saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 30/12/1999

Siti Nurhaliza paling berjaya tahun 1999


SITI NURHALIZA


Penyanyi remaja Siti Nurhaliza muncul sebagai artis paling popular dan berjaya dalam karier nyanyiannya sepanjang tahun ini. Kejayaan Siti Nurhaliza ini adalah lanjutan daripada dua tahun berturut-turut.

Kehadiran Siti Nurhaliza dalam arena muzik tanah air semacam memberikan satu warna baru pada bidang penuh glamor itu.

Gaya sederhana dan menghindari imej seksi meletakkan Siti Nurhaliza dengan keunikan tersendiri sebagai penyanyi yang lahir di negara ini.

Ia disulami dengan bakat nyanyian yang diakui baik dan mempunyai gaya suara yang serasi dengan irama tradisional.

Penyanyi yang berasal dari pekan kecil Kuala Lipis, Pahang ini muncul pada akhir tahun 1996 dan telah meletakkan namanya sebaris dengan penyanyi popular.

Sehingga hari ini Siti Nurhaliza adalah penyanyi paling popular sepanjang tahun 1999 sekiranya undian peminat anjuran sebuah akhbar boleh dijadikan ukuran.

Malah sepanjang tahun 1999, penyanyi berusia 20 tahun itu meraih satu demi satu kejayaan termasuk pertandingan peringkat antarabangsa.

Dia mengulangi kecemerlangan yang dicapai sepanjang tahun 1998 dengan kejayaan dalam bidang seni suara.

Pada 10 April lalu Siti Nurhaliza menerima tiga anugerah di Anugerah Industri Muzik '99 bagi mengikirafkan karyawan muzik tempatan.

Siti Nurhaliza menerima anugerah Persembahan Vokal Terbaik Wanita, Album Pop Terbaik dan Album Terbaik menerusi albumnya Adiwarna.

Malah dia juga mencipta nama buat pertama kali di luar negara apabila memenangi Pertandingan Lagu Antarabangsa Pasifik Selatan di Australia pada 14 Mei lalu.

Dia dianugerahkan Persembahan Vokal Terbaik Wanita dalam pertandingan yang diadili menerusi pita rakaman itu.

Dia sekali lagi mencipta nama di dalam pertandingan Festival Muzik Asia Shanghai '99 di Shanghai China pada 30 November lalu apabila merangkul anugerah emas.

Pertandingan tersebut adalah sebuah pertandingan membabitkan penyanyi muda di beberapa buah negara Asia.

''Kejayaan itu milik Malaysia dan saya bangga mewakili negara sekaligus membuktikan bidang nyanyian juga mampu mengangkat nama negara,'' kata Siti Nurhaliza mengenai kemenangannya di luar negara.

Namanya yang menjadi pilihan peminat remaja memberikannya satu lagi peluang apabila terpilih menjadi model dan jurucakap barangan kecantikan Maybeline.

Bersama Maybeline Siti Nurhaliza telah dibawa melawat ibu pejabat dan kilang pengeluar barangan itu di New York.

Tahun 1999 juga membolehkan Siti Nurhaliza mencatat sejarah bagi dirinya sendiri apabila berpeluang menjayakan sebuah konsert solo di Stadium Putra, Kompleks Sukan Bukit Jalil, 30 Oktober lalu.

Walaupun siri konsert penyanyi lain sebelum itu agak dingin namun kemunculan sulungnya dalam sebuah konsert berjaya menggamit sekitar 10,000 penonton menyaksikannya.

Penyanyi yang masih mengekalkan sifat lemah lembut itu terus mencipta kejayaan di Juara Lagu '99 apabila dua buah lagu nyanyiannya memenangi anugerah.

Lagu Purnama Merindu menjuarai kategori balada manakala lagu duet bersama Noraniza Idris berjudul Hati Kama menjuarai kategori Irama Malaysia.

Siti mengakhiri diari 1999 dengan pelancaran album pop tradisional terbaru darinya yang akan dilancarkan pada 31 Disember ini.

''Saya ingin jadikan album itu sebagai penutup tahun 1999 dan pembuka tirai alaf baru tahun 2000,'' kata Siti Nurhaliza mengenai album tersebut.

Oleh: ROSLI MANAH

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.