak bersatu hati, jentera parti di kebanyakan kawasan yang tidak agresif walaupun selalu digambarkan bahawa jentera adalah terbaik dan pemilihan sesetengah calon yang tidak bertepatan termasuk tonggak di negeri tertentu. Sebagai parti yang berjaya, UMNO juga dilanda sindrom ambil mudah kekuatan lawan di kalangan sebahagian ahlinya.

Prestasi cemerlang BN dan UMNO Johor yang sapu bersih, begitu juga di Negeri Sembilan, penguasaan di Sarawak, peningkatan BN termasuk UMNO di Sabah, lonjakan di Pulau Pinang dan kebangkitan di Perlis - mengimbangi peningkatan Pas selain isyarat UMNO masih dominan.

Tetapi BN khususnya UMNO perlu melakukan post mortem bukan sahaja kepada aspek teknikal di peti undi di Terengganu atau Kelantan tetapi jauh daripada itu ialah meningkatkan dinamisme generasi baru UMNO supaya lebih berorientasikan rakyat akar umbi.

UMNO selamanya tidak boleh hanya bersandarkan imejnya sebagai parti nasionalis dan kecemerlangan kepimpinan kerana arus politik masa kini berdepan dengan kekaburan rakyat yang tidak mengerti kepentingan strategi politik kekuatan Melayu masa depan. UMNO khususnya harus dipastikan relevan selepas ini dengan mencorakkan semula daya juang sebagaimana di awal era penubuhannya. Kekalahan di Terengganu selain Kelantan mempunyai hikmah besar untuk membina kekuatan baru. Sejarah kebangkitan UMNO pernah terbukti beberapa kali termasuk merampas semula Sabah daripada PBS dan suatu ketika dulu Terengganu daripada Pas. Pun begitu, BN dan UMNO tidak harus merasa terusik dengan apa sahaja jolokan yang diberi termasuk oleh media asing misalnya 'menang dalam kalah' dan 'kemenangan masam-masam manis' kerana kecewa BN dapat pertahankan majoriti dua pertiga walaupun mereka meramalkan sebaliknya. Kemenangan tetap kemenangan. Kebanyakan orang Melayu masih sayangkan UMNO dan memerlukan parti nasionalis ini.

Biarpun Pas menang dua negeri tetapi Pas tidak sekuat UMNO sebagai parti nasional. Budaya kecemerlangan UMNO juga jauh mengatasi Pas. Bahkan majoriti melebihi dua pertiga adalah kejayaan besar dalam konteks gelora politik cetusan reformasi yang sebelum ini menumbangkan kerajaan Indonesia.

Lagipun BN menghadapi 'pakatan alternatif lebih besar' dengan penglibatan pihak asing sejak tahun lalu untuk menumbangkan BN. Jika direnungkan ini, BN khususnya UMNO masih menjadi benteng terakhir - bukannya parti lain.

Inilah juga sumbangan dan risiko yang UMNO hadapi sehingga 'dihukum' oleh sebahagian orang Melayu sendiri. UMNO belum jatuh dan akan bangkit selepas ini. Lima tahun lagi... tidak lama.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.