saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 15/12/1999

Meredah zaman suram

TV3 pernah mencatat sejarah sebagai stesen TV yang memulakan siaran 24 jam. Tetapi setahun kemudian siarannya kembali kepada 12 jam kerana kegawatan dan bahan siaran selepas tengah malam adalah rancangan ulangan. Kemudian RTM mengumumkan langkah-langkah penjimatan dan antara yang utama ialah menyiarkan rancangan ulangan. Stesen TV ketika kegawatan ekonomi memuncak kelihatan begitu lesu.

Pendapatan daripada sektor pengiklanan jatuh ke paras yang membimbangkan. TV3 kehilangan sebanyak RM55 juta hasil daripada pendapatan iklan ketika kegawatan ekonomi memuncak dulu.

Senario ini memperjelaskan bahawa ketiadaan penonton yang mendorong kekurangan pendapatan daripada pengiklan adalah ujian getir bagi sesebuah stesen TV.

Terbaru sekali ialah operasi siaran stesen TV swasta, MetroVision diberhentikan sementara sehingga Mac tahun depan. Ini seperti mengesahkan bahawa krisis kewangan yang melanda industri stesen TV di negara ini begitu tenat.

Sekalipun operasi siarannya diberhentikan sementara tetapi bagi sebuah stesen TV yang berdiri dengan sokongan iklan, MetroVision tentunya kehilangan banyak pendapatan dari sumber penting itu. Difahamkan MetroVision memberhentikan siarannya untuk kerja-kerja mempertingkatkan mutu siaran sempena tahun 2000. Tetapi dengan memberhentikan siaran bermakna turut membuatkan stesen ini kehilangan pendapatan daripada pengiklan.

Ketiadaan MetroVision, kegawatan ekonomi dan percambahan stesen TV yang dianggap melebihi keperluan sebelum ini mengajak kita semua merenung kes MetroVision melampaui yang tersurat. Adakah rakyat negara ini memerlukan begitu banyak stesen atau saluran TV? Kalau ia memang satu keperluan, apakah ini menunjukkan telah wujud masyarakat bermaklumat yang menjadikan menonton TV sebagai satu gaya hidup?

Tetapi dengan jumlah penonton yang kecil berbanding penduduk juga semacam membuktikan budaya menonton belum wujud di negara ini. Apa sebenarnya masalah industri stesen TV tempatan sehingga memaksa MetroVision mengambil tindakan luar biasa itu?

MetroVision stesen TV kedua selepas TV3 menghadapi banyak cabaran untuk berdiri sebagai stesen swasta yang bergantung sepenuhnya kepada hasil iklan. Setakat ini negara mempunyai tiga stesen TV swasta; TV3, MetroVision dan ntv7. Ini tidak termasuk dua stesen TV berbayar iaitu Astro dan Mega TV yang menawarkan hampir 30 saluran TV dengan bahan siarannya diimport dari luar negara.

Tindakan City Television Sdn. Bhd., memberhentikan sementara siaran MetroVision menuntut kita melihat banyak aspek lain mengenai industri ini. Selain mempertingkatkan mutu siaran pada tahun 2000, misteri tindakan ini dijangka ekoran daripada krisis yang melanda industri stesen TV tempatan.

Orang luar melihat stesen ini menghadapi krisis kewangan sejak kegawatan ekonomi dulu. Tanggapan ini diperkuatkan apabila MetroVision terpaksa membeli dengan harga murah program tempatan yang telah disiarkan di RTM.

Penyiaran program-program 'terpakai' oleh sebuah stesen TV swasta adalah suatu yang cukup luar biasa. Stesen TV swasta sering dianggap lebih eksklusif dan berkonsep baru berbanding RTM. Tetapi apabila MetroVision terpaksa menyiarkan drama yang telah ditayangkan di TV lain, ini menunjukkan stesen swasta ini berhempas pulas untuk memanjangkan hayatnya.

Selain itu, MetroVision juga terpaksa menumpang siaran Berita Perdana di TV1. Kemantapan sesebuah stesen TV terletak pada kehebatan siaran beritanya. Kalau ukuran ini digunakan untuk melihat MetroVision, benarlah tanggapan bahawa krisis kewangan yang memaksa MetroVision mengharungi gelombang besar dalam industri TV ini.

Secara rambang, siaran iklan di MetroVision agak kurang berbanding TV3 atau RTM sendiri yang kos operasinya mendapat pembiayaan dari kerajaan. Pergelutan yang dihadapi oleh MetroVision mengubah tanggapan industri TV sebuah lombong emas. Tanggapan bahawa industri stesen TV sebagai lombong emas memang ada benarnya terutama ketika TV3 mula beroperasi dulu. Konsep baru TV3 mengalih perhatian penonton secara drastik kepada slogan Berita Terkini Hiburan Sensasi ini.

Pengiklan yang berorientasikan kepada rating penonton tentunya memilih siaran yang mempunyai penonton yang banyak. TV3 memenangi pusingan pertama persaingan ini dan dianggap sebagai lombong emas.

Kerana itu banyak yang menjangka bahawa stesen TV swasta merupakan satu lombong emas baru bagi negara ini. TV3 telah mengalihkan tumpuan pengiklan di dua saluran RTM yang sekali gus mengaut sebahagian daripada peruntukkan sektor pengiklanan di media elektronik.

Stesen swasta ini juga dilihat sebagai memberi alternatif kepada RTM yang mempunyai fungsi tersendiri sebagai media kerajaan. Ia menampilkan pendekatan baru yang menjaring perhatian penonton sekali gus menarik pengiklan untuk menggunakan saluran swasta ini.

Benarkah stesen TV swasta merupakan laluan mudah untuk mengaut keuntungan hasil dari pengiklan? Krisis kewangan yang melanda stesen TV swasta semasa kegawatan ekonomi tahun lalu mengukuhkan tanggapan bahawa mengusahakan sebuah stesen TV sangat perit, mencabar dan berisiko tinggi. Operasi sesebuah stesen TV swasta memerlukan modal yang cukup besar. Sementara pulangannya hanya daripada pengiklan. Bayangkan ntv7 yang dikendalikan oleh Nat Seven Sdn. Bhd., membuat pelaburan sebanyak RM200 juta semasa memulakan operasinya pada 7 April 1998.

Kenyataan bahawa industri stesen TV negara ini memberikan pulangan besar tentunya boleh diperdebatkan. Ketika kegawatan ekonomi melanda, TV3 yang menjadi gergasi stesen TV negara ini terpaksa mengambil keputusan luar jangkaan iaitu melaksanakan skim persaraan sukarela (VRS) yang melibatkan 570 kakitangan.

Ini antara langkah mengurang kos operasi berikutan penurunan pendapatan iklan sebanyak RM55 juta.

Gelombang kegawatan yang melanda TV3 dua tahun lalu membuktikan industri stesen TV negara ini mendepani rintangan yang besar. Kalau dulu stesen TV swasta dianggap lombong emas kerana pendapatan daripada sektor pengiklanan tetapi kini stesen TV terpaksa meredah gelombang besar untuk terus hidup. Pengusaha stesen TV dihambat oleh mimpi ngeri yang melanda TV3 apabila mengalami kerugian sebanyak RM168.84 juta tahun lalu.

Kalau stesen TV3 yang begitu mantap dari segi usia, pendapatan iklan dan jumlah menonton yang mencapai 13.6 juta orang juga terpaksa mengurangkan kakitangan, bagaimana dengan stesen yang lebih muda dan kecil dari segi sokongan modal?

Zaman kegemilangan stesen TV swasta seperti yang dicatatkan oleh TV3 sebelum kegawatan ekonomi barangkali hanya kenangan indah yang sukar untuk berulang lagi. Realiti sekarang ialah keperitan untuk menampung kos operasi yang besar.

Penonton ntv7 dianggarkan hanya 4.6 juta di mana sebahagian besar penontonnya tertumpu di kawasan Pantai Barat serta Sabah dan Sarawak. Tetapi modal menggerakkan operasi stesen ini ialah RM200 juta iaitu RM150 juta untuk kos peralatan dan RM50 juta bagi promosi.

TV3 yang telah berusia 15 tahun mendahului semua stesen TV lain apabila mencatatkan penonton sebanyak 13.6 juta. Tetapi dengan penurunan pendapatan daripada pengiklanan sebanyak 19.4 peratus tahun lalu memaksa siaran TV3 24 jam dipendekkan menjadi 12 jam sahaja.

Masalah utama yang dihadapi stesen-stesen TV tempatan ialah jumlah penonton yang rendah berbanding penduduk negara ini. Apabila TV3 hanya ditonton oleh 13.6 juta orang, dianggap catatan tertinggi, bayangkan pula nasib ntv7 yang hanya ditonton oleh 4 juta orang, MetroVision 3.5 juta orang. Keadaan lebih teruk lagi yang dialami oleh stesen TV berbayar; Mega TV dan Astro. Ini disebabkan budaya menonton TV yang rendah, matlamat mewujudkan masyarakat bermaklumat masih terlalu jauh.

Astro mencatatkan jumlah pelanggan aktif sebanyak 200,000 dan Mega TV hanya 85,000. Melihat perangkaan penonton ini, kita boleh membuat tanggapan bahawa menonton TV belum menjadi satu budaya yang boleh merangsang pertumbuhan pesat industri stesen TV.

Stesen TV perlu memperlihatkan jumlah penonton yang tinggi untuk menarik pengiklan mengalih tumpuan dari media cetak ke media elektronik. Ada yang menjangka media cetak negara ini akan kehilangan pembaca apabila TV mengambil alih penyampaian berita yang lebih bergaya kepada penonton. TV bukan sahaja pantas tetapi disokong oleh teknologi visual yang boleh memancing penonton.

Malah pembaca berita TV dilabelkan setaraf popularitinya dengan artis. Semua ini menjurus kepada populariti yang menentukan rating penontonan yang tinggi.

Wan Zaleha Radzi, Ras Adiba atau Zalina Azman bagi industri TV tempatan bukan pembaca berita atau wartawan penyiaran. Tetapi mereka adalah celebrity yang dijuruskan supaya selari dengan hasrat komersial stesen TV berkenaan. Tetapi kita lupa bahawa persekitaran sosial tetap memerlukan media cetak seperti surat khabar sebagai wadah sosialisasi. Bagi yang berkerja pejabat, mereka hanya menemui TV pada waktu malam.

Kerana itu juga masa perdana yang cukup bernilai bagi pengiklan antara pukul 7 hingga 10.30 malam. Ini bermakna TV bukan agenda pertama dalam menu sosial seharian rakyat negara ini. Sebaliknya, siaran berita di TV lebih merupakan promosi kepada berita yang lebih lengkap, pelbagai rencah dan difahami dengan mudah dalam akhbar keesokannya. Menonton TV kalangan masyarakat tempatan belum mencapai tahap ketagihan yang membolehkan stesen TV 24 jam beroperasi secara praktikal atau stesen TV berbayar mempertingkatkan khidmat mereka. Siapa penonton TV 24 jam yang diperkenalkan oleh TV3?

Adakah suri rumah, pelajar, kakitangan sektor swasta atau penduduk di kampung-kampung yang berkerja sendiri di sawah atau di ladang? Sasaran begitu kabur dan lebih malang lagi apabila program yang disiarkan merupakan bahan ulangan. Apakah populariti rancangan hiburan seperti Muzik-Muzik, Senario atau Majalah Tiga di TV3 menjadi pendorong atau petanda pertumbuhan pesat dalam industri stesen TV negara ini?

Tetapi ini bukanlah hujah kukuh untuk menyokong kejayaan sesebuah stesen TV. Buktinya stesen TV berbayar seperti Astro dan Mega TV pula berhempas pulas untuk menarik pelanggan dengan tawaran demi tawaran.

Penonton tentunya tidak akan melanggan Mega TV atau Astro hanya kerana mahu mengikuti berita dunia terkini menerusi Cable News Network (CNN) yang eksklusif.

Tidak dinafikan Astro dan Mega TV membawa berita-berita yang eksklusif di seluruh dunia. Tetapi jumlah yang meminati berita dan berusaha pula untuk melanggan siaran dari stesen TV kabel begitu kecil.

Malah jumlah yang meminati dokumentari dalam Discovery Channel juga kecil.

Ketika siaran TV diperkenalkan di negara ini tahun 1963 ia antara faktor penting yang telah membunuh industri filem tempatan. Kalau sebelum itu filem telah membunuh bangsawan, TV pula membunuh industri filem. Sejarah sentiasa berulang tetapi dalam bentuk yang berbeza.

Kerana itu antara ancaman industri TV hari ini selain kegawatan ekonomi ialah filem. TV diancam oleh kegiatan cetak rompak filem-filem baru dari Hollywood atau Hong Kong yang berleluasa. Filem-filem yang ditayangkan di TV semuanya filem yang telah lebih setahun keluar dari pawagam. Industri video dan meledaknya kegiatan cetak rompak VCD juga membuatkan penonton beralih ke produk yang jauh lebih murah tetapi eksklusif berbanding TV.

Bagi peminat filem khususnya filem-filem baru dari Hollywood, mereka tentu tidak memilih TV sebagai media mereka. TV bukanlah wadah menonton filem yang baik apa lagi dengan penapisan yang begitu ketat. Wadah menonton filem bagi kelompok penonton ini ialah VCD yang boleh didapati dengan harga yang murah di pasar-pasar malam.

Maka tidak hairanlah kalau TV kini menghadapi krisis kehilangan penonton yang menentukan jatuh bangun sesebuah stesen TV. Apakah kini sudah tiba giliran industri video (termasuk cetak rompak) pula mengancam industri TV? Kerana penonton di negara ini belum boleh dikategorikan sebagai masyarakat bermaklumat, keutamaan memilih bahan tontonan untuk mengisi masa terluang bukanlah berdasarkan nilai maklumatnya.

Mereka barangkali mengikuti berita semasa tetapi bukan penonton yang taksub dengan keajaiban alam yang banyak dipaparkan dalam filem dokumentari. Malah tidak semua kalangan penonton TV yang prihatin dengan alam sekitar dan memilih siri dokumentari Kingdom of Survival.

Lalu masa selebihnya diisi dengan menonton filem-filem terkini menerusi VCD. Perlu diingat, membeli, memiliki atau menonton VCD cetak rompak bukanlah kesalahan sosial yang serius di negara ini. Ia hanya kesalahan dari segi undang-undang. Itupun penguatkuasaannya sering dipertikaikan. Tetapi mereka yang memiliki produk ini tidak merasa bersalah dari sudut sosial dan tidak seperti memiliki barangan yang dicuri yang lain.

Cetak rompak merupakan antara penyumbang yang mengalih perhatian penonton terhadap siaran TV. Industri TV ternyata terpaksa mendepani kerenah penonton yang sentiasa membandingkan selera menonton VCD dengan filem-filem yang disiarkan di TV. Selain cetak rompak, stesen TV juga terpaksa mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan. Antaranya kuota program tempatan dan program yang diimport. Semua stesen TV diwajibkan menyiarkan program tempatan selain program import. Malah ketika stesen TV diletakkan di bawah Kementerian Penerangan, bekas Menteri Penerangan Datuk Mohamed Rahmat pernah berkata bahawa menjelang tahun 2000, stesen TV perlu mengisi 80 peratus dengan rancangan tempatan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zuhur 1:09
Asar 4:32
Maghrib 7:05
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.